Truyen3h.Co

Inayah

Bab 4

karyaseni2u

SEWAKTU Jamal mahu meninggalkan rumah, dilihatnya sebuah lori mengundur keluar dari halaman rumah di seberang jalan. Langkahnya mati seketika. Baru dia sedar yang corner lot di hadapan rumahnya itu sudah pun berpenghuni.

Setelah lori itu berlalu, dia terus memandu keretanya. Sewaktu melintasi rumah tersebut, dia sempat menoleh ke kiri dan terlihat seorang budak perempuan sedang memerhati keretanya. Dia sempat melontarkan senyuman tetapi tidak berbalas.

Dia terus sahaja memandu. Meskipun begitu, hatinya tetap terasa gembira kerana sekurang-kurangnya rumah corner lot itu sudah pun didiami setelah kosong sekian lama.

Kira-kira setengah jam kemudian, dia tiba di hadapan sebuah rumah kayu. Dia disambut sepasang suami isteri yang sudah berusia.

"Dari rumah ke dari tempat kerja?" tegur Pak Cik Harun sebelum mempelawa Jamal masuk ke dalam rumah.

"Dari rumah. Baru balik pukul empat pagi tadi. Dapat lelap sekejap aje," jawab Jamal sambil duduk di atas tikar plastik yang dibentangkan di tengah ruang tamu rumah Pak Cik Harun. Memang sudah kebiasaannya begitu apabila dia datang berurut.

Pak Cik Harun bawa satu bakul plastik ke tengah ruang tamu. Bakul plastik itu berisi pelbagai botol yang berlainan saiz dan warna. Di dalamnya berisi minyak urut yang dimasak sendiri oleh dia dan isteri.

Setelah Jamal menanggalkan seluar dan memakai kain pelekat yang disediakan di situ, Pak Cik Harun mula mengurut kaki Jamal yang bermasalah sejak setahun lalu. Sesekali Jamal menyeringai menahan sakit.

"Macam mana dengan masalah tu? Dah selesai?" tanya Pak Cik Harun tanpa mengangkat muka. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada kaki kanan Jamal yang berlumur dengan minyak.

"Dah lama tak datang," jawab Jamal sejujurnya. Apabila ditanya baru dia sedar hakikat itu. Dia sendiri tidak sedar bila masa masalahnya terhenti.

"Masih buat solat hajat?" Kali ini Pak Cik Harun pandang sekilas muka Jamal yang redup.

Jamal menelan air liur.

"Dah jarang," akuinya dengan jujur.

"Mungkin dah hilang. Faham sahajalah benda-benda macam ni berpunca daripada gangguan jin. Boleh datang. Boleh hilang dengan kehendak Allah," balas Pak Cik Harun.

Jamal angguk sahaja. Tetapi dalam hati ada rasa kesal yang terselit kerana seakan-akan cuai kebelakangan ini.

"Sekurang-kurangnya jangan lupa baca ayat 9 surah Yasin, ayat 103 surah al-An'aam dan ayat 97 dan 98 surah al-Mu'minuun selepas solat. Bukan panjang sangat. Jangan lupa doa."

"Insya-Allah," balas Jamal. Dia sendiri tidak mahu masalahnya datang semula. Kalau boleh biarlah masalah itu pergi buat selama-lamanya.

SEWAKTU Jamal dalam perjalanan balik ke rumah, dia ditahan oleh Imam Ali. Dia terus memberhentikan kereta di bahu jalan.

"Malam ni ada jemputan," kata Imam Ali sebaik sahaja Jamal bertanya dari dalam kereta sahaja.

"Kenduri ke?"

"Haah. Rumah Hamid dekat sekolah tu. Dia buat majlis tahlil. Lepas isyak. Kalau Jamal tak kerja malam ni, jomlah kita pergi."

"Ingatkan rumah corner lot depan rumah saya tu," balas Jamal sebelum termenung sendiri. Rumah itu terbayang di ruang mata.

Kening Imam Ali ternaik sedikit.

"Rumah tu dah ada orang duduk?"

Jamal angguk.

"Tadi ada lori datang hantar barang. Dah duduklah agaknya. Tapi tak nampak lagi tuan rumahnya."

Untuk seketika, masing-masing termenung dan terdiam. Kemudian Imam Ali menyambung sambil tersenyum.

"Eloklah tu. Kalau jumpa tuan rumah tu nanti, ajaklah dia ke masjid. Bertambah ahli kariah kita."

Jamal juga tersenyum pahit. Kejadian 10 tahun lalu tidak mahu diungkit. Kemudian dia meminta diri. Sewaktu dia melewati rumah tersebut, sekali lagi dia ternampak seorang budak perempuan yang sama di halaman rumah. Dia melambaikan tangan tetapi tetap tidak berbalas.

SELEPAS mandi dan menukar pakaian, Jamal duduk di ruang tamu. Televisyen dipasang dan dia memilih rangkaian AXN untuk ditonton sementara menanti masuk waktu solat zuhur. Sedang leka menonton, dia terdengar pintunya diketuk bertalu-talu.

Dia bergegas meninggalkan kerusi lalu membuka pintu.

Di hadapannya berdiri seorang perempuan berbaju putih yang kotor dengan kesan tanah merah. Muka perempuan itu basah dengan air mata. Dia merenung tepat ke mata Jamal.

"Tolong! Anak saya hilang..." Suara perempuan itu kering dan serak.

Jamal terus kaget. Puas cuba diingat siapa wanita itu namun gagal. Dia tidak pernah melihat perempuan itu sebelum ini. Penduduk taman itu jugakah? Jiran baharu? Fikirannya berserabut.

"Hilang? Hilang dekat mana?" tanya Jamal kelam-kabut.

"Anak saya hilang..." ulang perempuan itu lagi seraya melangkah masuk ke dalam rumah.

Ketika itu Jamal sudah berundur ke belakang. Serba salah dan gementar. Badan berpeluh-peluh.

"Puan tak boleh masuk rumah saya. Nanti apa kata orang? Tak elok kalau orang nampak..." katanya tetapi perempuan itu terus berjalan ke arahnya setapak demi setapak dan dia terus berundur ke belakang.

"Puan..." Jamal mula rasa tidak sedap hati. Dia mula rasa sangsi akan kewarasan perempuan itu. Namun tegurannya hanya disambut hilaian yang menakutkan.

Dalam sekelip mata, wajah perempuan tadi yang elok rupanya kini berubah menjadi hitam. Rambut yang elok tersanggul, kini terurai dan menggerbang kusut masai sampai ke lantai. Mata yang basah dengan air mata tadi kini merah menyala.

Jamal terundur ke belakang lalu terlanggar meja kopi. Dia terjatuh lalu terjaga.

Ketika itu azan zuhur dari masjid sedang berkumandang.

"Astaghfirullahaladzim," lafaz Jamal berulang kali seraya meraup mukanya yang basah dengan peluh. Dia bingkas duduk menenangkan diri. Nafasnya terlalu laju.

Apabila dia menoleh ke arah pintu, pintu rumahnya sudah ternganga lebar dan ada kesan tanah di atas lantai.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co