Truyen3h.Co

Inayah

Bab 11

karyaseni2u

"KENAPA, bang?" Halimah terkejut apabila abangnya balik dalam keadaan menggigil. Muka abangnya pucat lesi sebaik sahaja turun dari kereta. Dia tahu abangnya baru pulang dari menyemah dan memagar rumah anak Suraya.

"Hari ini aku tak mahu jumpa sesiapa. Katakan aje aku tak mahu diganggu." Bomoh Alang terus masuk ke dalam bilik.

Oleh kerana masih curiga, Halimah mengikut sampai ke dalam bilik. Dia bertambah hairan apabila melihat abangnya terketar-ketar membakar kemenyan. Selama ini, tidak pernah dia melihat abangnya setakut itu. Akhirnya dia duduk di hadapan abangnya.

"Ada apa-apa yang telah berlaku?" Dia bertanya lagi.

"Mungkin aku telah tersilap." Bomoh Alang membalas.

Dia masih teringatkan apa yang telah terjadi di rumah Muhammad. Sewaktu kerasukan dia bukan didatangi jin pendamping miliknya tetapi satu makhluk lain yang jauh lebih ganas. Mujurlah jin itu mahu pergi setelah dia meminta maaf.

"Tersilap?" Halimah tidak jelas. Masih tidak difahami apa yang telah berlaku di sana.

"Tempat itu ada penjaganya. Apa yang aku lakukan menimbulkan kemarahan."

"Habis tu macam mana?" Halimah mula cemas. Bimbang perkara lain pula yang akan berlaku.

"Kita tunggu aje. Kalau terjadi apa-apa, pandai-pandailah kita elak," jawab Bomoh Alang seraya membakar dupa untuk menenangkan diri. Ternyata apa yang dilihat tadi bukan calang-calang makhluk. Yang dimintanya nyawa dan darah manusia.

SEMENTARA itu Suraya terus pulang ke rumah. Hatinya sakit kerana usahanya diperlekehkan. Malah Muhammad sendiri tidak berani membela apa yang dia lakukan.

"Dari mana, kak?" tegur Umie yang sedang menyiram pokok bunga di luar pagar.

"Dari mana lagi... Dari rumah sanalah," balas Suraya. Dia buka mangga pagar.

"Dah siap ke tok bomoh pagar rumah tu?"

Suraya angguk perlahan.

"Tadi, baru tok bomoh tu datang," katanya.

"Berapa tok bomoh tu ambil upah?"

"Tak mahal. Seribu lebih aje."

Umie terdiam beberapa saat.

"Janji menjadi ya tak?" katanya kemudian.

"Tapi orang muda sekarang mana nak hargai semua tu? Apa yang kita buat bukannya nak berterima kasih, dilawannya kita." Suraya mengeluh.

"Begitulah orang muda sekarang ni, kak. Tapi esok, kalau ada apa-apa masalah, kita juga yang dicarinya. Masa itulah baru nak dengar cakap kita. Baru nak menyesal," balas Umie yang muda sedikit daripada Suraya.

"Tunggu ajelah apa jadi nanti. Tahulah dia orang tu cari aku."

Suraya mengemam rasa kesal. Dia kesal kerana Aisya sangat degil. Sedangkan dia melakukan semua itu demi kasih sayang. Dia harap satu hari nanti Aisya dan Muhammad akan sedar.

SELEPAS menukar baju, Suraya masuk ke dapur untuk memasak. Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga memasak untuk diri sendiri. Walhal rancangannya hari itu untuk makan tengah hari di rumah Muhammad. Semuanya tidak jadi lantaran apa yang telah berlaku tadi.

Dengan perasaan yang masih terbuku, dia mula membasuh beras. Fikiran masih memikirkan hal di rumah sana. Belum sempat siap, telinganya menangkap bunyi orang menangis.

Dia tersenyap seketika. Bunyi tangisan itu kedengaran lagi. Begitu sedih dan sayu. Akhirnya dia tinggalkan periuk nasi di dalam singki. Dia basuh tangan dan keringkan sebelum beredar dari situ.

Dia mencari arah bunyi tangisan itu sampai ke ruang tamu tetapi sayangnya, dia tidak menemui sesiapa. Dahinya berkerut. Dia termangu. Setelah bunyi itu hilang, dia bergerak ke dapur semula.

Sewaktu melintasi bilik tidur, bunyi itu kedengaran lagi. Kali ini makin kuat. Tanpa berlengah, dia selak kain langsir. Kakinya terhenti di muka pintu.

Suraya tergamam lama. Mulut terlopong apabila terlihat satu makhluk hitam duduk di lantai sambil menangis. Apabila dia sedar, cepat-cepat disambar beg tangan lalu berlari ke luar rumah. Dia mencari Bomoh Alang.

TANGAN Suraya terketar-ketar memegang stereng. Gigil pada tubuh masih kuat. Detak jantung masih laju. Dia tidak tahu apa yang telah dilihat tetapi dia juga tidak mahu makhluk hitam itu duduk di situ mengganggu kehidupannya.

"Hitam, tok. Besar."

Suraya terus menceritakan perihal makhluk itu kepada Bomoh Alang sebaik sahaja tiba. Mujurlah tengah hari itu Bomoh Alang ada di rumah.

"Sebelum ni tak pernah jumpa?"

Bomoh Alang merenung tajam wajah Suraya. Apa yang diberitahu Suraya itu sama dengan apa yang dilihat tadi. Mujurlah makhluk itu mengikut Suraya dan bukannya dia.

Suraya menggeleng.

Bomoh Alang membakar dupa sebelum khayal dalam renungannya. Halimah yang menemani Suraya hanya memerhati tingkah laku abangnya.

"Kamu jangan takut. Dia mahu bersahabat dengan kamu."

Akhirnya Bomoh Alang bersuara tanpa memandang sesiapa. Renungan matanya masih jauh menerawang ke alam yang lain. Itulah yang dia faham. Makhluk itu mahu bertuan. Kenapa makhluk itu memilih Suraya, dia tidak tahu.

"Bersahabat? Tak mahulah saya, tok."

Suraya pantas menjawab. Tidak pernah terfikir hal itu akan berlaku. Entah datang dari mana pula mengikut dia hari itu.

"Dia mahu bertuankan kamu."

Makin laju gelengan Suraya.

"Tok halau ajelah dia. Atau beri saya pendinding."

"Betul kamu tak mahu?"

"Tak mahu, tok. Tolonglah saya. Saya tak mahu benda-benda macam tu. Takut saya, tok."

"Kalau kamu dah tak mahu, mungkin boleh aku usahakan. Tunggu sekejap." Bomoh Alang bangun dari lantai lalu menghilang di dalam sebuah bilik. Sementara itu Halimah berbual dengan Suraya.

"Ada apa-apa yang berlaku ke tadi, mak cik?"

Suraya termenung sebentar sebelum menggeleng. Walhal dalam hati mula teringatkan Aisya. Dia yakin Aisya mesti sudah melanggar pantang tok bomoh sehinggakan dia pula yang menerima akibat.

"Selalunya abang boleh tolong. Hari tu pun, ada pesakit kena sampuk dek jin yang menumpang pada pokok mangga di hadapan rumahnya. Bawa ke sini sekali aje, terus sembuh." Halimah tersenyum.

Suraya tersenyum pucat. Makhluk hitam di dalam bilik tidurnya masih terbayang-bayang. Dadanya berdebar-debar.

"Sebab itu mak cik ke sini cepat. Mak cik tak nak benda tu duduk dalam rumah, mak cik. Tak sanggup. Takut."

"Saya faham. Di sini pun selalu benda tu datang. Kadang-kadang duduk tercongok depan pintu tu," balas Halimah sambil menunjuk ke pintu yang terdedah.

"Tapi bila abang gertak sekali aje, terus mencicit lari."

Suraya semakin lega. Dia percaya Bomoh Alang akan mampu menyelesaikan masalah itu. Tidak lama kemudian, Bomoh Alang keluar membawa satu bungkusan hitam di tangannya.

Sebaik sahaja duduk, bungkusan hitam itu diperasap beberapa saat sebelum digenggam kuat dengan tangan kiri.

Suraya dan Halimah sama-sama leka memerhati semua yang dilakukan Bomoh Alang. Tidak ada siapa yang berani bertanya.

Bomoh Alang buka bungkusan yang berbalut kain hitam. Di dalamnya ada sehelai kain kuning yang mempunyai tulisan dari huruf-huruf dari Bahasa Ibrani dan Suryan, serta angka-angka tertentu yang disusun dalam kotak-kotak kecil.

"Tangkal ini susah nak dapat."

Setelah berpuas hati dengan apa yang dibaca, Bomoh Alang menggulung semula kain kuning dan membalutnya dengan kain hitam sehingga membentuk bungkusan empat segi tepat.

Suraya memandang Bomoh Alang dengan penuh harapan. Bimbang kalau Bomoh Alang tidak mahu membantunya.

"Hanya bomoh tertentu aje yang tahu pasal tangkal ini. Ia sangat berkuasa menentang jin-jin jahat dan melindungi pemakainya dari bala bencana."

"Berilah pada saya, tok." Suraya tidak dapat menahan diri.

"Kamu berjanji untuk menjaganya dengan baik?" Bomoh Alang bertanya.

Suraya angguk laju.

"Bawa tangkal ni ke mana aje kamu pergi. Boleh dibuat rantai atau bawa aje di dalam beg tangan kamu. Kecuali..." Akhirnya Bomoh Alang serahkan bungkusan hitam itu ke tangan Suraya.

Suraya menerimanya dengan senyuman. Apapun dia sanggup lakukan asal makhluk hitam itu ghaib dari rumahnya.

"Kecuali apa, tok?"

"Tangkal ini tak boleh dibawa masuk ke dalam masjid. Juga tak boleh dilangkah," jawab Bomoh Alang.

"Baik, tok. Saya akan ingat," kata Suraya beria.

"Kalau benda tu ada lagi ikut kamu, datang sini semula cepat-cepat. Mungkin dia patut diajar." Bomoh Alang memandang Suraya.

Suraya angguk. Jaminan yang diberikan Bomoh Alang buat dia rasa gembira. Sekurang-kurangnya dia tidak berseorangan dalam hal itu.

"Balik dulu, tok." Suraya minta diri selepas membayar harga tangkal. Meskipun masih waswas namun dia harus juga pulang.

Sewaktu kereta Suraya meninggalkan halaman rumah, Halimah bertanya kepada abangnya.

"Benda yang sama ke, bang?"

Bomoh Alang angguk. Dia sendiri tidak yakin tangkal itu akan berkesan.

SETIBANYA di rumah, Suraya berasa waswas semula. Oleh kerana masih tidak berani masuk ke dalam rumah, dia pergi ke rumah Umie di sebelah.

"Kenapa, kak?" Umie cemas apabila mendengar suara Suraya di luar pagar.

"Tolong akak sekejap, boleh?"

"Tolong apa?" Umie buka pagar.

"Tolong akak tangkap kucing dalam rumah akak. Puas kejar tapi tak dapat." Suraya berhelah.

Umie terus bergerak ke rumah Suraya. Suraya mengikut dari belakang.

"Mana dia, kak?" Umie masuk ke dalam rumah sambil tercari-cari.

"Tadi... Lari ke dapur. Kejar di dapur, masuk ke dalam bilik. Penatlah akak," kata Suraya. Ketika itu matanya menerawang ke segenap arah. Mujurlah makhluk hitam itu tidak kelihatan di mana-mana.

Umie pula menonong ke dapur mencari kucing.

"Tak adalah, kak. Dah keluar kut?"

"Cuba Umie tengok dalam bilik akak."

Tanpa mengesyaki apa-apa, Umie berlenggang kangkung ke bilik tidur Suraya. Suraya pula mengikut dengan rasa cuak.

"Tak ada. Dah keluar masa akak panggil Umie tadi agaknya."

Suraya tersenyum lega.

"Mungkin juga," katanya sebelum menghantar Umie ke pintu.

"Terima kasihlah, tolong akak. Penat mengejarnya tadi."

"Tak apa, kak. Umie balik dulu." Umie terus keluar dan sarung selipar.

Suraya hanya memandang Umie balik ke rumah. Kemudian dia menutup pintu. Dia gembira kerana tangkal yang diberikan bomoh tadi berkesan. Tanpa dia sedar makhluk hitam ada di sisinya sepanjang masa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co