Bab 5
HARI sudah menjelang lewat petang. Disebabkan terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan, Muhammad dan Aisya membiarkan Umar dan Adam berbuat sesuka hati sahaja sepanjang hari. Akan tetapi kemudian Aisya baru perasan sesuatu.
"Where's Adam?" Dia bertanya kepada Umar yang sedang leka bermain di hadapan televisyen. Difikirkan Umar sedang bermain dengan Adam, rupanya tidak.
Umar terpandang-pandang ke kiri dan ke kanan kemudian mengangkat bahu.
Jawapan Umar tidak banyak membantu. Tanpa membuang masa, Aisya bergerak ke luar rumah lalu ke halaman. Dari jauh lagi dia melihat Adam duduk seorang diri di atas buaian. Dia dapat rasa yang Adam sukakan buaian itu.
"Adam buat apa kat sini?" Aisya menegur sambil memerhati keasyikan Adam.
Mendengar teguran ibunya, Adam langsung menoleh dan tersenyum.
"Nothing. Just waiting..."
"Waiting? Waiting for what?" tanya Aisya pula. Dia tidak tahu pun Adam sedang menunggu sesuatu.
"Waiting for my new friend..." jawab Adam perlahan-lahan.
"Wah! Adam sudah ada kawan baru kat sini. Anak mama handsome cepat dapat peminat. Ini mesti girl kan macam Penny?" usik Aisya.
Adam senyum dan angguk.
"Tapi dah petang ni. Jom masuk mandi," katanya.
"Esok main lagi, okey?"
"Give me five more minutes." Adam buat muka sedih.
"Adam... Kita kan tinggal kat sini. Esok-esok pun boleh main lagi. Okey?"
Adam termenung. Tangannya masih memegang tali buaian. Kakinya masih menunjal-nunjal tanah.
"Jom masuk mandi. Makin lama, makin banyak nyamuk kat sini. You know about aedes, right?" Yang sebenarnya Aisya sendiri sudah rasa seram sejuk berada di situ. Pokok yang rendang menjadikan kawasan itu lebih gelap dan dingin daripada tempat lain.
Meskipun wajah Adam tetap muram, tetapi kali ini Adam tidak membantah. Dia turun dari buaian dan ikut Aisya. Di pertengahan jalan, dia toleh ke belakang dan melambai tangan.
"Bye... See you tomorrow," katanya.
Kawan baharu dia pun membalas lambaian tangannya sambil berjuntai kaki di atas dahan. Aisya ikut menoleh tetapi tidak melihat apa-apa.
SELESAI sahaja makan malam, Muhammad naik ke bilik untuk mandi dan bertukar pakaian. Sewaktu dia tiba di tingkat dua, dia ternampak kelibat seseorang di dalam bilik tetamu. Langkah kakinya mati serta-merta.
Dia menukar arah lalu masuk ke dalam bilik itu yang hanya diisi dengan sebuah katil dan sebuah almari. Akan tetapi bilik itu kosong tanpa sesiapa. Kelibat yang dilihat tadi hilang serta-merta. Baru hendak keluar semula, dia terdengar bunyi riuh di luar tingkap.
Dia mengintai. Dari celahan tingkap, dia ternampak kelibat seorang perempuan di bawah pokok di sisi rumah.
Dahinya berkerut. Lama dia memerhati sebelum turun mencari Aisya.
"Ma, siapa kat luar tu?"
Aisya yang sedang membasuh pinggan menoleh.
"Apa?"
"Siapa kat bawah pokok tu? Kenapa tak ajak masuk?" tanya Muhammad sambil menyelak kain langsir yang menutupi tingkap dapur.
"Mana? Tak nampak pun?" Aisya terjenguk-jenguk sama. Dia hanya nampak pokok dan pagar.
Muhammad langsung terdiam. Perempuan yang dilihat tadi sudah tidak ada. Apa yang tinggal hanya buaian kosong yang sedang berayun lembut. Berdiri tegak bulu romanya ketika itu. Hati mula tertanya-tanya tetapi untuk mengakuinya tidak sama sekali.
"Pa?" Aisya menegur Muhammad yang tercegat bagaikan patung.
Kali ini Muhammad sekadar menggeleng sebelum beredar. Mungkin dia tersalah pandang, fikirnya. Di belakang, Aisya hanya menggeleng kepala. Kadangkala perangai Muhammad memang sukar difahami.
"MAMA..." panggil Umar. Ketika itu mereka bertiga sedang duduk di ruang tamu menonton rancangan berita luar negara.
"Why some people have no home?"
Aisya toleh ke arah televisyen, dia melihat paparan tentang pelarian Syria di kaca TV. Mungkin itu yang menyentuh hati Umar. Lantas diusap kepala Umar dengan lembut.
"Tak semua orang ada rumah macam kita. Tak semua orang hidup macam kita. Ada rumah, ada makanan atas meja. Ada parents. Sebab itu kita mesti bersyukur selalu," jawab Aisya.
"What happened to them? What happened to their home?" Umar terus bertanya.
"Well..." Aisya menelan air liur.
"Itulah kesan peperangan. You know... Bila dua pihak berperang, ada ramai manusia yang terpaksa menanggung akibatnya. Termasuk kehilangan nyawa, keluarga, rumah, pelajaran, makanan dan peluang untuk meneruskan kehidupan dengan tenang. Faham?"
Umar dengar tanpa reaksi apa-apa. Hanya matanya sahaja yang terkelip-kelip tetapi Adam pula yang menyampuk.
"Yeah. Like my new friend. She got no home. So she's staying on the tree," katanya.
"Isy! Adam... Mana ada macam tu? Mana ada orang tinggal atas pokok!" marah Aisya. Kata-kata Adam membuatkan Aisya rasa tidak sedap hati semula.
"But it's true." Adam bertegas.
Aisya cuma menggeleng dan mengeluh. Bagi dia Adam terlalu banyak berimaginasi. Terlalu kreatif.
"Orang tak tinggal atas pokok, sayang. Orang tinggal dalam rumah walau ada banyak jenis rumah dalam dunia ini."
"But mama..." Adam masih cuba menarik perhatian Aisya.
"Okey, dah dekat pukul 10.00. Semua naik tidur, okey? Mama pun dah letih sangat ni." Aisya tidak melayan kerenah Adam. Dia tarik tangan Umar dan mengarahkan Adam untuk mengikut.
MALAM pertama di rumah baharu. Muhammad dan Aisya masih sibuk berkemas. Umar sudah lama lena tetapi Adam masih terkebil-kebil. Tempat tidur yang baharu membuatkan dia sukar lelap, mujurlah ada Penny yang sentiasa menemani.
"Do you like this house, Penny?" Adam menoleh ke sebelah kanan. Penny ada di situ. Juga belum tidur sepertinya.
"No?" Dia terkejut dengan jawapan Penny.
"Why?"
"Scary?"
Adam ketawa sendiri kerana jawapan Penny melucukan. Bagi dia, rumah itu tidak menakutkan cuma terlalu banyak tanda tanya. Rumah itu bagaikan sebuah rumah yang penuh dengan misteri yang belum berjawab dan dia sangat teruja untuk menerokanya. Tiba-tiba, kedengaran bunyi ketukan pada tingkap.
"Who is it?" Adam pandang Penny. Penny cuma menggeleng.
Kerana rasa ingin tahu, Adam bangun duduk. Dia selak langsir kemudian ternampak budak perempuan berambut panjang yang selalu dilihat, sedang berada di luar tingkapnya.
"Kuntum nak masuk..." Budak perempuan itu bersuara sayu.
Adam terlopong.
"Berilah Kuntum masuk."
Adam rasa lain macam. Wajah dan suara budak itu semakin lama semakin membuatkan dia takut. Lalu, cepat-cepat ditutup semula langsir itu dan berselubung bersama Penny. Sekarang, dia dan Penny betul-betul takut. Tambahan lagi bunyi ketukan itu berterusan hingga ke subuh.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co