Truyen3h.Co

Inayah

Bab 14

karyaseni2u

TANPA berlengah, Aisya capai kunci rumah yang tersangkut pada dinding. Terketar-ketar tangannya membuka pintu dan grill. Macam-macam hal yang mengejutkan dia malam itu. Dia sudah rasa tidak tentu arah.

"Boleh saya bantu?" tegur Aisya dengan suara yang keras. Dia berpeluk tubuh.

Lelaki itu tergamam lama. Dia masih berdiri memandang buaian.

Aisya mula berang. Lelaki itu seperti orang tidak siuman.

"Saya tengok encik selalu intip rumah saya. Siang malam."

Lelaki itu hanya memandang Aisya tanpa emosi. Aisya bertambah geram.

"Ada apa-apa yang encik nak ke?"

Lelaki itu cuma menggelengkan kepala sebelum berpaling pergi. Tetapi apabila dia menyedari yang di tangannya masih ada bola plastik, dia berpatah balik dan melontar bola itu ke halaman rumah Aisya. Bola itu terus bergolek hingga ke buaian.

Aisya terpinga-pinga. Lelaki itu semakin mencurigakan. Dia bimbangkan anak-anaknya.

DARI rumah Muhammad, Jamal berpatah balik ke rumah. Meskipun dia percaya sikapnya disalah tafsir tetapi dia masih belum ada kekuatan untuk menerangkan hal yang sebenar.

"Kenapa main sorang-sorang kat luar ni? Mak mana?" tegur Jamal tadi sewaktu baru sampai di rumahnya.

Pada waktu itu dilihatnya seorang budak perempuan berbaju kurung putih sedang bermain dengan bola di luar pagar rumah Muhammad. Dia hairan.

"Masuk dalam! Dah malam ni. Bahaya!" katanya dengan niat baik. Di dalam kepala sudah terbayang pelbagai hal buruk yang boleh menimpa budak itu.

Sayangnya segala tegurannya tetap tidak diendahkan. Budak perempuan itu sibuk melambung bola dan mengejarnya bila jatuh.

Jamal tarik nafas. Timbul rasa marah dalam dada apabila memikirkan sikap ibu bapa yang selalu cuai dalam menjaga anak-anak. Apabila dia mengangkat muka memandang ke rumah Muhammad, dilihatnya isteri Muhammad dan seorang perempuan berambut panjang sedang merenungnya di tepi tingkap.

Dia menoleh ke belakang untuk menyuruh budak perempuan itu masuk sekali lagi tetapi apabila dia menoleh, budak perempuan itu sudah tidak kelihatan lagi.

Apa yang tinggal, hanyalah bola plastik di tepi kakinya.

Tubuhnya ketar. Dia tahu apa yang ditegur tadi bukanlah seperti apa yang dilihat. Dia berpeluh-peluh.

SELESAI sahaja mandi, Jamal mendirikan solat isyak. Selepas itu berselawat dan berwirid sebelum menadah tangan untuk berdoa panjang.

Tidak lupa kepada pesanan Pak Cik Harun tempoh hari untuk dia mengamalkan empat ayat dari surah Yasin, al-An'aam dan al-Mu'minuun untuk mengubati masalahnya. Sebaik sahaja dia keluar ke dapur untuk membancuh teh, dia terdengar bunyi pintunya diketuk lagi.

Tubuh Jamal terus kaku di situ. Dia tahu pagar rumah sudah dikunci dengan mangga. Jadi, dia tahu adalah amat mustahil untuk sesiapa masuk ke halaman rumahnya begitu sahaja.

"Pergi! Apa yang engkau cari tak ada di sini!"

Jamal melaung dari luar dapur sambil memandang ke arah pintu. Apabila ketukan itu berulang lagi, dia hanya mendiamkan diri.

Akhirnya ketukan itu berhenti, diganti dengan bunyi tangisan yang mendayu-dayu.

Jamal mula membaca surah-surah lazim. Suara perempuan menangis itu semakin lama semakin mengendur dan langsung hilang. Apa yang tinggal ialah bau daging yang terbakar. Dia teringatkan Imam Ali.

SETELAH memastikan semua pintu berkunci, Aisya duduk di ruang tamu. Televisyen sedang menayangkan sebuah filem seram tempatan, Aisya mula leka. Semena-mena dia terdengar bunyi ketukan di pintu gelangsar.

Dia menoleh. Ketukan itu terus berhenti. Dia perlahankan sedikit bunyi televisyen. Tidak lama kemudian ketukan kedengaran lagi. Dia pun bangun memeriksa.

Kain langsir diselak. Dia tergamam apabila di luar pintu berdiri seorang perempuan berkebaya putih dengan wajah sedih.

"Tolong..." kata perempuan itu tersekat-sekat.

Aisya kelam-kabut membuka pintu kaca. Dia fikirkan jiran datang meminta bantuan. Sewaktu dia ingin membuka grill, sebelah tangan hitam menjulur masuk melalui lubang grill lalu mencekik lehernya.

Mulut Aisya terlopong. Nafas tersekat. Terasa batang lehernya hampir remuk. Dia terkapai-kapai ingin melepaskan diri. Dia ingin memanggil Muhammad tetapi suaranya tidak keluar.

"Auzubillahi minas syaitonir rajim." Terdengar satu suara membaca taawudh.

Aisya terus terlepas dari cengkaman dan jatuh terduduk di atas lantai. Dia toleh ke arah televisyen, filem seram masih ditayangkan. Seorang pelakon sedang membacakan ayat 51 daripada surah at-Taubah. Kuat dan lancar.

Kepalanya tersengguk. Dia terus tersedar yang dia telah tertidur dan bermimpi ngeri sampai terjatuh dari sofa. Namun apabila dia menoleh ke arah pintu gelangsar, pintu itu masih terbuka dan kain langsir terbuai-buai ditiup angin malam.

Dengan tangan terketar-ketar Aisya menutupnya semula lalu lari naik ke bilik.

SURAYA menggelisah. Kipas di atas kepala sudah berpusing pada tahap kelajuan yang maksima tetapi badannya tetap berpeluh-peluh. Tidurnya jadi tidak selesa malah tidak lelap. Entah kenapa pada malam itu panasnya luar biasa. Kemudian dia terperasan sesuatu.

Kenapa pula terbuka? Matanya melorot ke arah beg tangan yang sudah jatuh tergolek di lantai dalam keadaan ternganga.

Sebelum itu beg tangan itu diletakkan elok di atas meja berdekatan katilnya. Dia bingkas bangun.

Beg tangan kulit berjenama mahal itu diambil dari lantai lalu dibuka.

Ke mana pula hilangnya tangkal yang diberi Bomoh Alang? Suraya jadi tidak keruan. Dari duduk di birai katil, dia terus bangun mencari. Sayangnya tangkal tersebut bagaikan telah ghaib begitu sahaja.

"Aku letak kat dalam beg tadi."

Suraya masih cuba mengingatkan dirinya. Dia keliru dengan dirinya sendiri. Akhirnya dengan perasaan hampa dia kembali merebahkan badan di atas katil seraya mengiring ke arah kiri menghadap lampu tidur.

Baru hendak memejamkan mata, telinganya menangkap bunyi orang menangis teresak-esak di belakang dia. Sangat jelas bagaikan sangat dekat. Perlahan-lahan tubuh Suraya yang berpeluh tadi mendingin.

Tubuhnya diam membantu namun detak jantung melaju. Dari ekor mata, dapat dilihat satu makhluk hitam yang besar tidur di sisinya. Sesekali makhluk itu menderam dan menjilat-jilat belakangnya bagaikan haiwan peliharaan. Dia terketar-ketar ketakutan.

KEESOKAN harinya, Muhammad tergesa-gesa turun ke bawah. Dia sudah lambat untuk menghantar Adam dan Umar ke sekolah. Kerana keletihan dia terlambat bangun. Aisya pula tidak mengejutkan dia. Sewaktu dia melewati bilik anak-anaknya dia seperti terlihat kelibat seseorang di dalam bilik.

"Adam? Kenapa..." Dia terhenti setakat itu. Dia pandang keliling bilik. Tidak ada sesiapa pula. Dia fikir Adam masih belum turun rupanya bukan. Kemudian dia sekali lagi perasan bilik itu sangat sejuk.

"Papa tengok apa?" tegur Aisya di muka pintu bilik.

Muhammad menoleh.

"Air cond bilik ni rosak ke?" balas Muhammad sambil menekan-nekan alat kawalan.

"Rosak? Taklah," balas Aisya.

"Cuma kebelakangan ni jarang dipasang. Kenapa, pa?"

"Itulah yang I hairan. Air cond tutup tapi bilik ni sejuk bukan main." Muhammad luahkan kehairanannya sejak semalam.

"Bilik ni tak kena matahari agaknya. Bukan macam bilik kita," jawab Aisya.

Muhammad terangguk-angguk. Hujah Aisya ada logiknya. Bilik itu bukan sahaja terlindung tetapi juga dilindungi pokok besar di halaman.

Mungkin sebab itu bilik itu lebih sejuk dan gelap berbanding bilik-bilik yang lain.

"Umar dan Adam dah sarapan?" Muhammad ajak Aisya keluar dari situ.

"Papa aje yang belum," jawab Aisya.

Itulah tujuan dia naik ke atas. Dia bimbang kalau-kalau Muhammad belum bangun. Tugas menghantar anak-anak ke sekolah memang tugas Muhammad.

Mereka berdua turun ke bawah. Baru beberapa langkah, terdengar bunyi benda jatuh dari bilik Adam.

"Tingkap tak tutup ke?" tanya Muhammad.

Aisya naik semula. Apabila diperiksa, semua tingkap masih bertutup. Cuma semua gambar lukisan Penny yang ditampal Adam pada dinding bilik sahaja terjatuh dan bersepah di atas lantai. Aisya kutip satu per satu dan letak di atas katil Adam.

Dia tidak sedar sewaktu dia keluar dari situ, lukisan-lukisan itu ditepis kasar sehingga bersepah semula. Dan ada nafas berdengus marah.

PAGI itu Adam tidak lagi masam mencuka seperti semalam. Dia lebih tenang duduk di sebelah Kuntum. Penny pula tidak mengikut pagi itu. Dia menyuruh Penny tinggal sahaja di rumah.

"So how's your new school? Suka tak? Ramai kawan baru tak?" tanya Muhammad semasa memandu.

"Best!" jawab Umar sambil membetulkan cermin mata yang terlondeh.

"Adam pula? Suka tak?" Dia menjeling Adam melalui cermin pandang belakang. Dilihatnya Adam sedang sibuk berbual dengan 'seseorang'.

Tiba-tiba Adam membalas pandangan ayahnya lalu tersenyum.

"Cikgu-cikgu kat situ baik-baik tak?" tanya Muhammad lagi. Dia lega kerana anak-anaknya dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

"Baik," jawab Umar. Manakala Adam masih sibuk lagi berbual dengan Kuntum.

Setibanya di sekolah, dia pegang tangan Kuntum dan membawa Kuntum hingga ke kelas. Umar tinggal di belakang seorang diri.

Muhammad hanya memerhati dari jauh.

SELEPAS menghantar Adam dan Umar ke sekolah, Muhammad tidak terus balik ke rumah. Dia ke rumah ibunya. Suraya yang baru sahaja bangun tidur terkejut dengan kedatangan Muhammad.

"Sorang aje?" tegur Suraya apabila melihat Muhammad keluar dari kereta. Dia acuh tidak acuh.

"Baru lepas hantar Umar dan Adam," jawab Muhammad. Dia ke situ memang ada tujuan.

Suraya hela nafas. Dia masuk ke dalam rumah sambil diikuti Muhammad. Di ruang tamu, mereka duduk berbual.

"Ada apa-apa masalah ke sampai datang cari mak ni?" Suraya renung muka Muhammad.

Muhammad juih mulut lantas menggeleng perlahan.

"Takkan tak boleh datang sini?" tanyanya kemudian.

"Kamu tu kan banyak kerja. Kalau tak ada hal mustahak, kamu takkan keluar rumah," jawab Suraya penuh makna. Dia yakin pasti Muhammad ada sebab tertentu datang ke situ hari itu.

"Tak ada apalah, mak. Rindu pada mak aje." Muhammad mengusik.

Suraya tersenyum pahit. Dalam hati langsung tidak percaya alasan yang diberikan Muhammad.

"Saya cuma risaukan mak. Mak janganlah ambil hati sangat dengan Aisya tu," sambung Muhammad.

"Mak bukan nak masuk campur urusan keluarga kamu. Mak cuma nak membantu apa yang boleh. Untuk kebaikan kamu sekeluarga juga."

"Saya tahu niat mak tu baik. Cuma Aisya mungkin terkejut. Itu aje. Maklumlah selama tinggal di New York dulu, semua dia yang uruskan sorang. Dia tak biasa kalau ada orang lain masuk campur dengan tiba-tiba."

"Dah pindah sini, kenalah buat cara sini," balas Suraya.

"Lama-lama nanti dia fahamlah tu, mak."

Suraya angguk lesu. Di dalam kepala sudah terbayang-bayang satu rancangan baharu.

"Rumah kamu macam mana?" Dia renung muka Muhammad. Kalau dia diganggu, dia percaya di rumah Muhammad pun pasti telah berlaku sesuatu.

"Okey aje." Muhammad menjawab. Dia tidak faham apa yang ditanya ibunya.

"Okey?" Suraya pandang pelik.

Muhammad angguk lagi.

"Kalau ada apa-apa yang pelik, cepat bagi tahu mak. Nanti mak panggil Bomoh Alang datang tengok." Suraya masih tidak puas hati.

"Tak payahlah, mak. Rumah tu macam itulah." Muhammad ketawa kecil tetapi Suraya tarik muka masam.

"Muka mak pucat aje. Mak demam ke?" Muhammad pula bertanya.

Suraya geleng. Apa yang berlaku pada malam tadi masih mengganggunya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co