Bab 3
Naural duduk goyangkan kaki. Dia berada dekat perhentian bas sekarang ni. Ada mesyuarat kejap lagi, tu yang dia terlebih rajin tunggu dekat sini. Dengan hari hujan lagi, kalau tak ada mesyuarat tu mesti dia tengah membuta.
Adoi! Dia orang ni pun kenapalah nak mengganggu hidup aku? Tak boleh ke semester akhir ni bagi hidup aku tenang sikit? Penuh tension Naural berbisik dalam hati.
Jam dilihat. Kenapa tak ada bas lagi ni? Budak-budak ni pun tak ada kelas ke? Kenapa aku seorang aje yang duduk menunggu dekat sini? Puas diperahkan otaknya, nak mencari keganjilan hari ni. Tapi macam tak ada aje. Hari ni hari Jumaat, sekarang pukul dua petang.
Pukul dua? La... Memang sah-sahlah tak ada bas, kan? Bukan ke budak lelaki baru lepas sembahyang Jumaat? Dahinya ditepuk berkali-kali.
Kenapalah aku boleh lupa ni? Tapi macam mana? Mesyuarat tu mula pukul dua. Ermmm... Terpaksalah...
Hujan yang lebat itu diredah. Adalah dia terjumpa dengan dua tiga orang yang bawa payung tapi tak ada siapa pun yang tawarkan untuk kongsi payung dengan dia. Kesian betul hidup dekat sini. Semua orang buat hal sendiri.
Baju dia dah mula membasah, beg pun sama. Tapi nasib baik dia tak bawa buku, kalau tak lagi aniaya. Dahlah harga buku tahap universiti ni mahal. Kasut dia dah dipenuhi air. Berbunyi-bunyi apabila jalan. Lagipun, ada ke patut Si Naural ni pakai baju putih? Memang seksilah, nampak semua lekuk badan dia. Tapi mana Naural ni kesah, yang dia kesah sekarang macam mana nak hadiri mesyuarat tu aje.
Sampai dekat selekoh di stadium, dia dah tak terasa hujan. Apa hujan dah berhenti ke? Dilihat tempat lain macam ada air menitik turun lagi. Dia mendongak. Payung? Macam mana payung ni tegak sendiri? Ajaib. Wah. Daebak! Kagum kejap.
Adoi, Naural! Payung mana boleh tegak sendiri, kan? Mestilah ada yang memegang.
Dia menoleh, mata dia membulat. Siapa lelaki ni? Mata dikebil-kebilkan. Nak berfikir.
"Kenapalah pergi redah hujan ni? Nah, pegang payung ni kejap." Naural hanya menurut. Blur ni. Memang blur.
Lelaki tu dah keluarkan satu tuala kecil dari dalam beg dia. Dilap lembut wajah Naural. Naural kaku berdiri.
Apa dah jadi ni? Kenapa tiba-tiba aje? Dari mana dia datang? Kenapa dia baik sangat nak keringkan muka aku ni? soal Naural dalam hati.
"Kalau tak lap, nanti awak demam." Naural masih terdiam. Dia ralit pandang muka lelaki tu. Muka lelaki tu? Ermmm... Taklah juga. Dia tak nampak muka dia pun, sebab dah terlindung dengan topi. Nampak pun dari tepi. Mata. Hidung. Tak nampak. Mulut? Sipi aje. Ada juga spesies macam ni, eh? Ada masalah muka ke? Haip, Naural. Jangan nak bersangka buruk dengan orang, ya? Tak baik. Bersyukurlah sebab dia dah datang menolong.
"Hesy, saya tak fahamlah kenapa kena redah hujan ni semua. Tak boleh tunggu hujan ni berhenti ke? Tak sayang nyawa sampai sanggup lari-lari macam tadi? Kalau tergelincir jatuh masuk longkang macam mana? Suka nak cederakan diri sendiri." Panjang lebar dia membebel. Naural garu kepala. Apa dah jadi ni?
Kepalanya pula jadi sasaran tuala tu. Dilap perlahan, lama juga dia buat. Naural dari tadi hanya memandang raut dia... Eh... Bukan-bukan, pandang topi dia.
"Nak pergi mana sebenarnya ni?"
"Kelas, ada meeting."
"Tak boleh tunggu bas ke? Kenapa nak redah juga hujan ni? Kalau nak redah pun bawalah payung sekali."
"Bas tak ada. Payung lagi tak ada."
Terdengar lelaki tu mendengus. Tanda tak puas hati sangatlah tu.
"Kenapa tak tumpang kawan aje?" Masih tak puas hati. Tangan dia masih setia keringkan rambut Naural. Tapi yang paling tak tahan, ada ke dia orang buat babak ni masa hujan, berdekatan stadium dengan hanya dilindungi sebuah payung bersaiz sederhana? Dah rupa babak cerita Hindustan pun ada juga.
"Kawan semua tak ada kereta."
Lelaki itu mendengus lagi. Semua yang Naural cakap dia tak puas hati. Kalau macam tu baik tak payah tanya.
Naural dah buat muka, mungkin otak dia baru boleh proses kut?
"Jom, saya hantarkan. Tak payah nak buat muka macam tu. Tak comel, okey." Lengan baju gadis itu ditarik. Disebabkan dia yang jalan ke depan, dia dah tak terlindung di bawah payung lagi. Bajunya dah basah, tapi hanya dibiarkan. Diri dia terasa tak penting sekarang, yang lebih penting Naural. Boleh pula macam tu.
Naural hanya mengikut. Memang dia tak puas hati, dahlah bebel dekat dia tadi, sekarang main tarik-tarik pula.
Sepanjang perjalanan yang dirasakan beribu-ribu batu tu walaupun hakikatnya taklah jauh pun, dalam lima minit dah sampai, sunyi saja suasana di dalam kereta. Naural menoleh memandang ke luar, lelaki tu hanya tenang memandu.
Sampai aje di depan kelas dia, Naural cepat-cepat keluar. Tapi lagi cepat tangan lelaki itu memegang begnya. Kuat! Naural cuba tarik pun, dia tak nak lepas. Makin kuat dipegang adalah.
"Stay situ, jalan keluar dulu." Dia berpaling ke tempat duduk belakang, macam nak mencari sesuatu. Naural? Dia ikut ajelah. Malas nak gaduh sebenarnya.
"Sini." Tubuh Naural ditarik mendekatinya. Naural hanya pandang topi laki tu aje.
Makin dekat, makin terbau kuat wangian lelaki ni. Wanginya! Dia terpesona. Naural ni suka simpan botol minyak wangi buat koleksi. Memang pengumpul tegar ni!
Tubuhnya yang basah terasa hangat tiba-tiba. Dia tak sedar apa yang dah berlaku sebab dari tadi dia menutup mata menghayati bau wangian dia. Tanpa dia sedar, sepanjang dia tutup mata tadi, lelaki tu ralit pandang muka dia. Tersenyum. Hampir aje tangannya nak mengusap raut comel tu. Tapi... Nasib baik dapat kawal.
Naural membuka mata, badannya dipandang. Jaket?
"Ambil jaket tu pakai, dapat tutup badan awak tu. Saya tak nak nanti ada mata nakal yang memandang. Saya tak suka. Ni aje yang saya boleh tolong, seluar dengan baju yang dah basah tu memang tak dapat nak buat apa. Saya tak bawa spare. Kalau boleh nanti elakkan duduk dekat bilik air-cond lama sangat. Saya tak nak awak demam." Naural terkedu. Penyayangnya dia. Mereka kenal ke? Siapa pula lelaki ni?
"Dah... Dah... Keluar. Tadi kata dah lambat nak datang sini. Ada ke patut dia termenung pula?" Beg gadis itu ditepuk. Ingin menyedarkan Naural yang kelihatan seperti termenung tu.
Naural tersedar kemudian dia terus melangkah keluar. Bahaya... Bahaya... Kenapalah dengan aku hari ni? Macam mana kalau lelaki tu orang jahat? Adoi. Tak sayang nyawa betullah kau ni, Naural.
"Eh... Kejap." Lelaki di dalam kereta yang asyik tersenyum itu terkejut. Adoi! Naural ni pun, janganlah tiba-tiba aje masuk. Kening dia terjongket nak bertanya kenapa.
"Lupa nak cakap thanks tadi. Lain kali boleh tumpangkan saya lagi, okey?" Dia tersengih, kejap aje dah datang balik perangai gila Naural ni. Naural... Naural...
Lelaki itu tersenyum, dia memandang cermin sisi. Curi-curi pandang Naural sebelum dia menghilang.
"Anything for you... Anything..."
Tadi baru aje tamat sesi yang paling dinantikan oleh semua pelajar dari semua lapisan, dari sekolah hinggalah ke universiti. Quiz time! Ya... Kuiz. Ada ke patut lecturer tu baru bagi tahu malam semalam melalui e-mel pasal semua ni?
Tapi semalam dia sempat jugalah duduk menyibuk dekat bilik jiran dia ni, Dila. Kawan satu kelas juga. Sepanjang malam bukannya studi tapi sibuk duk cium bau burger yang memang ada jual di bawah blok.
"Kau okey tak ni, Naural?" Kenapa Naural ni nampak macam nak rebah aje? Risau betul dengan tahap kesihatan kawan dia ni.
"Okey aje..." Tak jauh dia berjalan, dah jatuh. Tapi sempat Faiza paut tubuh dia tadi.
"Macam ni kau kata tak ada apa? Dengan dahi panas macam ni?" Muka Faiza nampak serius. Susah jugalah nak nampak Faiza ni serius. Hari ni pecah rekod. Rasa macam nak tangkap gambar pula. Hampir aje tangan Naural nak ambil telefon, tangan dia ditepuk.
Naural terkejut!
"Kau kenapa ni? Jangan ingat dengan diam macam ni kau selamat daripada soalan aku, okey? Aku takkan berhenti tanya sampai aku dapat jawapan." Wahhh! Kagumnya, makin serius dah muka dia.
"Arghhh!"
"Sakitlah." Tangan Faiza yang mencubit pipi dia tadi dipukul berkali-kali. Sakit kut!
"Padan muka! Kau yang tak nak bagi tahu aku, kan." Didekatkan kembali tangan, tapi kali ni ke arah pinggang dia pula.
Oh, no! Tempat lain boleh, situ tempat sensitif kut.
"Okey-okey, memang aku demam pun." Perlahan aje jawapan dia.
"So, kali ni sebab apa? Hari tu selesema sebab main hujan, apa kali ni bilik kau pula yang hujan ke? Sebab tu demam?"
"Taklah, bukan pun. Dahlah Iza, jangan tanya lagi, kepala aku pening sangat ni."
"Hesy, kau ni pun... Kalau sakit tadi duduk bilik ajelah. Tak payah nak datang kuliah ni..."
"Mana boleh, kan ada kuiz tadi."
"Aku kan boleh tolong cover. Aku tak fahamlah kenapa kau kena susahkan diri macam ni."
"Tak ada apalah Iza, aku okey aje ni. Tak payah risaulah... Jomlah pergi kafe. Aku terasa nak makan bubur."
Faiza hanya mengeluh. Tahu tu semua taktik nak lepaskan diri daripada soalan dialah tu. Macam dia tak kenal Naural ni macam mana. Nasib baik sakit. Kalau tak, jangan harap dia akan lepaskan. Akan disoal sampai dia puas hati dengan jawapan yang Naural beri.
"Macam mana kau boleh demam balik ni?" soal Faiza sebaik saja mereka berdua tiba di kafe.
Naural dah garu kepala. Ingatkan dah habis topik ni tadi. Ada sambungan pula. Kali ni ada berapa episod pula?
"Aku redah hujan semalam, tu ajelah. Terlupa nak bawa payung." Naural jatuhkan muka di atas meja. Nak rehat kejap.
"Redah hujan?!"
Mulut Naural melopong. Dia perasan ramai yang dah pandang dia orang lain macam.
"Hoi! Agak-agaklah, yang kau pergi jerit kenapa?"
"Yang kau pergi redah hujan tu pula kenapa?"
"Sebab aku nak cepatlah semalam, ada meeting pukul dua." Malas aje Naural nak cakap, masih segan pun ada lagi juga. Nada makin kendur. Malas dah nak gaduh. Banyak sangat guna tenaga. Penat.
"Meeting? Tu lagi penting daripada diri kau sendiri ke? Kenapalah kau ni tak pandai jaga diri sendiri ni?"
Naural menyentuh tangan kawannya, terharu pula dapat kawan macam ni.
"Terharunya aku dapat kawan macam kau." Air mata dia bergenang.
"Patutlah terharu, aku just fikir kalau kau demam nanti, siapa yang nak teman aku shopping esok. So, pastikan kau dah baik okey?! Kalau tak, kita putus!"
Mulut Naural terlopong. Sebab tu? Hanya sebab nak shopping dengan dia. Sengal punya kawan. Tak patut betul! Tak jadi mengalir terus air mata yang nak turun tadi. Sedihnya... Mama... Naural nak mama.
"Nah." Tiba-tiba kedengaran satu suara berkata kepada Naural.
Naural hanya memandang peket-peket ubat itu. Muka Faiza dipandang. Wah... Tersengih-sengih dia.
"Ambil balik semua ni." Dahi Naural berkerut. Muka lelaki itu dipandang pelik, dahlah kacau dia dengan Faiza berborak, tiba-tiba aje datang mencelah. Salam apa pun tak bagi.
"Mak saya cakap buruk siku kalau ambil balik." Faiza hanya memandang mereka silih berganti. Apa dah jadi ni? Tapi kan... Suara Luth seksi sangat! bisik hati Faiza.
"Saya pula tak suka ambil barang free."
Mata Naural membulat. Dari rasa lemah tadi terus bersemangat. Bersemangat nak lawan cakap dengan Luth. Ada ke patut dia buat kenyataan macam tu. Barang percuma? Habis, segala tenaga yang dia gunakan untuk ke PK tu percumalah? Sungguh tak berperikemanusiaan ya kenyataan tu.
"Barang free? Sebab barang free inilah awak sembuh, kan?" Berani dia berdiri, membangkang kata Luth. Yang lain semua dah pandang lagi.
"Sembuh? Macam mana awak tahu saya dah sembuh? Nampak saya ni dah sembuh ke dalam pandangan mata awak tu?" Luth berdiri, sambil menyeluk poket.
Smart! puji hati Faiza. Dia ni tak nak pertahankan Naural pun dalam hal ni. Walaupun dia tak tahu cerita sebenar, dia hanya akan pertahankan Luth.
Tangan Naural mula bergerak. Diletakkan di depan dahi Luth ni. Tak ada berlaku sentuhan kulit ya di situ. Mulut Faiza membulat, bukan dia aje tapi kebanyakan studen perempuan dekat kafe ni. Yalah, lelaki kacak kesukaan ramailah katakan, mesti ada yang tak puas hati tengok tingkah Naural tadi. Termasuk Faiza ni juga. Tak terkecuali.
Naural tertawa, sebelum dijatuhkan tangan dia.
Luth dah terkedu!
"Suam, so saya dah dapat jawapan. Tak payah nak menipu kalau tak tahu caranya." Naural duduk balik, dah tak larat pula rasanya.
Luth berlalu pergi, bukan dia aje. Tapi empat orang lelaki lain pun ikut. Muka dia masa pergi tu tak boleh nak jelaskan, ada keliru, pelik, semula adalah. Faiza hanya melihat sebelum memandang Naural pula. Peket Luth bagi tadi dipegang.
Ubat demam? Selesema?
"Ni yang kau bagi Luth dulu ke?"
Naural hanya mencebik, kenapalah lelaki tu pulangkan balik? Dia bukan nak pun, memang nanti akan 'disimpan' ke dalam tong sampah ni.
"Memang aku punya pun. Tak fahamlah kenapa nak bagi balik."
"Memang betul kut dia tak suka barang free."
Naural pandang botol tu, lama. Berfikir. Kenapa peket ni nampak lain pula? Ermmm... Musykil. Malas nak fikir, direbahkan kembali kepalanya. Pening... Tak pasal-pasal sebab lelaki tu kini dia migrain pula. Hesy...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co