Truyen3h.Co

KERNA AKU PERLU KAMU

Bab 15

karyaseni2u

"Kau mimpi apa datang pejabat petang ni?" Fitri terkejut dengan kedatangan Zhafran pada siang hari begini sedangkan rakannya ini sepatutnya sedang bertugas.

"Selepas dekat empat bulan, petang ini baru aku dapat cuti. Terus aku datang sini cari kau. Bangga tak kau?" Zhafran tersengih.

"Bangga sangat. Bos kau ke mana?"

"Dia duduk di rumah sahaja hari ini dan esok. Cuti katanya. Means as long as dia tak keluar dari rumahnya, aku free petang ini dan esok."

"Kau masuk pejabatlah maksudnya, kan?"

"Ya la, sebab itu aku ada dekat sini."

"Good. Dekat atas meja kau ada beberapa dokumen yang aku nak kau tolong periksa sekejap. Aku tak sempat nak periksa lagi. Yang mana nak kena tandatangan, kau terus tandatangan tau. Jangan ada yang tertinggal pula." Fitri menitipkan pesan.

"Aku akan periksa semua nanti. Kalau ada apa-apa just knock my door," pesan Zhafran sebelum menghilang.

"Zhaf, kau ada rancangan nak ke mana-mana tak petang ni?" Fitri memanggil sebelum Zhafran hilang di pandangannya.

"Tak ada, kenapa?"

"Petang ni kita ada temu duga tau. Ada dua puluh tiga orang calon. Kau nak attend jadi interviewer tak?"

"Maksud kau, aku nak kena tanya soalan la dekat mereka?"

"Lebih kurang macam tu la."

"Kau bagi aku acara yang mencabar sikit boleh tak?"

"Kenapa?"

"Aku tak ada buat apa pun sepanjang menjaga Cik Hana Zahirah tu. Benda yang paling mencabar aku pernah buat ialah angkat kotak buku. Selebihnya aku cuma duduk goyang kaki. Otot-otot aku semua dah macam malu-malu nak keluar."

"La pula? Malam ni la. Sesiapa yang lepas temu duga petang ini, kita buat ujian kecergasan dan latihan bela diri. Ada battle. Kau datanglah."

"Battle apa?"

"Judo. Klien baru kita dari Pejabat Kedutaan Jepun requesting for a firearm Judoka Squad untuk seluruh ahli keluarga dia. So, I am preparing for that request. Kesemua yang datang hari ni adalah judoka. Makanan kaulah mereka tu kan malam nanti."

"Betul ke?"

"Betul la."

"By the way, kenapa judo?"

"Kau tahulah, mereka kan pegawai kedutaan yang berkhidmat sebagai pegawai kerajaan. Patriotik value tu penting," jawab Fitri dengan mimik wajah yang paling patriotik sekali pernah Zhafran lihat. Buruk sungguh!!!

"Baiklah, malam ni aku datang." Jawapan Fitri memuaskan hatinya. Girang Zhafran memikirkan aktiviti malam harinya nanti.

Sudah lama sebenarnya dia menantikan peluang begini. Menjaga Hana Zahirah merupakan dugaan terbesar buatnya. Dia terpaksa menghabiskan banyak masa di gim sejurus selepas menghantar Hana Zahirah pulang ke rumah setiap hari bagi memastikan tahap kecergasannya sentiasa berada di tahap tertinggi.

Sukar mahu mengekalkan ketangkasan diri jika kerjanya hanya duduk dan makan sahaja di studio Regalia. Kadang-kadang terfikir pula Zhafran mengenai tugas sebenar dia. Mengapa perlu mencari pengawal peribadi berpengalaman, mempunyai lesen senjata api dan berketangkasan tinggi hanya jika mahu dia duduk sahaja.

Tatkala Zhafran dapat berseronok malam ini, lain pula ceritanya dengan Hana Zahirah. Malam yang sepatutnya dihabiskan dengan merehatkan diri terpaksa dibazirkan oleh Hana Zahirah dengan melayan tuntutan mamanya. Tanpa sebarang pemberitahuan, Puan Sri Zaharah menganjurkan majlis makan malam buat sahabat karibnya.

Seluruh ahli keluarga besar Dato Seri Azleenda Awang Kechik yang juga merupakan seorang pegawai konsulat Malaysia di Maldives dijemput hadir bagi majlis ini. Menurut mamanya dalam ucapan ringkas sebentar tadi, majlis ini diadakan bagi menyambut kepulangan Dato Seri Azleenda ke Malaysia setelah bersara tidak lama dahulu.

Mereka sekeluarga dijemput untuk majlis makan malam bersama-sama dengan beberapa buah keluarga terdekat dan Hana Zahirah yang kepenatan pula sedang duduk di meja makan sambil mengukirkan senyuman paling manis buat semua yang ada di ruang berkenaan. Faiz Izzudin turut sama kelihatan hadir bersama-sama anak dan isterinya.

Ada apa?

Soal Hana Zahirah. Tatkala mereka semua rancak berbual, Hana Zahirah mengambil kesempatan untuk menghantar pesanan ringkas.

Masing-masing kelihatan rancak berbual tentang itu dan ini kecualilah Hana Zahirah. Dia sedikit gelisah memandangkan telefon pintarnya yang ditetapkan dalam nada getar, sejak dari tadi menyala menunjukkan isyarat panggilan masuk.

Keadaan itu sedikit sebanyak mengganggunya apatah lagi apabila nama Iyad Zaim kelihatan tertera di skrin telefonnya. Adalah tidak sopan untuk menerima panggilan berkenaan kala ini kerana ada 'table manner' yang perlu dijaganya.

Saya nak jumpa awak.

Jawab Iyad Zaim.

Mama saya ada di rumah sekarang. Kita mana boleh berjumpa macam ni.

Hana Zahirah mengerutkan dahinya.

Pesanan Iyad Zaim yang terpapar di ruang matanya sedikit sebanyak mengganggunya. Wajah mamanya yang berada bersebelahan turut dipandang. Hana Zahirah mati akal.

Saya tahu tapi, kita perlu bertemu.

Balas Iyad Zaim tekad. Dia perlu bertemu Hana Zahirah segera.

Saya tak boleh janji tau. Kalau mama saya soal banyak sangat nanti, saya takkan keluar. Awak tahu kan, saya tak nak mama saya tahu pasal kita.

Saya faham tapi tolonglah datang. Kita perlu berbincang.

Pinta Iyad Zaim melalui pesanan yang lain.

Kita jumpa di tempat biasa tau. Lebih kurang setengah jam lagi. Saya akan cuba cari jalan.

Hana Zahirah tidak tahu apa yang mahu dibincangkan tapi dia tahu yang Iyad Zaim serius mahu berjumpanya.

Saya akan tunggu awak di sana. Pastikan awak datang.

Pesanan terakhir itu membuatkan Hana Zahirah menggigit bibir sendiri. Dia kehabisan idea mahu meneka tujuan Iyad Zaim mahu bertemunya kerana selama ini Iyad Zaim amat berhati-hati dengan segala yang ingin dilakukan dengan Hana Zahirah.

Tidak pernah sekali pun mereka berjumpa tatkala Puan Sri Zaharah ada di rumah. Hana Zahirah mati akal. Bagaimana mahu melarikan diri dari situasi ini.

"Kenapa ni?"

Lamunan Hana Zahirah tersentak tatkala suara mamanya kedengaran begitu dekat. Puan Sri Zaharah perasan yang Hana Zahirah kelihatan sedikit terganggu. Dia mula bertanya dalam separuh berbisik sambil melebarkan senyuman bagi menutup kejanggalan antara mereka.

"Hana kena keluar sekejap. Boleh tak?" Hana Zahirah tekad. Dia perlu berjumpa dengan Iyad Zaim. Oleh itu, dia memilih untuk berterus terang.

"Penting ke?" Soal Puan Sri Zaharah.

"Hmmm..." jawab Hana Zahirah. Dia tahu yang kemungkinan untuk dia melepaskan diri amatlah tipis.

"Hana greet them first then pergilah. Tak apa, Hana pergilah." Tanpa banyak soal, Puan Sri Zaharah memberi keizinan.

Jawapan positif daripada Puan Sri Zaharah mengundang senyuman di bibir Hana Zahirah. Dia langsung tidak menyangka yang segalanya berjalan mudah pada malam ini buatnya. Mungkin mamanya mahu memberi peluang untuk dia bersuka ria setelah berbulan-bulan terperuk di studio.

Seperti yang diarahkan, Hana Zahirah meminta diri pada semua tetamu sebelum menghilang untuk menggantikan pakaiannya. Dia keluar mengikut pintu belakang bagi mengelak dari terserempak dengan tetamu mamanya yang masih lagi menjamu selera.

Hana Zahirah mengenakan seluar denim putih bersama-sama dengan blouse berwarna senada. Mekapnya yang sedikit tebal sengaja dinipiskan bagi memberikan kesan natural. Gincu berwarna merah jambu menjadi pilihan.

Rambutnya yang ditata rapi selama satu jam lebih oleh Danny untuk majlis malam ini, dipintal dan diikat kemas mengikut kesukaan Iyad Zaim. Memandangkan waktu pertemuannya dengan Iyad Zaim sudah mula mendekat, Hana Zahirah merembat sahaja sepasang stiletto berwarna hitam yang berada di dalam almari kasut.

Dek enggan terlambat, Hana Zahirah memilih untuk tidak menghubungi Zhafran. Dia mahu ke sana sendiri pada malam ini. Biarlah malam ini, dia dan Iyad Zaim boleh berbual dengan lebih selesa tanpa kehadiran Zhafran yang selama ini sering menemani mereka. Topi merah hadiah daripada Iyad Zaim dahulu dicapai dan disaruk ke kepalanya.

Itulah Hana Zahirah. Demi Iyad Zaim dia sanggup merubah gaya. Demi Iyad Zaim, dia sanggup berdepan dengan mamanya dan demi Iyad Zaim, rasanya dia mampu lakukan apa sahaja. Cintanya pada Iyad Zaim nampaknya sudah tiada tara.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co