Truyen3h.Co

KECUBUNG

Bab 5

karyaseni2u

TENGAH HARI membahang ketika Raykal Redza sampai di lokasi yang dituju. Sudah hampir dua minggu lamanya hujan tidak turun menyimbah bumi. Dia terpaksa memarkir keretanya agak jauh sedikit dari Restoran Ummi yang menghidangkan makanan tradisi Melayu itu kerana ruang parkir kesemuanya sudah terisi. Sebaik sahaja dia melangkah keluar dari kereta, telefon bimbitnya berbunyi.

Telefon kecil itu segera dipekapkan ke telinga.

"Eddy! Kejap, Eddy! Kejap."

"Assalamualaikum, abang." Suara Nurlisa kedengaran di hujung talian.

"Errr... Waalaikumussalam. Lisa!" Tergagap seketika dia tatkala mendengar suara isterinya di hujung talian, bukannya Eddy Hakimi. Dia menyumpah dirinya sendiri. Mati-mati dia menyangka Eddy Hakimi yang menelefon.

"Abang nak jumpa Eddy ke tu?" Nurlisa menyoal.

"Ya, nak jumpa Eddy. Azam dan Farhan juga. Empat sekawan nak lunch bersama." Seusai berkata begitu, Raykal Redza ketawa kecil seolah-olah ungkapan yang diucapnya seketika tadi terlalu lucu.

"Lisa nak join ke?" soalnya setelah tawanya terhenti.

"Hmmm... Apa pula kata kawan-kawan abang nanti kalau Lisa join?" getus Nurlisa.

"Eh, apa salahnya? Lisa kan isteri abang."

"Eh, tak payahlah. Lisa tak nak kacau daun. Lagipun semuanya lelaki, kan? Ni pun Lisa turun makan dengan Kay. Dia ada kat depan Lisa sekarang ni." Nurlisa memberitahu Raykal Redza.

"K? K yang mana pula ni? Kamal? Kamarudin?"

"Abang!" Nurlisa terjerit di hujung talian. "Kamariahlah!"

Raykal Redza ketawa. Sudah lama dia tidak mendengar isterinya terjerit 'marah-marah manja' begitu tatkala mendengar usikannya. Entahlah, mungkin juga dia sudah jarang bergurau dengan isterinya sendiri disebabkan masing-masing sibuk.

"Sorry, abang gurau aje," kata Raykal Redza bersama ketawa yang masih bersisa. "Okeylah, enjoy your lunch dengan Kay tu. Jangan bergaduh pula." Raykal Redza segera menamatkan perbualannya dengan Nurlisa tatkala matanya terpandang Eddy Hakimi, Farhan dan Azam yang sedang duduk bersembang di Restoran Ummi.

"Abang! Abang... Isy!"

"Kenapa tu, Lisa?" soal Kamariah setelah melihat Nurlisa memanggil-manggil 'abang' beberapa kali disertai raut wajah yang kecewa. Dalam hati, dia dapat mengagak dengan siapa temannya itu sedang berbual.

Nurlisa letak telefon bimbitnya di atas meja.

"Kau cakap dengan siapa tadi tu?"

"Dengan siapa lagi? Dengan laki akulah!" Marah bunyinya nada yang terkeluar dari mulut Nurlisa.

"Aku belum habis cakap lagi, dia dah hang up. Stres betullah!" Nurlisa meluahkan rasa tidak puas hatinya.

"Alah, kau ni! Janganlah stres. Apa susah, kejap-kejap lagi kau call baliklah. Entah-entah dia tengah drive tu." Kamariah menasihatkan.

Nurlisa terdiam. Dia mencapai air tembikai di hadapannya lalu straw berbelang-belang merah putih disuakan ke mulut. Dia menyedut air tembikai yang manis sejuk itu perlahan-lahan seolah-olah ingin mengenyahkan panas yang muncul dalam hatinya.

"Dahlah tu, jangan ambil hati sangat dengan Si Ray tu. Naik ofis karang kau call dia balik. Kau nak cakap apa dengan dia tadi sebelum dia hang up?"

"Aku ingat nak ajak dia keluar dinner malam ni."

"Wow, romantiknya! Candle light dinner ke? Birthday? Anniversary?" Kamariah tertanya-tanya.

"Birthday aku dengan Ray lambat lagilah, hujung tahun nanti!"

"Oh, ya ke? Manalah aku tahu?"

"Birthday dia bulan November, aku pula bulan Disember. Aku saja aje nak ajak dia keluar makan malam. Dia dah hang up dengan aku macam tu, terus mood aku hilang."

Kamariah ketawa kecil melihat riak wajah temannya yang jelas mendongkol dengan sikap suaminya itu. Melucukan!

"Aku tengah geram, kau pula sesuka hati gelakkan aku!" gerutu Nurlisa. Buntang matanya memandang wajah Kamariah.

"Aku jarang tengok kau marah macam ni. Selalunya kau cool aje. Mimik muka kau nampak luculah pula bila kau marah-marah," komen Kamariah sambil tersenyum-senyum.

"Ya ke muka aku nampak lucu?" soal Nurlisa sambil mengeluarkan bedak kompak dari tas tangannya.

Dia mengintai wajahnya yang terpantul pada cermin bedak kompaknya itu. Muka aku macam biasa aje, tak ada yang lucu pun? bisik hatinya sambil menyimpan kembali bedak kompaknya ke dalam tas tangan. Matanya dihalakan semula ke wajah Kamariah.

"Tak apalah, sesekali kita kena luahkan kemarahan kita, betul tak? Macam aku ni, hah. Kalau aku tak puas hati dengan laki aku, aku luahkan aje. Jangan asyik dipendam kemarahan tu, boleh makan dalam tau." Panjang pula bebelan Kamariah.

Nurlisa tersenyum nipis. Argh, isu itu kecil sahaja. Tidak perlulah diperbesar dan dipanjangkan kalau setakat suaminya hang up sebelum sempat dia menyuarakan keinginannya untuk keluar makan malam bersama.

"Ah, lupakanlah hal tu. Nasi ayam ni nampak sedap. Jom makan. Aku dah lapar ni," ujar Nurlisa sambil mencapai pinggan nasi ayamnya.

"Jom," getus Kamariah.

"SIAL betullah!" gerutu Raykal Redza sambil menghempaskan punggungnya di atas kerusi.

Eddy Hakimi, Farhan dan Azam yang berkumpul di meja itu terlongo memandangnya. Hairan melihat sahabat yang muncul dengan sumpahan di mulut, bukannya ucap selamat ataupun salam.

"Kenapa dengan engkau ni?" soal Eddy Hakimi. Lurus matanya merenung Raykal Redza.

"Tadi tu... Aku ingatkan engkau yang telefon, rupa-rupanya bini aku!" getus Raykal Redza dengan wajah yang mendongkol.

Eddy Hakimi ketawa kecil.

"Mesti kau jawab telefon dengan menyebut nama aku, kan?" tebak Eddy Hakimi. Raykal Redza hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

Anggukannya itu membuatkan Eddy Hakimi, Farhan dan Azam ketawa.

"Siapa suruh kau sebut nama aku?" soal Eddy Hakimi dengan tawa yang masih bersisa.

"Yalah, Ray! Orang lain sambut telefon ucap 'hello', kau seorang aje yang sambut telefon dengan sebut nama Eddy!" tempelak Farhan.

"Tu nasib baik dia sebut nama Eddy. Kalau disebutnya nama Fasha Sandha ke, Nora Danish ke... Tak ke haru!" Azam pula menyampuk.

"Sekarang dahlah musim panas. Kau orang nak tambahkan panas kat hati aku ke?!" sergah Raykal Redza, geram disindir rakan-rakannya.

"Alah, kita orang bergurau macam tu pun kau dah panas? Jom oder air. Sejukkan anak tekak kau tu!" ujar Eddy Hakimi sambil menggamit ke arah seorang gadis pelayan restoran yang berada tidak jauh dari mereka.

Mata Raykal Redza mencerlung ke arah pelayan restoran yang sedang mengatur langkah menuju ke meja mereka. Kawan-kawannya juga sama sepertinya, sedang ralit merenung sekujur tubuh elok terbentuk yang semakin merapat itu. Dia pasti, lelaki normal sepertinya tidak akan sesekali melepaskan peluang itu.

Boleh tahan lawa, siottt! bisik hatinya sambil memandang gadis itu.

"Tak pernah nampak pun sebelum ni? Baru kerja kat sini ke?" Laju sahaja mulut Raykal Redza menyoal sebaik sahaja pelayan restoran itu berdiri betul-betul di bucu meja mereka.

Pelayan restoran itu memakukan matanya ke arah Raykal Redza sebelum tersenyum dan angguk. Terleka seketika dia memandang senyuman yang terukir di bibir si gadis.

"Nama cik adik, siapa?" Terlebih peramah pula dia tengah hari itu. Selalunya dia tidak berminat hendak bertanyakan soalan-soalan sebegitu lebih-lebih lagi kepada seorang pelayan restoran.

"Wah, kau berminat ke, Ray?" celah Eddy Hakimi sambil tergelak-gelak.

Raykal Redza tidak mengendahkan suara sumbang Eddy Hakimi itu. Dia naik geram pula setelah melihat tumpuan gadis pelayan itu ke arahnya mula terganggu.

"Nak kena bagi tahu nama ke?" soal gadis itu.

"Kalau tak keberatan, apa salahnya?"

"Nama saya Darlina."

"Darlina! Wah, cantik nama tu secantik orangnya." Laju sahaja bibirnya mengayat. Darlina tersenyum sahaja.

"Saya Ray. Ini kawan-kawan saya, Eddy, Farhan dan yang kat hujung tu... Azam." Raykal Redza segera memperkenalkan rakan-rakannya kepada Darlina.

Darlina tersenyum dan menganggukkan kepalanya. Segera pula dihulurkan katalog menu ke arah keempat-empat pemuda itu. Setelah mencatatkan pesanan makanan yang diminta, Darlina segera meminta diri.

"Eh, Darlina! Tunggu kejap!"

Langkah Darlina terhenti. Dia berpaling ke arah suara garau yang memanggilnya.

"Ya, encik?" soal Darlina ke arah pemuda bertubuh gempal.

"Sebelum ni, kita pernah berjumpa kat mana-mana ke? Muka awak nampak familiar?" soal Farhan sambil memakukan matanya ke arah pelayan restoran itu.

"Entahlah! Rasanya tak pernah." Darlina segera menjawab sebelum meneruskan langkah yang tadinya terhenti.

Raykal Redza bagaikan dipukau. Matanya terpaku merenung figura tubuh Darlina yang sedang melenggang meninggalkan mereka sehinggalah kelibat gadis itu hilang ditelan perut dapur.

Wow! She's hot, hatinya berbisik.

"Cukup-cukuplah tu, bro!" Eddy Hakimi menepuk lengan kanan Raykal Redza sambil tergelak-gelak.

"Ini pesanan ikhlas aku kepada lelaki yang sudah beristeri, sila pandang punggung isteri sendiri!" Azam pula menyampuk. Juga dalam gelak-gelak mengusik.

"Memekak ajelah!" getus Raykal Redza yang kurang senang dengan usikan teman-temannya itu.

"Jangan marah, bro," kata Eddy Hakimi ke arah Raykal Redza yang tersandar di atas kerusi.

"Aku rasa macam pernah tengok perempuan tu tapi aku tak ingat kat mana." Farhan bersuara memancing perhatian rakan-rakannya.

"Mungkin pelanduk dua serupa, kut, Paan?" sampuk Azam.

"Hmmm... Mungkin!" getus Farhan sambil jongket bahu.

Mereka berempat berbual-bual kosong sementara menunggu hidangan tengah hari yang dipesan sampai.

DIA tersandar di dinding sambil mengepal penumbuk. Geram dan sakit hati rasa sangat menusuk. Wajah keempat-empat lelaki yang sedang berbual rancak di luar sana mengekorinya sehingga ke dapur restoran. Sesekali dia terdengar mereka ketawa.

Ketawa! Sekarang kau orang ketawalah puas-puas. Tapi sikit masa lagi ketawa kau orang itu akan terhenti. Selepas itu, kau orang tidak akan mampu untuk ketawa lagi sampai bila-bila. Tunggulah, masanya akan sampai juga.

"Kenapa dengan kau ni, Darling?" soal Azlan, ketua tukang masak di Restoran Ummi. Darling adalah nama panggilan untuk Darlina.

Teguran Azlan itu membuatkan Darlina tersentak. Fikirannya kembali ke alam realiti.

"Kenapa? Kena kacau dengan pelanggan ke?" soal Azlan lagi.

"Hesy, tak adalah, Lan!" Darlina menyahut sambil menyangkutkan kertas oder keempat-empat lelaki tadi pada tali rafia yang terentang di ruang memasak. Dia kemudiannya bergegas menyediakan minuman yang dipesan Raykal Redza, Eddy Hakimi, Farhan dan juga Azam.

Riak wajahnya kelihatan tenang-tenang sahaja sehingga tiada siapa yang dapat meneka gelora yang bergolak dalam dadanya. Sesekali matanya mencerlung ke arah empat lelaki yang sedang berbual rancak di ruang restoran itu. Suara mereka yang sayup-sayup menyusup ke telinganya ternyata membakar perasaan. Gelak ketawa mereka benar-benar menghiris hatinya.

Rencana yang bersipongang dalam fikirannya ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co