Bab 3
Lima tahun kemudian...
"SAYANG!"
Lantunan suara Raykal Redza membuatkan Nurlisa yang sedang mengambil wuduk di bilik air terkejut. Dia bergegas keluar mendapatkan suaminya yang masih terbaring di atas katil.
"Kenapa, bang?" Nurlisa menyoal.
"Tutuplah jam tu. Bising!" Raykal Redza menjawab dalam keadaan matanya yang masih terpejam.
Jam loceng yang sedang berbunyi nyaring itu hanya terletak di atas meja bulat bersebelahan Raykal Redza sahaja, jadi bukanlah menjadi masalah besar pun kalau dia hendak menutupnya. Namun Nurlisa malas hendak memanjangkan isu itu. Dia tidak mahu mencari jalan untuk bergaduh pada awal pagi. Tanpa banyak bicara, dia terus menekan punat yang berada di atas jam. Serta-merta suasana di dalam bilik yang seharum lavender itu menjadi sunyi sepi.
"Dah pukul 6 ni, bang. Tak nak bangun ke? Solat subuh?" soal Nurlisa ketika melihat suaminya menarik selimut sampai ke dada. Selepas itu, Raykal Redza enak-enak pula memeluk bantal panjang. Melayan mata ketika dia seharusnya bangkit untuk menunaikan solat subuh bagaikan suatu kenikmatan pula baginya.
"Megantuklah! Pukul 7 nanti Lisa kejutkan abang, ya?" Selamba Raykal Redza menjawab sebelum menguap panjang.
"Lisa kena keluar awal pagi ni. Ada meeting jam 9 nanti." Nurlisa membuat dalih.
"Kalau macam tu tolong setkan jam pukul 7. Abang nak sambung tidur ni. Huuu... Megantuknya!" Raykal Redza memberi arahan kepada isterinya sebelum menguap lebar.
"Yalah, Lisa setkan pukul 7." Nurlisa yang malas hendak berlama-lama melayan kerenah suaminya segera melakukan seperti apa yang disuruh.
Dia menuju ke bilik air semula untuk mengambil wuduk. Ketika dia menghampar tikar sembahyang, telinganya terdengar bunyi keruhan suaminya. Nyenyak nampaknya Raykal Redza melayan mata subuh itu.
"Ya Allah Ya Tuhanku, kau ampunkanlah dosa-dosaku dan dosa-dosa suamiku. Kau berikanlah kebahagiaan kepada rumah tangga kami, Ya Allah. Jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yang bersyukur dengan segala kurniaan-Mu. Kau berikanlah petunjuk kepada suamiku. Lembutkanlah hatinya Ya Allah, agar patuh kepada suruhan-Mu. Serikanlah rumah tangga kami yang sunyi ini dengan buah cinta kami berdua. Ya Allah Ya Tuhanku, kau terimalah doaku hamba-Mu yang lemah ini, Ya Allah." Nurlisa meraup kedua-dua belah tangannya ke muka seusai menghabiskan doa.
Selepas itu, Nurlisa segera bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Pakaian yang sudah siap tergantung di dalam almari disarung ke tubuhnya yang tinggi lampai. Oleh kerana orangnya sudah sedia cantik, dia tidak perlu mengenakan solekan tebal ke wajahnya untuk kelihatan berseri. Cukup sekadar mengelus bedak padat ke wajah dan menyapu gincu di bibir.
Nurlisa sememangnya jarang bersolek. Dia hanya bersolek sewaktu hendak menghadiri majlis yang tertentu sahaja. Kadang-kadang dia hanya ketawa melihat kawan-kawannya yang bersolek sakan kalau hendak menghadiri apa-apa majlis sedangkan masing-masing sudah bersuami.
"Adoi, sorrylah aku terlambat sikit. Aku tak boleh keluar rumah kalau tak touch-up." Kamariah pernah berkata begitu kepadanya sewaktu dia menjemput wanita itu di rumahnya sebelum menuju ke satu majlis makan malam.
"Yang kau bersolek tebal-tebal ni kenapa?" soal Nurlisa sambil matanya fokus pada jalan raya.
"Eh, kan kita ni nak pergi dinner ni. Kenalah mekap tebal sikit." Pantas sahaja jawapan itu meluncur keluar dari mulut Kamariah.
Nurlisa ketawa.
"Kau tu dah memang cantik, Lisa. Kau kalau tak mekap pun tak apa." Kamariah menyambung.
"Kau pun cantiklah, Kay. Kalau kau tak cantik, takkanlah Lokman terpikat pada kau? Kau orang dah ada sepasang anak yang comel pun!" getus Nurlisa sambil hatinya mempersoalkan kenapakah dengan logiknya kaum Hawa perlu berlebih-lebih memperagakan kecantikan di luar rumah sedangkan yang berhak menikmati kecantikan mereka itu adalah suami yang berada di rumah mereka.
Setelah berpuas hati dengan penampilannya yang terpantul di dada cermin, Nurlisa segera mencapai beg tangan hitamnya yang diletakkan di atas meja bacaan. Sebelum melangkah keluar dari kamar tidur itu, dia menoleh ke arah suaminya yang terlentang di atas katil.
"Bang, Lisa pergi kerja dulu."
"Hmmm..." Hanya itu yang terkeluar dari mulut Raykal Redza.
MALAM semakin larut ketika mereka berempat melangkah keluar dari pusat hiburan itu. Badan masing-masing panas bahana minuman beralkohol yang diteguk seketika tadi. Minda jadi tidak keruan. Tumpuan jadi tidak fokus. Dan fikiran jadi celaru.
"Aku drive." Dia menawarkan diri setelah melihat keadaan kawan-kawannya yang dirasakan tidak berkemampuan hendak mengendalikan stereng walaupun hakikatnya dia sendiri sudah pening-pening lalat.
Tanpa banyak bicara, dia menuju ke arah tempat duduk pemandu. Ketika dia baru hendak membuka pintu, dia ditolak dengan kasar dari arah belakang sehingga hampir-hampir terjatuh. Mujurlah dia masih dapat mengawal keseimbangan badannya.
"Kereta ini aku yang punya. Jadi biar aku yang pandu! Kau drivelah kereta kau sendiri!" Eddy Hakimi bersuara kasar. Dalam keadaan terhuyung-hayang, Eddy Hakimi merangkak masuk ke dalam kereta.
"Kau mana boleh drive, Eddy. Bagi aku yang drive! Kereta aku tu esoklah aku datang ambil!" Dia cuba menghalang Eddy Hakimi daripada memandu. Namun usahanya gagal kerana Eddy Hakimi tetap berkeras mahu memandu kereta itu.
Sementara itu, Farhan dan Azam sudah pun menempatkan diri di tempat duduk belakang.
"Naiklah! Kau nak kena tinggal ke?!" Eddy Hakimi menjerit ke mukanya.
Dia terpaksa juga masuk ke dalam perut kereta itu dan duduk di sebelah pemandu kerana bimbang dengan keselamatan rakan-rakannya itu. Tali pinggang keledar segera disarung ke tubuh.
"Pandu elok-elok, Eddy. Dua minggu lagi aku nak menikah." Dia mengingatkan ketika kaki Eddy Hakimi mula memijak pedal minyak. Berdecit kereta itu meluru ke arah jalan raya.
"Kau takut mati sebelum sempat menikah dengan Lisa ke?" tempelak Eddy Hakimi sebelum melambakkan gelaknya.
Berdesing telinga Raykal Redza mendengar sindiran Eddy Hakimi itu. Namun dia hanya mendiamkan diri sahaja. Malas hendak bertekak dengan Eddy Hakimi. Ketika itu, dia hanya mahu sampai ke rumahnya dengan selamat. Wajah manis tunang tersayang sudah bermain-main di ruang matanya.
"Alah, relakslah, bro. Engkau ni pun macam tak percayakan aku pula," sambung Eddy Hakimi sambil menambah kelajuan.
Mendesup kereta yang dipandu Eddy Hakimi menyusuri dinihari. Raykal Redza duduk terperonyok di tempat duduk penumpang. Sesekali dia menoleh ke belakang, ke arah Farhan dan Azam. Kedua-dua orang temannya itu sudah terlentok-lentok.
Rasa kantuk menyelubungi dirinya. Dia mula terkuap-kuap. Puas dia menahan rasa kantuknya itu.
"Kenapa? Mengantuk ke? Kalau mengantuk dan rasa nak tidur, kau tidurlah. Kau jangan risaulah, Ray. Aku akan pastikan kau masih bernafas semasa majlis pernikahan kau nanti!" kata Eddy Hakimi sambil melambakkan tawanya.
Raykal Redza menguap besar. Kantuknya sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi. Dia menutup matanya sambil membayangkan wajah Nurlisa. Dia tidak tahu berapa lama dia dalam keadaan mamai sehinggalah sejalur cahaya menyentuh wajahnya. Dia membuka mata dan terjerit nyaring ketika mendapati kereta yang dinaikinya meluru laju ke arah sebuah kereta yang datangnya dari arah hadapan.
"Brek, Eddy! Brekkk!" Dia menjerit-jerit ke arah Eddy Hakimi tetapi semuanya sudah terlewat. Kereta yang dinaikinya menghentam kenderaan di hadapan.
Tut... Tut... Tut...
Tut... Tut... Tut...
Tut... Tut... Tut...
Jam loceng yang berterusan berbunyi itu membuatkan Raykal Redza terjaga bersama badan yang lencun dek peluh. Dia mengambil masa beberapa ketika untuk menenangkan dirinya. Setelah debaran di dadanya reda, dia menolak selimut sehingga ke hujung kaki lalu melangkah turun dari katil menuju ke bilik air.
Penampilannya yang tadi kelihatan kusut dan lesu kini berubah menjadi segak seusai mandi dan mengenakan pakaian yang sesuai ke tubuhnya. Dia meninggalkan bilik tidur lalu melangkah ke dapur. Apartmen tiga bilik yang terletak di pinggir metropolitan Kuala Lumpur itu didakap sunyi. Ada ketikanya kesunyian itu terasa mencengkam.
Pintu peti sejuk dibuka. Kotak berisi susu segar dikeluarkan dan isinya dituang ke dalam gelas. Rasa dingin menjalar ke batang tenggoroknya sewaktu dia meneguk susu itu.
Keinginan untuk memeriksa mesej-mesej yang masuk ke sistem aplikasi WhatsAppnya ditahankan dahulu. Sekarang adalah masanya untuk dia bergerak menuju ke pejabat. Telefon bimbit yang berbunyi sebaik sahaja dia melangkah keluar dari perut apartmen segera dipekapkan ke telinga.
"Ya, Eddy. Confirm! Tengah hari ni kita lunch ikan bakar kat restoran biasa. Ya, aku belanja!" kata Raykal Redza sambil mengatur langkah menuju ke lif.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co