Truyen3h.Co

KECUBUNG

Bab 4

karyaseni2u

"LISA!"

Nurlisa yang sedang menonong menuju ke biliknya segera berpaling tatkala terdengar namanya dipanggil. Kamariah rupa-rupanya!

"Tengah hari ni kau free, kan?" soal Kamariah.

"Rasanya aku free. Kenapa?"

"Isy, mana boleh main rasa-rasa!"

"Yup, tengah hari ni, aku free! So, kenapa?"

"Kita lunch sama, nak tak?" soal Kamariah.

"Kau nak payung ke?" Nurlisa menyoal. 'Payung' yang dimaksudkannya itu ialah perkataan 'belanja'.

"Hek, eleh! Sedap aje kau nak mintak aku payung? Sendiri-sendiri payung tak boleh ke? Payung kau tu bukan kecik-kecik punya payung. Payung kau, payung burger, kan?" tempelak Kamariah.

Terhambur tawa dari bibir ranum Nurlisa.

"Tapi kalau ada orang payung, best juga. Okeylah, biar aku aje yang payung kau tengah hari ni. Kita turun lunch pukul 12 tengah hari tau," kata Nurlisa sambil melangkah masuk ke biliknya.

Beg tangan dan telefon bimbit diletakkan di atas meja kerja. Selepas menekan punat pendingin hawa, dia memanggil pembantunya yang bernama Idayu agar masuk ke biliknya kerana ada hal kerja yang hendak dibincangkan bersama.

Tidak lama kemudian, kedengaran pintu biliknya diketuk beberapa kali dan seorang wanita muda melangkah masuk sambil membawa seulas senyuman meleret bersamanya.

Nurlisa memandang wajah ibu muda yang berada di hadapannya. Idayu sedang sarat mengandungkan anak pertamanya. Dia hamil hanya setelah setahun berumah tangga.

Dengan tidak semena-mena rasa gusar mula bertapak dalam hati Nurlisa. Entahlah, mungkin juga gusar berbaur cemburu! Dia yang sudah hampir 5 tahun berkahwin masih belum menampakkan sebarang tanda untuk menimang cahaya mata. Pun begitu, dia pasrah dengan ketentuan Ilahi. Mungkin belum sampai masanya untuk dia dan suami memiliki buah cinta sendiri.

Walaupun badan Idayu kelihatan gemuk berisi tetapi kulit wajahnya nampak mulus dan rambutnya pula hitam berkilat akibat daripada perubahan hormon ketika sedang hamil.

"Bila due, Ayu?" soal Nurlisa.

"Insya-Allah, awal bulan depan, Puan Lisa. Tolong doakan untuk saya dan baby, ya? Berdebar-debar rasanya dada ni."

"Insya-Allah, awak dan baby akan selamat. Jangan bimbang," kata Nurlisa yang malas hendak memanjangkan cerita tentang hal yang kini dianggapnya agak sensitif itu.

Dahulu dia tidak pernah memikirkan sangat tentang rumah tangganya yang sepi tanpa suara tangisan seorang bayi tetapi setelah tahun berganti tahun, hatinya mula dipagut risau. Apatah lagi setelah suara-suara sumbang yang mempersoalkan tentang kelewatannya menimang cahaya mata mula berlegar-legar di telinganya.

"Dah lama kahwin takkan masih kosong? Merancang ke?" kata satu suara tanpa memikirkan perasaan orang yang mendengarnya.

"Dah pergi berubat? Bukan ke teknologi perubatan kita sekarang ni makin canggih? Memanglah anak tu rezeki Allah tapi kita kena juga berusaha," komen suara yang lain pula, seolah-olah teramat prihatin.

"Cuba minum air Tasik Dayang Bunting. Ada orang kata memang mujarab."

Lemas! Ya, dia rasa lemas mendengar semua pertanyaan dan cadangan itu. Dan dia sudah naik malas hendak menjawabnya. Hatinya mempersoalkan apakah mulut-mulut yang tidak berhenti bertanya tentang kelewatannya dan suami menimang cahaya mata tidak percaya kepada qadak dan qadar Allah Taala?

Sepanjang perkahwinannya, dia tidak pernah mengamalkan sebarang teknik merancang keluarga. Malah, dia sudah bersedia sejak dari awal-awal perkahwinan lagi kalau-kalau ditakdirkan mereka bakal menimang cahaya mata.

"Ala sayang, jangan fikir sangatlah tentang semua tu. Biarkanlah apa yang dia orang nak cakap. Pekakkan telinga aje. Kita enjoy dululah. Abang suka kehidupan kita sekarang ni. Kita happy aje, kan? Kalau nak ke mana-mana, kita boleh pack dan pergi aje. Cuba bayangkan kalau kita dah ada anak nanti. Tak dapat lagi macam ni, sayang. Anugerah terindah akan tiba juga bila sampai waktunya!" Begitulah ayat panjang yang terpacul dari mulut Raykal Redza apabila dia menyuarakan rasa gusarnya tatkala mendengar komen-komen orang sekeliling yang memedihkan jiwa.

Itulah sekali dia mengadu kepada Reykal Redza akan kegusarannya. Selepas itu, dia mengambil keputusan untuk menelan kepedihan itu seorang diri sahaja. Dia khuatir dilabel suaminya sebagai seorang perempuan yang suka memikirkan hal remeh-temeh.

Dia menarik nafas dalam-dalam dan cuba menahan keluh agar tidak didengari oleh Idayu.

Fokus, Lisa. Fokus! Jangan bawa masalah peribadi kau ke pejabat. Hatinya berbisik, seolah-olah memujuk yang empunya badan.

"Nanti awak tolong fotostatkan satu salinan dokumen ini untuk saya, ya," pesan Nurlisa setelah dia dan Idayu selesai meneliti dokumen setebal 20 muka surat itu.

"Baiklah, puan. Saya keluar dulu ya," kata Idayu sambil melenggang keluar dari bilik Nurlisa.

Mata Nurlisa terpaku mengekori langkah bakal ibu yang terboyot-boyot membawa kandungannya itu sambil bertanya dalam hati bilakah agaknya dia akan mengekori jejak Idayu!

Tiba-tiba wajah suaminya terbayang di ruang mata. Walaupun hubungan mereka tetap berjalan seperti biasa tetapi dia tidak menafikan hakikat bahawa kadangkala rumah tangga mereka dilanda kesunyian. Sunyi yang sesekali rasa mencengkam. Ditambah lagi dengan kesibukan tugas masing-masing membuatkan kediaman mereka seumpama bilik hotel sahaja yang hanya akan dikunjungi ketika menjelang malam dan ditinggalkan pagi esoknya.

Bagaimanakah agaknya kehidupan mereka kalau dikurniakan dengan seorang cahaya mata? Apakah kehadiran seorang bayi mampu mengenyahkan segala kesunyian yang mula menghantui rumah tangganya dengan Raykal Redza?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co