Truyen3h.Co

Love Riddles

Bab 2

karyaseni2u

Gitar dicapai. Hari ini Naural pakai ringkas aje, rambut disanggulkan tinggi. Macam baru lepas pantang tu. Kasut sniker dipakai. Dia berlari keluar dari blok, mata lain yang memandang pelik tak dihiraukan. Tapi yang paling tak senonohnya, ada ke dia mengunyah roti sambil berlari? Tolong ya adik-adik, jangan sekali-kali meniru aksi ini di rumah.

Perhentian bas dituju, disebabkan dia ni belum ada kereta, terpaksalah banyak bergantung dengan perkhidmatan bas ni. Tempat yang nak dituju dah sampai. Padang UKM! Sebenarnya jarak di antara padang dan kolej yang Naural ni duduk taklah jauh pun. Dia setakat duduk dekat Kolej Keris Mas aje pun. Warga UKM rasa jauh ke?

Matanya melilau memandang padang yang hijau meluas. Cantiknya! Tangan didepakan, nafas ditarik sebelum dilepaskan kuat. Leganya! Memang dia selalu datang tempat ni untuk menghilangkan tekanan atau nak cari inspirasi. Tapi hari ni dia datang sebab tension. Tension pasal hal tutorial semalam. Nasib baik semester akhir tak ada kelas banyak sangat. Tu pun sebab masa semester satu dan dua dulu dia dah ambil banyak subjek.

Sampai di tepi padang, dia menuju ke satu pokok yang agak besar. Yang mampu memberikan teduhan kepadanya. Tempat kegemaran dia! Dia duduk bersila, bersandar di dahan. Gitar dipegang.

Di matamu kuberharga,

Kau perlakukan aku...

Lebih dari mencintai dirimu...

Di dekatmu kumerasa,

Bahagianya aku...

Dapat ruang cintamu,

Hanya kamu saja...

Yang mampu begitu...

Tulus,

Mengerti aku...

Kau... Sempurna bagiku,

Tak kurang sesuatu...

Kau terima apa adaku...

Ku... Sempurna bagimu...

Tak kurang sesuatu,

Cinta bersatu.

Gayamu...

Sifatmu...

Cara mencintaiku...

Yang membuat diriku jatuh...

Cinta padamu...

Mata Naural tertutup menyanyikan lagu Cinta Bersatu nyanyian asal Liyana Jasmay. Dia memang suka luahkan perasaan macam ni. Dengan menyanyi. Walaupun lagu yang dia nyanyi ni memang tak ada kaitan dengan perasaan dia sekarang. Yalah kan, ada ke masa tengah sedih dia nyanyi lagu cinta? Macam tak kena aje, kan? Tapi... Ada Naural kesah? Haha.

Tanpa Naural sedar ada yang mendengarnya. Tekun mendengar, sambil bibir tak lepas tersenyum. Kedudukan dia orang tak jauh pun. Memang tak jauh. Sangat tak jauh. Kalau Naural ni duduk bersandar di dahan pokok, dia pula bersandar pada pokok yang sama juga. Tapi berdiri pada dahan yang membelakangkan Naural.

Kepalanya bergerak-gerak menghayati lagu. Apa sebenarnya perasaan gadis ni sekarang? Kalau semalam dia menangis, tapi kenapa hari ni nyanyi lagu cinta pula? Dah okey ke? Dari tadi dia mengekori Naural. Di leher dah tergantung dengan kamera, semua gambar gadis tu tadi dah ditangkap. Terpaksalah tangkap curi-curi dulu.

Terdengarkan keluhan Naural, dia mula mengintai sikit. Kenapa dengan Naural ni? Ada masalah apa sebenarnya?

Hari pun dah nak gelap ni. Bilalah Naural nak balik? Dia pula yang risau.

Apabila hujan dah renyai-renyai turun, baru nampak gaya Naural seperti nak bangun, dia laju menyembunyikan diri. Tak nak Naural sedar dengan kehadiran dia. Belum sampai masa lagi dia nak berdepan dengan Naural... Belum lagi masanya.

Habis dah tiga peket tisu. Semuanya akibat selesema yang melampau. Kawan sebelah dia dah mula tutup hidung. Takut berjangkit pula nanti. Jangan main-main. Sakit selesemalah yang paling orang tak suka. Seksa nak tidur nanti.

"Naural? Kau okey tak ni? Nak pergi PK?" Okey, PK tu singkatan bagi Pusat Kesihatan. Dekat semua universiti pun ada, kan? Tapi malas nak pergi. Sebab? Sebab malas nak tunggu lama semata-mata nak ambil satu ubat aje.

Bersin lagi. Memang susah nak bercakap, baru buka mulut... Dia mula bersin. Memang tak tersampailah apa yang dia cuba sampaikan ni.

"Isy kau ni, agak-agaklah. Aku kena nanti, aku saman kau." Faiza menjauh.

Naural jelir lidah. Tak kesah pun.

"Kaulah. Masa aku bersin jugalah nak tanya. Kau cakap apa tadi, eh? Aku lupa dah." Naural tersengih sebelum bersin lagi. Faiza dah geleng kepala tengok. Alahai... Kesian pula aku tengok Naural ni.

"Aku cakap kau nak pergi PK tak lepas kelas ni? Aku boleh teman kau nanti." Naural ni memang senang lupa apa yang orang tanya kalau ada selingan lain selepas pertanyaan tu. Macam contoh kes tadilah. Naural ni ada masalah ingatan sikit. Susah nak ingat apa-apa perkara yang dia rasa tak penting untuk ingat.

"Malaslah, Iza. Kau tahulah tempat tu macam mana, kan? Tak naklah." Mulutnya mencebik. Tak suka pergi tempat tu. Bau ubat.

"Cuba bagi tahu aku kenapa kau tak nak pergi sana?"

"Kena ke? Aku malaslah." Susah Naural ni nak bercakap. Hidung dia rasa tak selesa sekarang. Gatal-gatal.

"Kena! Wajib!" Mata dibulatkan, gimik nak buat Naural takut.

"Aku tak nak pergi. Pertama sebab aku memang tak suka pergi tempat tu. Kedua, sebab aku tak suka bau ubat. Busuk. Ketiga, kalau makan ubat yang dia orang bagi pun tak bagi apa-apa kesan kepada aku. Keempat, malas nak tunggu lama. Kelima, sebab tak ada pun doktor-doktor muda yang handsome dekat situ. Keenam..."

"Hah! Dah-dah! Tak payah bagi banyak sangat alasan. Kau ni memang pandai mengelak, kan? Masa nak bagi alasan tu laju aje menjawab, aku tak kira. Lepas kelas ni kita pergi juga!"

"Tapi..." Terkedu Naural apabila mulut dia dah kena tutup dengan tangan Faiza. Siap buat gaya kunci bibir lagi. Adoi! Bala. Mak tiri Cinderella betul.

"Nanti ambil ubat awak dekat kaunter depan. Nak cuti rehat tak?" Mata Naural bersinar-sinar apabila dengar kata doktor itu.

"Boleh dapat cuti ke, doktor?"

"Ermmm... Tak boleh!"

Naural dah buat muka memandang doktor lelaki yang tergelak tu. Apa yang kelakarnya, doktor? Tak kelakar, okey? Dahlah meragut kegembiraan dia. Apa punya doktorlah. Lain kali tak nak datang sini lagi. Ni pun Faiza punya pasal. Paksa orang datang pula tu. Hati langsung tak rela datang sini.

"Ainun Naural, sini ambil ubat awak." Kuat betul mak cik kaunter tu menjerit. Padahal mana ada orang lain pun dekat sini menunggu. Naural dengan Faiza aje.

"Luth... Naural, tu Luth la." Naural pandang Faiza sekilas sebelum turut memandang ke arah yang Faiza tunjukkan. Siapa dia tu? Luth? Luth siapa?

"Siapa Luth tu? Aku tak ken..." Bersin lagi. Kuat. Satu aras ni boleh dengar rasanya. Faiza dah menjauh. Segan nak mengaku kawanlah tu, apalah. Dia bukan apa, segan. Sebab Luth dah toleh berkali-kali pandang dia orang tadi. Mesti nak cakap dalam hati, apa punya tak senonohlah perempuan ni. Faiza sudah meneka-neka dalam hati.

"Sorry la, dik. Akak tak dapat bagi ubat tu. Bukan tak nak bagi, tapi stok memang dah tak ada. Baru aje habis tadi. Sekarang kan asyik hujan aje, tu yang cepat habis."

Amboi, mak cik kaunter ni! Suara bukan main lembut pula, tadi cakap macam nak kasi roboh satu bangunan ni. Gatal betul. Pantang nampak laki kacak. Tapi betul ke kacak? Entahlah, tak perasan sangat muka laki tu tadi. Tapi rasanya tu Luth yang Faiza asyik angaukan dari tadi. Luth itulah, Luth inilah, bisik hati Naural.

"Tak apalah, kak. Thanks. Yang tu saya cari dekat luar nanti."

Naural hanya memerhatikan langkah laki tu. Apabila sampai depan dia aje, dia perasan lelaki itu memandang dia. Dengan pandangan tajam. Tajam, okey! Apa masalah dia? Kenal pun tak. Faiza dekat sebelah dah tersengih-sengih. Terasa bertuah sebab terjumpa dengan lelaki itu dua hari berturut-turut. Aura Luth ni memang kuatlah sampai boleh buat kawan dia jadi macam ni sekali.

"Hoi! Jom, kau nak bermalam dekat sini ke?" Naural tarik tangan Faiza. Kuat. Takut karang terlanggar dinding pula. Orang tengah angau, kan? Janganlah kasi dia jalan sendiri. Membahayakan betul. Nasib baik lelaki tu dah pergi. Kalau tak, memang kena pimpin aje Faiza ni.

"Naural, aku kena pergi library kejaplah. Ada meeting. Kau nak ikut tak?" Dia orang baru aje sampai ke kawasan fakulti balik. Tadi jalan kaki aje, malas nak tunggu bas. Lagipun tadi mereka ambil jalan yang bertentangan dengan laluan bas.

"Tak naklah. Kau pun tahu aku ni alergi dengan library, kan? Malaslah. Kau pergi aje. Kita jumpa dalam kelas nanti." Tisu dah jadi peneman setia sekarang ni. Tak boleh berenggang.

"Okey, aku pergi dululah. Dah lambat ni. Bye!" Naural hanya mengangguk. Malas pula nak menyahut tadi.

Naural melangkah tanpa arah. Dia tak tahu nak pergi mana. Lagi satu jam baru kelas nak bermula. Dengan keadaan hidung dia yang ada masalah 'teknikal' ni, memang tak syoklah berjalan. Tapi memang salah dia juga semalam, ada ke duduk dekat bawah pokok tu sampai hujan? Memang dapatlah hadiah ni, kan? Sekali dengan bonus dapat sakit tekak lagi. Terbaik.

Sampai ke kafe terapung, langkah dia terhenti. Duduk lepak sinilah, syok juga. Orang pun tak ramai. Okey, lupa pula nak terangkan mengapa kafe ini dipanggil kafe terapung. Sebabnya mudah aje, sebab bawah kafe ni ada air. Ya ke? Kenapa tak nampak? Hah... Yang tu satu kemusykilan lagi. Sebab memang dah tak nampak air pun bawah ni. Kalau ada pun macam hidup segan, mati tak mahu. Dah kering. Haha.

Naural ambil tempat duduk paling belakang. Fon telinga dikeluarkan, disumbat ke dalam telinga. Mendengar lagu memang hobi dia, terasa cepat aje masa berlalu kalau dengar lagu. Sebab Naural ni bukan hanya dengar tapi dia cuba berada di dalam dunia lagu tu. Semua lirik dia selami dan hayati.

"Assalamualaikum. Sini ada orang?" Naural mendongak. Terkedu! Ada lima lelaki berdiri di depan dia. Meja lain dipandang. Semua dah penuh. Aik? Kejap aje dah penuh, tak sedar pun. Itulah, ralit sangat dengar lagu.

Dia hanya geleng.

"Maksud gelengan tu apa? Ya? Atau tak?" Mata Naural dan lelaki itu bersatu. Lelaki ni bukan Luth ke?

"Yang tu kalau nak tahu, pergi ambil kelas bahasa isyarat semester depan. Saya nak jelaskan pun susah." Selamba aje jawapan Naural. Yang lain dah gelak, kecuali Luth. Dia tersenyum aje.

"Ni semester akhir kita oranglah. Memang tak sempatlah kalau nak pergi tambah subjek lagi. Apa kata awak aje yang wakilkan kita orang?" Lelaki lain pula yang bersuara.

Tak faham pun duduk juga. Ingatkan nak pergi cari tempat lain. Sengajalah tu nak kacau aku. Mentang-mentang aku seorang aje perempuan dekat sini, omel Naural dalam hati.

"Ermmm... Apa-apa ajelah." Malas nak melayan. Maaf ya, minyak anda tak laku di sini. Cuba lain kali. Naural bangun. Kelas dia dah nak mula ni. Kan dah cakap kalau dengar lagu rasa sekejap aje masa berlalu. Tambah dengan kehadiran lima jejaka ini, lagilah buat dia rasa cepat-cepat nak pergi. Tak seronok dah nak duduk sini.

Naural mula menapak, tapi dia berpatah balik. Baru teringat sesuatu.

"Awak pun selesema ke?"

Dahi Luth berkerut. Nampak sangat ke?

"Yup! Why?" Kening bertaut. Kagum. Dia ada sixth sense ke?

Beg diselongkar. Bukan main besar lagi beg kuliah Naural ni. Tak padan dengan badan dia yang kecil. Alasan, senang nak campak macam-macam kat dalam beg ni nanti.

"Nah, ambil ubat selesema ni. Makan ikut arahan atas ni, satu biji tiga kali sehari. Ambil selepas makan. Lepas makan ubat ni, ambil yang ni pula. Makan sampai habis, jangan buang pula. Membazir." Peket ubat diletak di depan Luth. Dah sebiji gaya doktor pun ada. Tapi doktor pencenlah. Tu pun ikut aje skrip doktor di PK tadi. Haha. Ayat copy paste katakan.

Laki tu punya reaksi? Dia terkedu!

"Kenapa nak bagi saya pula? Ni awak punya, kan? Ambillah, saya boleh beli dekat luar." Rasa bersalah nak terima. Kalau tengok keadaan sekarang ni, gadis ni lagi nampak kritikal.

"Hesyyy... Itulah orang sekarang. Suka sangat membazir. Buat apa nak beli kalau saya dah bagi ni? Ambil ajelah. Tak payah nak beli lagi, saya pun bukannya suka makan ubat ni semua. Pahit! Buat saya mengantuk aje. Dahlah besar-besar, boleh tercekik kalau makan." Naural membebel. Geram sangatlah tu.

"Tapi..."

"Tak ada tapi-tapi. Dah, jangan banyak cakap, makan aje." Terus Naural berlalu kemudiannya. Kalau berlama-lama nanti, takut dia pula yang kena ambil balik peket tu. Tak naklah. Tak sanggup. Kalau dia ambil nanti pun simpan dalam tong sampah juga, baik bagi kepada orang yang lagi memerlukan. Betul tak?

"Eh? Kejap... Nah, satu peket untuk awak." Sepeket tisu diserahkan. Nasib baik dia bawa lebih. Dapatlah juga berbakti kepada lelaki ini.

Luth terkedu. Ada lagi? Peket tisu tu dipegang. Luth tertawa. Bayang gadis tu yang terlompat-lompat berjalan dipandang. Tingkah gadis itu memang comel!

"Kau pergi mana tadi, Naural? Aku call bukan nak jawab." Faiza dan muka monyoknya memang tak dapat dipisahkan. Awal pula meeting dia ni habis.

"Tak pergi mana pun, aku duduk dekat kafe aje. Awal habis?" Tempat duduk di sebelah Faiza diambil. Barisan kerusi yang hampir ke tujuh dari bawah.

"Tak ada apa nak dibincangkan sangat pun... La, kau dah makan ke? Aku baru ingat nak ajak keluar nanti."

"Dengan selesema aku ni? Hah! No... No... No... Tak sanggup aku." Tisu sejak tadi tak lepas dari tangan Naural ni.

"Makanlah ubat tu. Nanti kuranglah sikit."

"Aku dah bagi orang tadi."

"What? Kau bagi orang? Yang kau baik hati bagi orang lain tu kenapa? Diri sendiri pun tak terjaga, baik pula kau nak jaga orang lain, kan? Kau bagi siapa ubat tu? Nanti aku pergi ambil balik."

"Luth..."

"Huh?" Rasa macam Naural ni sebut Luth. Tapi betul ke?

"Aku bagi ubat tu kepada Luth. Tadi kan dia tak dapat ubat. Aku pun bukan makan pun, baik aku bagi aje dia."

Mulut Faiza dah melopong. Serius?

"Kau jumpa dia dekat mana?"

"Kafe terapung..." Naural buat muka bosan.

"Serius? Teruk sangat ke selesema dia tu?" Prihatin.

"Entahlah... Yalah kut..."

"Kesiannya dia. Oh, angin... Sampaikan pesananku kepada si dia. Harap awak cepat sembuh, Luth. Makan ubat tu betul-betul." Muka miang tu dah muncul. Sabar ajelah.

Muntah hijau. Apa kes ni? Oh angin? Banyaklah Faiza ni. Tadi bukan main marah lagi aku bagi ubat tu, bila dengar nama Luth tu terus berubah, eh? Lalang betul. Hebat betul eh penangan cinta ni? Naural membebel dalam hati.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co