Bab 2
"Abah!" laung Hana Zahirah.
"Kenapa abah boleh ada dekat sini? Hana telefon abah banyak kali dari tadi lagi." Hana Zahirah jelas terkejut. Kelibat pengawal peribadi yang sudah dianggap sebagai ayah sendiri itu di ibu pejabat Regalia Group sedikit sebanyak menimbulkan persoalan.
"Abah datang mohon cuti. Rasa tak sihatlah. Ni pun abah dah nak balik dah," jawab Encik Yusuf serba salah. Suaranya jelas kedengaran serak. Selama beberapa belas tahun berkhidmat menjaga Hana Zahirah inilah kali pertama dia tinggalkan gadis ini memandu sendirian.
"Kenapa tak cakap dengan Hana? Buat susah-susah aje datang sampai ke sini hanya sebab nak minta cuti." Hana Zahirah kesal. Jarak antara ibu pejabat Regalia Group dan rumah abahnya bukannya dekat.
"Abah kerja dengan Regalia kan, Hana? Nak buat apa pun, kenalah minta izin dulu," jawab Encik Yusuf sambil mengukir senyuman. Bawah matanya terlihat merah sekali.
"Kalau abah cakap dekat Hana awal-awal, Hana boleh pergi ambil abah dekat rumah terus tadi. Abah demam ke apa? Mata pun nampak merah aje. Hana tengok abah macam kena sakit mata ni. Jomlah, Hana bawa abah pergi hospital. Kita periksa apa yang patut." Hana Zahirah tidak jadi mahu meneruskan niat untuk bertemu mamanya. Kesihatan abahnya adalah perkara yang lebih penting saat ini.
"Tak payah, tak payah. Puan Sri dah aturkan supaya pemandu dia hantar abah ke hospital. Semua dia dah aturkan. Balik ke rumah nanti pun dia dah suruh pemandu yang hantar abah. Hana naiklah ke atas jumpa Puan Sri, dia tengah tunggu Hana tu." Encik Yusuf menggelengkan kepala.
"Puan Sri dah aturkan semua? Mama tu dah buang tabiat ke apa?" Hana Zahirah separuh berbisik. Dia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang sudah mamanya lakukan.
"Hana Zahirah, mana boleh mengumpat pasal mama sendiri macam tu." Encik Yusuf menegur anak jagaannya ini dengan wajah yang agak serius.
"Opsss. Sorry." Hana Zahirah menutup mulut sendiri. Dia tahu yang abahnya tidak suka dengan apa yang meluncur di bibirnya sebentar.
"Dah, Puan Sri dah tunggu Hana lama sangat tu. Abah dah nak balik, Hana naiklah atas dulu," arah Encik Yusuf.
"Betul ni abah tak nak pergi dengan Hana?" Sedikit rasa kurang senang terbit dalam hati Hana Zahirah.
"Tak apa. Pemandu Puan Sri akan hantar abah. Jangan risau." Bahu gadis muda itu ditepuk dengan penuh rasa sayang. Dia tahu yang hati Hana Zahirah berbelah bahagi.
"Okeylah kalau macam tu. Nanti kalau ada apa-apa, abah cakap dengan Hana tau. Hati-hati," pesan Hana Zahirah. Perbualan mereka terhenti setelah kelibat pemandu Puan Sri Zaharah muncul untuk membawa abahnya pergi.
"Hana jaga diri tau. Dengar cakap mama, jangan membantah apa yang dia suruh. Faham tak?" pesan Encik Yusuf.
"Orang tahulah," jawab Hana Zahirah acuh tidak acuh. Nasihat demi nasihat seperti itu sering kali keluar dari mulut abahnya.
"Jaga diri." Pesanan itu diulang lagi.
"Abah tak payah call Hana la. Nanti Hana call abah." Hana Zahirah menukar fikiran. Memandangkan abahnya kurang sihat, hari ini, biarlah dia sahaja yang menghubungi pengawalnya itu sebentar lagi.
"Cantik." Hana Zahirah berpuas hati melihat rekaan baju pengantin yang sedang dilakar oleh ibunya.
Selaku pereka barang kemas berpengalaman, Hana Zahirah sememangnya mempunyai cita rasa serta penilaian tinggi pada setiap hasil seni yang ditunjukkan kepadanya. Rekaan mamanya jelas mempunyai keaslian tersendiri.
"Cantik, kan? Team Regalia Couture yang cadangkan supaya mama sumbang satu rekaan mama. Katanya, rekaan ini akan dijadikan rekaan utama pada majlis kita nanti. So far, mama rasa mereka berada di landasan yang tepat," ujar Puan Sri Zaharah.
"Mama ada arahkan Regalia Couture untuk hantar pereka mereka ke studio untuk cek balik sama ada sesuai atau tidak dipadankan dengan barang kemas yang Hana buat. Mereka ada ke sana tak?" soalnya ingin tahu.
Walaupun sibuk dengan banyak tugasan lain, Puan Sri Zaharah sempat juga meninjau segala persiapan yang dilakukan oleh para pereka gaun pengantin serta barang kemas yang akan diperagakan pada malam ulang tahun ke-80 penubuhan Regalia Group yang bakal mengambil tempat pada penghujung tahun ini.
Majlis bersejarah berkenaan adalah antara majlis utama dalam kalendar koleksi terbaru rekaan Regalia Group. Pada pertunjukan kali ini, Regalia Jewellery dan Regalia Couture bakal bergandingan di atas pentas yang sama buat julung kalinya. Oleh itu, tiada yang lebih penting pada Puan Sri Zaharah selain daripada memastikan kesempurnaan majlis itu nanti.
Majlis yang bertemakan Love Republic itu bakal diabadikan sebagai penanda aras baharu kejayaan Regalia Group dalam bidang perniagaan setelah 80 tahun bertapak dan mencipta nama.
"Mama tak perlu risau. Kami dah beberapa kali bermesyuarat dan mereka dah datang ke studio sebelum ini. Segala perincian majlis sudah pun dibincangkan dan dah ada kata putus. Rasanya tak ada masalah yang akan timbul," jawab Hana Zahirah.
Dia mempunyai tanggungjawab besar selaku perunding kreatif koleksi Love Republic untuk majlis ulang tahun yang akan diadakan pada Disember nanti.
Sikap mamanya yang mementingkan kesempurnaan menuntut Hana Zahirah serta pereka-pereka yang lain untuk memberikan komitmen 200 peratus berserta dengan tahap ketelitian yang cukup tinggi di dalam projek ini. Walau bagaimanapun, Hana Zahirah tidak gusar. Dia yakin dengan hasil kerja pereka-pereka yang berada di bawah seliaannya.
"Dah beberapa bulan berlalu, berapa koleksi yang dah siap?" soal Puan Sri Zaharah lagi sambil tangannya masih sibuk mencorak lakaran yang diilhamkannya tadi.
"Buat masa ini kita dah ada 20, macam yang kami rancang tempoh hari, Regalia Couture akan hasilkan tiga puluh pasang gaun pengantin dan team Hana akan siapkan tiga puluh set barang kemas juga."
"As classy as possible. Jangan lupa tu. As long as rekaan itu menepati tema dan classy enough as Regalia image, kita boleh pertimbangkan untuk keluarkan lebih belanjawan," saran Puan Sri Zaharah.
"Kalau tak cukup apa-apa, beritahu mama segera." Puan Sri Zaharah memberi jaminan. Selaku CEO Regalia Group merangkap Pengarah Artistik Regalia Group, dia yakin dengan kebolehan Hana Zahirah untuk menghasilkan rekaan yang bertepatan dengan cita rasanya.
Kedua-duanya begitu bertungkus-lumus bekerja bagi menjayakan koleksi barang kemas Regalia Jewellery dan koleksi gaun pengantin Regalia Bridal & Haute Couture bagi sambutan ulang tahun ke-80 penubuhan Regalia Group.
"Buat masa ini tak ada apa-apa masalah. Lagipun, sekarang masih awal Februari, kita masih ada masa lagi sepuluh bulan," jawab Hana Zahirah.
"Memanglah sepuluh bulan tapi mama nak semua lakaran akhir, perincian, dan permata yang nak digunakan lengkap sebelum April. Pastikan semua siap pada masa yang telah ditetapkan, lepas tu baru kita teruskan dengan langkah seterusnya."
"Baik ma. By the way, kenapa cari Hana?" soal Hana Zahirah. Dia yang sibuk dengan kerjanya di studio barang kemas milik Regalia Jewellery merasa sedikit terganggu apabila dihubungi untuk datang ke ibu pejabat pagi tadi.
"Mama nak kenalkan Hana pada staf baru Hana," jawab Puan Sri Zaharah pada Hana Zahirah. Kesibukannya dengan kerja yang tidak pernah kunjung habis diabaikan sebentar kerana dia ingin mendahulukan Hana Zahirah. Itu yang penting.
"Pekerja? Hana tak tahu pula yang mama dah mula ambil tahu pasal pekerja-pekerja Hana. It's under my authority though." Hana Zahirah mengerutkan dahi. Sukar untuk dia membaca fikiran mamanya yang kadangkala agak rumit untuk difahami.
Hana Zahirah pelik dengan tingkah mamanya yang sedikit menghairankan. Selama ini pekerja yang akan berkhidmat di bawahnya di Regalia Jewellery Studio akan dilantik olehnya sendiri. Hana Zahirah mempunyai kuasa mutlak untuk melantik stafnya sendiri.
"Mama tahu mengenai kuasa mutlak Hana tu. Dia bukan pekerja yang akan bekerja dengan Hana di studio. He is going to do something else," ujar Puan Sri Zaharah dengan fokus utamanya masih diletakkan pada lakaran gaun pengantin di atas meja.
"Jadi, dia nak buat kerja apa kalau bukan di studio?"
"Diane, suruh pekerja baru Cik Hana masuk ke dalam." Puan Sri Zaharah menghubungi setiausahanya.
"Baik, Puan Sri," jawab setiausaha Puan Sri Zaharah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co