Bab 15
"Kau kenal Luth ke, Dila?" Dia berminat pula nak tahu pasal lelaki tu. Kenapa sebelum ni dia tak kenal pun? Glamor sangat ke lelaki tu?
"Kenallah. Bukan aku aje, tapi satu universiti ni kenal dia. Kan aku dah cakap tadi geng dia tu popular dekat sini? Mana-mana kau pergi aje mesti akan dengar ada yang sebut nama Luth tu."
"Popular? Kenapa aku tak pernah dengar pun sebelum ni? Glamor sangat ke?"
"Glamor gila kut. Kau tu mana nak ambil tahu hal lelaki ni dulu. Kau tak pernah dengar nama dia ke sebelum ni?"
"Hah? Entahlah..." Macam pernah dengar. Tak mungkin tak. Dia dah lupa.
"Kau ni... Dah... Dah... Tak payah nak buat muka blur tu. Suara dia orang sama sangat ke, Naural?" Dila memang nak tahu sangat ni. Yalah kan, dah yang masuk dalam cerita tu Luth. Lelaki terhangat, mestilah dia nak tahu. Wajib!
"Sama dengan siapa ni?" Pelik aku. Tadi cakap pasal apa, eh? Dah tukar topik ke?
"Dengan lelaki bertopi tu. Sama ke suara dia orang?" Perlahan aje Dila ni cakap. Takut nak buka balik cerita tu.
Terdengar Naural mengeluh. Langkahnya terhenti.
"Dahlah, Dila. Tak nak cakap pasal dia lagi. Kita tutup buku, okey?"
"Kalau dah tutup buku lama, buku baru kena buka. Kau nak aku kenalkan kau dengan Luth tak? Dia handsome kut, memang sesuailah untuk kau." Sengajalah tu Dila ni. Tak takut ke dengan Naural?
"Tak ada maknanya. Kau jangan nak pandai-pandai, okey? Nanti kalau ada jodoh aku dengan sesiapa nanti adalah. Tu... Yang dekat tangan kau tu apa? Ada peminat yang bagilah tu. Diam-diam aje, kan?" Naural tersengih nakal. Dari tadi memang mata dia duk memandang bungkusan tu. Cantik!
"Ni..." Bungkusan di tangan ditunjuk.
"Bukanlah. Ada yang suruh aku bagi kau. Nasib baik kau tegur. Kalau tak, memang dah selamat masuk perut aku ni." Bungkusan bertukar tangan. Hak orang ni.
"Aku? Ada orang bagi?" Dahi dia berkerut. Masalah apa pula ni? Bungkusan yang terdapat reben ungu itu dipandang.
"Haah. Kalau aku punya dah lama aku telan. Kau bukalah. Aku pun nak tengok ni." Naural mencebik.
Dua-dua menuju ke satu meja kosong di foyer. Nak buka bungkusan ni punya pasal. Nasib baik ada lagi 10 minit sebelum kelas bermula.
Lama juga Naural buka. Sampai Dila pun pendam perasaan aje tengok. Mata dia dah terjeling-jeling. Mulut dah mencebik-cebik sangat tak puas hati.
"Coklat?"
"Serius? Aku mana makan."
Lain betul reaksi Naural dengan Dila. Dila teruja sangat. Dah benda yang dia suka. Tapi Naural? Dia memang tak suka. Dia memang dari dulu mana makan coklat. Alergi. Tak suka. Manis sangat.
"Kau ambillah, Dila. Dah, jom masuk kelas." Tangan Dila ditarik. Karang kalau tak pegang ada yang langgar tiang.
Kelas mereka bermula. Tidak sampai sejam, pelajar-pelajar dah tersengguk-sengguk. Naural pula sekadar pura-pura fokus. Dila dekat sebelah tengah main-main dengan coklat tadi.
"Kau buat apa ni?"
Dila tersengih-sengih. Tapi tangan masih lagi gerak-gerak main benda tu.
"Main susun-susun huruf ni. Dari tadi aku cuba, tak dapat lagi ni." Tangan dia masih lagi ligat susun huruf. Okey, dari mana pulalah Si Dila ni dapat huruf, kan? Semua tu pakej sekali dengan coklat tadi. Rupa-rupanya pada setiap coklat tu ada tertulis huruf-huruf. Tu yang Dila ni buat main. Dah bosan sangatlah tu. Tak ada kerja nak buat.
"Macam budak kecillah kau ni, Dila. Apa masa kecil dulu tak puas main ke? Dahlah... Simpan balik. Buat malu aje."
Dila mencebik. Dengkilah tu!
"Kau saja aje, kan? Okey. Kalau berani aku cabar kau buat ayat dari semua huruf ni. Kalau berani, sahutlah cabaran aku ni." Kening diangkat.
Naural dah rasa panas. Dila cabar aku? Serius?
"Okey! Apa yang kau dah buat?" Nampak semangat sangat ni. Dila senyum suka. Yes! Dapat juga umpan Naural ni main sama. Kalau kena marah nanti ada geng.
"Setakat ni aku dah buat jadi perkataan lain, lunar, liar, urn dengan run la. Apa yang kau dapat?" Perlahan aje dia orang ni cakap. Takut kena marah mungkin. Tapi nasib baik pensyarah ni jenis yang sporting.
"Ermmm..." Tangan Naural pula mula beraksi. Satu-satu coklat berwarna-warni dengan huruf tu digerak-gerakkan. Semuanya untuk buat jadi satu perkataan. Akhirnya terbentuklah...
RUIN.
"Yes! Dapat... Dapat!"
"Apa yang dapat?" Pensyarah di depan mencelah. Yalah, dah tiba-tiba Naural ni menjerit. Dila dah tepuk dahi. Apalah nak kena dengan kawan aku ni? Tadi dia yang marah aku main. Sekarang ni dia pula yang terlebih teruja. Malu pula rasanya.
"Hah? Tak... Tak ada apa. Sorry, prof. Boleh sambung balik. Saya tadi happy sebab dapat selesaikan soalan susah yang Dila ni tanya. Tu yang excited sangat." Dia tersengih-sengih malu.
"Okey... Tapi jangan kuat sangat. Jangan mengganggu kawan yang lain."
Fuhhh... Lega. Nasib baik tak kena teruk. Tapi Naural ni tak serik, dia nak main lagi tu.
"Kau nak main lagi ke?"
"Yalah. Kenapa? Kau dah tak nak main?"
"Aku on aje, tak kesah pun. Eh! Boleh buat nama kaulah, Naural. Kenapa aku baru perasan, eh?"
"Boleh ke?" Susah nak percaya pula Naural ni.
"Boleh. Tengok ni." Tangan dia laju membentuk perkataan tu. Naural hanya perhati. Boleh ke?
NAURAL.
"Tengok. Nama kau tu." Tersenyum lebar Dila dapat buktikan apa yang dia cakap tu betul. Naural pula dah terkedu. Wahhh. Kagum kejap.
Lebihan coklat dimain-main. Coklat ni tak banyak sebenarnya. Ada dalam sembilan keping semuanya. Tapi besar-besar. Tambah nampak sedap. Tu yang mata Dila bersinar-sinar masa nampak coklat ni tadi.
"Ada lebih tiga huruf ni I, H dan A. Apa eh boleh buat?" Tiga keping coklat balutan berwarna ungu, biru dengan kuning tu dipegang. Nama dia memang dah cantik terbentuk di atas meja tu. Nak angkat macam sayang aje.
"Hai? Hailah... Itulah ayat dia, kan?"
"Hai?"
"Yalah. Cuba kau tengok ni." Dila satukan coklat-coklat tadi. Apabila disatukan, ayatnya menjadi...
HAI NAURAL.
"See! Pandai kan aku? Aku dah cakap dah, aku ni memang superb, pandai bab-bab benda ni." Kembang satu badan Dila ni.
Naural terdiam. Hai Naural?
Naural tu bukan nama aku ke? Dia tujukan dekat aku ke apa? Blur.
"Weh, Naural. Kenapa ni?" Boleh pula termenung kawan aku ni. Susunan coklat tadi dipandang. Dia pun terdiam juga. Ada sesuatu bermain dalam fikiran dia. Baru tersedar.
"Semua ni memang untuk kau kan, Naural? Bukan kebetulan, kan? Aku tak rasa ramai yang nama sama macam kau ni." Teringat balik gadis tadi yang bagi bungkusan ni. Dia cakap ni untuk Naural. Maknanya...
"Kau ada peminatlah, Naural..." Dia hantar coklat ni untuk berkenalan dengan Naural ke? Kalau melihat dari susunan perkataan tadi, jelas jawapannya ialah... Ya!
"Awww. Sakitnya bahu aku ni!" Kuat Naural menjerit. Mana tak jerit kalau dah kena langgar dengan buku-buku tebal tu.
"Awak? Awak memang tak puas hati dengan saya, kan?"
Naural terkedu! Aku yang salah ke? Bukan aku ke yang sakit kena buku-buku tebal tu tadi? Ni apa kes ni? Dipandang satu susuk yang membelakangkan dia tu.
"Bukan saya ke yang kena langgar? Kenapa pula awak nak marah saya pula ni?" Naural berani melawan.
Lelaki tu menoleh pandang. Memandang tajam ke arah Naural. Gadis yang dia jumpa beberapa hari lepas di kafe. Gadis yang menyatakan dia ada masalah mata dan telinga tu. Sabar ajelah.
Naural dah terkedu. Lelaki ni. Lelaki yang sama suara dengan lelaki bertopi. Okey, berlakon. Start! Buat tak kenal dia. Malu kut. Nak cakap sorry, rasanya tak. Buat apa nak cakap sorry dengan orang yang dah langgar dia tapi cakap orang lain yang salah? Geram kuasa kuda dah ni, geram Naural dalam hati.
"Sebab awak hadang jalan sayalah buku tu kena awak, cuba kalau dari tadi awak tak hadang, mesti tak kena, kan? So, sekarang ni salah siapa?" Luth tak puas hati. Dia nak menang juga.
"Bukan salah sayalah!"
"Salah awak!"
"Bukan!"
"Ya!"
"Bukan... Bukan... Bukan..." Siap hentak kaki lagi. Buat dah gaya kanak-kanak Ribena dia tu.
"Capital Y and A. YA! Jangan nak lawan. Sedarlah sikit awak tu perempuan. Nak hentak-hentak kaki macam tu. Tak malu ke?"
"Buat apa nak malu? Tak ada sebab pun. Biarlah dia orang semua tahu kebenarannya. Kebenaran yang saya ni sebenarnya dah dianiaya." Naural sempat lagi tu jeling Luth. Tajam!
"Kebenaran? Awak dah dianiaya?" Luth ketawa.
"Awak gelak? Daripada awak gelak macam tu, baik awak minta maaf."
"Minta maaf? Saya?"
"Yalah. Awak! Habis siapa lagi? Ohhh... Lupa pula. Dari tadi saya cakap dengan tong sampah ni, kan... Tong... Tong... Bilalah agaknya kau nak minta maaf, kan?"
"Ohhh... Tong ni jugalah yang hadang jalan saya tadi, kan? Patutlah, dah tong ni pun badan besar manalah tak hadang jalan."
Panas! Panas!
"Jahatnya mulut awak. Awak nak cakap saya gemuklah, kan?" Muka Naural dah merah. Jelas marah sangat tu. Luth selamba aje. Tak rasa bersalah pun.
"Saya cakap tong bukan awak. Kenapa terasa pula?" Ohhh... Makin panaslah jadinya Naural ni.
"Jangan nak putar belitlah, saya tahu awak maksudkan saya, kan?"
"Dahlah, saya ada banyak benda lagi nak buat daripada cakap dengan awak ni. Tepi sikit. Saya nak lalu, yang dari tadi duduk tengah laluan ni kenapa? Kan dah menyusahkan orang." Ditolak sikit bahu Naural. Memang Naural ni menghadang jalan pun. Tapi nasib baiklah babak gaduh ni tadi tak ada penontonnya.
Naural melopong. Dia boleh pergi macam tu aje? Tak cakap maaf pun. Ke dia ada cakap tadi, aku yang tak dengar, eh? Kepala digaru. Adoi! Masalah betul ni! Kenapalah ingatan aku ni lemah sangat? omel Naural dalam hati.
"Apa dah jadi tadi? Ada minta maaf ke tak? Rasanya macam tak ada. Telinga aku tak ada dengar pun perkataan tu." Membebel tak henti-henti Naural ni. Dari dekat fakulti tadi sampailah dekat depan pintu bilik.
Mata Naural mengecil.
"Apa benda tu? Tadi ada ke?" Bungkusan kecil di depan pintu tu diangkat.
Kenapa sejak akhir-akhir ni aku selalu dapat bungkusan cantik berbalut macam ni, eh? Hari tu topi dengan coklat, lepas tu coklat lagi, sekarang bungkusan ni pula. Entah ada apalah ni. Mesti coklat lagilah tu.
Bungkusan diambil. Pintu dibuka, lepas buka aje dia terus terjun di atas katil. Penat sangatlah tu. Sambil baring tu boleh lagi dia buka bungkusan. Perlahan-lahan aje.
Buka aje... Ubat? Ubat angin! Nak buat apa ni? Bahu dia yang kena langgar tadi terasa sakit pula tiba-tiba. Pandai kan kau bahu? Masa nampak ubat mulalah nak sakit balik. Sengajalah tu! bisik hati Naural.
Tapi siapa yang bagi? Kenapa ada aje yang tahu aku sakit? Ubat demam dia hari tu pun orang sama juga yang bagi ke? Adoi! Memang boleh migrain berhari-hari ni nak fikirkan benda ni semua.
Ubat di tangan dipandang. Dikeluarkan dari bungkusan. Masa dia angkat ubat tu, ada satu nota kecil terjatuh melayang.
Sapu pada bahu awak... Dapat kurangkan rasa sakit... Tolong jaga diri awak baik-baik... Untuk saya...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co