Bab 11
"Sorry aku lambat. Jalan sesak." Fitri baru sahaja sampai setelah hampir setengah jam Zhafran menunggu.
"Tak apa, aku tak kesah. Kau belanja aku makan hari ni." Zhafran tersengih.
"La, bukan ke kau cakap yang kau nak belanja aku makan?"
"Itu tadi. Sekarang dah lain. Selepas aku tunggu kau dekat setengah jam, aku tukar fikiran, kau belanja aku makan hari ni." Zhafran membalas dendam.
"Kalau aku tahu perangai kau macam ni punya kedekut, aku ajak makan dekat gerai luar tu aja."
"Ala, bukannya selalu. Aku dah tempah jus oren dengan claypot sea prawn rice untuk aku dengan kau sekali. Lagipun tahun ni kau untung besar, kan?"
"Kalau aku untung maksudnya kau pun untung. Berapa yang kau dapat dekat dalam bank tu sama la dengan jumlah yang aku dapat."
"Ya ke? Aku tak sempat lagi nak cek akaun bank aku."
"Orang kaya dah kan, mana la sempat nak cek." Napkin yang cantik terlipat di atas meja dibuka dan diletakkan di atas riba. Fitri dan Zhafran kemudiannya memberi laluan kepada pelayan yang datang membawa tempahan makan tengah hari mereka berdua.
"Oh ya, bahagian kewangan ada tanya, kau nak naikkan kadar had nilai maksimun kad kredit kau ke tak? Bank ada call buat tawaran pagi tadi. In case kau berminat, mereka boleh tolong uruskan." Fitri menyedut jus oren yang baru sahaja dihantar oleh pelayan.
"Credit limit?"
"Yup. Nak tak?"
"Tak naklah. Aku bukan buat apa sangat pun."
"Ikut kaulah kalau macam tu, nanti aku beritahu mereka."
"Motosikal aku macam mana?"
"Tak dapat diselamatkan. Glenn pun patah riuk apatah lagi motor kau." Fitri menjelaskan keadaan motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Ninja ZX-6R milik Zhafran yang jatuh ke dalam gaung setelah 'dipinjamkan' kepada budak dispatch syarikat mereka.
"Aku tak sempat lagi nak pergi jenguk dia. Teruk sangat ke?" Zhafran sememangnya tiada masa. Kesibukan Hana Zahirah turut sama mempengaruhi gaya hidup pengawal peribadinya.
"Tak ada kecederaan dalaman, dia cuma patah paha dan tiga batang jari tangan kanan. Nasib baiklah dia dengan motosikal kau tu ada perlindungan insurans, taklah menangis sangat menanggung kerugian," ujar Fitri.
"Teruk jugalah kalau sampai macam tu. Patah paha semua. So, motosikal aku apa cerita?"
"Sekarang baru nak tanya?" Fitri menyindir kerana reaksi Zhafran yang memang lambat sangat setelah beberapa hari berlaku.
"Nak cerita apa lagi Zhaf, motosikal kau terjatuh dalam gaung straight masuk sungai. Memang dah tak boleh guna langsung."
"Macam mana Glenn boleh jatuh sorang-sorang pula tu? Hujan ke apa?" Zhafran bukannya tidak mahu mengambil peduli namun dia terikat dengan jadual Hana Zahirah yang sememangnya padat sangat-sangat.
"Musim El Nino macam sekarang ni mana la pula nak hujan. Dia nak memotong lori tapi tak lepas, terpaksalah dia melencong masuk gaung. Sempat la juga dia bergayut dekat besi penghadang jalan, sebab tu la keadaan dia tak teruk sangat. Laju sangat dia bawa masa tu."
"Tak apalah, yang penting dia selamat."
"Itulah kau, kan aku dah cakap tempoh hari, Glenn baru aja dapat lesen dua bulan lepas, dia tak cekap lagi nak bawa motosikal, kau bagi juga dia pinjam," ujar Fitri yang kelihatan sedang sibuk menguruskan udang di atas pinggannya.
"Nak buat macam mana Fitri, kalau dah namanya bukan rezeki aku, motosikal tu kalau dibiar tersadai dekat rumah pun boleh juga rosak, kan?" Zhafran masih tenang. Walaupun terkilan dengan nasib motosikalnya yang baru sahaja wafat namun dia tidak melatah sesuka hati. Keadaan Glenn adalah yang paling penting.
"Yalah, encik batu. Tak ada perasaan langsung kau ni, kan?"
"Batu? Kau panggil aku batu?"
"Ya la. Tak ada sense of affection langsung. Nasib baiklah Si Glenn naik motosikal kau, kalau motosikal aku la yang jatuh dengan dia hari tu, memang botaklah kepala si Glenn tu aku latu."
"Takkanlah kau nak suruh aku meraung pula kut? Motosikal tu memang dah rosak kan kau cakap tadi. Meraung pun dah tak ada guna."
"So, apalah penyelesaian kau?"
"Penyelesaiannya?" Zhafran mengetuk jarinya ke meja beberapa kali sambil dia berfikir.
"Aik, baru sekarang nak fikir?" Berkerut dahi Fitri dibuatnya.
Reaksi Zhafran mengundang lagi satu soalan daripada Fitri. Tergeleng-geleng Fitri dibuatnya dengan gelagat Zhafran ini. Spesies buta kayu seperti Zhafran memang payah nak jumpa.
"Kau minta tolong bahagian kewangan belikan untuk aku lagi satulah. Aku tak sempatlah nak keluar beli semua." Itulah penyelesaian yang dibuat oleh Zhafran. Mudah, senang dan tidak memerlukan sebarang komitmen dari dia.
"Jawapan kau ni memang tipikal. Aku memang dah agak dah. Nak yang macam mana?" Fitri sudah lama kenal dengan Zhafran dan jawapan Zhafran memang langsung tidak mengejutkannya.
"Yang sama ajalah. Senang sikit."
"Ninja juga?"
"Yup?" Zhafran.
"Warna?"
"Hijau jugalah. Engkau tak payah nak peningkan kepala kau fikir lebih-lebih, aku nak semua sama macam motosikal lama aku. Tak nak ubah apa-apa. Itu sahaja."
"Kau nak naik motosikal juga ke? Kereta tak nak?" Fitri memberi cadangan memandangkan motosikal lama milik Zhafran boleh diklasifikasikan sebagai sudah meninggal dunia.
"Naik kereta di KL ni? Tak naklah aku. Jalan sesak, parking pun payah, guna tol nak kena tunggu sampai berkulat. Lagi baik aku naik motosikal aje. Lagipun, kereta pejabat kan ada." Zhafran memberikan alasan.
"Dah namanya pun ibu negara Malaysia. Tentu-tentulah sesak Zhaf oiii. Ikut kaulah, Zhaf." Fitri mengembangkan hidungnya mendengar alasan Zhafran itu.
"But still, aku tak nak kereta. Nak motosikal juga." Zhafran menjongketkan bahunya.
"Ikut suka hati kaulah. Tak pernah lagi aku jumpa orang macam kau ni." Fitri menggelengkan kepala. Zhafran seseorang yang terlalu kayu padanya.
"Buat apa nak peningkan kepala? Just go on with the flow. Senang."
"Sometimes, flow can turn into wave," pesan Fitri pada Zhafran.
"Tahu," jawab Zhafran.
"So, macam mana dengan kerja baru? Sesuai tak?" Fitri hampir terlupa mahu bertanya. Sudah beberapa minggu Zhafran bertugas baru hari ini mereka ada masa untuk bertemu.
"Semua lancar setakat ni. Tak ada masalah."
"Tak ada? Langsung tak ada?"
"Tak ada. Semua masih dalam kawalan."
"Si Snow Queen tu tak banyak songeh ke?" Fitri lebih berminat mahu tahu tentang majikan baru Zhafran.
"Soalan tu aku suka dengar." Zhafran tersengih.
"Kau excited sangat ni kenapa?"
"Saja. Sebab aku dah dapat buktikan yang dakwaan kau pasal tipikal anak orang kaya tu salah."
"Are you sure?"
"Amat pasti." Zhafran yakin. Dia sudah menilai Hana Zahirah selama beberapa minggu.
"Dia jauh berbeza daripada apa yang kau cakap pada aku tempoh hari. Tak sama langsung. Lepas ni, kau dah tak boleh nak rujuk laman gosip untuk siasat klien kita. Bukannya betul sangat pun cerita mereka tu."
"Aku mati-mati ingat kau kena buli sebab susah nak dapat rehat. Cuti pun tak ada, lunch pun tak keluar, malam pun susah nak jumpa."
"Kau yang deal dengan Puan Sri suruh aku kerja 24/7, kan? Macam mana nak dapat cuti? Lunch mereka sediakan sebab tu aku tak keluar, malam tak boleh lepaklah sebab dia kerja sampai lewat malam. Workaholic lady. Sebab tu aku tak ada masa." Zhafran menjelaskan semua kegiatan hariannya.
"Alamatnya, kalau macam tu membujang sampai ke tua la kau. Kau pikat ajalah kau punya majikan. Untung apa?"
"Gila kau, work ethic kau mana? Work ethic?" Zhafran menyindir Fitri memandangkan Fitri adalah orang yang seringkali bercakap mengenai etika kerja dalam setiap perjumpaan dengan para pekerja OSC Security.
"Etika kerja kita tu cerita lain. Lagipun aku cakap pasal etika kerja pada pekerja kita sahaja. Kau bos OSC Security apa, ada pengecualian. Tapi, kalau dah jodoh, apa salahnya. Aku akan sedia merestui kau, Zhaf."
"Mengarutlah. Tak ada maknanya," tolak Zhafran mentah-mentah.
"Urghhh... I shouldn't ask for this meal." Zhafran merungut tiba-tiba. Dia kelihatan sedikit terkial-kial melayan udang di atas pinggannya.
"Kau tahu tak apa. Leceh gila nak makan benda ni," tambah Fitri pula.
Dia mempunyai pendapat yang sama. Dia sendiri kurang gemar menikmati makanan yang serba leceh ini. Kurang penghayatan rasanya.
"Aku ingat mereka dah kopek siap-siap." Zhafran cuba memberi komen secara berhemah dengan merendahkan sedikit suaranya.
"Kan?" Laju sahaja Fitri bersetuju.
"Kalau kita pergi gerai yang sama kita pergi last time, memang mereka kopek siap-siap. Tak payah kita nak bersilat dengan udang-udang ni." Fitri turut menambah. Berhemah sekali mereka berdua mengutuk dengan suara yang rendah. Sopan sikit rasanya pada mereka.
"Jangan datang lagi tempat ni. Reject!!!"
"Reject." Mereka sepakat.
Zhafran yang selalunya kayu dan membeku sebenarnya ada juga sisi lucu dan nakalnya terutamanya apabila bersama orang yang dirasakan selesa dibawa berbual. Fitri adalah satu-satunya orang itu buat masa ini.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co