Bab 13
"Saya mintak maaf," ujar Hana Zahirah lambat-lambat.
Hana Zahirah cuba membaca reaksi wajah Zhafran yang sedang berdiri bersebelahan dengannya di hadapan butik pakaian Antonio Berardi. Mereka berdua terpaksa datang sendiri ke butik ini untuk bersiap kerana Danny terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas akibat satu kemalangan.
"Untuk apa?" soal Zhafran walaupun dia tahu benar tujuan Hana Zahirah memohon maaf padanya.
"Saya buat keputusan sendiri. Saya tak patut heret awak ke dalam majlis malam ini tanpa meminta izin," luah Hana Zahirah hati-hati. Dia tahu yang dia tidak sepatutnya membuat keputusan sendiri.
"Saya cuma setakat seorang pengawal peribadi, Cik Hana. Apa yang Cik Hana suruh, mahu dan inginkan saya akan buat," jawab Zhafran sambil dia membetulkan aviator yang dipakainya.
"Cuma setakat seorang pengawal peribadi." Hana Zahirah mengulang kembali setiap satu perkataan yang keluar dari mulut Zhafran. Satu keluhan berat kedengaran dihela Hana Zahirah.
"Woah... You just make me feel like a pathetic heiress. A wimpy one." Hana Zahirah tergelak sendiri.
Hana Zahirah tahu apa sahaja yang disuarakan Zhafran benar belaka namun, kata-kata Zhafran sedikit sebanyak menjelaskan berapa besar jarak yang ada di antara mereka berdua.
"It's not like that," sangkal Zhafran.
"Tak perlu jelaskan apa-apa pada saya." Hana Zahirah rasanya sudah boleh mengagak apa yang mahu diterangkan Zhafran padanya.
"I am not. Jangan salah faham. Saya bekerja dengan keluarga Cik Hana. Apa pun arahan yang Cik Hana keluarkan, saya kena patuh." Buat pertama kalinya Zhafran berbicara panjang lebar bagi membetulkan keadaan.
Isu yang disuarakan Hana Zahirah sebenarnya langsung tidak timbul kerana Zhafran jelas dengan tanggungjawabnya sebagai pengawal peribadi Hana Zahirah. Jika dia diarahkan untuk menjadi buruh binaan sekalipun, Zhafran tiada pilihan.
Tugasannya sebagai pengawal peribadi memang begitu. Seorang pengawal peribadi harus mempunyai kemahiran untuk menyesuaikan diri dengan apa keadaan sekalipun. Mereka adalah petugas yang perlu sentiasa bersedia.
Sebelum berikrar untuk menjadi seorang pengawal peribadi, mereka perlu mempersiapkan diri untuk menjadi apa sahaja mengikut kemahuan majikan. Tugasan ini menuntut mereka untuk sentiasa peka.
"Saya faham tapi it would be nice if both of us can walk, talk and act a bit like a friend since I have none of them." Hana Zahirah melahirkan harapan kecilnya sambil dia berjalan masuk ke butik berkenaan tanpa menunggu Zhafran yang mengekorinya dari belakang.
Dia tidak sunyi di bawah jagaan Encik Yusuf sejak beberapa belas tahun dahulu namun kehadiran Zhafran jelas benar menyebabkan Hana Zahirah hilang tempat mengadu.
Jika sebelum ini Hana Zahirah akan menghabiskan masa di dalam kereta bercerita tentang itu dan ini. Sekarang dia hanya tertidur sahaja memandangkan sukar benar mahu mendengar sebarang bunyi yang keluar dari mulut Zhafran.
"Dia terasa ke apa ni? Merajuk ke?" Dalam tidak sedar, Zhafran menggaru kepalanya sendiri.
Dia bingung jadinya setelah mendengar kata-kata Hana Zahirah yang sedikit berbeza intonasinya. Pada Zhafran, dia tiada maksud mahu menghentam Hana Zahirah. Dia langsung tiada niat begitu.
"Jom masuk," ajak Zhafran setelah dia melihat reaksi beku Hana Zahirah.
"Jom!" Zhafran berdiri tegak di tepi Hana Zahirah buat kali pertama.
Selalunya dia hanya berdiri beberapa meter dari Hana Zahirah. Namun hari ini, jarak berkenaan dikecualikan. Seperti yang tertera pada kad undangan, nama Zhafran disenaraikan sebagai pasangan Cik Hana Zahirah Tan Sri Kamarul Bahrin.
Jadi, untuk menjadi seperti pasangan lain, Zhafran menggandeng tangan Hana Zahirah tanpa meminta izin dahulu. Tangan Hana Zahirah diselitkan di tangannya yang sudah pun sedikit diangkat.
"Awak tak minta izin pun nak pegang tangan saya?" Hana Zahirah separuh berbisik tatkala mereka berdua sedang berjalan masuk ke dalam Dewan Serene III.
"Cik Hana kena bayar hutang. Saya dibawa datang ke sini pun tanpa izin juga," balas Zhafran. Dia tidak kekok dengan suasana ini kerana dia sudah terbiasa menghadiri majlis mewah begini semasa bertugas.
"Hmmm..." Kening Hana Zahirah berkerut jadinya.
Jawapan Zhafran memang langsung tidak dijangka oleh Hana Zahirah namun dia cuba bersikap lebih relaks memandangkan suasana santai yang tersaji.
Mereka berdua berjalan masuk ke dalam dewan berkenaan bak pasangan muda yang lain. Gelagat Zhafran yang sedikit berbeza membuatkan Hana Zahirah kaget. Lain benar kelakuan Zhafran yang begitu berani memegang tangannya.
"Cantik, kan?" soal Hana Zahirah yang nyata terpanar dengan keindahan majlis yang dihadiri mereka itu.
"Unik," tambah Zhafran yang turut bersetuju dengan pendapat Hana Zahirah.
Tema Rock & Roll yang membawa nuansa hitam putih menjadi konsep post party yang dianjurkan. Kesemua yang hadir termasuklah Hana Zahirah dan Zhafran mengenakan pakaian yang bersesuaian dengan tema.
"Cik Hana suka bunga?" soal Zhafran yang terlebih ramah hari ini apabila terpukau dengan ribuan kuntum bungaan segar seperti mawar, calla lily dan dew carnation di dalam dewan.
"Tak. Saya suka duit aje." Kedengaran tawa kecil Hana Zahirah yang pecah tatkala Zhafran mengerutkan dahi apabila mendengar jawapannya.
"Bukan selalu perempuan suka bunga ke?"
"Saya tak." Geleng Hana Zahirah sambil dia mula membetulkan duduknya.
Majlis bermula tatkala pasangan pengantin berjalan masuk. Patrick Teo mengenakan jaket kulit dari jenama Ermenegildo Zegna. Michelle Yee pula dilihat mengenakan dress rekaan Jenny Packham.
Dress kembang berwarna merah darah separas lutut ini diperbuat daripada fabric tulle kelihatan cukup menarik. Kod berpakaian hitam putih yang dikenakan oleh kesemua tetamu yang begitu kontra warnanya berjaya membuatkan kehadiran Michelle kelihatan begitu menyerlah. Sejambak ros hitam yang berada di tangan Michelle juga amat sempurna menepati tema majlis.
"Ada artis datang ke malam ni?" soal Hana Zahirah apabila dia melihat satu pentas besar juga disediakan untuk digunakan oleh artis jemputan.
"Ada. Katanya Maroon Five dan My Chemical Romance."
"Woah. Dah kalah American Music Award dah ni." Kagum benar Hana Zahirah melihat segala jenis pembaziran yang dilakukan. Jelas sekali tuan rumah serius berbelanja untuk majlis ini. Malangnya bakat itu tiada pada Hana Zahirah.
Pasangan pengantin kemudiannya dijemput memberikan ucapan sebelum menyempurnakan upacara memotong kek serta menuang champagne. Kaviar, truffle, udang kara, pasta dan pelbagai jenis manisan sudah sedia terhidang untuk dinikmati oleh para tetamu. Sungguh semuanya serba sempurna untuk majlis mewah begini.
"Are you ready?" soal Adam Levine yang sudah pun berada di atas pentas.
"Yeah!!!" Kedengaran sorakan kuat bergema di atas lantai tarian. Majlis post party ini memang sengaja mengangkat tema Rock & Roll kerana rata-rata tetamu yang ada merupakan anak muda sahaja.
Semua tetamu memberi tepukan dan sorakan yang cukup gemuruh tatkala mereka berdua mula menari mengikut rentak lagu artis undangan. Kemuncak majlis diwarnai dengan persembahan bertenaga artis undangan. Kesemua yang hadir kelihatan begitu terhibur dan menari di atas lantai tarian.
"Watch out." Suara Zhafran sedikit meninggi memberi ingatan pada Hana Zahirah.
Tangan Zhafran laju menyambar lengan Hana Zahirah yang sedang leka menikmati persembahan Maroon Five. Sekujur tubuh lelaki yang hampir sahaja melanggar Hana Zahirah sebentar tadi jatuh terjelepok di hadapan mereka.
Mujurlah tubuh Hana Zahirah sempat ditarik Zhafran. Beberapa orang petugas kelihatan terkocoh-kocoh mendapatkan pemuda itu yang langsung tidak bergerak sejak tadi. Pemuda berkenaan kemudiannya dipapah keluar dari dewan.
"Nasib baik tak mati terhempap saya malam ni," luah Hana Zahirah. Dia yang masih terkejut apabila ditarik ke belakang begitu menghela nafas panjang.
"Saya kan ada. Jangan risau. Kalau pun Cik Hana mati terhempap malam ini, saya akan pastikan saya yang mati dulu," jawab Zhafran sambil membetulkan sedikit kolar bajunya.
"Betul ni?" Hana Zahirah bertanya.
"Apa?"
"Kalau saya mati, awak akan mati dulu?"
"Mati tu kerja Allah, tapi kerja saya lindungi Cik Hana. Maksudnya saya akan cuba sedaya upaya untuk tanggung semua risiko dengan memastikan Cik Hana sentiasa selamat." Zhafran memperbetulkan kata-katanya.
"Hurm..." Hana Zahirah mengangguk sendiri.
Dia sedar yang dia tidak sepatutnya membazirkan air liur untuk bertanya soalan berkenaan kerana sememangnya sudah dapat dijangka akan jawapan yang bakal diperoleh daripada pengawal peribadinya ini. Kayu sungguh!!!
"Siapa tu?" Zhafran bertanya. Soalan yang terpacul dari bibir Zhafran singgah di telinga Hana Zahirah. Dia memandang Zhafran dengan riak yang sedikit pelik.
"Kenapa pandang saya macam tu?"
"It seem like awak terlebih ramah dengan saya malam ini," jawab Hana Zahirah tanpa selindung.
Itulah yang dirasainya sekarang. Mereka berdua tidak pernah berbual pun. Keadaan jadi sedikit janggal kerana selama ini sukar sekali bagi Hana Zahirah mahu mendengar suara Zhafran. Namun, sejak dari tadi lelaki ini asyik bertanya itu ini kepadanya.
"Ya ke?" Zhafran sedar dengan soalannya yang kedengaran janggal.
Bukan dia sengaja mahu berbual santai dengan Hana Zahirah namun kata-kata Hana Zahirah di depan pintu butik petang tadi masih kedengaran di telinga. Apa salahnya jika dia bertoleransi sikit untuk budak yang tak ada kawan ni. Kesian dia.
Kalau pun Zhafran tidak boleh melayan Hana Zahirah sepertimana layanan yang Encik Yusuf pernah berikan padanya dahulu, sekurang-kurangnya Zhafran ingin mula bersuara.
Sebagai contoh, dia sedang sibuk memikirkan soalan-soalan untuk ditanya pada Hana Zahirah ketika ini. Banyak gila rangka soalan yang berlegar dalam kepalanya memandangkan hanya mereka berdua sahaja yang duduk di meja sekarang. Tetamu yang lain sudah pun rancak berparti. Menari dan menyanyi dengan simbahan minuman keras dan pengaruh ekstasi.
"Hurm... Itulah Faiq Allamuddin. Antara anak orang ternama. Seorang yang memang kaki botol, kaki perempuan dan kaki disko. Mabuk adalah perkara biasa untuk dia dan parti macam ini boleh dikatakan gagal kalau Faiq tak mabuk." Hana Zahirah memilih untuk menjawab sahaja soalan Zhafran.
"Yang tengah menari tu, Junaid Al Bakri. Anak tycoon minyak dekat Pantai Timur." Hana Zahirah menyedut minuman koktel yang terhidang di hadapannya.
"Orang luar selalunya ingat yang dia adalah the most eligible bachelor sebab dia baik hati, lemah lembut, budiman dan banyak 'menderma' di hadapan kamera. Tapi mereka tak tahu yang dia duduk di pejabat pun goyang kaki sahaja. Mungkin juga sebab mereka tak pernah nampak dia berkelakuan macam tu di luar," sambungnya.
"Awak nampak tak budak perempuan dekat meja 12 tu?" tanya Hana Zahirah.
"Yang pakai dress kembang tu?" Zhafran memerhati ke arah meja 12 yang terletak di bahagian kiri dewan.
"Itulah Cheryll Savitri. Dia adalah anak Tan Sri Robert Kittiwong. Pemegang saham terbesar syarikat farmaseutikal Ophillea Pharma. Budak tu drug addict." Ternyata Hana Zahirah kenal mereka semua. Setiap rahsia anak-anak orang kaya yang ada di dalam dewan ini berada di dalam kocek Hana Zahirah.
"Lagi dua orang yang ada dengan Cheryll tu anak jutawan kosmetik Filipina. Kembar tidak seiras. Ashley Jane Jacobson dan Mary Jane Jacobson." Hana Zahirah memuncungkan mulutnya ke arah dua orang gadis cantik yang sedang kelihatan rancak berpesta.
"Dua-dua orang tu ada masalah ketagihan pembedahan plastik. Saya rasa tak sampai umur tiga puluh tahun hidung mereka akan tercabut." Hana Zahirah semakin teruja bercerita pada Zhafran.
"Mereka cakap, plastic surgery is painful enough to force someone to rely on drug. Both of them are abusing propofol to survive. Which means, produk kosmetik mereka tak berkesan sangat pun," sambungnya. Hana Zahirah dan Zhafran menjadi pemerhati tidak bergaji pada malam ini.
"Seriously?" Zhafran mengerutkan dahi.
"Awak tak percaya cakap saya ke?" Hana Zahirah tidak berpuas hati dengan intonasi Zhafran yang seakan-akan ragu padanya.
"Percaya." Zhafran mengangguk perlahan apabila melihat mata Hana Zahirah yang sudah pun mencerlung. Sebiji macam Puan Sri Zaharah.
"Awak selalu tak datang ke majlis macam ni?" soal Hana Zahirah.
Dia hampir pasti yang Zhafran sudah biasa dengan keadaan ini memandangkan sudah lama dia berkhidmat sebagai pengawal peribadi di luar negara.
"Yup. Lebih dari ni pun banyak kali dah." Zhafran menjawab. Jawapan disambut dengan anggukan Hana Zahirah.
"Maksudnya?"
"Cik Hana adalah majikan wanita pertama yang saya pernah jaga. Sebelum ni saya cuma menjaga klien lelaki sahaja. Cik Hana tahu kan mereka selalu ke mana, buat apa? So, I've been almost everywhere with them."
"Such as?" Kening Hana Zahirah terangkat.
"Kasino di Las Vegas, Macau, pusat judi haram, strip club, drug party, burlesque."
Parti begini bukanlah perkara luar biasa. Kadangkala kad jemputan yang dihantar hanya sekadar topengnya sahaja. Majlis yang dianjurkan oleh kebanyakan anak-anak jutawan ini selalunya terisi dengan tiga benda. Dadah, arak, perempuan. Itulah tiga elemen utama yang menjadikan majlis mereka berjaya.
Disebabkan hal-hal beginilah, sistem kawalan keselamatan dipertingkat bagi menghalang orang luar daripada menyusup masuk. Peraturan untuk tidak membawa masuk sebarang gadjet turut dilaksanakan. Telefon bimbit atau apa sahaja gadjet yang dibawa perlu diletakkan di bahagian pendaftaran tetamu.
"Masa di Qatar. Almost every second ada this kind of party and I do my job accompanied my boss like what I am doing right now." Zhafran menyambung ayatnya supaya lebih panjang agar Hana Zahirah tidak bosan dengan sikapnya.
"Semua klien awak pervert ke apa? Yang soleh sikit tak ada ke?" Hidung Hana Zahirah kembang memikirkan segala tempat yang disebutkan Zhafran.
"Saya pengawal peribadi. Itu kerja saya." Zhafran menjongketkan bahunya. Mereka berdua jelas kelihatan lebih santai berbanding sebelumnya.
"Ya, ya, ya. Saya dah tahu pasal kerja awak," pintas Hana Zahirah laju.
Dia segera memintas sebelum sempat Zhafran menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai tugasannya sebagai pengawal peribadi. Keramahan Zhafran malam ini membuatkan Hana Zahirah tahu semua mengenai profesion lelaki ini.
Zhafran rasanya sudah boleh dilantik sebagai duta PBB untuk portfolio keselamatan antarabangsa. Semua prosedur operasi standard akan dijelaskan, semua tugas hakikinya dihafal setiap satu, semua sekali sering dijelaskan pada Hana Zahirah.
"Bosanlah. Jom balik," ajak Hana Zahirah.
Keindahan majlis post party ini serta kelekaan mereka berdua berbual membuatkan masa yang berlalu langsung tidak disedari. Sudah dua jam setengah mereka berdua berada di dalam parti ini.
"Dah nak balik?" Zhafran sekadar meminta kepastian.
"Sebelum mereka semua mula mabuk dan all of the stripper mula buka baju. I wanna get out of here. Saya tak nak cemari mata awak." Hana Zahirah bangun dan menolak kerusinya ke tempat asal.
"I don't think that I need protection over something like that," ujar Zhafran yang sebenarnya agak teruja melihat senyuman nipis yang terukir di bibir Hana Zahirah. Manis sekali dipandangannya.
"I don't want to see you turn into pervert," jawab Hana Zahirah.
"As you wish, jom balik."
Selama ini Zhafran cuma pelik dengan sikap Hana Zahirah namun hari ini dia sendiri pelik dengan sikapnya. Sejak bila pula dia perlu menyambung ayat hanya untuk memastikan wataknya tidak membosankan buat majikannya? Sejak bila pula Zhafran pandai senyum pada majikannya?
Sejak bila pula Zhafran bersikap santai begini pada majikannya? Sejak bila pula apa yang dicakapkannya perlu membuat dia berkira-kira dengan riak wajah majikannya?
Zhafran tidak dapat menjawab soalan itu semua. Yang pasti dia tidak mahu menjadi orang yang membosankan di mata Hana Zahirah. Zhafran tidak mahu menjadi pengawal peribadi yang beku sahaja di hadapan Hana Zahirah.
Kenapa semua yang dilakukan pada malam ini memerlukan dia untuk mempertimbangkan tentang penerimaan Hana Zahirah? Kenapa? Zhafran jelas tiada jawapan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co