Bab 1
"Bila aku kena mula kerja?" Zhafran menyoal rakan kongsinya yang sedang menyusun sesuatu di dalam fail. Dia yang baru sahaja turun dari pesawat terus datang ke pejabat atas permintaan Fitri.
"Esok! Mereka nak cepat memandangkan pengawal yang lama dah berhenti." Fitri menjawab soalan Zhafran.
"Kau tak kesian dekat aku ke, Fitri? Aku baru sahaja selesaikan segala urusan di Qatar, bagi la aku cuti sekejap. Aku pun nak rehat juga macam kau," rungut Zhafran yang masih lagi penat dengan urusan sebelum ini.
"Aku nak buat macam mana, Zhaf? Pelanggan yang nak cepat. Lagipun, kau sendiri yang cakap kau tak nak buat kerja di bahagian pengurusan. Aku dah bagi tawaran pada kau dulu, kau yang tolak. Terpaksalah." Fitri menjongketkan bahunya seakan-akan mengejek.
"Aku bukan tak nak buat, bosanlah duduk di pejabat lama-lama. Kau kan ada nak buat semua tu." Zhafran sedar diri, dia bukan seseorang yang boleh duduk diam di dalam bilik sambil memegang kalkulator dan pen.
"Jadi, kalau kau tak nak mati kebosanan, kau kenalah ikut cakap aku." Sengih Fitri.
"Khaled dengan Geoffrey belum ada klien lagi, kan? Kenapa kau tak nak hantar mereka?" Zhafran sekadar bertanya memandangkan mereka masih ada lagi pengawal lain yang layak.
"Khaled tak boleh sebab permohonan lesen senjata api dia ada masalah sikit. Lagipun, aku dah suarakan hal ni pada Puan Sri Zaharah tapi dia tolak mentah-mentah. Dia tak nak orang lain, dia nak kau juga." Fitri tersengih melihat Zhafran yang sudah tiada pilihan lain lagi.
"Aku hairan la, macam mana dia boleh kenal aku?" Sedikit sebanyak, ketegasan Puan Sri Zaharah yang mahukan perkhidmatannya menjadi tanda tanya dalam benak Zhafran.
"Puan Sri tu cakap, kawan dia dekat Qatar yang cadangkan nama kau pada dia. Maksudnya, majikan kau yang sebelum ni la. Rasanya mereka saling kenal kut."
"So, mana semua maklumat terperinci mengenai Puan Sri kau tu?"
"Ini maklumat mengenai majikan baru kau. Tapi, kau bukan kena jaga Puan Sri Zaharah tu, dia dah ada pengawal dia sendiri. Sekarang ni, kau kena jaga anak dara dia." Fitri meletakkan fail berisi maklumat pelanggan yang telah pun dikepilkan kepada Zhafran.
"Anak dara dia?" Kening Zhafran terangkat.
"Yup. Your very first 'anak dara' to be taken care off." Kening Fitri terangkat. Dia teruja sebenarnya mahu melihat reaksi Zhafran.
"Nipisnya?" Zhafran membelek maklumat yang diberikan. Tidak seperti selalu, maklumat yang diberikan kali ini nipis sahaja. Dia malas mahu ambil pusing dengan ayat terakhir Fitri. Zhafran tahu yang Fitri sebenarnya menunggu masa sahaja mahu menyakatnya cukup-cukup.
"Susah nak cari la maklumat pasal dia. Tak banyak sangat yang ada. Cuma ada dua tiga artikel sahaja yang aku dapat. Itupun semuanya berkaitan dengan projek syarikat parent dia," terang Fitri yang terkilan dengan hasil kerjanya.
Dia yang sememangnya pakar pengumpulan data sedikit kecewa kerana sukar benar mahu mencari maklumat mengenai pelanggan baru yang mahukan khidmat pengawal peribadi daripada OSC Security Service yang ditubuhkan hasil perkongsian di antara Fitri dan Zhafran.
Syarikat ini menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan yang menawarkan khidmat pengawal peribadi terlatih kepada Kerabat Diraja, badan korporat, pejabat kedutaan dan kenamaan tanpa mengira lokasi dan jarak.
Kebanyakan pengawal yang berkhidmat di syarikat ini datang dari pelbagai latar belakang menarik termasuklah dari kalangan anggota keselamatan yang pernah berkhidmat untuk negara. Disiplin tinggi, cekap serta peka dengan keadaan sekeliling merupakan asas utama yang perlu diamalkan oleh pengawal yang bekerja di sini.
"Regalia Group?" Terangkat kening Zhafran mendengar satu nama yang sememangnya sudah tidak perlu diperkenalkan lagi.
"We hit the jackpot. Ini antara one of the most notable clientele yang boleh naikkan lagi nama syarikat kita dalam industri ini," ujar Fitri.
"Regalia Group merupakan syarikat pelombong, pengeluar, pengedar serta penggubah batu permata terbaik di Asia pada hari ini. Produk berasaskan batu permata yang dihasilkan atas nama Regalia Group turut menjadi buruan ramai," tambahnya lagi yang ternyata kagum sebenarnya dengan pencapaian syarikat Malaysia ini.
"Kalau kita boleh tawarkan perkhidmatan untuk mereka, maksudnya kita ada peluang untuk kembangkan lagi pengaruh kita di sini." Fitri nyata teruja. Bukan calang-calang pelanggan baru yang datang mencari khidmat mereka pada kali ini.
"Nama penuh, Hana Zahirah Tan Sri Kamarul Bahrin." Zhafran mula meneliti maklumat yang disediakan untuknya.
"Anak bongsu daripada dua beradik, perempuan satu-satunya, berusia 27 tahun dan merupakan seorang pereka barang kemas. Beliau belum berkahwin, tak ada sebarang kes mahkamah ataupun kes polis. Dia juga adalah salah seorang alumni Central Saint Martins dan Royal Collage of Art, United Kingdom," sambungnya lagi.
"Tak banyak sangat maklumat yang aku jumpa pasal dia, pasal Puan Sri Zaharah dengan abang dia banyaklah."
"Abang dia?"
"Yup. Dato Faiz Izzudin Tan Sri Kamarul Baharin. Pewaris pertama Regalia Group, berusia 37 tahun. Berkahwin dengan seorang anak kerabat diraja, Tengku Yasmin Soraya Tan Sri Tengku Ismadi. Ada anak dua orang iaitu Ali Redza Faiz Izzudin dan Imtiyaz Ali Faiz Izzudin."
"Tan Sri Kamarul Bahrin macam mana?" Maklumat tentang ketua keluarga ini juga mahu dikoreknya sebanyak mungkin.
"Meninggal dunia dua puluh tahun lepas." Pendek pula penjelasan yang dibekalkan oleh Fitri.
"Disebabkan oleh?" Zhafran mahukan penjelasan yang lebih terperinci. Kalau boleh, dia mahu tahu serba-serbi tentang keluarga ini sebelum dia memulakan tugasnya.
"Kemalangan udara di San Juan Del Rio, wilayah Queretaro semasa membuat lawatan ke lombong batu permata di Mexico pada tahun 1997. Kalau diikutkan dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan daripada pihak berkuasa tempatan, kes ini diklasifikasikan sebagai kes kemalangan. Helikopter yang dinaiki mengalami masalah enjin dan meletup di udara."
"Tapi ada spekulasi yang mengatakan helikopter itu ditembak oleh gerila tempatan yang ingin menawan lombong milik Regalia di sana dan ada juga desas-desus yang lain tetapi Regalia pernah membuat pengesahan bahawa sememangnya apa yang terjadi adalah disebabkan kemalangan semata-mata." Fitri menjawab dengan panjang lebar.
"Seem like another almighty high profile client." Zhafran juga kagum dengan segala maklumat yang disampaikan Fitri.
"Of course la! Puan Sri Zaharah sekarang adalah CEO Regalia Group menggantikan suaminya. Sebab itu la aku cakap tadi, yang mereka ini very notable clientele. Kalau kita boleh penuhi segala tugasan dengan jayanya, kita takkan ada masalah untuk besarkan lagi syarikat kita." Fitri tersenyum sendiri. Membayangkan bahawa kenaikan jumlah aliran tunai yang tidak putus-putus di dalam akaun syarikat sudah cukup membuatkan dia teruja.
"Kalau macam tu, kenapa mereka cuma minta seorang sahaja pengawal? Selalunya pelanggan macam ni akan minta pasukan pengiring sendiri."
"Puan Sri Zaharah dengan Faiz Izzudin memang ada pasukan pengiring sendiri tapi anak perempuan dia tak nak katanya. Pengawal yang sebelum ni pun cuma seorang sahaja. Mungkin dia jenis yang tak suka dijaga oleh ramai pengawal."
"Hmmm, masuk akal juga tu. Habis tu, apa lagi yang kau tahu pasal Cik Hana ni?" Penjelasan Fitri membuatkan Zhafran mengangguk.
"Facebook tak ada, Twitter tak guna, Insta tak ada, Tagged pun tak ada. Budak ni, apa pun tak ada. Introvert rasanya. Mungkin sampai sekarang dia cuma guna telefon awam sahaja agaknya."
"Ada-ada sahaja la kau ni, Fitri. Agak-agaklah sikit kalau nak buat andaian pun." Zhafran langsung tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Fitri.
"Betul apa. Semua tak ada. Aku tak tahu macam mana dia hidup di zaman milenium ni tanpa semua tu."
"Sudahnya, apa la maklumat yang kau dapat tentang dia?"
"Nama samaran dia Diamond Princess, Snow Queen, Diamond Genie," jawab Fitri sambil jari-jemarinya mengira jumlah nama samaran Hana Zahirah.
"Kau ambil nama tu semua dekat mana?"
"Laman gosip. Itu aja yang aku dapat."
"Menurut segala gosip dan khabar anginlah kan, Diamond Princess sebab memang dia hidup bertimbun berlian, Snow Queen sebab dia tak banyak cakap, jarang keluar."
"Diamond Genie?" Nama samaran yang cukup keanak-anakan itu langsung tidak masuk akal pada Zhafran.
"Petik jari sahaja dan semua benda muncul depan mata. Itulah maksud nama dia. Tak tahulah sama ada betul ke tidak fakta tu semua. Macam susah, kan?" Fitri mengerutkan dahi.
"Kenapa? Apa yang susah?" soal Zhafran pada Fitri yang kelihatan sedang mengangkat keningnya.
"Kalau ikut pengalaman akulah kan, Diamond Princess maksudnya degil, bodoh sombong, bongkak dan besar kepala. Snow Queen pula maksudnya kau kena hadaplah perangai dia yang serba-serbi menaikkan darah dan Diamond Genie pula maksudnya semua yang dia cakap, semua dia nak, semua yang dia suruh kau kena tunaikan." Panjang lebar penerangan Fitri.
"Aku rasa kau kena banyak bersabarlah Zhaf dengan klien baru kau ni. Typical anak orang kaya," tambahnya lagi. Fitri meluahkan segala formula yang dirasakan amat munasabah pada hematnya.
"Mana boleh cakap macam tu, Fitri. Don't judge a book by its cover. Mana tahu kalau-kalau dia lain dari yang lain." Seperti biasa, Zhafran akan memandang positif semua benda. Pada dia, tidak wajar menilai orang tanpa mengenalinya dahulu.
"Nak lain macam mana? Kebanyakan klien yang kita cover sebelum ni semuanya macam tu. Ada sahaja yang tak kena. Itu tak kena, ini tak kena," sangkal Fitri. Pengalaman sebelum ini mengajarnya satu fakta yang hampir seratus peratus tepat. Anak orang kaya selalunya ada banyak yang buruk dari baiknya.
"Kau cakap macamlah kau dah berpuluh kali jadi bodyguard." Zhafran ketawa dengan telahan hentam keromo Fitri.
"Aku dengar anak-anak buah kita mengadu pasal klien kita yang mereka jaga tu pun dah cukup. Aku lagi rela duduk dalam pejabat ni uruskan syarikat daripada jaga mereka tu. Tinggal kau sahaja yang aku tak pernah dengar lagi merungut pasal klien. Yang lain semuanya bawa cerita yang sama. Asyik kena ketuk aja mereka tu," gumam Fitri.
"Kerja dengan orang, kan. Macam tu la. Kena banyakkan bersabar," ujar Zhafran sambil dia masih lagi membelek helaian maklumat pelanggan baru syarikatnya merangkap pelanggan yang akan dijaganya kelak.
"Agaknya sebab perangai kau yang satu inilah kan ramai klien suka ambil kau." Fitri melontarkan pujian.
Selama mengenali Zhafran, jarang sekali jejaka tinggi lampai ini melenting, meninggikan suara mahupun meradang. Zhafran seorang yang sering berfikir dahulu sebelum bercakap atau melakukan sesuatu, tapi tangan, mata dan kakinya cukup pantas. Seringkali apabila terdapat sebarang masalah ketika bertugas, ketiga-tiga anggota badannya itu yang bergerak dahulu sebelum suaranya.
"Job description aku ada tukar apa-apa tak?" Zhafran perlu tahu kerana kadangkala dia perlu melakukan tugas khusus atas permintaan pelanggan mereka.
"Tak banyak beza pun. Macam pelanggan-pelanggan kita yang dulu juga. Kau kerja macam biasa, on call 24 hour per day, 7 day per week, since dia cuma minta kau seorang sahaja untuk jaga anak dia, kau kena drive. Kau cuma boleh guna senjata api jika keadaan mendesak," terang Fitri.
"Kalau boleh, jangan ada sebarang kekasaran. Biasalah anak perempuan tunggal. Selebihnya kau bertugas macam biasa. Ke mana pun Cik Hana ni pergi, kau kena ada. Bayang dia sekalipun kau kena jaga kata Puan Sri Zaharah," tambahnya lagi.
"Tak apalah kalau macam tu, esok pun esoklah. Aku balik dulu." Zhafran sudah selesai mendapatkan maklumat yang diingininya.
"Dah nak balik?"
"Kena balik rumah tidurlah. Dah la kau bagi aku cuti sehari aja."
"Tak apalah kalau macam tu, kau jangan lupa pula pasal esok. Kau terus ke ibu pejabat Regalia Group. Alamat dah aku kepilkan sekali dalam fail tu."
"Ya, jangan risau. Aku tak lupalah." Zhafran mencapai fail yang diberikan Fitri padanya dan berlalu pergi.
"Eh, lupa pula aku. Jomlah lunch dulu. Lepas tu kau boleh balik." Fitri yang sedari tadi merancang mahu mengajak Zhafran keluar makan hampir sahaja terlupa dengan niatnya itu.
"Kau lunch seorang sahaja ke?" Zhafran sengaja bertanya.
"Tak. Aku ada date la dengan Insyirah." Fitri tersengih.
"Sampai bila la kau nak kacau Insyirah tu? Kesian dia tau, asyik-asyik kena layan kau aja. Macam dah tak ada orang lain yang boleh bawa dia keluar jalan-jalan."
"Ikut suka hati aku la. Aku belanja dia makan, aku bawa dia jalan-jalan. Berbaloi apa keluar dengan aku? Kira okeylah tu." Fitri menjongketkan bahunya.
"Kau memang, suka sangat kacau daun. Kalau aku jadi Insyirah, dah lama aku lari cari orang lain."
"Nak cari siapa? Siapa berani nak tackle Insyirah kena langkah mayat aku dulu." Fitri melontarkan amaran.
"Kena langkah mayat kau dulu ke?" Dahi Zhafran berkerut.
"Kena la. Kalau berani, datang sini jumpa aku depan-depan." Fitri membuat mimik wajah yang amat serius.
Padanya, Insyirah miliknya mutlak. Takkan semudah itu dia membiarkan sesiapa sahaja mendekati pengarang jantungnya yang telah bersamanya selama tujuh tahun begitu sahaja.
"Apa-apa sahajalah, Fitri. Satu sahaja nasihat aku, kalau kau tak nak Insyirah dikebas orang, lebih baik kau berterus terang dengan dia. Aku ni bukannya apa, doktor macam Insyirah tu, ramai orang berkenan. Aku pun berkenan juga dengan Insyirah tu," luah Zhafran sambil dia terus melangkah keluar dari pejabat Fitri. Wajah mencuka Fitri berjaya membuatkan tawa Zhafran pecah.
"Kurang asam betul kau ni, kan!" Fitri menghantar Zhafran dengan bebelannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co