Bab 6
Hana Zahirah kalut sendiri setelah menerima panggilan daripada Luke sebentar tadi. Dia terpaksa membatalkan hasratnya untuk bersarapan dengan Iyad Zaim dan terus bergegas ke pejabat. Kereta yang dipandu Zhafran akhirnya terpaksa berpatah balik ke Studio Regalia Jewellery. Hana Zahirah yang diiringi oleh Zhafran berjalan masuk ke dalam studio dengan tergesa-gesa.
"Apa jadi?" soal Hana Zahirah serius.
Kesemua sembilan orang pereka yang bekerja dengannya untuk projek ini selama berbulan-bulan ini sudah pun sedia menunggu kedatangan Hana Zahirah. Suasana di dalam studio berkenaan sudah kecoh sejak dari awal pagi lagi, mereka semua sibuk berbincang mengenai satu artikel yang tersiar di dada akhbar pada pagi ini. Kesemua mereka kemudiannya berkumpul di tengah-tengah studio yang menempatkan meja kerja yang cukup besar setelah menyedari kehadiran Hana Zahirah.
"Unfortunately, our collection concept and sketch has been revealed to the public," terang Luke Isaac selaku pereka senior. Pereka yang lain turut memandang wajah Hana Zahirah dengan ragu-ragu.
"Sadly, it came from the other side. Not from us." Juwita yang juga merupakan pereka senior Regalia Group hanya mampu menggelengkan kepala.
"Dari mana?" Riak wajah serius Hana Zahirah sedikit sebanyak menggusarkan semua pereka yang berada di situ.
"Yoko Diamond sabotaj kita kali ni," jawab Juwita.
Hana Zahirah meneliti setiap apa yang tertulis di dalam artikel dari sebuah tabloid terkemuka yang dihulurkan kepadanya oleh pembantunya, Julia. Artikel berkenaan dengan terang dan nyata menyiarkan tentang konsep terbaru koleksi barang kemas Yoko Diamond yang merupakan pesaing Regalia Group yang berpangkalan di Thailand. Artikel ini menyiarkan ulasan dua muka mengenai pelancaran koleksi baru Yoko Diamond sempena Tahun Baru Cina.
"Love Republic?" Hana Zahirah hairan, bagaimana perkara ini boleh terjadi sedangkan selama ini segala maklumat mengenai konsep mereka hanya berlegar di dalam studio ini. Tiada sesiapa boleh membawa keluar maklumat berkenaan tanpa izin.
"Mereka meniru konsep kita?"
"Setiap satu perincian, setiap satu huruf dan perkataan, setiap lekuk dan sudut. Setiap satu dan semuanya sama. Ini bukan meniru, ini mencuri!" ujar Hana Zahirah. Tidak lama masa yang diambil Hana Zahirah untuk mengagak apa yang terjadi sebenarnya.
"Lakaran barang kemas yang mereka keluarkan pun sama. Kelima-lima koleksi yang kita rancang, semuanya sekali," tambah Angie. Salah seorang pereka muda yang mempunyai bakat besar.
Semuanya sama kecuali permata yang mereka gunakan. Mereka menggunakan jade, aquamarine dan red beryl emerald," tambah Angie yang paling awal menerima berita buruk berkenaan awal pagi tadi.
"It makes sense. They try to expand their business through China market. Of course they will use jade and red beryl." Luke Isaac memberikan pendapat.
"Matilah kita dengan Puan Sri," ujar Yusri yang jelas kelihatan cemas dengan apa yang berlaku. Yusri merupakan seorang lagi pereka yang berusaha menambah perisa dan rasa dalam hidangan sarapan pagi yang sememangnya sudah tidak sedap di mata Hana Zahirah.
"Julia, tolong telefon pejabat Puan Sri. Tolong tanya mereka, pukul berapa dia sampai ke Malaysia?" Hana Zahirah memberi arahan kepada Julia. Kesemua mata termasuklah mata Zhafran tertumpu pada pembantu Hana Zahirah yang sedang membuat panggilan.
"Pesawat peribadi Puan Sri dah pun mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebentar tadi." Julia memberikan jawapan yang paling tidak menyenangkan.
"Puan Sri mesti dah tahu," ulas Yusri.
Mereka memerlukan lebih masa sebenarnya untuk memikirkan cara bagi menyelesaikan masalah ini. Walaupun sukar, sekurang-kurangnya mereka boleh memikirkan alasan yang masuk akal untuk diberikan.
"Macam mana kita nak selesaikan masalah ini, cik? Puan Sri mesti mengamuk." Angie menyoal Hana Zahirah.
"Kita kena buat laporan polis. Tak ada cara lain. Dah terang memang Yoko Diamond curi idea kita." Pantas sahaja jawapan berkenaan diutarakan Hana Zahirah. Itulah keputusan yang paling sesuai saat ini memandangkan perkara ini sudah berada di luar kawalannya.
"Kita nak pergi ke balai sekarang ke?" soal Julia.
"I am sorry," pintas Christie. Dia yang sejak dari tadi mendiamkan diri akhirnya bersuara secara tiba-tiba. Perkataan polis menyebabkan dia menggelabah sendiri.
"Semua salah saya," ujarnya perlahan dengan suara serak yang kedengaran hampir menangis. Christie berjalan sedikit ke hadapan mendekati rakan pereka yang lain.
Semua mata kini memandang Christie seolah-olah ingin menelannya. Sesiapa sahaja yang ada di situ pasti sudah menjangkakan apa yang bakal keluar dari mulut pereka barang kemas ini. Christie merupakan pelatih baru Regalia Group yang belum pun sampai lima bulan bertugas.
"Beritahu saya sekarang Christie, apa sebenarnya yang terjadi?" Hana Zahirah memilih untuk bertenang. Air mata Christie menyebabkan dia tidak jadi mahu melenting.
"Saya rasa saya yang menyebabkan semua benda ni jadi."
"Macam mana?" Hana Zahirah menuntut penjelasan yang lebih terang.
"Saya edit proposal kita di rumah. Saya rasa bekas teman lelaki saya curi proposal tu," ujar Christie berterus terang. Dia langsung tidak menjangka yang semua ini terjadi kepadanya.
"Siapa bekas teman lelaki you?" Angie turut mahu tahu.
"Dia pengurus cawangan Yoko Diamond KL." Christie terpaksa menceritakan semua.
Hubungan mereka sudah pun berakhir beberapa hari lepas atas alasan tiada kefahaman. Namun kini Christie tahu yang dirinya sekadar dipergunakan.
"Are you sure that you are not betraying us? Are you one of them?" Luke Isaac serkap jarang. Dia kelihatan beremosi tika ini.
"Sumpah saya tak buat. Saya tak tahu. Saya cuma tahu pasal dia lepas kami berpisah. It just a few month relation." Christie tidak mahu dituduh begitu.
"Jadi, macam mana sekarang?" Yusri bertanya pula.
"Saya tahu saya silap. Saya tanggung salah saya." Satu sampul berisi surat peletakan jawatan disuakan kepada Hana Zahirah.
Christie ternyata sudah bersedia. Dia tahu yang kesalahan yang dibuatnya amat besar sekali. Kecuaiannya menyebabkan banyak masa, tenaga serta usaha yang telah mereka semua luangkan selama ini bertukar sia-sia.
"Cik Hana. Puan Sri datang." Suara Julia membuatkan kesemua mereka menggelabah. Tanpa amaran, Puan Sri Zaharah sudah pun sampai ke muka pintu studio Regalia Jewellery.
"Saya jelaskan sendiri tentang hal ni. Kamu semua jangan campur." Hana Zahirah memberi arahan pada saat mamanya sudah pun berada di muka pintu.
"Apa semua ni?!" tengking Puan Sri Zaharah. Akhbar yang ada di tangannya hinggap di pipi Hana Zahirah.
Jika di rumah, Hana Zahirah adalah anaknya namun lain pula ceritanya apabila mereka berada di pejabat. Bagi Puan Sri Zaharah, selaku peneraju projek mega seperti ini, Hana Zahirah sudah gagal menjalankan tugasnya dengan baik.
Di depan semua, dia ditampar oleh mamanya. Semua memandang kedua-dua beranak itu tanpa kata. Hana Zahirah kelihatan memejamkan mata selepas ditampar mamanya. Di sini, tiada istilah anak-beranak, di sini Hana Zahirah adalah seorang pekerja yang dibayar Regalia Group. Suka atau tidak, Hana Zahirah perlu bertanggungjawab seratus peratus.
Zhafran turut sama terkejut. Reaksi keterlaluan Puan Sri Zaharah menyebabkan Zhafran memandang Hana Zahirah tanpa kelip. Terlihat jelas kesan merah di pipinya setelah ditampar ibu sendiri.
"Kita cakap di dalam." Hana Zahirah berusaha untuk bertenang. Puan Sri Zaharah bukan seseorang yang boleh dibawa berbincang jika dia sudah naik angin.
Hana Zahirah tidak mahu Puan Sri Zaharah mengamuk di depan semua. Lebih baik rasanya jika mereka berdua berbincang di dalam biliknya sahaja sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
"Semua ada di sini, kan? Buat apa nak bercakap di dalam? Saya nak tahu apa sebenarnya yang terjadi? Jelaskan pada saya sekarang, apa ni?" Puan Sri Zaharah berang. Hasil usaha Regalia akhirnya dicuri orang semudah itu.
"Awak ketua mereka, jawablah soalan saya!" Puan Sri Zaharah benar-benar tidak dapat menahan marahnya. Dia amat kecewa dengan apa yang berlaku. Selaku ketua, Hana Zahirah gagal dalam tugasannya.
"Maklumat bocor." Hana Zahirah hanya mampu menjawab pendek soalan berkenaan. Otaknya masih berusaha untuk memikirkan satu jawapan yang lebih kukuh untuk meyakinkan Puan Sri Zaharah.
"Takkanlah itu sahaja jawapannya? Macam mana boleh bocor?" Puan Sri Zaharah tidak berpuas hati. Pereka-pereka lain terdiam tanpa kata. Masing-masing kelihatan sedang menundukkan kepala, tidak sanggup melihat ketua mereka diperlakukan sebegitu.
"E-mail account Hana kena godam. It's my mistakes." Hana Zahirah memilih untuk menutup segala kesalahan yang dilakukan Christie.
Itulah yang terbaik buat masa ini. Sedangkan dia sebagai anak juga ditampar begitu, apalah nasib Christie jika perkara sebenar terbongkar? Sikap baran Puan Sri Zaharah sememangnya agak sukar dikawal. Tiada guna mahu memberikan jawapan sebenar kerana Hana Zahirah lebih dari tahu mengenai akibat yang bakal ditanggung Christie jika kesalahannya sampai ke telinga Puan Sri Zaharah. Christie mungkin diheret ke balai sekarang juga oleh mamanya.
"Sebab kecuaian macam inilah saya kecewa. Macam ni ke kamu semua buat kerja? You should know using e-mail is risky and yet you all still use that medium. From now on, everything and anything jangan sampai keluar dari bilik ni. Faham tak?" Arahan Puan Sri Zaharah menyebabkan semua mereka mengangguk sepi.
"Sekarang beritahu saya, macam mana awak nak selesaikan masalah yang timbul ni?" Puan Sri Zaharah mahukan jawapan pasti. Tidak kira apa pun yang terjadi, projek ini mesti berlangsung tepat pada masanya.
"Kami akan fikirkan konsep baru dan akan cuba sedaya upaya untuk siapkan semua mengikut jadual." Hanya itulah satu-satunya jalan yang ada. Mereka tiada pilihan lain.
"Boleh ke? Saya bagi dua bulan sahaja. Siapkan semua dan hantar ke meja saya. Saya mahukan tiga puluh rekaan dan pastikan jangan berlaku lagi benda macam ni." Puan Sri Zaharah memberi amaran. Dia yang baru sahaja sampai, terus datang ke studio dari lapangan terbang kerana berita tidak masuk akal ini.
"Baik. Hana pastikan semua siap," jawab Hana Zahirah. Jawapan Hana Zahirah disambut dengan satu riak serius dari mamanya.
"Pastikan apa yang Hana cakap jadi kenyataan. Saya tak nak nanti, projek kita tergendala disebabkan hal macam ni." Tegas sekali peringatan yang diberikan. Setelah mendapat segala penjelasan yang diperlukannya, Puan Sri Zaharah membuat keputusan untuk kembali ke ibu pejabat. Banyak lagi hal lain yang perlu dia uruskan.
"Saya mintak maaf." Tangisan Christie bertambah kuat setelah kelibat Puan Sri Zaharah kelihatan menjauh. Kesemua pekerja studio berkenaan mendekati Hana Zahirah yang sedang berdiri memandang batang tubuh mamanya yang baru masuk ke dalam kereta.
"Ambil balik surat ni. Saya tak nak terima." Hana Zahirah memulangkan surat peletakan jawatan yang diberikan Christie padanya.
"Tapi, Cik Hana Zahirah..."
"Tak ada tapi-tapi. Saya tak nak dengar." Hana Zahirah merasa tidak selesa. Pipinya masih terasa pijar dek tamparan yang diterima.
"Ini semua salah saya. Saya rasa baik saya berhenti." Christie masih lagi keberatan mahu menerima semula surat berkenaan.
"Ya, memang salah awak. Saya cuma tak nak pereka lain terbeban disebabkan oleh kesalahan yang awak buat. Awak kena tebus balik kesalahan tu. Work harder, Christie. Kita ada beberapa rekaan yang belum dibuat lagi pun. Kita kena mulakan semua dari kosong, saya tak nak kekurangan pekerja," jawab Hana Zahirah dengan nada sedikit tinggi. Masa yang sedia singkat tidak mahu dibazirkan dengan drama sebegini.
Hidup sebagai anak kepada Puan Sri Zaharah mengajarnya erti perit setiap kali dipersalahkan. Hana Zahirah tenyata cukup arif tentang rasa sakit yang dirasa setiap kali dia dipersoal oleh mamanya. Oleh itu, dia tidak mahu Christie menyalahkan diri. Kesalahan Christie masih boleh dimaafkan lagi olehnya.
"Thank you. Saya tak tahu apa nak cakap. Terima kasih."
"Just work harder. Itu akan membantu."
"We promised you, we will work harder. Kita akan pastikan yang kesemua rekaan itu siap dalam masa dua bulan." Angie memberikan jaminan.
"Yeah, we promise you that. By hook or by crook, that collection will complete on time." Luke Isaac menambah. Mereka semua nyata tersentuh. Tindakan Hana Zahirah yang menanggung semua kesalahan itu sendiri demi melindungi Christie menyebabkan mereka bertekad untuk bekerja lebih keras lagi.
"You girl, lain kali cari teman lelaki siasat dulu. Jangan cari orang yang kerja dekat kedai emas lagi." Cadangan Yusri pada Christie menyebabkan semua yang ada di situ ketawa. Mujurlah ada Yusri yang berusaha menceriakan keadaan.
"Saya sumpah. Maafkan saya, perkara macam ni takkan terjadi lagi." Christie yang masih lagi diselubung rasa bersalah terus-terusan meminta maaf.
"Sudahlah, Christie. Lupakan semua. Focus on our work." Angie cuba meniupkan semangat buat Christie sebagai tanda sokongan.
"Baiklah semua, tolong serahkan kesemua lakaran yang ada dalam simpanan masing-masing pada saya petang ni. Saya akan teliti semula setiap satu. Apa sahaja yang ada dalam simpanan anda semua, tak kesahlah ringkas atau rumit. Yang mana sesuai, saya akan pertimbangkan untuk penilaian nanti," pesan Hana Zahirah. Dia sudah tiada pilihan lain selain daripada membuat penilaian semula pada lakaran yang ditolak olehnya sebelum ini.
Wajah Hana Zahirah yang sugul sedikit dihias satu senyuman menyebabkan Zhafran lega. Dia bimbang dengan Hana Zahirah. Sikap protectivenya pada Hana Zahirah semakin tinggi selepas melihat apa yang terjadi pada Hana Zahirah setiap hari. Pernah juga terlintas pertanyaan dalam fikiran Zhafran yang mungkinkah dia juga perlu melindungi Hana Zahirah daripada Puan Sri Zaharah?
Dua minggu bersama Hana Zahirah membuatkan Zhafran sedar yang semua kata-kata Fitri tempoh hari, bahawasanya anak orang kaya yang digelar Diamond Princess, Snow Queen dan Diamond Genie ini teruk budi pekerti, salah sama sekali.
Hana Zahirah bukan gadis degil, bodoh sombong, bongkak dan besar kepala. Hana Zahirah pada Zhafran adalah seorang gadis kaya-raya yang agak menyedihkan. Semua mengenai Hana Zahirah sungguh menyedihkan.
"Work harder guys. Saya masuk dalam bilik dulu." Hana Zahirah yang cuba menceriakan diri bagi menaikkan semangat pekerja-pekerjanya akhirnya meminta diri.
Dia sebenarnya cuba untuk bertahan dan ketawa walaupun sebenarnya dia cukup terluka. Sampai hati mamanya buat begitu. Nafasnya terasa sedikit sesak dan dia perlukan ubatnya sekarang.
"Cik Hana cari benda ini ke?" Zhafran menolak perlahan pintu bilik Hana Zahirah. Hana Zahirah kelihatan mencari sesuatu.
"Ya. Macam mana boleh ada dengan awak?" Puas Hana Zahirah menggeledah beg tangannya serta laci meja kerjanya sejak beberapa minit lalu.
"Cik Hana tertinggal dekat dalam kereta." Beg kecil berwarna coklat yang berisi pelbagai jenis ubat-ubatan yang sering dibawa Hana Zahirah diletakkan di atas meja bersama sebotol air kosong. Zhafran turut membawa bungkusan ais buat Hana Zahirah.
"Ini cik telan dan ini letak di pipi." Zhafran meletakkan kesemua yang dibawanya di hadapan Hana Zahirah.
"Untuk saya ke?"
"Ya, untuk Cik Hana. Saya keluar dulu." Zhafran berlalu.
"Terima kasih," jawab Hana Zahirah pendek.
"He is kind walaupun tak banyak cakap," simpul Hana Zahirah sendiri setelah Zhafran meminta diri. Dia jelas terpanar melihat semua yang berada di depan matanya. Segelas air, botol ubat serta bungkusan ais untuk pipinya. Semuanya lengkap disediakan Zhafran tanpa diminta.
"Cik Hana," panggil Zhafran tiba-tiba. Dia yang sudah pun berada di muka pintu berpatah balik ke meja Hana Zahirah.
"Ya, kenapa?" Hana Zahirah memanggungkan kepala.
"Ini nombor telefon Encik Yusuf yang baru. Saya keluar dulu." Secebis kertas kecil disuakan kepada Hana Zahirah. Hanya ini sahaja yang mampu Zhafran lakukan untuk Hana Zahirah hari ini.
"Terima kasih." Hanya itu yang mampu Hana Zahirah ucapkan. Dia terkejut dengan tingkah Zhafran saat ini.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co