BAB 15
SEJAK Din pulang, rutin Aliff bermalam di rumah mak toknya sedikit terganggu. Biasanya, setiap hari Jumaat selepas maghrib, Hajar akan hantar Aliff ke Shah Alam. Sekarang tidak lagi. Hajar perlu hantar Aliff ke sana sebaik saja waktu kerjanya berakhir. Kalau tunggu lepas maghrib, Din sudah sampai di rumah. Hajar tak sukalah menerima jelingan tak senang Din.
Masalah timbul juga bila Hajar perlu mengambil Aliff semula pada hari Ahad. Hajar mesti pastikan dahulu Din sudah keluar, kemudian barulah Hajar datang ambil Aliff.
Keadaan lebih parah kalau Hajar mahu menjenguk. Contoh terbaik adalah sekarang. Tadi Aliff ada menghubunginya. Suara Aliff sedikit lain, macam suara orang demam. Bila Hajar tanya, Aliff bukan hendak mengaku. Itu yang Hajar gagahkan diri juga datang ke Shah Alam. Mahu melihat sendiri keadaan Aliff. Dan jangan risau, Din tidak ada di rumah.
"Hajar benci sungguh ke dengan Din?"
Emak mentuanya mengeluarkan soalan yang salah. Sepatutnya soalan tersebut untuk Din. Sejak perbincangan tempoh hari, tidak ada khabar berita lagi daripada Din. Hajar harap, itu tandanya Din mengalah dan memberi lampu hijau padanya untuk menjaga Aliff.
"Taklah, mak. Din adik arwah Abang Fadhil, anak mak juga. Takkan Hajar nak benci Din."
"Ya ke? Habis tu kenapa Hajar telefon Aliff tanya Din ada di rumah atau tak? Mak perhatikan, Hajar ke sini bila Din tak ada dekat rumah saja. Kalau Din ada, Hajar tak jejak kaki langsung."
Hajar perhatikan wajah suram bekas emak mentuanya. Jemari tua bekas emak mentuanya digenggam erat.
"Saya tak nak Din tak selesa bila nampak saya. Lagipun ada isu antara kami berdua. Saya takut kalau dia nampak saya, dia bangkitkan isu tu. Saya tak bersedia mak, nak lepaskan Aliff. Aliff dah macam nyawa saya."
"Mak faham, tapi Hajar jangan risau. Selagi mak ada, mak takkan benarkan Din ambil Aliff daripada Hajar. Kalau dia bawa ke mahkamah pun, mak akan pastikan mahkamah gugurkan kes tu."
Bertuahnya Hajar punya emak mentua yang berpihak kepadanya. Sekurang-kurangnya Hajar ada penyokong tegar di sisinya. Din pula berseorangan.
"Pedulikan Din tu. Mak nak Hajar pegang satu perkara saja. Macam mana hebat pun kuasa yang Din gunakan untuk pisahkan Hajar dengan Aliff, kuasa mak lebih hebat."
"Terima kasih mak, sebab selalu ada dengan Hajar. Hajar tak tahu macam mana nak balas budi mak."
"Senang saja. Hajar jangan lupakan mak. Itu saja yang mak pinta."
Hajar memeluk bekas emak mentuanya erat-erat. Alangkah bagusnya kalau sifat Din sama seperti Mak Cik Arifah. Hajarlah yang paling bahagia.
"Aliff mana, mak? Tak nampak pun dia dari tadi."
"Aliff tidur. Petang tadi suhu badan dia naik sampai tiga puluh lapan darjah Celsius. Din dah bawa Aliff ke klinik. Sekejap tadi lepas makan ubat, dia tidur."
Berubah air muka Hajar. Benarlah telahannya. Aliff memang demam.
Tidak menunggu penjelasan lebih lanjut, Hajar sudah masuk ke dalam rumah. Bilik Aliff dihampiri. Jelas kelihatan di atas tilam, Aliff sedang nyenyak tidur.
Segera jari tangan Hajar singgah memeriksa suhu badan Din. Normal. Kemudian Hajar guna pula termometer. Bacaan suhu 35.6 darjah Celsius. Barulah lega hati Hajar.
"Mak tak beritahu Hajar sebab tak nak Hajar risau. Lagipun lepas makan ubat, demam Aliff dah kebah. Demam nak besar ni."
Hajar sibuk mengusap rambut Aliff. Penjelasan bekas emak mentuanya seperti angin lalu saja.
"Hajar," panggil Mak Cik Arifah. Bahu Hajar disentuh.
"Kalau Hajar tak kesah, mak nak Hajar tidur sini saja malam ni."
Hajar tunduk. Memang dia mahu berada di sisi Aliff, lebih-lebih lagi ketika Aliff tidak berapa sihat.
"Tapi Din..."
"Kan mak dah cakap, pedulikan Din tu. Mak tuan rumah ni. Mak berhak jemput siapa yang mak nak bermalam dekat sini," potong Mak Cik Arifah. Dia sudah mengambil tempat di sisi Hajar. Jari tuanya pula sudah bergerak membetulkan selimut Aliff.
"Hajar tak bawa baju."
Mak Cik Arifah gelak kecil mendengar alasan Hajar enggan bermalam di rumahnya.
"Baju mak banyak. Hajar pilih saja mana Hajar nak pakai. Kalau tak pun, baju arwah Aisya pun mak ada simpan lagi."
Hajar masih berfikir. Berat hatinya untuk bermalam di sini malam ini. Risiko terlalu besar. Memang Mak Cik Arifah ada sebagai penyokong, namun Hajar takkan lepas dari menerima jelingan dan sindiran Din.
"Bonda..."
Semua fikiran dalam kepala Hajar kosong mendadak. Tumpuannya terarah kepada Aliff yang sudah membuka matanya.
"Bonda datang?"
"Bonda nak dekat dengan Aliff. Jadi bonda datanglah."
"Bonda datang bila?"
"Bonda sampai masa Aliff tidur."
"Kita bukan sakit. Kita penat sikit saja. Bonda jangan ingat kita sakit," beritahu Aliff tiba-tiba.
"Mak pesan dekat Aliff jangan beritahu Hajar yang dia demam. Nanti Hajar risau," bisik Mak Cik Arifah di tepi telinga Hajar.
Berkaca pandangan mata Hajar mendengar cerita Mak Cik Arifah. Segera dia menyentuh pipi comel Aliff.
"Ya, bonda tahu. Aliff penat saja. Aliff tidurlah."
"Bonda datang nak ambil kita ke?"
Hajar sekadar mengulum senyum tipis.
"Malam ni kita tak payah balik rumah ya, bonda? Malam ni kita tidur rumah mak tok."
Hajar tidak mengangguk. Tidak juga menggeleng.
"Tapi kalau bonda nak balik juga, kita ambil beg dulu." Sayu suara Aliff. Terkial-kial Aliff cuba bangun. Hajar yang melihat ikut bangun lalu menahan Aliff.
"Malam ni kita tidur rumah mak tok. Aliff sambunglah tidur."
"Betul ni? Malam ni bonda tidur sini? Bonda tak tipu, kan?"
"Tak sayang, bonda tidur sini dengan Aliff malam ni."
Senyuman lebar Aliff yang membalas jaminan yang diberikan oleh Hajar. Tangannya didepangkan mahu memeluk Hajar. Terpaksalah Hajar membongkokkan sedikit badannya untuk dipeluk.
"Kita sayang bonda. Kita sayang mak tok. Kita pun sayang Uncle Din," bisik Aliff, cukup perlahan. Cukup didengari oleh Hajar saja.
"Aliff rehat dulu. Mak tok nak bawa bonda tukar baju tidur."
Terangguk-angguk kepala kecil Aliff. Bibirnya masih tidak lekang dengan senyuman. Anak kecil itu terlalu gembira dengan keputusan Hajar untuk bermalam sekali di rumah mak toknya.
"Nanti bonda datang balik."
Hajar dibawa ke bilik tetamu. Kurang dua minit, Mak Cik Arifah muncul semula bersama tuala dan sepasang baju tidur. Melihatkan gaya dan corak baju tidur tersebut, pasti milik arwah Kak Aisya.
"Arwah Aisya dengan Hajar sama saiz."
"Tak apa ke mak saya pakai baju arwah?"
"Tak apa. Kalau arwah Fadhil ada, dia pun suruh Hajar pakai."
"Din tak marah ke nanti?"
"Eh, kenapa nak kesah pasal Din pula? Bukan baju dia pun."
"Saya tak nak dia makin marah, mak."
"Dah, jangan fikir banyak sangat. Cubalah dia marah, mak marah dia dulu."
Kelam pandangan mata Hajar. Kalah lagi pada debat bekas emak mentuanya. Sekarang baju tidur arwah Kak Aisya sudah berada di tangannya. Tinggal hendak disarung saja.
"Mak," panggil Hajar tiba-tiba. Menghalang langkah bekas emak mentuanya yang sudah berada di muka pintu.
"Biasanya Din balik pukul berapa?"
Aneh, Mak Cik Arifah ketawa mendengar soalan Hajar.
"Din tu dah buat apalah dekat Hajar? Sampai Hajar risau sangat."
"Hajar cuma..."
"Hajar jangan fikir sangat pasal Din. Buat macam biasa. Buat rumah ni macam rumah Hajar sendiri," pangkah Mak Cik Arifah. Sorotan matanya lembut, seperti ingin memberi kekuatan kepada Hajar.
Aduh, senangnya jalan penyelesaian yang diberikan oleh Mak Cik Arifah. Namun untuk melaksanakannya amat payah. Mana mungkin Hajar mampu berlagak seperti biasa di depan Din.
"Din tak menentu baliknya. Kadang-kadang awal, kadang-kadang lambat."
Hajar harap Din balik lambat.
"Senyum sikit. Dari tadi mak tak nampak lagi senyuman Hajar. Macam Hajar kena kurung dalam penjara pula. Muka sedih dari tadi."
Barulah terlihat senyuman Hajar. Malangnya sekadar senyuman dibuat-buat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co