BAB 7
DIN menyeka hidungnya yang berair dengan tisu. Semalam Din terkena hujan sedikit saja, hari ini hidungnya sudah tersumbat. Kepalanya juga mulai sakit. Sebelum melarat menjadi demam, Din ke klinik terus. Sekarang Din sedang menunggu Kusyairi. Din janji nak temankan lelaki itu melihat perkembangan rumah barunya yang diubah suai.
"Mana?" tanya Din setelah talian telefon bersambung. Tanpa salam seperti selalu. Ini semua sebab panas hati yang melanda. Din sudah menunggu Kusyairi hampir tiga puluh minit di depan klinik ini!
"Kalau ya pun, berilah salam dulu. Kita ni orang Islam, bro."
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Macam ini lebih elok. Kau dapat pahala, aku pun dapat pahala."
"Mana?" tanya Din sekali lagi. Ton suaranya terdengar lebih terdesak. Ayat mukadimah Kusyairi sengaja diabaikan.
"Tak bergerak kereta ni, Din. Ada accident depan ni. Aku syorkan kau naik teksi dan lepas tu turun dekat Ampang Point. Aku ambil kau dekat sana."
"Naik teksi? Dari tadi boleh kira berapa buah teksi yang lalu. Aku boleh main masak-masak tunggu teksi dekat sini."
Terdengar suara Kusyairi ketawa. Tidak peduli langsung dengan nada sakit hati Din. Tunggulah Kusyairi di depan mata Din. Din pasti kerjakan lelaki itu cukup-cukup.
"Bas Rapid takkan tak ada?"
"Kau pun tahu betapa tak sukanya aku naik bas. Sekarang kau beri cadangan mengarut tu?"
"Alahai, tak jatuhnya saham kau kalau kau naik bas. Tak payahlah nak jaga status sangat. Tak ada salahnya pun kalau kau naik bas. Nampak comel dan bertambah kacak adalah."
Ayat bodek Kusyairi memang boleh tahan sedapnya bila didengar.
"Ini bukan soal saham atau status. Ini soal pengalaman buruk yang aku dapat sebelum ni."
"Perkara tu dah lama sangat. Masa zaman universiti. Lagipun kena raba saja. Bukan luak. Anggap sajalah kau bersedekah waktu tu."
Din mengecilkan sepasang matanya bila isu raba ditimbulkan. Kemudian boleh pula Kusyairi samakan dengan sedekah?
"Sekarang perkhidmatan bas bukan macam dulu-dulu. Sekarang tip top," lanjut Kusyairi lagi.
Tip top sekalipun, takkan mampu buat Din lupa tentang insiden diraba itu.
"Naik bas ya, Din? Kalau betul tak selesa, kau turun dekat area yang dekat dengan stesen LRT atau monorel. Naik salah satu pengangkutan awam tu. Boleh?"
"Kusyairi, once I meet you, I will kill you!"
Tawa Kusyairi pecah lagi bila diugut begitu.
"Enjoy your trip," ujar Kusyairi dengan ayat yang sengaja dileretkan. Terlalu sengaja juga memanjangkan tawanya.
Terus saja Din tutup talian. Kusyairi itu makin dilayan, makin sakit hati saja jadinya nanti. Lagipun bas Rapid yang dimaksudkan Kusyairi telah sampai dan dia perlu menaiki bas tersebut.
Lima minit yang pertama memang Din selesa menaiki bas tersebut. Cuma selepas lima minit itu saja yang mendatangkan masalah. Din memang tidak kesah berdiri. Dia juga tidak kesah bila harus mencium segala macam aroma semula jadi penumpang yang lain. Cuma satu isu saja yang membuat hati Din meradang.
Setelah berhimpit dan ditolak beberapa kali, barulah Din sampai di tepi pemandu bas Rapid tersebut.
"Abang."
Pemandu itu hanya memandang sekilas.
"Cuba abang pandang belakang sekejap. Kami semua ni dah macam ikan sardin kena penyet. Abang pula asyik tambah penumpang."
Pemandu itu langsung tidak menoleh ke belakang walaupun sekejap. Tumpuannya masih di atas jalan raya.
"Bas ni dah lebih muatan," tegas Din bersama suara yang agak keras. Bila melihat pemandu bas itu masih pasif, suaranya ditinggikan pula.
"Salah ni, bang. Kalau accident macam mana? Berapa banyak nyawa abang nak gadaikan? Kami semua ni ada keluarga yang nak disara," luah Din penuh rasa kesal. Kedua-dua belah tangannya sejak tadi terawang-awang menunjuk ke arah belakang bas. Lihatlah betapa sesaknya keadaan dalam perut bas sekarang. Bila-bila masa saja kes raba boleh berlaku.
Pemandu bas itu memandang Din. Air mukanya terlihat sangat tidak puas hati. Agaknya kalau diberi peluang, mahu saja Din dilipat-dilipat jadi kapal terbang kertas. Kemudian dibuang ke luar dari tingkap bas.
"Kalau tak suka turunlah!"
Bulat sepasang mata Din. Amboi, bagusnya bahasa pemandu bas ini. Dia ingat Din tidak berani turun? Sekarang juga Din turun.
"Okey, saya turun."
"Bagi dia laluan dulu. Dia nak turun," arah pemandu bas itu. Seperti sengaja pula menduga rasa sabar Din.
Din telah berada di anak tangga bas yang terakhir ketika sorotannya menangkap figura seorang perempuan. Tanpa dapat ditahan lagi, sepasang matanya tidak mampu dialihkan. Sulit untuk Din ceritakan rasa hatinya sekarang. Yang jelas, Din sangat terkejut.
Din bertembung dengan Hajar lagi. Hajar mengenakan baju kurung kain kapas lagi. Cuma kali ini bukan corak bunga-bunga kecil, tetapi tanpa corak. Begitu pun tetap juga nampak mewah bila dihiasi sulaman tangan.Tudung bawal Hajar pula telah hilang entah ke mana, diganti dengan shawl berwarna krim dengan corak hati.
"Kenapa tercegat lagi tu?" Sergahan abang pemandu bas itu menyedarkan Din bahawa dia masih berada di dalam perut bas.
"Kenapa tak turun? Turunlah sekarang. Awak berdiri situ buat apa? Bas ni kan macam ikan sardin kena penyet. Silap-silap nanti awak pun terpenyet sama."
Alahai, ayat sindiran pemandu bas ini boleh tahan juga pedasnya.
"Tunggu apa lagi? Cepatlah turun. Penumpang lain pun nak naik juga 'tin' ikan sardin penyet ni."
Sumpah, Din memang mahu turun. Namun entah kenapa kakinya seperti telah digam. Lebih mengejutkan bila tiba-tiba saja dia memusingkan tubuh untuk masuk semula ke dalam perut bas.
"Minta maaf, bang. Saya tak jadi turun," tutur Din senafas. Air mukanya juga nampak begitu polos. Tanpa menunggu jawapan balas abang pemandu bas, Din terus melangkah masuk.
Tercengang juga pemandu bas Rapid itu. Mahu marah, hati tidak sampai melihat wajah paling polos Din. Lagipun ayat maaf tadi begitu meresap ke dalam hati.
Agak lama Din menanti, kemudian barulah dia melihat Hajar memasuki perut bas. Satu lagi perkara aneh telah berlaku. Din klasifikasikan sebagai aneh sebab Din telah menepis semua penumpang lelaki yang berdiri di belakang Hajar.
"Maaf."
Suara Hajar sebab terpijak kaki Din. Sempat Hajar menatapnya seketika. Bila mulut Din bisu untuk bersuara, Hajar kembali fokus memandang ke depan.
Din marah pada diri sendiri. Sepatutnya Din terus turun tadi. Sekarang nasi sudah jadi bubur. Oh, belum jadi bubur lagi. Nanti bila bas berhenti mengambil penumpang lagi, Din pasti turun.
Brek yang ditekan secara tiba-tiba membuat Din terdorong ke depan. Mujurlah Din bersedia. Kalau tidak, memang Din merempuh Hajar.
Kurang seminit, sekali lagi Din terdorong. Kali ini bukan didorong sebab brek, tetapi sebab lelaki di belakang Din hilang imbangan. Dan Din pun bukan sengaja hendak bergesel dan tersentuh sesuatu yang tidak boleh disentuh.
Sekelip mata saja Hajar berpaling. Sepasang matanya membesar dan dijegilkan.
"Awak buat apa tadi?"
Din mengangkat tangannya untuk memberi penjelasan. Tidak sempat ayat penjelasan Din keluar, pipi Din selamat menjadi libasan beg tangan.
"Apa ni? Saya tak buat apa..."
Ayat Din mati bila sekali lagi libasan beg tangan selamat singgah di pipi Din. Kali ini lebih dahsyat sampaikan briefcase Din pun terlepas dari pegangan tangan kanannya.
Din terpaku. Pipinya disentuh. Sedangkan matanya hanya mampu melihat Hajar yang boleh dikategorikan agak ganas itu menekan loceng bas. Hanya setelah Hajar turun dari bas, barulah Din bangun dari rasa terkejut.
"Berhenti, bang. Saya pun turun dekat sini."
Bergegas Din menuruni anak tangga bas. Kini dia berada betul-betul di belakang Hajar. Din mahu membuat perhitungan. Berani Hajar libas pipinya di khalayak ramai. Bukan sekali, tetapi dua kali!
"Saya tak raba awak. Saya tak pernah buat kerja terkutuk macam tu. This is my first time riding a bus after my graduation almost eight years ago."
Berjela juga ayat bela diri Din. Syukurlah Hajar berhenti melangkah dan berpaling padanya.
"Awak jangan ikut saya lagi. Kalau tak, saya jerit."
"Jeritlah. Tadi tu salah faham. Awak yang melebih-lebih. Sekarang awak hutang saya kata maaf."
Hajar terus menahan sebuah teksi. Sempat memberi jelingan paling tajam sebelum masuk ke dalam perut teksi tersebut.
"Hajar, awak dah salah faham!" laung Din. Namun kepulan asap ekzos teksi yang membalas laungannya.
"Kurang ajar," getus Din setelah teksi yang membawa Hajar hilang dari pandangan matanya. Nanti kalau Din jumpa Hajar lagi, siaplah Hajar tu.
Nanti kalau Hajar nak jumpa Aliff, jangan harap Din benarkan. Selagi Hajar tak minta maaf, takkan ada kompromi daripada pihak Din. Din nak ajar Hajar makna santun orang Melayu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co