BAB 8
TIDAK seperti biasa, Hajar memarkir Perodua Myvinya jauh sedikit dari depan pagar rumah bekas emak mentuanya. Yalah, buatnya Din tiba-tiba muncul, bersambung pula perang mulut Hajar dengan Din. Setelah menarik brek tangan dan mematikan enjin kereta, bekas emak mentuanya segera dihubungi.
"Hajar dah sampai, mak," beritahu Hajar setelah salamnya disambut.
"Dah sampai? Mak tak nampak pun kereta Hajar."
Hajar diam seketika sebelum memberi jawapan.
"Ada, mak. Cuma Hajar parking jauh sikit dari depan rumah."
"Kenapa nak parking jauh-jauh? Parking dalam rumah terus."
Wuih, itu sengaja mencari nahas.
"Tak apalah, mak."
"Mana boleh macam tu. Cepat alih kereta Hajar dan parking dalam rumah."
"Tapi mak..."
"Din belum balik. Selagi belum pukul sepuluh malam, takkan nampak batang hidung dia dalam rumah ni," potong bekas emak mentuanya. Serentak dengan itu, Hajar lihat pagar automatik rumah bekas emak mentuanya terbuka. Terpaksalah Hajar mengalah kali ini.
"Maaf, mak. Sepatutnya Hajar ambil Aliff semalam. Ingatkan semalam dah boleh ambil kereta dari workshop, mana tahu kena tahan sehari lagi."
"Mak tak kesah, Hajar."
Hajar menggamit Aliff datang dekat padanya. Malangnya si kecil yang comel itu muncung bibirnya. Mukanya juga cemberut. Pasti merajuk sebab Hajar mungkir janji.
"Bonda minta maaf."
"Janji dulu lepas ni bonda tak mungkir janji lagi."
"Bonda janji." Hajar mengangkat kedua tangan kirinya. Gaya mengangkat sumpah dipersembahkan pada Aliff.
Barulah Hajar melihat senyuman lebar Aliff. Tidak sampai sepuluh saat, tubuh Aliff sudah berada dalam pelukan Hajar.
"Hajar," panggil Mak Cik Arifah. Raut wajahnya nampak serba salah. Seperti menyimpan masalah berat.
"Mak belum beritahu Din pasal Aliff tinggal dengan Hajar. Mak tak jumpa peluang tu," sambung Mak Cik Arifah.
"Mak minta maaf," sambung Mak Cik Arifah lagi. Bahu Hajar disentuh.
"Tak apa, mak. Hajar bawa balik Aliff dulu. Kalau Din marah, mak minta dia telefon Hajar. Hajar sedia berbincang dengan dia."
Mak Cik Arifah mengangguk. Sayu sorotan matanya.
"Hajar balik dululah, mak. Mak jaga diri, ya." Tangan berkedut bekas emak mentuanya diraih lalu dicium penuh hormat.
"Hajar pun sama. Hati-hati drive tu. Lagi satu, kalau Din marah Hajar, beritahu mak."
Tersenyum Hajar mendengar ayat Mak Cik Arifah. Meskipun Din anak kandung dan Hajar cuma bekas menantu, namun Hajar tetap mendapat tempat dalam hati Mak Cik Arifah. Itulah sebabnya Hajar sayang dan sangat hormat dengan bekas emak mentuanya itu.
Hajar baru saja keluar dari pekarangan rumah bekas emak mentuanya bila sebuah Honda CRV menunggu giliran untuk masuk. Tidak menunggu lama, Hajar terus memecut laju Perodua Myvinya.
Din membuka pintu Honda CRV milik Kusyairi dengan kerutan di dahi. Pada emaknya dilontarkan raut wajah ingin bertanya.
"Siapa tu, mak?"
Mak Cik Arifah pura-pura tidak mendengar soalan. Dia menyibukkan diri dengan melayan Kusyairi. Sebenarnya Mak Cik Arifah terkejut dengan kepulangan Din yang secara tiba-tiba itu. Awal pula Din balik hari ini.
"Masuklah dulu, Kusyairi. Solat maghrib dulu. Lepas tu kita makan malam sama-sama."
"Terima kasih, mak cik. Tapi maaf sebab saya tak boleh. Dah janji dengan bakal orang rumah. Malam ni kami ada dinner."
Mak Cik Arifah menjeling ke arah Din.
"Kamu ni Din, Kusyairi ada janji pun Din suruh juga Kusyairi hantar balik."
Din menggaru-garu lengannya yang tidak gatal. Apa boleh buat, kereta barunya masih sangkut di JPJ. Menurut salesman yang menguruskan pembelian keretanya, kereta Din paling awal boleh dapat pun lusa selepas urusan cukai jalan selesai.
"Tak apa, mak cik. Jalan sehala. Kalau saya nak balik rumah pun, memang lalu sini," beritahu Kusyairi supaya Din tidak berterusan menerima bebelan. Kemudian dia meminta diri.
"Aliff mana, mak? Senyap saja rumah ni. Biasanya kalau saya balik, dia yang paling bising sambut saya."
Mak Cik Arifah memilih bergerak ke ruang dapur, jauh daripada Din.
"Aliff, uncle ada belikan mainan," laung Din sambil meletakkan plastik Toys R Us di atas meja kopi.
Seminit berlalu tanpa suara sahutan Aliff. Pastilah Din pelik. Terus saja dia ke dapur untuk mencari Aliff. Aliff pun tidak ada di sana. Yang ada cuma emaknya.
"Aliff tidur ke mak? Senja ni. Tak elok tidur waktu senja."
Terkulat-kulat Mak Cik Arifah dibuatnya. Masih menimbang-nimbang mahu memberitahu perkara sebenar sekarang atau selepas Din membersihkan diri.
"Awal Din balik hari ni."
Eh, lain Din tanya, lain pula jawapan emaknya.
"Kusyairi nak balik awal. Din malas nak cari teksi, itu yang balik awal sekali. Hurm, mak belum jawab soalan Din tadi."
"Din pergi bersihkan diri dulu. Sekejap lagi maghrib masuk. Alang-alang Din dah balik awal, kita solat berjemaah terus. Besar pahala solat berjemaah ni."
Sudah nampak kerutan di dahi Din. Ini aneh. Emaknya seperti sengaja menukar topik bila nama Aliff disebut. Emaknya seperti menyembunyikan sesuatu.
"Mak sorok apa daripada Din ni? Pelik sangat Din tengok perangai mak. Tadi yang bawa Myvi putih tu siapa?"
Dua soalan Din yang tidak mampu Mak Cik Arifah jawab. Kelu lidah Mak Cik Arifah. Sedar kalau sudah sampai masanya dia memberitahu perkara sebenar pada Din.
"Mak jangan beritahu Din yang bawa Myvi putih tadi tu Hajar. Mak pun jangan beritahu Din yang Hajar dah bawa Aliff pergi. Din tak boleh terima dua perkara tu. Din marah besar nanti."
Mak Cik Arifah menarik tangan Din lalu Din dibawa duduk di kerusi makan. Senyuman diukir.
"Mak nak cakap sesuatu ni, tapi janji dengan mak dulu yang Din takkan melenting."
Din mengeluh pendek mendengar permintaan emaknya. Kalau beginilah gaya percakapan emaknya, pasti 'sesuatu' tersebut boleh mengundang rasa marah Din.
"Din takkan melenting selagi bukan hal Hajar."
"Kalau macam tu, mak tak jadi cakaplah. Din pun jangan desak mak beri jawapan."
Bergerak-gerak rahang Din. Rasanya tekaan Din tepat. Memang Hajar yang datang tadi dan Hajar sudah membawa Aliff pergi.
"Mak tak patut benarkan Hajar bawa Aliff walaupun setengah jam. Kalau Hajar tu bawa lari Aliff macam mana?"
Mengeluh panjang Mak Cik Arifah dibuatnya mendengar soalan Din. Itu sajalah modal Din. Hajar nak bawa lari Aliff.
Din sepatutnya terangkan hati. Barulah fikiran yang baik-baik datang. Ini tidak, belum apa-apa Din sudah menuduh Hajar hendak bawa Aliff lari.
Sudah berguni nasihat yang Mak Cik Arifah beri, malangnya Din keras kepala. Nasihat Mak Cik Arifah bukan Din nak ikut. Semuanya ikut kepala batu dia saja.
"Pukul berapa dia janji nak bawa Aliff balik? Dia ada cakap nak pergi mana?"
Mak Cik Arifah membisu. Masih lagi mencari ayat pemula paling sesuai untuk memberitahu perkara sebenar pada Din.
"Kalau mak tak nak cakap, mak beri nombor telefon Hajar pada Din. Din nak suruh dia hantar Aliff balik sekarang juga."
"Tak guna Din telefon Hajar. Hajar hanya akan hantar Aliff balik ke sini Sabtu depan."
Mata Din tidak berkelip. Nafasnya jadi kencang tiba-tiba. Apa yang pasti, Mak Cik Arifah seperti melihat Din berubah menjadi King Kong. Bersedia sajalah untuk menerima amukan King Kong.
"Mak cakap apa tadi?"
Mak Cik Arifah tahu Din sengaja menyuruhnya mengulang ayat sama. Untuk kali ini, Mak Cik Arifah takkan menurut permintaan Din.
"Din dengar apa mak cakap tadi. Terang dan jelas. Jadi mak harap, Din sudah-sudahlah nak suruh Hajar hantar Aliff balik ke sini."
"Mak cakap apa ni? Mak merepek apa ni? Mak sedar tak mak cakap apa tadi?" Bertalu-talu soalan Din. Semuanya soalan yang mempunyai maksud sama. Soalan yang berbaur rasa tidak puas hati seorang Din pada emaknya.
"Mak nak cakap yang sejak arwah Fadhil pergi, Aliff memang tinggal dengan Hajar. Aliff bahagia dan mak pun tak ada halangan kalau Aliff tinggal dengan Hajar."
"Ada halangan, mak. Halangan besar!"
"Din halang Hajar tinggal dengan Aliff. Aliff tu satu-satunya cucu mak. Sampai hati mak biarkan cucu tunggal mak tinggal dengan orang luar," cetus Din terus dengan nafas kencang. Naik turun nafasnya menahan rasa marah yang sangat hebat.
"Lagipun mak tahu tak, Hajar tu kurang ajar. Kalau Aliff tinggal dengan dia, silap hari bulan Aliff pun jadi kurang ajar macam Hajar."
"Mak malas nak bertekak dengan Din. Dari awal Din balik lagi, mak dah beri hint banyak kali yang Aliff tinggal dengan Hajar. Mulut mak ni pun dah berbuih nasihatkan Din supaya berlembut dengan Hajar. Tapi Din keras hati. Cakap mak, Din tak nak dengar."
Panas hati Din. Menyirap darah Din.
"Jangan kacau Hajar. Biarlah Aliff tinggal dengan Hajar. Aliff bahagia. Itu yang penting."
"Mak tak faham."
"Din yang tak faham situasi sekarang. Din tak letakkan diri Din dekat tempat Aliff."
Din meraup wajahnya kasar. Mahu cakap lebih, nanti dicap anak derhaka pula. Din belum lupa ajaran ustaznya. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
"Jangan berani-berani telefon Hajar dan minta dia pulangkan Aliff."
Mak Cik Arifah melangkah pergi setelah memberi amaran lisan kepada Din. Tinggal Din bersama rahang yang bergerak-gerak.
Kalau emaknya enggan bekerjasama, bukan susah pun Din nak dapatkan nombor telefon Hajar. Din kenal sangat dengan tabiat emaknya.
Bergegas Din menuju ke meja telefon. Buku nota yang diletakkan di sebelah telefon talian tetap itu diselak.
Bibir Din melebar dengan senyuman kemenangan. Betullah seperti telahan Din. Emaknya memang menyimpan nombor telefon bimbit Hajar, nombor talian tetap rumah Hajar dan nombor tempat kerja Hajar.
Bingo! Din menang. Emaknya kalah. Sekarang Din perlu merancang baik-baik rancangannya untuk mengambil Aliff daripada jagaan Hajar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co