Bab 5
Waktu sudah pun merangkak ke angka tujuh setengah malam. Hana Zahirah sedang duduk menikmati makan malamnya bersendirian di dalam rumah agam serba mewah yang sunyi sepi ini. Tanpa kehadiran mamanya, Hana Zahirah mengarahkan pembantu rumah bercuti sahaja selama empat hari kecuali pengawal keselamatan yang bertugas menjaga rumah ini.
Beginilah keadaannya setiap hari di rumah ini. Ketiadaan mamanya yang sudah dua hari berlepas ke New York tidak mengubah apa-apa kerana walaupun jika Puan Sri Zaharah ada di Malaysia, keadaan rumah itu tetap sama terutamanya selepas abangnya Faiz Izzudin mendirikan rumah tangga lapan tahun lepas. Sunyi sepi.
Hana Zahirah dan Puan Sri Zaharah jarang sekali duduk semeja apatah lagi makan bersama. Kesibukan mamanya dengan segala macam urusan pejabat, mesyuarat, persatuan, majlis makan malam dan lain-lain tugasan menghalang mereka berdua untuk menghabiskan masa bersama.
Sudahnya meja makan berasaskan kayu jati yang mampu memuatkan lapan belas orang tetamu itu jarang sekali digunakan. Hanya Hana Zahirah sahaja yang kadangkala makan di ruang ini bertemankan lampu chandelier sebesar kapal UFO, pasu bunga berisi berbelas kuntum bunga tulip kaca serta pinggan mangkuk mewah yang sebulan sekali sahaja digunakan. Selebihnya dia banyak mengisi perut ketika berada di studionya sahaja.
Hana Zahirah.
Satu mesej dengan emoticon smiley muncul di skrin telefon Hana Zahirah. Mesej yang ditunggu-tunggu akhirnya muncul juga.
Ya, Iyad Zaim. Kenapa?
Mesej dibalas dengan emoticon yang sama. Senyuman Hana Zahirah secara automatik terukir sendiri.
Saya dah ada di Malaysia.
Serius? Bila balik?
Hana Zahirah girang membalas mesej berkenaan. Iyad Zaim sepatutnya masih berada di Washington atas urusan kerja.
Baru sampai. Saya dapat khabar yang your mom is not around, jom keluar. Kita jumpa di tempat biasa.
Baguslah kalau macam tu, lagi setengah jam kita jumpa. Miss you.
Can't wait. Jangan lambat tau. I miss you too.
Balas Iyad Zaim.
Serentak dengan itu, Hana Zahirah terus bangun meninggalkan meja makan mewahnya yang kaku tanpa penghuni itu. Dia ada janji temu yang lebih penting.
"Saya nak keluar." Suara Hana Zahirah kedengaran di corong telefon.
"Baiklah. Saya datang lagi sepuluh minit." Zhafran menerima panggilan telefon daripada Hana Zahirah sekitar jam lapan malam.
"Balik nantilah sambung makan." Zhafran memujuk dirinya sendiri.
Dia yang baru sahaja mahu menikmati makan malamnya terpaksa meninggalkan hidangannya di atas meja sahaja. Roti sandwic yang langsung tidak dipandang sebentar tadi, digapai dan disumbatkan ke mulut. Malam ini Zhafran hanya menyarung pakaian kasual dan berkasut sneaker.
"Kita nak ke mana?"
"Saya nak jumpa seseorang. Kita ke Kota Kemuning. Dah dekat nanti saya cakap." Hana Zahirah ada janji temu pada malam ini.
Zhafran memarkir kereta yang dipandunya di hadapan sebuah kafe hipster bernama Esclipe Cafe. Dia kemudiannya mengiringi Hana Zahirah berjalan masuk ke dalam kafe kecil berkenaan.
"I need some space," pinta Hana Zahirah.
"Baiklah," jawab Zhafran sambil mengangguk.
Kelihatan seorang lelaki datang mendekati Hana Zahirah dengan senyuman manis. Zhafran hanya membiarkan sahaja lelaki berkenaan berjalan mendekati mereka memandangkan senyuman lelaki berkenaan dibalas Hana Zahirah. Dia kemudiannya mengambil tempat di meja yang berdekatan bagi memberi ruang buat kedua-dua mereka untuk berbicara.
"Siapa tu?" Iyad Zaim bertanya.
"Pengawal peribadi saya yang baru."
"Abah mana? Dia dah tak kerja dengan awak ke?"
"Mama dah pecat dia. Mama tak nak saya dekat sangat dengan abah. Awak tahu mama macam mana, kan?" Walaupun sedikit terkilan dengan apa yang terjadi, tiada apa yang boleh dilakukannya.
Mahu berusaha mencari, Hana Zahirah bimbang jika perkara itu sampai ke pengetahuan mamanya, hatta mahu mengucapkan terima kasih juga sukar kerana Hana Zahirah langsung tidak tahu nombor peribadi pengawal peribadinya. Akhirnya Hana Zahirah berdiam diri, itu yang lebih baik kerana dia tidak mahu tindakan yang diambilnya menyebabkan Encik Yusuf sekeluarga terganggu.
"Susah gila nak dekat dengan awak terutama jika mama awak ada."
"Saya sendiri pun tak tahu dah nak buat macam mana."
"Tapi, habislah saya lepas ni," tutur Iyad Zaim.
"Kenapa?"
"Dulu tak ada rasa terancam sangat jadi kekasih awak. Sekarang baru terasa." Iyad Zaim seakan-akan cemburu.
"Kenapa terancam pula."
"Ya la. Kalau abah yang jaga awak, saya tak kesah sangat sebab huge age gap. Tapi sekarang, kenapa muda sangat pengawal baru awak ni?"
"Mama yang pilih. Terpaksalah terima," jawab Hana Zahirah sambil dia menyedut jus kiwi yang baru sahaja sampai ke meja mereka.
"Tak apa ke kalau dia tahu pasal kita?" Iyad Zaim sedikit gusar. Dia tidak mahu mengambil sebarang risiko.
"He seem trustable enough to back me up. Nanti saya cakap dengan dia." Hana Zahirah sebenarnya sedang meyakinkan diri sendiri.
Dia tidak tahu sama ada Zhafran akan sudi membantunya mahupun tidak. Yang pasti Hana Zahirah tidak ada cukup masa memikirkan kesudian Zhafran tatkala dia cuma ada masa dua hari sahaja untuk bertemu dengan Iyad Zaim sebelum mamanya kembali ke Malaysia.
"Baru potong rambut ke?" soal Iyad Zaim yang sememangnya seorang yang amat teliti pada setiap yang terjadi pada Hana Zahirah.
"Nampak sangat ke? Saya cuma nipiskan sedikit. Rimaslah nak kerja kalau rambut tebal sangat."
"Potong pendeklah kalau macam tu," cadang Iyad Zaim.
"Boleh ke? Awak tak kesah?" Hana Zahirah sekadar tersenyum mendengar cadangan Iyad Zaim padanya.
"Kalau awak rimas, tak selesa nanti tak boleh nak fokus buat kerja. Asalkan awak selesa. Saya tak kesah."
"Tak naklah. Sayang dah lama sangat simpan." Hana Zahirah sedikit keberatan kerana sayangkan rambutnya yang sudah pun lama disimpan panjang.
"Macam yang saya cakapkan tadi. Asalkan awak selesa. Nak potong atau tidak pun ikut suka hati awak. By the way, awak nampak cantik sangat malam ni," puji Iyad Zaim melangit sambil matanya melirik lama pada wajah polos Hana Zahirah.
Hana Zahirah tetap kelihatan cantik di matanya walaupun dengan hanya secalit mekap dan pakaian ringkas.
"Cantik apa macam ni?" Hana Zahirah memandang dirinya atas bawah. Dia cuba sedaya upaya untuk tidak kelihatan menonjol ketika berada di tempat awam dengan hanya menyarung seluar jean, T-shirt dan topi baseball.
"Betul cantik dan saya rindukan awak sangat-sangat." Wajah Hana Zahirah tidak lepas dari pandangannya. Sungguh dia rindukan gadis ini.
"Saya pun. Saya pun rindukan awak sangat-sangat." Hana Zahirah meluahkan rasa hatinya.
Iyad Zaim merupakan kekasih pertama Hana Zahirah. Hubungan mereka sudah pun berlangsung hampir empat tahun tanpa pengetahuan sesiapa termasuklah mamanya mahupun Faiz Izzudin.
Hana Zahirah berjaya menyembunyikan hubungan ini dengan bantuan Encik Yusuf. Seperti hari ini, dia dan Iyad hanya dapat berjumpa apabila ibunya ke luar negara sahaja.
Hana Zahirah berasa terharu kerana walaupun sukar untuk berjumpa, sukar untuk berhubung secara dekat, Iyad Zaim sudi berkorban untuknya. Jika dihitung semula, sudah hampir sebulan dia dan Iyad Zaim tidak dapat bertemu muka kerana Iyad Zaim sibuk dengan urusan kerjanya di luar negara. Mujurlah mamanya terbang ke New York dua hari lepas, bolehlah dia dan Iyad Zaim berjumpa untuk melepaskan rindu dalam hati.
"Tahu tak apa. Lama sangat dah kita tak jumpa." Iyad Zaim tersenyum setelah dapat bertemu dengan Hana Zahirah.
"Kan bagus kalau kita still study. Bolehlah jumpa hari-hari macam dulu. Sekarang nak jumpa seminggu sekali pun susah," rungut Hana Zahirah.
"At least kita boleh jumpa juga kan sekarang." Iyad Zaim faham apa yang dirasai Hana Zahirah. Kalau boleh dia juga mengharapkan perkara yang sama.
Terasa begitu cepat pula masa berlalu apabila memikirkan semula saat indah yang mereka berdua sempat luangkan ketika sama-sama belajar di Royal Collage Of Art di United Kingdom bagi meneruskan cita-cita sebagai pereka barang kemas. Hana Zahirah meneruskan pengajian kerana minatnya manakala Iyad Zaim berpeluang ke sana atas biasiswa yang ditawarkan Regalia Group padanya setelah dia memenangi satu pertandingan rekaan barang kemas dan berlian anjuran Regalia Group lima tahun lepas.
Kecintaan mereka berdua terhadap keindahan butiran berlian menyebabkan mereka mudah serasi dan jatuh cinta. Kini hubungan yang bermula atas alasan minat mula membibitkan cinta yang semakin dalam dan sukar digugat. Lihat sahaja bagaimana mereka berdua boleh bersabar dan terus bersabar untuk berhubung secara rahsia demi cinta yang sudah berputik.
"I am sorry. Semua sebab I. If only kalau I boleh uruskan mama I." Hana Zahirah sedikit muram. Dia kecewa kerana dialah mereka berdua terpaksa bertemu secara rahsia begini.
"Hey, janganlah masam macam ni. Kita dah tak jumpa sebulan tau. Hari ni kita kena happy sebab tak tahu lagi bila pula kita boleh berjumpa." Iyad Zaim menarik hidung Hana Zahirah. Dia cuba menceriakan semula suasana.
Iyad Zaim faham dengan situasi yang mereka hadapi. Dengan sikap Puan Sri Zaharah yang sememangnya mementingkan kesempurnaan, Iyad Zaim bukanlah calon menantu yang akan diterima dengan mudah. Terasa sakit juga hatinya memikirkan yang hubungan dia dan Hana Zahirah pastinya akan ditentang habis-habisan namun, tiada apa yang mampu dibuat bagi memastikan cinta mereka direstui.
Sukar untuk Iyad Zaim mengejar kedudukan dalam masa singkat demi mahu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan keluarga Hana Zahirah yang sememangnya kaya-raya. Walaupun tahu yang hubungan mereka mungkin berakhir duka namun masih ada lagi sedikit harapan yang disimpan supaya hubungan mereka direstui. Mungkin suatu hari nanti. Mungkin.
"Sibuk sangat ke kerja kebelakangan ni?"
"Sibuklah juga. Kenapa?"
"Nampak kurus."
"Mana ada. Saiz baju tak tukar pun," sangkal Hana Zahirah.
Begitulah mereka berdua. Walaupun hampir setiap malam berbual namun topik perbualan mereka tidak pernah surut. Ada sahaja yang ingin diperkatakan.
"Nah, ni untuk awak." Iyad Zaim mengeluarkan sesuatu dari bawah meja.
"Apa ni?"
"Tengoklah."
"Woah. Cantiknya." Hana Zahirah tersenyum girang.
Wajah gembiranya jelas terlukis dengan senyuman yang lebar. Sebuah topi baseball berwarna merah milik pasukan Washington Nationals dikeluarkan dari dalam kotak yang diberikan Iyad Zaim.
"Awak nampak tak tanda tangan siapa tu?"
"Don't tell me..."
"Yeah. Bryce Harper. Untuk awaklah."
"Terima kasih." Mata Hana Zahirah bercahaya dibuatnya.
"Untuk awak, apa pun saya boleh buat." Iyad Zaim berpuas hati. Senang hatinya melihat wajah Hana Zahirah tersenyum semula.
"Tukarlah." Hana Zahirah membuat keputusan.
Topi baseball berwarna hitam yang dipakainya tadi dibuka dan digantikan dengan topi pemberian Iyad Zaim. Itulah Hana Zahirah. Benda sekecil itu sudah berjaya membuatkan dia cukup gembira.
"Lepas ni kita nak ke mana?" soal Hana Zahirah.
"Awak nak ke mana?"
"Tak nak pergi tempat yang ramai sangat orang."
"Jalan-jalan di taman?" Iyad Zaim memberikan cadangan memandangkan ada satu taman yang cantik berdekatan dengan kafe ini.
"I love it."
"Jom."
Mereka berdua berjalan keluar dari kafe berkenaan berpegangan tangan dan menghabiskan masa dengan hanya berbual sahaja. Hana Zahirah tidak memerlukan apa-apa lagi kecuali Iyad Zaim. Kehadiran Iyad Zaim sudah cukup membuatkan dia tersenyum dan bergelak ketawa.
Zhafran pula hanya menjalankan tugasnya. Dia mengawal Hana Zahirah seperti biasa, yang lainnya hari ini adalah keberadaan Iyad Zaim. Kali ini Zhafran berjalan sedikit jauh ke belakang bagi memberi peluang untuk pasangan berkenaan menghabiskan masa bersama.
Walaupun dia langsung tidak mengenali siapakah lelaki yang sedang memegang erat jari-jemari Hana Zahirah namun senyuman, gelak tawa, gaya bahasa malah cara Hana Zahirah memandang wajah lelaki itu sudah cukup untuk menjelaskan tentang status hubungan mereka.
Setelah beberapa hari dia melihat wajah Hana Zahirah yang serius dan kelat, kini baru Zhafran perasan yang senyuman Hana Zahirah sebenarnya begitu cantik. Hana Zahirah kelihatan begitu gembira sekali pada malam ini dengan kehadiran lelaki bernama Iyad Zaim. Tanpa sedar, tiga jam sudah berlalu. Jam sudah pun berganjak ke angka sebelas malam. Pasangan itu kemudiannya berpisah menaiki kenderaan berasingan.
"Apa yang awak nampak hari ni, semua rahsia. Saya harap yang mama saya tak perlu tahu apa-apa." Hana Zahirah bersuara apabila kereta yang dipandu Iyad Zaim hilang dari pandangannya.
"Saya tak nampak apa-apa pun pada malam ni," jawab Zhafran pendek sambil dia mengenakan tali pinggang keledar.
Dia tidak mahu merosakkan hari Hana Zahirah. Lagipun dia tidak menerima sebarang arahan untuk melaporkan setiap kegiatan Hana Zahirah pada Puan Sri Zaharah.
"Terima kasih. It's mean a lot to me." Jawapan yang diberikan Zhafran melegakan Hana Zahirah.
"Then I'll send you home," ujar Zhafran.
Dia seterusnya menghantar Hana Zahirah pulang ke rumah agam milik keluarganya. Setelah memastikan yang Hana Zahirah sudah pun masuk ke dalam rumah, Zhafran pulang semula ke rumahnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co