Bab 14
"Apa sebenarnya masalah Iza tu?" Masih tak puas hati Dila dengan kejadian tadi.
"Entah. Aku pun tak tahu."
"Macam mana kau dapat topi tu?"
"Ada yang letak depan pintu aku."
"Depan pintu?" Kenapa sama dengan kes ubat tu? Orang yang sama ke? Kalau macam tu, memang betullah Si Naural ni ada peminat. Untungnya badan.
"Haah... Dia letak dua bungkusan. Satu topi ni, yang satu lagi coklat."
"Hah? Jangan cakap coklat yang kau bagi aku hari tu dia yang bagi."
"Betullah tu. Dah aku tak boleh makan sebab tu aku bagi kau." Selamba aje dia jawab. Tak sedar pun dia orang ni dah sampai kafe. Tempat paling hujung diambil. Nasib baik tak ramai orang lagi. Kalau tak, mahu kena kongsi meja lagi.
"Aku tak fahamlah, Naural. Apa masalah dia dengan topi tu? Ada kaitan apa-apa ke?" Dia tak faham. Pening kepala.
"Entah. Bukan kau aje. Aku pun tak faham, macam nak cari pasal dengan aku pun ada. Dia cakap topi ni dia bagi lelaki yang dia minat, sebab tu dia marah. Marah sebab topi ni ada dengan aku pula."
Dila garu kepala. Apa yang Naural nak sampaikan sebenarnya? Dia dah pening kepala ni.
"Cuba ringkaskan. Aku memang tak faham ni. Pening. Serabut."
"Dia ingat aku tipu dia, dia ingat aku ada hubungan dengan lelaki yang dia minat tu. Dia ingat aku sengaja nak mainkan perasaan dia. Dia ingat lelaki tu juga yang bagi topi ni kepada aku."
Mulut Dila melopong. Banyaknya penggunaan 'dia ingat', apalah Naural ni. Tak pandai sambung ayat betul. Cubalah kreatif sikit.
"Betul ke lelaki tu yang bagi? Siapa pula lelaki tu?" Tiba-tiba bersemangat pula nak tahu. Yalah kan, nak tahu juga cita rasa Faiza tu macam mana.
Dahi Naural berkerut. Lama. Siapa, eh? Apa pula nama dia ni?
"Entahlah, Dila. Aku dah lupalah. Nama dia aku tak ingat, muka dia lagilah." Digaru kepalanya yang tak gatal. Kenapalah aku tak ingat ni?
"Tak ingat? Haahlah, aku lupa yang kau ni susah nak ingat orang. Kalau kau nampak lelaki tu, rasanya kau boleh ingat balik tak?" Memang betul-betul nak tahu Dila ni.
"Ermmm... Aku rasa tak kut. Sebab aku memang tak nampak jelas pun muka dia tu. Memang susahlah nak bagi aku ingat dia."
"Topi macam tu ada satu aje ke dekat Malaysia ni Dila?" Buka balik topik awal tadi. Adalah tu yang Naural tak puas hati nak tanya.
Lama Dila diam. Dia pun tak tahu nak cakap macam mana.
"Taklah kan. Ada beribu-ribu mungkin. Aku rasa kebetulan aje kut. Kau tak payah fikir lagilah, Naural. Benda kecil aje ni, tak payah nak semakkan kepala pasal budak Iza tu. Lupakan aje apa yang dia cakap."
Naural hanya diam. Dia termenung sebenarnya. Hanya hujung ayat Dila aje yang dia dengar. Lupakan? Tapi boleh ke?
"Kau nak makan apa?"
"Apa-apa ajelah. Aku tak kesah pun. Kau nak tolong ambilkan ke?" Terharu pula. Tak pernah-pernah Si Dila ni nak tolong dia ambilkan makanan. Hari ni terlebih rajin ke apa?
"Yalah. Kau nak apa?" Sampai hati Naural meragui keikhlasan hati dia. Cehhh. Poyo aje ayat Dila ni.
Lepas lama dibelek menu spesial untuk hari ni pada kertas yang tertampal di dinding belah kanan, baru keputusan dibuat.
"Nasi ayamlah."
"Okey."
Naural termenung. Dia mengeluh. Kenapalah sampai sekarang dia masih tak dapat lupakan lelaki tu? Tapi yang peliknya kenapa sampai hari ni bayang lelaki tu pun dia dah tak nampak? Dia dah menghilang. Dia pergi mana sebenarnya?
"Naural! Termenung!" Diketuk bahu kawannya. Sempat lagi tu.
Terperanjat Naural dengan jeritan kawan dia tu. Nasib baik sekarang ni tak ada ramai orang. Kalau tak, mesti malu. Tapi sejak bilalah Naural ni pandai malu, kan?
"Kau ni Dila, tak boleh ke kalau tak menjerit? Tak payahlah nak test suara kau yang memang dah kuat tu. Boleh rosak gegendang telinga aku ni."
Dila hanya tersengih.
"Nahhh... Nasi kau..." Dihulur pinggan ke depan Naural.
Masing-masing mula diam. Mengunyah makanan. Khusyuk betul. Hampir 20 minit jugalah dia orang ni diam. Tiba-tiba sunyi aje sebelum...
"Naural..." Seakan-akan berbisik Si Dila ni panggil Naural. Kenapa entah?
"Apa? Yang kau tiba-tiba bisik ni kenapa?" Dahi dia berkerut. Pelik dengan perangai kawan dia ni. Apa pula yang Dila ni nampak?
"Tu..." Muncung habis mulut Dila. Nak tunjuk sesuatu dekat Naural ni.
"Apa... Apa." Berpusing-pusing kepala dia. Nak cari tempat yang bibir Dila ni tunjuk. Tapi tak ada apa pun. Dia pula yang teruja lebih sampai berpusing 180 darjah mencari tadi.
"Tu... Selang dua meja belakang kau aje. Yang kau pergi cari jauh-jauh tu buat apa? Dekat aje ni." Hampir dia tepuk dahi tengok reaksi Naural ni tadi. Dia pergi tengok sampai hujung kafe sana buat apa?
"Ohhh..." Tersengih-sengih dia. Kepala dipusingkan. Nak tengok 'benda' tu. Apa yang Dila cuba tunjuk tu?
"Siapa? Aku tak kenal sesiapa pun dekat meja tu. Semua lelakilah." Apalah Dila ni. Siapa entah dia ni nak tunjuk. Makan ajelah, lagi syok.
"Itulah... Tuuu..." Makin muncung bibir Dila ni.
Naural dah buat muka bengang. Dia pusing belakang lagi. Lelaki lagi? Tak ada apa yang menarik pun.
"Siapa? Lelaki dekat meja tu ke yang kau nak tunjuk sebenarnya?"
Dila tersengih-sengih. Nampak memang gatal.
"Kau tak kenal dia orang semua ke Naural?"
"Tak. Perlu ke aku kenal?"
"Perlu. Wajib. Semua orang kenal dia orang ni kut. Dahlah kacak, hebat main sukan lagi. Kan best kalau seorang daripada geng dia tu jadi boyfriend aku." Berangan aje lebih Dila ni. Dari tadi kuis-kuis nasi tu.
"Kalau kau nak, pergilah tegur seseorang dekat meja tu. Tanya status dia dulu, tak nak nanti jadi macam kes aku ni." Sedihlah pula bila cakap pasal hal tu. Rasa nak menangis pun ada. Tapi tahan... Tahan.
"Tak naklah, Naural. Aku bukannya serius pun, main-main ajelah. Lagipun nak dekati geng dia orang ni memang susah kut. Aku tak pernah pula selama ni tengok ada girl duduk satu meja dengan dia orang."
"Aik? Kenapa pula? Dia orang semua tu anti perempuan ke apa?"
"Ada jugalah yang cakap macam tu. Tapi aku tak beranilah nak buat andaian apa-apa. Sebab aku pun bukannya kenal dia orang ni. Yang aku tahu dia orang ni semua memang pandai, budak course engineering, tua setahun dari kita. Kalau kau pergi padang petang-petang memang akan nampaklah muka dia orang ni semua."
Naural berkerut.
"Dalam enam orang tu, semua memang tak ada girlfriend ke?"
"Satu pun tak ada. Sebenarnya ada tujuh orang, tapi tak nampak pula yang lagi seorang tu. Kenapa? Ada yang kau dah berkenan ke?" Terangkat-angkat kening Dila ni. Sukalah tu nak jadi orang tengah.
"Tak adalah. Kau pun tahu kan sejak kes tu aku dah malas nak kenal lelaki semua ni? Kalau untuk kau aku tak kesahlah. Lagi suka adalah."
"Takkan sebab seorang lelaki kau nak tutup hati kau terus?" Dia sedih tengok Naural. Sedih dengan cara Naural sekarang ni.
"Sebab dia hati aku jadi sakit sangat, Dila. Sebab dia juga aku jadi hilang semangat dulu. Aku dah tak nak rasa semua tu lagi. Cukuplah dulu aku jadi lemah, aku terleka. Sekarang aku dah tak nak rasa semua tu. Biarkan jadi sejarah aje." Pinggan yang masih bersisa diletak ke tepi. Dia bangun, nak cuci tangan.
"Awww."
Bahunya dipegang. Matanya tajam memerhati lelaki tadi. Dahlah langgar dia. Tapi boleh pula tak minta maaf?
Laju Naural melangkah. Nak basuh tangan dulu. Lepas dah diyakini hilang bau, minyak dan segalanya, dia menapak ke arah meja lelaki yang melanggar dia tadi. Ada perhitungan yang nak dibuat.
"Assalamualaikum." Sengaja dikuatkan suara. Nak bagi semua dengar. Jelas. Tapi mata dia memang dari tadi setia pandang satu raut tu. Lelaki yang melanggar dia tadi. Boleh pula dia buat tak tahu aje.
"Waalaikumussalam. Ya? Nak apa?" Kawan lelaki itu tanya. Kesian pula tengok gadis ni diri tegak macam tu. Nak nyanyi lagu Negaraku ke apa?
"Kawan awak tu ada masalah mata ke?" tanya Naural. Memang ada yang akan terasalah dengan pertanyaan dia ni. Tapi Naural mana kesah. Lantaklah. Sakit hati ni.
Yang lain dah melopong. Beraninya dia ni. Tapi lelaki yang langgar Naural tadi biasa aje. Boleh makan macam biasa. Dia tak sedar ke yang Naural ni dah panas mendidih-didih?
"Masalah mata? Siapa?"
"Tu... Yang tengah makan tu."
"Hah? Dia? Dia okey ajelah, mana ada masalah mata pun. Kenapa pula cakap dia macam tu?" Lelaki tu tahan gelak. Kelakar pula gadis depan dia ni.
"Kalau dia tak ada masalah mata, maknanya dia sengaja ajelah langgar saya tadi, kan?" Soalan lagi. Yang lain makin menjadilah melopong. Apa kes dia ni main langgar-langgar perempuan? Cari masalah betul.
"Hah? Yang tu kan saya tak bo..."
"Jangan nak cakap dia ni tak boleh cakap. Tadi saya nampak boleh aje dia gelak-gelak. Apa kata biar dia pula yang cakap. Saya nak dengar alasan dia, bukan awak." Makin panas dia tengok riak tenang lelaki tu. Geramnya!
"Apa yang awak nak dengar daripada saya?" Tiba-tiba dia bersuara. Tenang. Selamba.
Naural terdiam. Diam pula? Tadi bukan main nak dengar dia cakap, sekarang bila lelaki tu dah cakap, Naural pula terdiam. Apa dah jadi ni?
Suara dia... Suara dia... Kenapa sama sangat?
"Lelaki bertopi..." Perlahan aje dia berkata. Air mata yang dah nak mengalir ditahan. Tak nak tunjuk dia lemah.
"Hah? Lelaki bertopi? Siapa?" Dengar pula dia, kan? Ingatkan perlahan sangatlah Naural ni cakap. Kuat jugalah kalau lelaki tu pun boleh dengar. Tapi betul ke dia tu lelaki bertopi?
"Awak lelaki bertopi tu, kan? Awak lelaki yang bagi saya jaket masa saya dalam hujan. Awak juga yang selalu ada masa saya sedih. Betul, kan? Betul lelaki bertopi tu awak, kan? Kenapa awak tinggalkan saya? Kenapa awak pergi?" Air mata dia dah mengalir. Memang mampu buat pelajar lain tengok babak nilah. Siap dengan air mata semua. Memanglah semua pun suka tengok. Betul tak?
"Hah? Saya? Tak adalah. Bukan saya." Gelabah. Tiba-tiba Naural menangis.
"Tak... Tak... Saya tahu awak tu dia. Awak lelaki tu. Kenapa nak tipu saya? Suara awak sama macam suara dia. Saya tahu semua ni bukan kebetulan." Makin kuat esakan Naural.
"Suara? Bukan. Salah orang ni." Jelas nampak muka dia kebingungan. Dahlah tadi tiba-tiba datang meja dia, lepas tu cakap dia ada masalah matalah, telingalah. Lepas dia bercakap, gadis ni pula tiba-tiba menangis. Apa kes ni?
"Apa dah jadi ni?"
Lelaki tu tarik nafas lega. Nasib baik dia ni datang. Kawan gadis yang menangis ni ke?
"Awak kawan dia ke? Kalau ya tolong pujuk dia berhenti menangis. Bagi tahu dia yang saya bukan lelaki apa entah yang dia sebut tadi."
"Naural? Apa dah jadi ni? Kenapa kau nangis?" Bahu Naural dipegang.
"Dia." Jari Naural lurus tunjuk ke arah muka laki tu.
Lelaki tu dah terkedu. Apa pula ni?
"Dia lelaki bertopi tu, Dila. Dia yang tinggalkan aku. Dia juga yang pinjamkan aku jaket masa hujan dulu." Air mata dikesat. Dia peluk tubuh Dila. Nak ambil sikit semangat.
"Bila masa pula saya bagi awak jaket ni? Saya mana pernah bagi sesiapa jaket saya selama ni. Awak boleh tanya kawan saya yang lain kalau tak percaya." Dia pandang kawan dia yang lain. Semua diam aje. Terkejut lagilah tu.
Naural pandang wajah lain dekat meja tu. Air mata dia dikesat. Aku dah salah orang ke? Tapi suara dia orang memang betul-betul sama.
"Haahlah awak, dia memang tak pernah pun bagi orang lain barang dia. Jaket? Dia ni pun manalah ada jaket. Saya rasa awak dah salah oranglah."
"Salah orang? Tak mungkin. Mustahil. Suara dia sama." Naural tak percaya. Dila pegang tangan kawan dia tu.
"Suara mungkin sama. Tapi muka. Muka sama ke?"
Naural terkedu! Muka? Mana pernah tengok muka lelaki bertopi. Kalau nampak pun sipi-sipi aje.
"Saya tak pernah tengok muka dia selama ni. Suara aje saya kenal."
Lelaki tu mendengus. Geram pun ada juga. Entah wujud ke tidak lelaki yang gadis ni cakap.
"Mungkin awak dah salah orang ni, sebab kawan saya ni mana pernah ada jaket. Dahlah, Luth jom. Kita dah lambat masuk kelas ni." Kawannya ambil jalan mudah. Jalan untuk keluar dari kekusutan ni.
Dia orang semua berlalu pergi. Meninggalkan Naural dan Dila. Salah orang? Betul ke salah orang? Ya Allah malunya kalau betul.
Tapi... Luth? Macam pernah dengar aje nama tu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co