Bab 14
"Kenapa tidak?" soal Hana Zahirah.
Buntang matanya tatkala dia mendengar jawapan yang keluar dari mulut Datuk Salleh. Tatkala segalanya sudah hampir selesai dan dimuktamadkan, keputusan sebegitu boleh menyebabkan segala-galanya lintang-pukang.
Lakaran koleksi barang kemas yang ditukar mengikut tema The Emperor sudah pun berjaya disiapkan mengikut jadual dan diluluskan oleh jawatankuasa penilai yang bertanggungjawab. Segalanya sudah hampir selesai kecuali permintaan Hana Zahirah untuk batu delima jenis Pigeon Blood yang dikatakan terlalu tinggi nilainya.
"Kita sedang bercakap tentang permintaan Cik Hana untuk gunakan dua ratus lima puluh karat Pigeon Blood sekaligus. It's ridiculous. Saya tak rasa yang jumlah berkenaan bersesuaian," ujar Datuk Salleh.
Beliau merupakan wakil Regalia Mining yang bertanggungjawab menjaga rizab batu permata milik Regalia Group di lima buah lombong milik Regalia Group dan juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Regalia Group. Keputusan yang dibuatnya amat penting demi memastikan corak perbelanjaan Regalia Group tidak melebihi jumlah yang ditetapkan dalam belanjawan tahunan syarikat.
"Dan saya sedang bercakap tentang sambutan ulang tahun Regalia Group kali ke-80. This is important to me and important to Regalia Group. Why not?"
Hana Zahirah sedar yang dia kini sedang memohon sejumlah besar batu permata yang bernilai hampir sembilan puluh enam juta USD namun, dia enggan berputus asa. Selagi permintaannya boleh dipertimbangkan, dia akan memujuk semua yang terlibat termasuklah Puan Sri Zaharah.
"Jumlah itu terlalu besar. Pigeon Blood bukan senang dicari. Saya tidak boleh membenarkan Cik Hana gunakan kesemua simpanan yang kita ada," bantah Datuk Salleh.
Permata jenis ini pernah dijual di Geneva oleh Syarikat Lelongan Sotheby's dengan harga mencecah 148 ribu USD satu karat pada tahun 1995. Batu permata Pigeon Blood seberat dua puluh tujuh karat itu berjaya dijual pada harga 4 juta USD pada tahun berkenaan. Cuba bayangkan berapa harga satu karat Pigeon Blood kini, setelah dua puluh dua tahun berlalu?
"Kita adalah pelombong terbesar Pigeon Blood, kita pemilik dengan jumlah terbesar, kita pembekal terbesar. Takkanlah tak boleh?"
"Segala yang 'terbesar' Cik Hana sebut tadi bakal jadi 'terkecil' kalau saya tunaikan permintaan Cik Hana sekarang," jawab Datuk Salleh.
Jawapan yang sedikit lucu itu mengundang tawa semua yang ada. Suasana yang sedikit tegang kendur jadinya.
"Saya rasa semua yang ada di dalam mesyuarat ini mahu tahu, berapa jumlah rizab Pigeon Blood yang ada dalam simpanan?" Faiz Izzudin mencelah.
Dia perlu masuk campur memandangkan kedua-dua pihak enggan mengalah. Perkara ini tidak akan dapat diselesaikan dengan mudah jika semua pihak mengambil sikap enggan mengalah.
"Pigeon Blood terbaik yang kita ada sekitar empat ratus karat buat masa ni. Ya, aktiviti perlombongan berjalan seperti biasa. Setiap hari. Tapi untuk mencari dan mengumpul sebanyak itu memerlukan masa bertahun-tahun. Kalau Cik Hana tidak keberatan, kita ada lebih seribu karat Pigeon Blood kelas kedua. Jika Cik Hana mahu, saya boleh sediakan batu permata jenis itu bila-bila masa," ujar Datuk Salleh.
"Kelas kedua? Saya takkan gunakan permata kelas kedua kali ini," putus Hana Zahirah tanpa perlu berfikir panjang.
"Team saya dah bekerja keras untuk projek ini selama berbulan-bulan. I am not going to use second class gem," tambahnya lagi. Dia mula serius kerana hasil kerjanya kini menjadi taruhan.
"Jangan lupa juga dengan hasil usaha pekerja kita di dalam lombong sana yang sedang bermandi lumpur untuk mencari permata tu semua. Sebagai mana yang kita semua tahu, kita perlu menilai banyak aspek penting untuk menyimpan dan meningkatkan jumlah rizab yang kita ada. Kualiti, saiz, kepekatan warna, jenis potongan, berat dan lain-lain. Semua kita kena ambil kira."
"Saya takkan lupa hasil penat lelah mereka. Oleh sebab itulah saya nak gunakan kesempatan ini untuk memperagakan hasil titik peluh mereka. Buat apa nak simpan semua itu kalau kita tidak gunakan untuk majlis sepenting ini?" Hana Zahirah juga mahu menyuarakan pendapatnya.
"Ulang tahun ke-80 adalah satu pencapaian besar buat Regalia Group. Kita mesti gunakan permata terbaik yang kita ada untuk meningkatkan prestij, reputasi dan imej kita. Sambutan kali ini akan turut disiarkan secara langsung di seluruh Asia. Saya tak nampak sebarang masalah di sini."
"Cik Hana sedang memohon untuk menggunakan hampir enam puluh dua peratus simpanan yang ada. Empat ratus karat yang kita ada sekarang memang akan bertambah tetapi tiada sesiapa yang boleh jamin lombong di Mogok Myanmar mampu mengeluarkan hasil yang sama selepas ini. Kita perlu berhati-hati."
Pigeon Blood merupakan jenis batu delima yang mempunyai nilai paling tinggi di antara batu-batu permata di dunia. Pigeon Blood mendapat nama melalui keadaan fizikalnya yang berwarna merah darah seumpama darah merpati. Kepekatan warnanya hampir menyerupai warna bara api arang batu selain ia mempunyai sifat jernih yang ketara.
Apa yang menariknya, batu delima ini hanya boleh didapati di Myanmar. Regalia Mining merupakan anak syarikat yang bertanggungjawab menguruskan perlombongan batu permata jenis ini di daerah Mogok Myanmar. Keputusan Tan Sri Kamarul Bahrin untuk membeli lombong ini daripada junta tentera Myanmar membawa kepada keuntungan berlipat kali ganda.
"Berhenti sekejap. Cukup!" arah Puan Sri Zaharah tiba-tiba.
Puan Sri Zaharah perlu memainkan peranannya selaku pengerusi mesyuarat kerana jika dibiarkan mungkin Datuk Salleh dan Hana Zahirah mula membaling kerusi meja di dalam bilik mesyuarat ini demi mempertahankan batu permata milik penuh Regalia Group.
"Apa yang Cik Hana cakap memang ada betulnya." Puan Sri Zaharah bersuara setelah mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak.
"Tapi, membenarkan rizab Pigeon Blood digunakan sebanyak lebih lima puluh peratus dalam satu barisan koleksi yang dikeluarkan secara serentak bukan satu pilihan yang baik," tambah Puan Sri Zaharah. Jawapan Puan Sri Zaharah mengundang senyum Datuk Salleh manakala lain pula yang tercorak di wajah Hana Zahirah.
"It seem like soal bajet dan rizab simpanan yang menjadi bahan pertikaian sekarang. Cik Hana, tolong bacakan senarai batu permata yang team awak nak gunakan pada kami?" pinta Datuk Suhaimi. Salah seorang ahli jawatankuasa kira-kira Regalia Group.
"Baiklah, saya akan ulang semula. Jenis-jenis batu permata yang saya mahukan adalah Pigeon Blood, Serendibite, Blue Garnet dan Musgravite. Kami juga mahukan mutiara Mandalay untuk projek ini manakala kesemua rangka asas barang kemas pada kali ini akan menggunakan emas putih platinum. Anda boleh rujuk maklumat mengenai jumlah sebenar yang kami mahukan di muka surat enam." Hana Zahirah menjawab soalan yang dikemukakan sambil mengangkat proposal dari jabatannya yang mengandungi maklumat lengkap tentang permata yang mereka mahukan.
"Secara kasarnya, kita menganggarkan bahawa projek The Emperor ini akan menelan kos hampir dua ratus sepuluh juta dolar kesemuanya untuk menghasilkan kesemua tiga puluh koleksi yang bakal diperagakan pada Disember," ujar Hana Zahirah.
"Macam mana, Datuk Salleh?" soal Puan Sri Zaharah.
"Sebenarnya soal bajet bukan masalahnya. Dua ratus sepuluh juta USD masih lagi belum melepasi bajet tambahan yang telah Regalia Group asingkan dari belanjawan tahunan yang asal. Kami bersetuju dengan semua permintaan untuk projek ini, kecuali yang melibatkan Pigeon Blood. Enam puluh dua peratus penggunaan adalah nilai yang amat tinggi. Terus terang, saya berat hati nak luluskan proposal ni." Datuk Nazri memberikan jawapannya. Gelengan kepalanya membuatkan Hana Zahirah tidak senang duduk.
"Macam mana, Cik Hana?" Faiz Izzudin mahukan kata putus.
"Puan Sri macam mana?" Hana Zahirah mengalihkan soalan pada mamanya yang mempengerusikan mesyuarat.
"Macam inilah. Saya cuma membuat andaian sekarang, ya. Katakanlah yang Cik Hana sudi kurangkan jumlah Pigeon Blood itu di dalam koleksinya hujung tahun ini, berapakah jumlah yang Datuk Salleh fikirkan sesuai?"
"Kurang daripada lima puluh peratus is fine for me. It's sound better," ujar Datuk Salleh.
"Maksudnya, hanya tinggal 200 karat? Maksudnya, saya perlu kurangkan senarai koleksi kali ini?" Hana Zahirah kurang bersetuju.
Tak mungkin dia menggugurkan mana-mana koleksi yang sudah pun memerah keringat, tenaga dan masa anak-anak buahnya selama beberapa bulan. Kesemua koleksi yang sudah pun dipilih tidak akan digugurkan oleh Hana Zahirah walau dengan apa alasan sekalipun.
"Macam inilah. Kalau jabatan kreatif sanggup turunkan jumlah Pigeon Blood itu, saya akan luluskan seratus karat Red Beryl Emerald yang kita ada dalam simpanan rizab di Mexico. I will give it to you in instant." Satu tawaran disuarakan Datuk Nazri.
"Pilihan lain dah ditawarkan. Macam mana?" Puan Sri Zaharah memandang wajah Hana Zahirah yang kelihatan sedang berkira-kira.
"Saya rasa tawaran itu menarik." Faiz Izzudin turut sama memberikan pendapat. Walaupun bukan datang daripada jenis yang sama, Red Beryl Emerald juga merupakan permata merah yang mempunyai kualiti dan permintaan tinggi.
"Are you sure?" Hana Zahirah mahukan kepastian. Dia berlembut kerana diberikan tawaran yang agak bagus.
"Amat pasti." Kesemua yang ada nampaknya mengangguk dengan tawaran yang diberikan.
"Baiklah, saya setuju. Tapi dengan satu syarat." Hana Zahirah masih lagi mahu membuat tawar-menawar.
"Apa syaratnya?"
"Jika dalam masa dua bulan, simpanan Pigeon Blood meningkat lebih dari lima ratus karat. Saya mahukan semula lima puluh karat yang saya nyatakan pada awal tadi." Hana Zahirah tetap mahukan Pigeon Blood sebagai permata utamanya.
"As you wish. Tapi suka untuk saya ingatkan pada Cik Hana. It takes about three year to collect four hundred carat that we have right now. To expect about few hundred carats in two month is a bit unrealistic." Datuk Nazri memberikan peringatan.
"Jadi saya minta semua tolong doakan saya. Selagi dua bulan ini tidak tamat. Saya tetap mahukan Pigeon Blood. Maknanya saya akan asingkan beberapa koleksi yang mungkin akan tetap menggunakan Pigeon Blood ataupun tukar kepada Red Beryl Emerald."
"Problem solve." Faiz Izzudin dan semua yang ada menghela nafas lega. Kedegilan kedua-dua pihak mengheret mesyuarat sehingga lima jam lamanya.
Kesemua mereka akhirnya dijemput ke bilik jamuan. Jamuan tengah hari telah disediakan untuk dinikmati oleh semua.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co