Truyen3h.Co

KERNA AKU PERLU KAMU

Bab 3

karyaseni2u

Tidak lama kemudian, Hana Zahirah dapat melihat kelibat seorang lelaki berusia dalam lingkungan awal 30-an berjalan masuk ke dalam bilik Puan Sri Zaharah sambil diiringi oleh Diane. Hana Zahirah sempat menilik dari atas ke bawah. Dia agak keliru dengan tugasan pekerja barunya ini.

"Puan Sri ada apa-apa arahan lagi?" Diane sekadar bertanya sebelum dia keluar dari bilik berkenaan.

"Tak ada, Diane. Kalau ada apa-apa nanti saya beritahu awak semula. Awak boleh keluar sekarang," arah Puan Sri Zaharah.

"Baik, Puan Sri." Diane berlalu pergi meninggalkan majikannya bersama dengan pekerja baru yang diiring olehnya tadi.

"Dia tak nampak macam pereka barang kemas pun?" Hana Zahirah meluahkan kemusykilannya. Staf barunya ini langsung tiada aura sebagai pereka barang kemas.

Berkulit sawo matang dengan ketinggian lebih kurang 185 sentimeter, berat badannya pula dianggarkan sekitar 78 kilogram, bertubuh tegap serta berpakaian kemas. Lelaki ini turut mengenakan gaya rambut fade yang membuatkan penampilannya kelihatan amat kemas.

Fade merupakan gaya terbaru yang diilhamkan dengan potongan rambut pendek dan tebal di bahagian atas kepala dan bahagian tepi pula dipotong pendek dan nipis. Tak mungkinlah lelaki ini adalah seorang pereka barang kemas. Secara mata kasar, keadaan fizikal lelaki ini langsung tiada gaya sebagai seorang pereka.

"Sebab tu mama cakap yang dia takkan bekerja dengan Hana di studio. Ini Encik Khairil Zhafran Zainal Abidin. Dia pengawal peribadi baharu Hana dan dia akan memulakan tugas dia hari ini juga." Puan Sri Zaharah memperkenalkan staf yang dia sendiri carikan demi melindungi Hana Zahirah.

"Apa maksud mama?" soal Hana Zahirah dalam keadaan keliru. Wajah mamanya dan wajah pengawal barunya bergilir-gilir ditilik oleh Hana Zahirah.

"Hana kan dah ada Encik Yusuf yang jaga Hana selama ini. Nak buat apa ramai-ramai?" Hana Zahirah mengerutkan dahi, tiada angin tiada ribut, mamanya melantik pengawal peribadi baharu buatnya.

"Encik Yusuf dah ditamatkan perkhidmatan. Dia bukan pengawal peribadi Hana lagi. Mulai hari ini, Encik Zhafran akan menggantikan Encik Yusuf. Dia akan ikut Hana ke mana sahaja Hana pergi macam biasa."

"Apa ni, mama?" Wajah Hana Zahirah bertukar rona. Telinganya juga mula memerah.

"Apa? Ini pengawal baru Hana, apa masalahnya?" Puan Sri Zaharah sudah pun menjangka reaksi anaknya ini.

"Hana tak nak pengawal baru." Hana Zahirah menolak mentah-mentah cadangan Puan Sri Zaharah.

"Hana rasa Hana perlu bercakap dengan Encik Yusuf dulu." Hana Zahirah mengeluarkan telefon pintarnya lantas mendail nombor bekas pengawalnya. Tiada suara yang sudi menjawab panggilan Hana Zahirah malah nada dering telefon Encik Yusuf kedengaran bergema di dalam bilik Puan Sri Zaharah.

"Tak perlu telefon dia, Hana. Hana tahu kan yang Encik Yusuf guna telefon milik Regalia. Selama ini, nombor yang dia gunakan pun milik Regalia. Sebelum dia berhenti, dia dah serahkan segalanya pada bahagian sumber manusia tadi."

"Hana jumpa Encik Yusuf dekat bawah tadi. Dia tak cakap apa-apa pun dengan Hana. Dia cakap yang dia datang minta cuti sebab dia demam. Dia langsung tak cakap apa-apa pun pada Hana pasal berhenti." Hana Zahirah nyata terkedu. Dia sendiri keliru dengan apa yang terjadi.

"Dia nak cakap apa pula dengan Hana? Dia dah berhenti kerja, tugas dia dah ditamatkan dan dia dah tak bekerja lagi dengan kita. Dia tak perlu jelaskan apa-apa pada Hana pun, kan? Dia datang tadi bukan untuk minta cuti. Mama arahkan dia untuk pulangkan semua barang-barang milik Regalia yang ada di bawah jagaannya. Itu sahaja." Puan Sri Zaharah memandang wajah Hana Zahirah.

"At least dia perlu cakap selamat tinggal pada Hana. Dia jaga Hana dah tujuh belas tahun, Hana tak sempat ucap terima kasih pun." Hana Zahirah kelihatan sedikit beremosi.

"Hana tak payah nak berterima kasih sangatlah. Dia dibayar untuk jaga Hana, dia dibayar untuk iring Hana dan dia dibayar untuk ikut setiap langkah Hana. Apa yang dia buat selama ini berbayar. Isu terima kasih tu tak perlu timbul." Puan Sri Zaharah menjawab tenang.

Dia langsung tidak berkenan dengan pendapat Hana Zahirah. Bagi Puan Sri Zaharah, seorang pekerja akan kekal cuma sebagai pekerja. Dia mahu menyedarkan Hana Zahirah akan kenyataan yang anaknya mula lupakan.

"Hana tak nak pengawal baru. Sama ada mama bawa balik Encik Yusuf ataupun tak payah terus upah pengawal untuk Hana. Hana tak nak orang yang Hana tak kenal jaga Hana." Hana Zahirah sedikit meninggikan suara.

"Jangan nak mengarut! Hana suka atau tidak, Encik Zhafran akan jaga Hana." Puan Sri Zaharah sudah pun membuat keputusan. Seperti selalu dia tidak suka jika Hana Zahirah membantah arahannya.

"Mama, umur Hana dah dua puluh tujuh tahun. Hana tahu jaga diri. Hana tak nak ada pengawal lagi." Hana Zahirah berkeras.

"Mama ada pengawal, abang ada pengawal, kakak Yasmin pun ada pengawal sendiri. Mama takkan biarkan Hana ke sana sini tanpa pengawal. Hana sepatutnya tahu perkara ini, kan?"

"Kalau macam tu, bawa Encik Yusuf balik. Hana tak nak orang lain." Hana Zahirah tidak mahu berdiplomasi tentang hal ini. Dia mahukan pengawal lamanya semula.

"Hana tahu kenapa Encik Yusuf berhenti?"

"Nak buat apa ambil tahu? Kalau Hana tahu pun, Hana boleh buat apa?" Hana Zahirah mengetap bibirnya.

"Sebab Hana dah mula layan dia macam keluarga sendiri. Mama tak suka bila Hana mula dekat dengan pekerja-pekerja bawahan. Siap balik sampai ke rumah mereka, makan minum di sana, kenal semua anak isteri dia. Ada jarak yang perlu Hana jaga. Hana tahu, kan?"

"Jadi, dia tak berhentilah. Mama pecat dia. Is it?"

"Apa mama boleh buat bila Hana mula panggil dia abah. Abah Hana? Macam mana Hana boleh panggil seorang pengawal peribadi macam tu dengan gelaran abah. Hana buat mama rasa macam nak muntah."

"Apa salahnya? Mungkin pada mama ya, tapi pada Hana, dia bukan setakat pengawal peribadi. Hana selesa dengan dia."

"Imej Hana, reputasi Hana, kedudukan Hana, nama mama, Regalia Group. Mama tak nak semua tu tercalar hanya kerana Hana mula bergaul dengan orang bawahan. Macam mana Hana boleh tergamak samakan taraf dia dengan arwah papa?" Tegas jawapan Puan Sri Zaharah.

"Ma, samakan taraf apa pula ni? Hana cuma hormatkan dia. Gelaran macam tu takkan menjatuhkan taraf papa dalam hati Hana."

"Pada mama, Hana baru sahaja buat satu kesalahan yang cukup besar," balas Puan Sri Zaharah tanpa langsung memberi muka.

Sebagai anaknya yang membesar dengan seribu satu peraturan sejak dahulu lagi, Hana Zahirah sepatutnya lebih tahu batas yang perlu dia jaga dalam setiap perlakuannya terutama ketika berada di luar rumah.

"Sekali sahaja Hana ke rumah dia. Itu pun masa hari lahir Hana tempoh hari, isteri dia dah masak untuk Hana. Hana singgah sekejap sahaja pun. Takkanlah pasal hal macam tu mama nak pecat dia? Tak masuk akallah, ma."

"Hana datang lambat ke majlis yang mama buat semata-mata sebab nak pergi sambut hari lahir Hana dengan mereka semua. Masuk akal sangat ke?"

"Hana dah cakap kan pada mama yang Hana tak nak ada sambutan, mama yang atur sendiri majlis tu semua. Mana Hana tahu yang mama nak juga buat sambutan tu. Lagipun, Hana hadir kan dalam majlis yang mama aturkan tempoh hari? Apa lagi masalahnya sekarang?"

"Hana buat tetamu kita menunggu Hana sampai setengah jam. Hana tahu kan yang masa mereka amat berharga. Ada di antara mereka yang buat duit berpuluh ribu, beratus ribu, berjuta dalam setengah jam tu. Hana buat mereka menunggu, itu yang mama tak boleh maafkan."

"Apa lagi yang Hana boleh buat untuk puaskan hati mama?" Hana Zahirah menghelakan nafas panjang.

"Walaupun Hana tak suka, Hana datang juga. Hana ukir senyuman pada tetamu mama dari langkah pertama Hana masuk sampai kesemua mereka balik. Hana ikut cakap mama, susah macam mana pun Hana ikut." Hana Zahirah meluahkan perasaannya.

"Hana minta maaf pada semua sebab Hana lambat. Hana lakukan yang terbaik untuk tebus balik tiga puluh minit yang tetamu mama dah bazirkan. Lagipun semua yang datang bukannya Hana kenal pun, mereka semua kawan-kawan mama." Dia kecewa apabila kesilapannya itu menjadi sebab seorang lagi pekerja dibuang.

"Hana anak mama. Hana tahu yang mama ada permintaan yang cukup tinggi terhadap kelakuan Hana, tingkah laku Hana, hasil kerja Hana, prestasi Hana. Semua yang Hana buat, semua yang bakal Hana buat, semua yang Hana rancang Hana nak buat. Hana kena pertimbangkan semua baik-baik," terang Puan Zaharah.

"Mama jangkakan kesempurnaan yang Hana akan beri pada mama dalam setiap apa yang Hana lakukan. Yang hadir semuanya orang-orang penting. Yang ada pengaruh. Mama nak Hana jumpa orang-orang yang macam ni. Yang boleh bagi manfaat pada Regalia, pada Hana. Bukannya jumpa dengan orang yang entah dari mana datangnya tu," sambungnya lagi.

"Susahnya menjadi anak kepada arwah Tan Sri Kamarul Bahrin Omar dan Puan Sri Zaharah Dato Mokhtar. Hana lemas, Hana rimas," luah Hana Zahirah perlahan.

"Hadir ke majlis mama yang serba mewah tu buat Hana sesak nafas. Hana rasa macam Hana ni cuma sekadar satu lagi produk Regalia yang bakal dipasarkan setiap kali Hana hadir ke majlis begitu." Hana Zahirah merungut dengan rutin hidupnya.

"Semua yang datang mula bagi markah, mula buat penilaian, mula tentukan harga. Mula nilai di mana nak letak Hana. Nak letak ke kiri atau ke kanan, nak letak di depan atau di belakang. Hana cuma manusia biasa mama, yang Regalia letakkan tanda harga." Inilah masa yang sesuai dirasakan Hana Zahirah untuk menghamburkan isi hati pada mamanya.

Masa mamanya yang begitu mahal selama ini mahu digunakan untuk dia mengadu ketidakpuasan hatinya. Dia mahu mamanya tahu apa yang dia fikirkan selama ini. Puan Sri Zaharah meletakkan semula pensel yang dia gunakan untuk melakar hasil kerjanya. Ada sesuatu yang diperkatakan oleh Hana Zahirah mengganggu konsentrasinya.

"Siapa yang cakap Hana cuma manusia biasa?" soal Puan Sri Zaharah.

"Hana Zahirah Tan Sri Kamarul Bahrin adalah anak pemilik Regalia Group," ungkap Puan Sri Zaharah. Nama anaknya disebut penuh. Dia tidak mahu Hana Zahirah lupa tentang kedudukannya yang tidak boleh dipandang rendah di mata sesiapa.

"Tempat Hana cuma di kanan dan di depan, tak ada sesiapa boleh letak Hana di kiri atau di belakang. Hana kena ingat itu!" Tegas sekali suara Puan Sri Zaharah.

"Itu hakikat, Hana. Sama ada Hana suka atau tidak, hidup Hana akan terus macam tu sampai Hana mati sebab Hana salah seorang pewaris Regalia." Tegas Puan Sri Zaharah sebagai peringatan buat Hana Zahirah.

"Hana tak tahu," geleng Hana Zahirah.

"Hana dah tak tahu macam mana nak terus hidup macam ni. Hana dah tak boleh nak kejar lagi semua angan-angan yang mama ada untuk Hana," tambah Hana Zahirah. Dia ternyata kecewa dengan persekitaran yang dimilikinya sekarang.

"Abang Hana boleh ikut cakap mama tanpa banyak soal, kenapa susah sangat nak buat Hana dengar cakap mama?" soal Puan Sri Zaharah dengan nada tegas tetapi masih tenang.

"Kalau Hana dengar cakap mama, mama akan ambil balik Encik Yusuf ke?" Hana Zahirah cuba membuat tawar-menawar dengan ibunya.

"Mama takkan termakan dengan umpan yang Hana tabur! Mama kenal sangat dengan Hana, dan Hana pun kenal mama macam mana. Encik Yusuf takkan kembali lagi sebagai pengawal peribadi Hana." Kata putus yang sememangnya sudah termaktub tak mungkin diubah oleh Puan Sri Zaharah atas apa jua alasan sekalipun.

"Apa boleh buat mama ubah fikiran?" Hana Zahirah masih mencari peluang sambil dia terus berharap agar keputusan mamanya ditarik balik.

"Hentikan semua ni, Hana! Dia dah dipecat dan mama tak nak bercakap lagi pasal pekerja yang dah tak ada kena-mengena dengan kita." Puan Sri Zaharah masih lagi tenang.

Dia menjawab semua soalan anak bongsunya dengan tenang. Pada Puan Sri Zaharah, Hana Zahirah bukan seorang yang boleh diurus dengan kemarahan.

"Tak penting buat mama tapi dia penting pada Hana. Dia jaga Hana dari Hana kecil lagi. Apa yang Hana buat, apa yang Hana hadap, apa yang Hana dapat. Semua dia tahu."

"Dia tahu jauh lebih banyak perkara mengenai Hana daripada mama. Hana selesa dengan dia, Hana selesa dengan keluarga dia. Hana tak pernah cedera selama dia jaga Hana, Hana selamat selama dia ada dengan Hana. Ada apa lagi yang tak kena?"

"Semuanya tak kena, Hana. Semua sekali. Hana sepatutnya tahu yang Hana tak boleh bergaul dengan pekerja bawahan sampai macam tu sekali. Macam mana kalau tiba-tiba mereka manipulasikan Hana? Mama tak nak ambil apa-apa risiko."

"Mama tak pernah ada masa untuk Hana. Apa salahnya Hana rapat dengan keluarga dia?" Hana Zahirah mengeluh kecil.

"Mama tak nak dengar, Hana. Encik Yusuf dah tiada kaitan dengan kita. Hana tak perlu buang masa cari dia dan keluarga dia lagi."

"Hana tak peduli. Hana malas nak ambil peduli lagi." Hana Zahirah lantas bangun.

Tiada guna menunggu di situ. Dia malas mahu bertekak lagi dengan mamanya. Dia tahu yang kata-kata mamanya memang tidak boleh dibantah lagi.

"Hana nak ke mana?"

"Cari Encik Yusuf. Hana nak ke rumah dia."

"Mama akan hantar orang ke sana kalau Hana berdegil juga macam ni. Hana tahu apa yang mama boleh buat, kan? Hana tahu perangai mama macam mana?" Puan Sri Zaharah benar-benar maksudkan apa yang dikatakannya.

"Kalau Hana tetap juga buat perangai budak-budak macam ni, mama akan buat sampai Encik Yusuf pindah rumah. Hana nak mama buat macam tu ke?" ugut Puan Sri Zaharah bagi memastikan arahannya dituruti.

Kalau boleh, dia tidak mahu langsung Hana Zahirah terus berhubung dengan semua individu yang tak mempunyai apa-apa kepentingan untuknya.

"Mama betul-betul buat Hana jadi orang yang tak mengenang budi, kan?" Hana Zahirah mengeluh perlahan.

Tentu sahaja Hana Zahirah kenal dan tahu setiap satu sikap mamanya. Selama ini dia hidup hanya untuk memenuhi segala permintaan Puan Sri Zaharah sahaja.

Percaturan yang salah dalam tindakannya bakal menyebabkan orang di sekeliling yang menanggung akibatnya. Ada yang dipecat, ada yang dipindahkan, ada yang ditamatkan kontrak serta-merta. Semuanya ada sehingga Hana Zahirah merasa yang lehernya seperti dijerut sedikit demi sedikit oleh mamanya sendiri. Semakin hari suasana menjadi semakin merimaskan buat gadis ini.

"Mereka yang perlu kenang budi kita. Kita bayar dia selama ini. Dia bekerja untuk kita. Kita tanggung keluarga dia selama ini. Setiap titik peluh mereka berbayar. Bukannya diberikan percuma pada kita." Itulah prinsip yang dipegang Puan Sri Zaharah.

"Encik Yusuf dah tahu kenapa mama pecat dia dan dia sendiri mengaku yang dia tersilap langkah. Dia tahu yang dia tak sepatutnya biarkan Hana rapat dengan orang luar hatta dengan ahli keluarganya sendiri." Puan Sri Zaharah memberi penjelasan

"Dia gagal jalankan tugas dia. Dia tahu tu. Dia dipecat sebab dia melanggar etika kerja. Mama tak nak Hana cuba cari atau sebut lagi pasal hal ni. Hana faham tak?" sambungnya lagi.

Zhafran hanya berdiri tegak memandang kedua-dua figura yang sedang bertekak dengan nada yang begitu tenang di hadapannya. Pelik pula dia melihat cara kedua-dua anak-beranak ini bertengkar. Puan Sri Zaharah masih kelihatan dapat mengukir senyuman tatkala anaknya Hana Zahirah membantah setiap arahan yang diberikan.

Zhafran tersepit di tengah-tengah. Mungkin kedua-dua majikan barunya ini lupa akan kehadirannya sejak dari tadi ataupun mereka 'tidak nampak' akan kehadirannya yang begitu besar sedang berdiri. Hairan pula dia dengan situasi yang sedang dihadapinya.

"Baiklah. Hana kalah." Hana Zahirah mengangkat kedua-dua belah tangannya tanda mengalah sambil menggelengkan kepala.

"Mama buatlah apa mama nak buat pun. Lebih baik Hana balik dan siapkan kerja-kerja Hana yang bertimbun daripada bergaduh dengan mama." Hana Zahirah kalah seperti biasa. Tidak ada apa-apa yang mampu dibuat lagi jika dia berdepan dengan mamanya.

"Ini semua demi Hana. Semua yang mama buat demi Hana. Ingat tu." Lembut sahaja intonasi yang digunakan Puan Sri Zaharah.

Dia bangun memeluk Hana Zahirah. Dia lakukan semua itu demi kepentingan Hana Zahirah dan tak mungkin dia membiarkan Hana Zahirah terdedah kepada apa-apa pun tanpa kawalan.

Pelukan Puan Sri Zaharah tidak dibalas Hana Zahirah. Dia sekadar berdiam sahaja di dalam pelukan mamanya. Marahnya tidak kunjung reda, Hana Zahirah merasa sesak. Ayat 'semua untuk Hana' yang sering diucap oleh mamanya itu seringkali menaikkan darahnya.

"Hana nak balik ke studio. Lain kali tolong jangan ganggu Hana untuk perkara yang macam ni. Kalau ada sesiapa lagi yang mama nak pecat. Just sacked them off. Tak perlu tanya Hana. Itu lagi mudah buat kita berdua." Hana Zahirah mencapai clutch miliknya dan berlalu.

"Tak. Mama takkan hubungi Hana buat sementara waktu. Mama akan ke New York petang ini untuk hadiri lelongan Sotheby's dalam empat hari. I won't bother you this week," jawab Puan Sri Zaharah.

"Hmmm." Itu sahaja yang keluar dari mulut Hana Zahirah.

"Hana Zahirah!" panggil Puan Sri Zaharah sebelum anaknya menghilangkan diri. Ada lagi yang tidak kena di pandangannya.

"Ada apa lagi?" Hana Zahirah sekadar mematikan langkah dan langsung tidak berpaling memandang mamanya di belakang.

"Mama tengok Hana dah pakai kasut yang sama tiga kali. Jangan biar mama tengok Hana pakai kasut itu untuk kali keempat. Tukar, jangan pakai lagi."

"Ini cuma kasut, ma. Cuma kasut." Hana Zahirah langsung tidak menjangka yang mamanya bakal membangkitkan soal kasut tatkala ini.

"A good shoes will always take you to good places. Tukar kasut atau mama tukar lagi perunding imej Hana," desak Puan Sri Zaharah.

"Hana balik dulu." Hana Zahirah sebal dengan situasi yang sedang dihadapinya sekarang. Kesabarannya sering diuji oleh permintaan tinggi Puan Sri Zaharah.

"Mama bayar mereka untuk bekerja, jaga imej Hana. Mereka sepatutnya hantar surat berhenti kalau tak boleh nak buat kerja."

"Whatever, ma." Hana Zahirah melangkah pergi sambil menggelengkan kepala.

27 tahun hidup sebumbung dengan Puan Sri Zaharah membuatkan Hana Zahirah faham satu perkara. Mamanya punya segala. Wang berjuta, lombong emas, lombong permata, syarikat yang cukup gah bertapak, anak-anak yang ada dengannya.

Karisma sebagai pemimpin, kredibiliti selaku pengarah, imej bersih tanpa cela, kecantikan yang tidak dimamah usia. Semuanya milik Puan Sri Zaharah kecuali satu benda. Mamanya insan yang tidak punya hati. Hana Zahirah lelah kerana sering diperlakukan begini.

"Ikut dia! Pastikan awak ada di mana sahaja, bila-bila masa. Jangan sampai saya dengar benda-benda pelik kalau awak tak mahu dipecat," arah Puan Sri Zaharah pada Zhafran.

"Baik, puan!" Zhafran sekadar bersetuju lalu mengatur langkah pantas mengejar anak majikannya.

Sememangnya dia sudah mempunyai pengalaman bekerja dengan golongan elit begini. Bertumbuk, merajuk, mabuk, pesta liar, pesta dadah dan sebagainya sudah pun dia rasa sebelum ini. Namun inilah kali pertama dia bekerja dengan majikan yang bertengkar dengan begitu 'tenang'.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co