Truyen3h.Co

Inayah

Bab 12

karyaseni2u

BALIK sahaja dari sekolah, Umar terus berlari ke arah buaian. Adam pula pandang sahaja dari jauh. Dengan langkah longlai dia masuk ke dalam rumah tetapi tubuhnya terus rasa tidak sihat. Rasa hendak terjelepok jatuh.

Dia menggosok hidung yang terasa gatal. Dia terbersin berkali-kali.

"Adam tak sihat ke?" Aisya hairan kerana selalunya Adam dahulu yang menerkam buaian di bawah pokok tetapi hari itu perangai Adam berubah.

Adam cuma geleng kepala. Hidung masih terasa gatal setelah tercium bau yang aneh di situ.

"What is this smell?" katanya.

Aisya malas hendak menjawab. Memang seisi rumah masih berbau kemenyan yang seolah-olah tidak mahu pergi walau sudah disembur dengan pewangi udara.

"Apa kata... Adam duduk di luar dulu dengan Umar? Nanti bila dah kurang sikit bau busuk ni, baru masuk, okey?"

Tetapi Adam menggeleng.

"Habis tu? Adam nak buat apa?"

"Never mind." Dia terus melangkah masuk dan menghala ke tangga. Dia tidak mahu bermain dengan Umar kerana dia nampak budak perempuan berbau busuk itu masih ada di bawah pokok, menunggunya.

"Adam... Are you okay?" Aisya masih susah hati melihat kemuraman Adam.

Adam cuma angguk dan beredar.

SETIBANYA di bilik, Adam letak beg sekolah di tepi katil. Dia pergi ke tingkap lalu mengintai ke bawah. Dia lihat Umar di atas buaian dan budak perempuan berambut panjang itu sedang memerhati Umar dengan tenungan tajam. Seolah-olah tahu dia sedang diperhatikan, dengan tiba-tiba sahaja budak perempuan itu menoleh ke arah Adam.

Adam tersentak. Dengan spontan dia menjauhkan diri dari tingkap dan duduk di atas katil.Nafasnya laju.

"Adam?" Muhammad buka pintu bilik lalu masuk.

Sekali lagi Adam terkejut.

"Buat apa sorang-sorang kat sini? Umar mana?" Muhammad pelik melihat keadaan Adam. Selalunya Adam ceria dan tidak boleh duduk diam.

Adam cuma beri isyarat tangan untuk memaklumkan yang Umar sedang berada di luar.

"Kenapa Adam tak main sama? Penat?" Muhammad usap kepala Adam. Rambut Adam basah.

Adam mula rimas. Dia melunjur kaki lalu berbaring. Melihatkan Adam tidak mahu menjawab, Muhammad bangun semula.

"Okeylah. Adam berehat dulu. Nanti dah hilang penat turun lunch, okey?"

Sehingga ayahnya menutup pintu, Adam tidak berbunyi. Dia tidak berani menjawab kerana budak perempuan itu berada di hujung katilnya pula.

"JOM kita duduk luar. Redup. Berangin," ajak Aisya pada sebelah petangnya. Dia bawa senaskhah majalah. Duduk sahaja di dalam rumah hatinya tidak tenang.

Tanpa berlengah, Umar terus melompat bangun. Tetapi Adam masih teragak-agak.

"Jom!" ajak Aisya apabila Adam agak keberatan.

"Bawa krayon. Boleh melukis di luar."

Dengan berat hati, Adam mengikut. Tetapi apabila sampai di muka pintu, Adam terintai-intai. Apabila dilihatnya budak perempuan itu tidak ada di situ, baru dia berasa lega.

Setibanya di bawah pokok, Aisya duduk di atas buaian. Sambil berayun perlahan, dia menyelak majalah di tangan. Umar pula duduk membaca tidak jauh dari Aisya. Manakala Adam sedang duduk melukis dengan menggunakan krayon. Sungguhpun di situ ada meja dan kerusi, dia lebih suka duduk di atas pasir.

"You like this green dress on you, Penny? Nice huh?" tanya Adam kepada Penny di sebelahnya.

Dia gembira kerana Penny menyukai pilihan warnanya. Penny nampak cantik dengan gaun berwarna hijau begitu tetapi entah macam mana, tiba-tiba sahaja krayon yang dipegang patah dua. Sebelah masih di tangan tetapi sebelah lagi jatuh ke dalam pit pasir.

"Hah?" Adam kelam-kabut cuba mengambilnya tetapi pensel krayon itu semakin masuk ke dalam seolah-olah pasir itu menyedutnya ke dalam.

Adam tergamam melihatnya. Dia terus menggali tetapi pensel krayon miliknya seolah-olah telah hilang sama sekali. Dia semakin panik. Tidak sedar jarinya sudah masuk jauh ke dalam pasir lalu tersentuh sesuatu yang lain.

Sesuatu yang sejuk dan keras. Dia teruja.

Semakin kuat dia menggali. Kemudian dia terhenti seketika. Matanya membesar.

"I think I found a pirate's treasure, Penny!" Adam semakin teruja.

Kata-kata Adam, didengari Umar. Lantas dia meletakkan buku ke tanah dan berlari menyertai Adam. Aisya masih tidak menyedari apa-apa.

DARI dalam dapur Muhammad melihat Aisya yang masih lagi duduk di atas buaian. Sejak kejadian demi kejadian pagi tadi, Aisya tidak banyak bercakap. Dia tahu Aisya merajuk. Akhirnya dia bancuh dua muk air lalu dibawa kepada Aisya.

"Kat New York tak ada buai old school macam ni, kan?" komennya apabila Aisya buat seolah-olah tidak perasan akan kehadirannya di situ.

Salah satu perkara yang menarik hatinya tentang rumah itu ialah adanya sebatang pokok yang lengkap dengan buaian. Nampaknya keputusannya betul. Ada juga gunanya seperti sekarang meskipun ada cerita yang tidak sedap didengar daripada Mus tadi.

Namun Aisya tetap membisu. Dia tahu Muhammad sedang cuba memujuknya tetapi hatinya masih merajuk. Dia yakin dia tidak akan menang sebab Muhammad pasti akan menyebelahi ibu mentuanya dan tidak percaya padanya.

"Erm... Marah lagi ke?" Muhammad kecewa. Usahanya tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Masih tidak ada jawapan.

"Mak tu memang suka menolong," kata Muhammad. Dia harap Aisya faham.

"Menolong pun ada hadnya, pa." Aisya tidak boleh terima alasan itu. Itu bukan menolong namanya, itu masuk campur. Malah mengambil alih kuasa.

"Tapi niat dia baik," balas Muhammad.

"Tapi cara tu salah," balas Aisya.

"Sampai bila dia nak sibukkan diri dia dalam hal keluarga kita? Semua keputusan dia nak campur tangan."

"Mak tu cuma perlukan benda untuk isi masa dia. Untuk dia lupakan sedih dia selepas kematian abah."

Aisya merungut sendiri. Alasan itu tidak dapat diterima. Banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang. Ada banyak cara untuk menghilangkan kesedihan. Bukan dengan cara seperti itu. Apatah lagi melibatkan hal-hal yang mungkin boleh memberi kesan ke atas keluarganya.

"I harap sangat you sabar dan cuba faham. Dia cuma ada kita aje," tambah Muhammad.

Aisya mengeluh sendiri. Permintaan Muhammad menambah rasa tertekan. Hanya dia yang perlu memahami ibu mentuanya, bagaimana dengan dirinya? Siapa yang hendak faham apa yang dia mahukan? Dia tidak boleh membayangkan apa lagi yang akan dilakukan Suraya selepas ini.

"At least bincanglah dengan kita dulu. Ni tiba-tiba aje ada entah siapa-siapa masuk rumah kita. Macam mana I nak setuju?" Aisya masih tidak puas hati.

"Nanti I cakap dengan mak." Muhammad tersenyum nipis. Nampaknya dia terpaksa jadi pendamai. Kemudian dia teringatkan hal lain.

"Ada satu hal lagi I nak bagi tahu you."

Aisya cuma menelan air liur. Hati masih rusuh.

"Tadi semasa I balik, I tumpangkan jiran kita yang tinggal di sebelah ni." Muhammad menyambung cerita dengan rasa teruja.

Barulah Aisya menoleh.

"Nanti bolehlah you kawan dengan dia. Nama dia Inayah. I rasa muda sikit daripada you. Tapi dia tinggal sorang aje kat rumah tu. Family dia semua dah meninggal. Termasuklah husband dia."

Mulut Aisya terlopong.

"Macam mana dia boleh tiba-tiba tumpang you?"

Muhammad ketawa kecil. Sudah dapat dihidu bau cemburu dalam nada suara Aisya.

"Kereta dia rosak dekat pam minyak depan tu. Tadi kebetulan I singgah pam tayar. Dia minta tolong tumpang balik ke taman ni. Tanya punya tanya rupa-rupanya jiran kita."

"Tak apalah kalau macam tu." Aisya pandang jauh ke hadapan. Belum dapat dibayangkan rupa Inayah yang dikhabarkan suaminya tetapi dia percaya lambat laun dia akan kenal juga.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co