Bab 15
SEBAIK sahaja Muhammad beredar, Suraya mandi dan bersiap. Selepas bersarapan di kedai dia terus ke rumah Bomoh Alang.
"Pagi betul hari ni, mak cik." Halimah menyambut di muka pintu. Ketika itu Bomoh Alang sedang mandi dan orang lain belum datang untuk berubat lagi.
"Benda tu datang semula malam tadi. Aku tak boleh tidur sampai ke pagi." Belum sempat masuk ke dalam, Suraya sudah mengadu.
Halimah ajak Suraya duduk di atas lantai.
"Benda tu datang lagi?" tanya Halimah.
Suraya angguk.
"Nak buat macam mana ni?"
"Kita tanya abang dulu. Mak cik tunggu sekejap, saya panggil abang." Halimah masuk ke dalam. Suraya tinggal di situ menunggu.
Tidak lama kemudian, Bomoh Alang keluar diikuti Halimah yang menatang dulang berisikan air teh dan sepiring cekodok ikan bilis.
"Jemput minum sekali, mak cik." Halimah tuangkan air buat Suraya dan abangnya. Pagi itu mereka bersarapan bertiga.
"Aku tahu," kata Bomoh Alang.
"Malam tadi makhluk itu datang mencari aku."
Mulut Suraya terlopong.
"Dia marah sebab aku cuba menghalang dia merapati kamu."
"Begitu sekali?"
"Hari itu lagi aku sudah kata, makhluk itu mau bertuankan kamu."
Dada Suraya terasa sesak.
"Tak boleh ke tok cuba halau dia? Saya tak mahu, tok." Dahi Suraya berkerut. Perasaannya sebak. Dia takut.
"Aku boleh cuba guna tangkal yang lebih kuat."
"Buatlah apa sahaja, tok. Asalkan dia tak datang ganggu saya lagi." Suraya terdesak.
Bomoh Alang bangun tinggalkan ruang tamu. Dia masuk ke dalam bilik mencari satu bungkusan kain kuning yang disimpan di dalam sebuah laci. Bungkusan kain kuning itu dibawa ke hadapan.
Sebaik sahaja dia menyusun sila, bungkusan kain kuning itu dibuka. Di dalamnya ada satu patung kayu berupa makhluk bertaring. Besarnya lebih kurang segenggam.
"Bawa tangkal ni balik. Letak dalam rumah. Selagi ada tangkal ini di situ, makhluk tu tak dapat masuk ke dalam."
Suraya terangguk-angguk. Tangkal itu diterima dengan penuh harapan.
SELEPAS Suraya pulang, Halimah pergi mendapatkan abangnya semula. Sambil mengemaskan cawan di lantai dia bertanya.
"Betul ke benda tu datang ganggu abang malam tadi?"
Bomoh Alang menggeleng.
"Tapi aku tahu dari dulu lagi benda tu nakkan mak cik tu."
"Kenapa?"
"Selalunya mesti ada sesuatu yang kita tak tahu."
"Boleh ke tangkal yang abang beri tadi tu halau benda tu?"
"Mungkin." Bomoh Alang termenung. Dia cuma mencuba apa sahaja yang dia tahu. Kalau tangkal yang berisikan wafak itu gagal mungkin yang ini boleh.
"Kalau mak cik tu datang lagi apa kita nak buat, bang?" Halimah mula runsing. Nampaknya hal itu seperti tidak mahu diselesaikan.
"Aku percaya puncanya mesti dari rumah yang anak-anak dia duduk itu. Jadi, kita punya banyak alasan kalau gagal."
Halimah mengeluh.
"Rumah tu berpuaka?"
"Ada penghuninya yang bertahun-tahun tinggal di situ. Bukan senang mahu menghalaunya pergi."
"Yang abang buat hari tu macam mana?"
"Mungkin berjaya, mungkin tak. Tapi mereka pun langgar pantang. Tak boleh salahkan kita seratus peratus."
"Kita cuma buat kerja kita," balas Halimah sebelum menutup perbualan kerana pesakit yang mahu berubat sudah tiba.
BALIK sahaja dari rumah ibunya, Muhammad singgah di sebuah pasar raya. Sedang sibuk memilih minuman tin, dia ternampak seorang perempuan yang dikenali. Tergerak hatinya untuk menegur.
"Banyak beli?" Muhammad menegur sebelum memandang ke dalam bakul Inayah yang masih lagi kosong.
Inayah terus menoleh dan tersenyum tenang.
"Belum lagi. Baru nak pilih-pilih. Encik Muhammad dari mana? Sorang aje ke? Mana isteri?" Inayah tertinjau-tinjau.
"Sorang aje. Baru balik hantar anak ke tadika. Singgah nak beli barang sikit. Kereta macam mana? Dah elok?" Muhammad bertanya lagi.
Inayah menggeleng lalu tertunduk.
"Habis tu? Datang sini naik apa?" Muhammad terperanjat.
"Jalan kaki." Inayah menjawab dengan selamba.
Muhammad termangu seketika sebelum membalas. Di dalam kepala terbayang keletihan Inayah berjalan kaki ulang-alik ke situ. Jarak bukannya dekat.
"Kalau nak tumpang, marilah. Saya pun nak terus balik lepas ni."
"Tak apalah, encik. Selalu sangat tumpang kereta encik. Seganlah saya." Inayah merah muka.
"Apa nak segannya? Kita kan berjiran? Bukan kena ikut jalan lain pun."
Inayah tetap menggeleng.
"Inayah shopping dulu, nanti kita jumpa di luar. Saya tunggu."
"Tak apa, encik. Saya lama lagi. Encik baliklah dulu."
Melihatkan Inayah enggan, Muhammad tidak memaksa lalu terus pulang. Sewaktu dia melewati rumah Inayah, rumah itu kelihatan sangat sepi. Terfikir olehnya, bagaimana kehidupan Inayah sehari-hari.
SETIBANYA di rumah Muhammad keluar dari kereta untuk membuka pagar. Ketika itu sebuah motosikal berhenti berdekatan keretanya.
"Assalamualaikum!" Imam Ali matikan enjin motosikal lalu turun menegur Muhammad.
Untuk sesaat Muhammad tergamam. Dari rupa lelaki itu dia tahu lelaki itu mahu ke masjid. Dia yakin lelaki itu orang taman itu.
"Waalaikumussalam," jawab Muhammad lambat-lambat.
"Baru pindah sini?" Imam Ali berbasa-basi.
Muhammad angguk dan tersenyum kelat.
"Saya Imam Ali. Imam masjid di depan ni. Saya tinggal di taman ini juga. Lorong dekat sekolah." Imam Ali cuba mengendurkan suasana.
"Saya Muhammad."
"Datanglah berjemaah. Kalau tak dapat siang, datanglah malam. Banyak aktiviti di masjid, bawalah isteri dan anak-anak sekali. Boleh kenal jiran tetangga sekali."
Imam Ali tersenyum ramah. Dalam hati mengharapkan pelawaannya diterima. Dia faham Muhammad tentu masih malu dan kekok tetapi semua itu mesti diatasi.
"Nantilah, imam. Sekarang saya sibuk sikit."
Seluruh jiwanya menolak. Dia bukan tidak mahu pergi cuma belum masanya lagi. Dia akan pergi apabila dia mahu pergi. Dia akan pergi dengan kerelaan hati dan bukannya kerana orang lain.
"Begitu..." Imam Ali angguk beberapa kali. Penolakan Muhammad sedikit sebanyak mengecewakan dia tetapi dia cuba memahaminya. Dia tidak mahu memaksa dengan cara yang keras. Kekerasan hanya mematahkan kayu yang keras.
"Nanti kalau ada masa datanglah," katanya lagi.
"Insya-Allah." Muhammad tersenyum tawar. Mujurlah selepas itu Imam Ali terus minta diri untuk ke masjid. Ada mesyuarat dengan pegawai masjid katanya. Tetapi sedikit sebanyak, Muhammad mula rasa rimas.
SEPENINGGALAN Muhammad, Aisya mengemaskan rumah. Sewaktu dia sedang mengemaskan bilik Adam dan Umar, dia terdengar bunyi jeritan dari loteng.
Dia bergegas keluar. Dalam hati tertanya-tanya. Muhammad dah balik ke? Dia jenguk di tingkap tetapi tidak nampak pula kereta di bawah. Sementara itu jeritan kedengaran lagi.
Akhirnya dia bergegas naik ke loteng memeriksa. Apabila pintu dibuka, jeritan semakin kuat kedengaran dari skrin yang terpasang.
"Kenapa tak tutup?" Aisya bertanya sendiri.
Selalunya Muhammad sangat berhati-hati dengan kerjanya. Muhammad tidak pernah membiarkan skrin terpasang tanpa kehadirannya di situ.
Aisya selak rambut ke tepi. Dia melihat-lihat monitor dan segala apa yang ada di situ. Dia terkial-kial memikirkan apa yang patut dibuat. Sedang leka di situ satu suara menerjah pendengarannya.
"Mama buat apa?"
Aisya segera berpaling.
"Tak ada... Tadi I terdengar bunyi jeritan. Jadi, I datang sini tengok. Rupanya you biarkan skrin ni terpasang. I nak tutup tapi tak tahu kat mana nak tekan."
"Apa you merepek ni?"
"Ha?" Aisya tersentak dengan pertanyaan Muhammad.
"Kan skrin off tu? Sebelum I turun tadi I dah matikan semua. Takkanlah I nak biarkan semuanya terpasang macam tu aje?"
Aisya toleh ke arah skrin. Memang betul semuanya tidak menyala.
"I kan dah cakap... Jangan usik kerja I." Muhammad tolak Aisya ke tepi.
Aisya tidak menjawab. Dia sendiri tidak faham apa yang telah berlaku.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co