BAB 14
SEAWAL jam sembilan pagi lagi, Din telah terpacak di depan bangunan Andre & Co. Semalam Din telah meminta kelepasan selama tiga jam daripada pihak pengurusan tempatnya bekerja. Hajar sudah mencabarnya, adalah menjadi kewajipan Din untuk menyahut cabaran Hajar. Din nak tengok setinggi mana ego Hajar.
"Saya nak jumpa Andre. Saya ada appointment dengan dia."
Tidak sempat penyambut tetamu itu membuka mulut, ada suara lain yang lebih dahulu memanggil Din. Suara yang Din sangat kenal. Suara bekas teman sebiliknya sewaktu menuntut di Aussie.
"Lama tak jumpa. Apa khabar?" Jari kasar Din digenggam erat, seperti enggan dilepaskan lagi. Kemudian tubuh Din didorong masuk ke dalam bilik pejabatnya.
"Alhamdulillah, sihat lagi. Kau macam mana? Makin tembam aku tengok. Dah ada buah hati ke?"
"Dalam proses nak pikat hati dia," jawab Andre sambil ketawa. Matanya nampak sangat cemerlang, petanda hatinya sedang gembira.
"Serius? Maksudnya tahun ni aku merasalah nasi minyak kau?"
Amboi, bukan main besar lagi tawa Andre bila diajukan soalan tersebut. Nampak sangatlah dia sedang berada di puncak bahagia.
"Doakan dia terima hati aku, Din. Kalau dia dah terima, aku hantar rombongan terus ke rumahnya. Tak payah tunang, nikah terus."
"Kau ni diam-diam berisi rupanya. Kalau aku tak tanya, haram kau nak beritahu."
Andre menggaru-garu lengannya yang tidak gatal. Namun bibirnya tidak lekang dengan senyuman lebar.
"Sebab belum jadi, itu yang aku tak hebohkan dulu."
"Kira jadi sajalah. Siapa yang tolak kau tu, memang tolak tuah."
"Harap-harap, Din. Ini kali pertama aku suka sangat dengan seorang perempuan dan kepala aku sekarang cuma nak cepat-cepat kahwin dengan dia."
"Kahwin saja dalam fikiran kau sekarang."
"Umur aku bukan muda lagi. Mestilah aku nak cepat-cepat kahwin. Kau dengan Dahlia bila nak kahwin? Kau pun dah dapat master, tunggu apa lagi? Selalu sangat bertangguh. Jangan sampai Dahlia dikebas lelaki lain sudahlah. Putih mata hitam kau nanti."
Raut wajah Din bertukar suram. Senyumannya juga seperti dibuat-buat. Sekadar menutupi rasa sedih yang datang.
"Siapa nama gadis bertuah yang dah buat kau mabuk kepayang?"
Akhirnya Din memilih menjawab soalan Andre dengan soalan. Hal Dahlia, Din enggan buka cerita.
"Adalah. Mana boleh beritahu sekarang. Kalau dah jadi, baru aku kenalkan kau dengan dia. Tapi yang pasti, Dahlia kau kalah teruk."
Senyuman tipis kembali menghiasi bibir Din. Dahulu kalau ada kawan Din yang lebihkan buah hati mereka, pasti Din enggan kalah. Din pasti memuji Dahlia setinggi langit.
"Dahlia mana? Kenapa tak bawa dia sekali? Aku dah lama tak jumpa dia. Kali terakhir sebelum kau berangkat ke UK. Aku nak ajak dia keluar, takut kau cemburu pula."
Andre siku lengan Din berkali-kali.
"Kenalkan aku dulu dengan calon orang rumah kau. Kemudian baru kita bercakap pasal Dahlia. Berahsia sangat dengan aku, kan?"
Suara tawa Andre kembali menghiasi suasana.
"Nak minum apa? Coffee? Tea?"
"Latte."
"Cait!" balas Andre. Namun interkom tetap ditekan. Dia memesan dua kopi pekat untuk dibawa masuk ke biliknya.
"Okey, hal apa yang bawa kau terbang ke pejabat aku seawal pagi ni?"
Andre sudah mengambil tempat duduknya. Dia juga mempersilakan Din duduk menggunakan isyarat tangan.
"Dalam telefon semalam, macam hal yang sangat serius," sambung Andre lagi. Raut wajahnya telah berubah serius.
"Hal keluarga."
Andre manggut-manggut. Namun tumpuannya belum berkalih daripada melihat Din.
"Sebenarnya pasal Aliff."
"Oh, Aliff anak arwah Abang Fadhil. Kenapa dengan Aliff? Dia ada masalah ke?"
"Masalah besar."
Naik sebelah kening Andre mendengar penjelasan Din.
"Sekarang Aliff tak tinggal dengan kami. Dia tinggal dengan bekas emak tirinya. Aku nak dapatkan hak penjagaan Aliff."
"Aliff tak gembira ke tinggal dengan Hajar?"
Din enggan menjawab soalan Andre. Din lebih terkejut bila Andre tahu nama bekas kakak iparnya itu. Jangan-jangan, Hajar dengan emaknya tahu Din pasti mencari Andre. Jadi awal-awal lagi mereka sudah berjumpa dengan Andre. Segalanya menjadi jelas. Kalau tidak, takkanlah Hajar berani mencabar Din.
"Sebenarnya beberapa hari sebelum arwah Abang Fadhil pergi, dia ada datang jumpa aku. Kami makan tengah hari sama-sama. Banyak yang kami bincangkan bersama. Termasuk Hajar dan Aliff."
Andre sudah berjaya menarik seratus peratus tumpuan Din. Mata Din tidak pandai lagi berkelip. Din mahu segera tahu hal Hajar dan Aliff yang dibincangkan oleh arwah Abang Fadhil dengan Andre.
"You know what, Din? Arwah ada suarakan kebimbangan dia. Dia takut kau rebut Aliff daripada Hajar."
Sumpah, Din melopong mendengar cerita Andre. Separuh hatinya mahu percaya, separuh lagi tidak. Manalah tahu, Hajar dan emaknya betul-betul telah bersubahat dengan Andre.
"Arwah juga cakap, Hajar bonda terbaik yang boleh dia berikan pada Aliff. Dia yakin Hajar boleh jaga Aliff."
Meluat pula Din dengar. Kalaulah boleh, Din mahu pekakkan telinga sepanjang Andre memuji Hajar.
"Bila arwah cakap macam tu, aku jadi tak sabar nak kenal dengan Hajar. Nak tengok sendiri betul ke Hajar tu seperti yang arwah cakapkan. Tapi itulah, tak sempat arwah nak kenalkan Hajar pada aku, dia dah pergi dulu."
"Maksudnya kau belum pernah jumpa Hajar?"
Andre mengeyakan telahan Din dengan anggukan.
"Lebih baik jangan jumpa dia."
Andre ketawa lagi. Dia bangun lalu bahu Din ditepuk-tepuk.
"Ini kalau Dahlia dengar, mahu dia cemburu. Cara kau tak benarkan aku jumpa Hajar, macam kau yang nak pikat Hajar."
Macam cacing kepanasan saja lagak Din bila mendengar hujah Andre. Besar kedua-dua belah matanya.
"Walaupun aku dah tak ada apa-apa hubungan dengan Dahlia, aku pun takkan pilih Hajar jadi isteri aku. Cukup-cukuplah arwah abang aku yang buat silap. Aku tak nak ulang kesilapan yang sama."
Nampak dengan jelas kerutan pada dahi Andre. Kalau tadi dia ligat menepuk bahu Din, kini dia memegang kemas bahu temannya itu.
"Kau dah putus dengan Dahlia? Bila? Sebab apa?"
Disebabkan terlalu teruja mahu menolak dakwaan Andre tentang dia mahu memikat Hajar, Din sudah membuka cerita cintanya yang tidak kesampaian. Din sepatutnya lebih berhati-hati!
"Tak payahlah ungkit cerita sedih tu. Lagipun Dahlia dah selamat jadi isteri orang."
Bibir Andre bergerak-gerak mahu menyatakan sesuatu, malangnya tersekat di kerongkongan pula. Sudahnya dia terduduk.
"Sorry Din, kalau ada kata-kata aku buat kau sedih. Kau pun patut beritahu aku awal-awal tadi, masa aku tanya pasal Dahlia. Tak adalah aku tanya pasal nasi minyak kau dengan Dahlia."
"Tak apa. Aku dah biasa. Dah tak ada jodoh, tak boleh nak paksa. Aku cuma harap, kau jangan tanya lagi pasal Dahlia. Aku dah tutup buku."
Cukup laju anggukan kepala Andre.
"Berbalik kepada cerita Aliff. Aku nak kau tolong aku dapatkan hak penjagaan Aliff. Aku nak Aliff balik tinggal dengan kami semula."
Agak panjang helaan nafas Andre. Seolah-olah berat hati mahu menunaikan permintaan Din.
"Kau kawan aku. Aku tahu kau takkan hampakan aku."
"Din, aku syorkan kau bincanglah elok-elok dengan Hajar dulu. Kalau boleh, aku tak nak Aliff jadi mangsa dalam proses kau nak dapatkan hak penjagaan Aliff."
"Aku dah jumpa Hajar. Aku dah slow talk dengan dia. Tapi dia jenis tak boleh dibawa berbincang. Dia saja yang betul. Mana dia nak lepaskan Aliff."
"Kalau macam tu, kau sajalah yang berkompromi. Arwah pun harap Hajar yang jaga Aliff."
Din berpeluk tubuh. Din tidak faham kenapa majoriti kawan tempatnya bertanya pendapat, semuanya memberi usul supaya dia yang mengalah.
"Aku tak nak Aliff dijaga orang luar. Hajar kenal arwah Abang Fadhil tak sampai tiga bulan. Tup-tup arwah Abang Fadhil buat keputusan nak kahwin. Padahal selama ni aku tahu dia tak boleh lupakan arwah Kak Aisya."
"Dan tak sampai sebulan lepas mereka kahwin, arwah Abang Fadhil pergi. Kalau kau perasan, Hajar cuma kenal Aliff empat bulan. Jadi emak tiri Aliff sebulan. Tempoh tu tak cukup untuk melayakkan diri dia jaga Aliff. Sebab tu aku bangkang," tokok Din bersama jiwa yang membara. Turun naik nafasnya usai meluahkan apa yang terbuku.
"Bukan tempoh masa jadi ukuran Din, tapi keserasian. Arwah Abang Fadhil jumpa keserasian sepanjang berkawan dengan Hajar. Mungkin sebab itu dia tak teragak-agak buat keputusan berkahwin dengan Hajar."
"Terus terang Andre, aku tak percayakan Hajar. Aku kenal arwah Abang Fadhil. Hati dia takkan mudah goyah, melainkan Hajar dah buat sesuatu. Sesuatu yang buat arwah Abang Fadhil terpaksa kahwin dengan dia."
"Jangan reka cerita, Din. Boleh jadi fitnah nanti. Cuba buang sikit rasa negatif tu dan kemudian jadi kawan Hajar. Insya-Allah, kau pasti jumpa kebenaran."
Amat payah untuk Din menerima nasihat Andre. Ini kerana nasihat Andre sama dengan nasihat emaknya.
"Kalau kau risau pasal harta arwah Abang Fadhil, buanglah semua rasa risau tu."
"Arwah Abang Fadhil tak letakkan Hajar sebagai penama?"
"Letak. Arwah Abang Fadhil letak, tapi Hajar tak nak terima. Hajar tak ambil sesen pun harta peninggalan arwah Abang Fadhil. Semuanya diserahkan semula kepada Aliff dengan mak cik."
"Betul ke ni?"
"Betul la. Takkan aku nak bohong pula. Kalau kau masih tak percaya, tanya mak cik sendiri."
Fikiran Din jadi kosong sekejap.
"Pergilah bincang semula dengan Hajar. Jumpa dia lagi sekali. Salah seorang daripada kamu berdua mesti mengalah. Kalau dua-dua pun keras kepala, yang merana nanti Aliff."
"Hajar tu takkan mengalah, dan aku pun takkan serahkan Aliff pada dia."
"Macam inilah. Kalau dua-dua dah keras kepala tak nak mengalah... Kalau dah dua-dua pun nak merasa jaga Aliff, aku cadangkan kau dengan Hajar berbincang konsep ganti tikar pula."
"Huh?"
"Jangan huh saja, Din. Hajar tu muda lagi. Tak mungkinlah tak ada lelaki yang syok dekat dia. Dan aku yakin seratus peratus, Aliff takkan setuju nak tinggal dengan kau. Bayangkan, kalau Hajar terima lamaran daripada seorang lelaki dan dia terima. Aliff dapat ayah tiri. Hati budi ayah tiri baru Aliff tu kita tak tahu lagi macam mana. Mungkin dia baik dengan Hajar. Dengan Aliff dia tak baik."
Din tak sukalah cara Andre membuat andaian. Andaian Andre meresahkan Din. Panas punggungnya tiba-tiba.
"Tapi kalau kau yang kahwin dengan Hajar, tak payah risau dah. Aku tahu kau boleh jadi ayah yang baik pada Aliff. Hidup Aliff mesti berwarna-warni. Macam pelangi."
Pujukan Andre memang kelas pertama.
"Fikirkan cadangan aku tu. Itupun kalau kau berkeras nak jaga Aliff. Kalau tak, biarlah Hajar jaga Aliff. Kesian Aliff tu kalau kau pisahkan dia daripada Hajar."
Din keluar dari bangunan pejabat Andre dengan perasaan yang sulit untuk diungkapkan dengan kata-kata. Ada banyak perkara dalam kepalanya. Mulutnya tak berhenti mengeluh.
Din memandu pulang ke tempat kerjanya bersama fikiran yang kusut. Anehnya Din tidak sampai di depan tempat kerjanya. Sebaliknya Audi Din tersadai di depan Idrissi tempat Aliff belajar, merangkap tempat Hajar bekerja.
Terkumat-kamit bibir Din.
Macam mana pula dia boleh memandu ke sini?
Din mengetuk-ngetuk kepalanya berulang kali. Marah pada diri sendiri.
Terbayang Aliff di depan matanya. Terbayang senyuman lebar Aliff. Terbayang suara tawa bahagia Aliff.
Namun untuk mengalah pada Hajar, Din belum sanggup!
Brek tangan diturunkan dan Din meninggalkan kawasan tersebut bersama hati resah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co