Bab 10
Hana Zahirah berjalan menuju ke bilik persalinan sebaik sahaja dia sampai ke studio. Walaupun masih sedikit sebal, kerjanya perlu juga diselesaikan. Pakaian berkelas yang disarungnya tadi diganti dengan seragam kerjanya. Pada Hana Zahirah, seragam ini ternyata jauh lebih selesa untuk dipakai oleh pekerja di dalam studio ini bagi memastikan tahap keselamatan kesemua mereka berada di tahap tertinggi.
"Is it another Sebastian Gutierrez?" Angie menyoal tiba-tiba sambil matanya memandang tepat pada sepasang kasut yang baru ditanggalkan oleh Hana Zahirah.
"Yeah. New collection katanya. Saya sarung sahaja," angguk Hana Zahirah.
Mata terbeliak Angie dan Juwita langsung tidak dapat mengubah cita rasa Hana Zahirah mengenai kasut tinggi ini.
Jika tidak kerana desakan Puan Sri Zaharah yang enggan melihat dia berpakaian bengkel di luar kawasan studio, sudah lama rasanya Hana Zahirah berjalan-jalan dengan seluar lusuh serta kasut butnya di pusat membeli-belah mengikut cita rasa serta keselesaannya sendiri.
"Nice shoes." Juwita memuji. Matanya kelihatan terpaku pada kasut baharu yang disarung oleh majikannya ini.
"Yours look better, Juwita. Tak selesa mana pun. Percayalah." Hana Zahirah menyampaikan pendapat tulusnya.
"Cemburunya kami, Cik Hana. Kasut-kasut Cik Hana semuanya cantik-cantik," puji Angie yang sememangnya hantu kasut.
Kasut berjenama yang ditempah khas oleh Puan Sri Zaharah sememangnya punya rupa, menepati cita rasa terkini, selesa dan amat mahal harganya namun kesemua kualiti yang ada itu langsung tidak dapat menambat hati Hana Zahirah.
Pada Hana Zahirah, dia lebih selesa menyarung but kerjanya yang mempunyai tapak rata. Cita rasa Hana Zahirah dan Puan Sri Zaharah ternyata jauh berbeza.
"Pakai cantik macam mana pun bila datang sini kena tukar juga. Jadi, tak payah la kelebek kasut tu lebih-lebih, ya? Kita ada banyak lagi kerja yang nak dibuat di luar," tegur Hana Zahirah pada Juwita dan Angie agar tidak lupa diri.
Pekerjanya itu kelihatan khusyuk meneliti setiap inci kasut yang baru dimasukkannya ke dalam locker sebentar tadi.
Mereka bertiga sudah pun siap dengan uniform kerja serta kotak peralatan masing-masing yang ditempah khas mengikut keselesaan mereka. Saiz, berat, ukuran semuanya mengikut kriteria masing-masing.
Setiap alatan para pereka barang kemas selalunya dibeli sendiri daripada tukang besi dan dijaga rapi oleh pemiliknya. Kesemua peralatan ini mempunyai nilai sentimental yang tersendiri bagi setiap pereka.
Disebabkan mereka bakal melakukan kerja-kerja menebuk dan menggerudi bahan perak sebagai kerangka barang kemas yang sudah pun dilakar, uniform yang dikenakan juga perlulah menepati peraturan yang ditetapkan.
"Tanggalkan kesemua barang kemas, jam dan sebagainya. Saya tak nak ada kemalangan lagi hari ini," pesan Yusri yang berada di luar sebaik sahaja kesemua mereka berkumpul di tengah-tengah ruang kerja.
Pesanan itu sengaja ditekankan agar kemalangan yang menimpa salah seorang pelatih daripada Akademi Seni Regalia Group pada minggu lepas tidak berulang.
Dek ingkar dengan arahan, beliau terpaksa dikejarkan ke hospital kerana cedera pada tangan kanan. Rantai tangan longgar yang dikenakan olehnya tersimpul pada mata gerudi yang sedang berputar. Mujurlah gerudi berkenaan dipasang pada kelajuan rendah sahaja menyebabkan kecederaan yang dialami tidaklah begitu teruk.
Bagi mengelak kejadian sama berulang, Yusri melantik diri sebagai 'fashion police' mereka hari ini. Kesemua mereka pada hari ini perlu mengenakan kasut bertutup sepenuhnya, sarung tangan daripada kain, topi kerja, pakaian 'overall' dan pelindung mata.
Kotak alatan kerja yang diberikan setiap satu kepada mereka juga kelihatan dijinjing oleh kesemua mereka. Setiap pereka sememangnya mempunyai alatannya yang tersendiri. Jika para tukang masak mempunyai pisau, senduk, kualinya sendiri begitu juga dengan para pereka barang kemas.
Bagi memastikan hasil kerja yang diusahakan bermutu, Regalia Group menempah segala peralatan mereka daripada tukang besi terkemuka terutamanya dari German. Tukang besi dari negara ini mempunyai reputasi yang amat tinggi kerana ketelitian serta kehalusan seni pembuatan besinya. Hana Zahirah sendiri memilih untuk mendapatkan alatan kerjanya daripada tukang besi terkemuka German iaitu Gerard Joachim.
Di dalam kotak berkenaan selalunya mesti dilengkapi dengan sekecil-kecil mata gerudi, lebih sembilan belas jenis playar berbagai saiz, sepana, apit g mini, wayar dan sebagainya. Selain itu kotak berkenaan juga selalunya akan dipenuhi dengan kain pengelap logam, kertas berlian, pemotong logam, paksi yang digunakan dalam mesin pelarik, pisau ukiran logam, cecair penggilap, pengelim logam, dompet khas untuk menyimpan permata yang ingin digunakan dan sebagainya.
Kebanyakan alatan ini mempunyai tafsiran yang sedikit janggal di dalam bahasa Melayu kerana ia selalunya dikenali dengan nama Inggeris. Kesemua alatan ini datang dalam pelbagai saiz termasuklah dengan saiz mikro bagi membolehkan pereka menyiapkan karya mereka sesempurna mungkin.
"Jangan ada yang luka lagi tau. I tak nak jadi doktor lagi hari ni." Hana Zahirah memberi ingatan.
"Baiklah semua, sebelum kita mulakan fasa seterusnya, saya nak bagi sedikit taklimat." Hana Zahirah berdiri di tengah-tengah studio bagi memastikan setiap yang ada mendengar arahan daripadanya.
"Buat masa sekarang, kesemua tiga puluh lima buah lakaran yang kita hantar tempoh hari telah pun diteliti. Mujurlah cuma lima rekaan sahaja daripadanya yang ditolak sementara tiga puluh koleksi lagi sudah pun diberi lampu hijau untuk dibawa ke fasa seterusnya," ujar Hana Zahirah.
"Kesemua pereka kanan diberi kebebasan untuk memilih para pelatih yang akan membantu anda. Saya beri kebebasan untuk semua bekerja dengan sesiapa sahaja yang anda rasa selesa." Hana Zahirah berdiplomasi bagi memastikan suasana kerja tidak terlalu ketat.
"Kita cuma ada lagi lapan bulan untuk pastikan semuanya selesai. Work hard, on time and please be careful. Saya tak nak ada yang diusung ke hospital sebelum tugas kita semua selesai." Karisma Hana Zahirah jelas kelihatan. Setiap arahannya, intonasinya, gerak badannya menunjukkan yang dia cukup yakin, cukup faham dan cukup ilmu dengan setiap yang dilakukan.
"It's gonna be a tiring month. So work hard guys. If we manage to finish this task on time, I'll make sure that we'll have a blast after this," janji Hana Zahirah.
"I nak cuti lebih," sampuk Andy.
"Kalau awak semua berjaya siapkan tugasan ini lebih awal. Akan ada cuti yang I akan bagi. Jangan risau," jawab Hana Zahirah. Jawapan Hana Zahirah disambut dengan tepukan gemuruh. Kesemua mereka terlihat begitu bersemangat mahu memulakan tugasan masing-masing.
"Itu sahaja dari saya, anda semua boleh mulakan kerja masing-masing." Hana Zahirah mengakhiri taklimatnya. Kesemua dilihat bersurai dan berjalan menuju ke dalam ruangan masing-masing.
Di Regalia Jewellery Studio, kesemua pereka akan berkumpul dan bertukar-tukar idea pada peringkat awal. Mereka akan memulakan proses rekaan barang kemas setelah perbincangan mengenai konsep yang ingin diketengahkan, sasaran pasaran, jenis bahan yang akan digunakan, jenis permata serta potongan yang diinginkan, pemilihan warna permata dan kesesuaiannya, inspirasi yang mahu diambil sebagai ilham dan sebagainya.
Perbincangan ini seringkali berlarutan selama beberapa bulan bagi memastikan segalanya menepati kehendak orang atas Regalia Group. Pada peringkat ini, jabatan kreatif yang diketuai Hana Zahirah akan bekerjasama dengan pelbagai jabatan berkaitan dari ibu pejabat terutamanya jabatan kewangan dan perbendaharaan mengenai soal bajet dan sebagainya.
Setelah lakaran dibuat, mereka bakal memasuki fasa seterusnya iaitu fasa membuat kerangka barang kemas. Pada fasa ini mereka akan bekerja untuk menyiapkan rangka yang selalunya diperbuat daripada emas merah, emas putih, paladium, platinum, perak, suasa dan lain-lain. Langkah pertama dalam pembuatan kerangka adalah untuk membuat model contoh.
Mereka akan menyiapkan acuan atau prototaip daripada lilin, bahan thermoplastic ataupun silikon dengan bantuan sistem komputer. Di dalam proses ini para pereka perlu mahir dalam mengaplikasikan teknik asas teknologi bahan, lukisan teknikal dan permodelan sebenar, grafik serta kemahiran dalam perisian reka bentuk.
Setelah hasil rekaan dimasukkan ke dalam sistem komputer, satu mesin khas yang dipanggil house rapid prototyping machine akan digunakan. Mesin ini akan mencetak hasil lakaran komputer berkenaan di atas bahan thermoplastic dengan hasil tiga dimensi yang boleh diukur panjang, lebar serta kedalamannya. Mesin ini membantu menjimatkan masa dan tenaga.
Kerja-kerja mengecap dan membentuk rangka akan dibuat setelah acuan dihasilkan. Dalam proses ini, bahan logam yang digunakan sebagai asas akan dibentuk mengikut saiz dan corak yang diinginkan. Proses ini amat rumit kerana ia memerlukan para pereka memastikan setiap cebisan rangka yang akan digunakan bagi membentuk barang kemas seperti kalung dan sebagainya lengkap untuk digabung di dalam proses seterusnya.
Rangka berkenaan juga akan digerudi dengan teliti bagi mewujudkan tapak untuk meletak batu-batu permata. Di sinilah pelbagai jenis gerudi dalam pelbagai jenis saiz digunakan mengikut saiz batu permata yang ingin diletakkan. Saiz mata gerudi yang paling kecil adalah 0.75 milimeter, 1.25 milimeter sehinggalah yang bersaiz 2.50 milimeter.
Oleh itu, amat penting bagi para pereka untuk meneliti saiz kerangka serta saiz batu permata yang akan diletakkan bagi mengelakkan sebarang kesilapan. Kesalahan menebuk tapak sekecil hama sekalipun bakal merosakkan segala-galanya. Setelah proses ini selesai, maka kerangka kosong akan terhasil. Kerja mereka pada ketika itu bolehlah dianggap selesai separuh jalan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co