Bab 1
HIDUP biarpun tidak berharta, setidak-tidaknya masih ada harga dan maruah diri. Tapi, tidak padanya. Andai maruah dan harga dirinya boleh mendatangkan pulangan yang lumayan, dia akan jual tanpa banyak soal. Tak akan berfikir untuk kali kedua. Yang lumayan itu adalah kebebasan seorang lelaki yang dia panggil ayah.
Dan, inilah yang sedang dia lakukan. Dah hampir dua jam dia berdiri di luar bangunan APEX Group. Mengumpul segala kekuatan. Ini adalah yang terakhir. Dia telah lakukan banyak perkara, tapi dia belum sempat sujud di kaki lelaki itu.
Mata Daneen tajam memerhati pada pintu utama. Sebaik saja dia nampak lelaki itu berjalan keluar diiringi beberapa orang lelaki berpakaian sut hitam, dia pantas berlari. Selaju mungkin dengan harapan untuk tembus penghadang tapi sayang, tubuh halusnya begitu senang ditolak dan dia jatuh terlentang. Daneen bangkit dan meluru sekali lagi namun dia tetap tidak berdaya menyelinap melalui tembok manusia itu.
"Apa kau nak, hah?" Salah seorang lelaki sasa itu mengaum kuat.
Daneen tak hirau. Dia hanya memandang wajah Datuk Malik. Lelaki yang pernah dia panggil Uncle Malik dengan suara yang sangat lembut. Lelaki yang sentiasa senyum dan tak lokek dengan hadiah jika menziarahi mereka.
"Uncle, tolong. Saya nak cakap sikit aje, uncle. Tolonglah..." rayunya sehabis daya.
"Nak apa lagi? Pergi kau. Atau kau nak aku seret kau ke tengah jalan raya?" Lelaki tadi kembali bersuara. Lebih keras dan bengis. Mencengkam rambut panjangnya sekuat hati sebelum ditunjal kasar. Hinggakan Daneen jatuh sekali lagi.
Wajah Daneen sedikit berkerut menahan pedih kesan kulit yang terseret pada jalan raya kesat lagi panas dibakar mentari. Kali ini, dia tak terus bangun. Sebaliknya, hanya merangkak. Mahu lepasi kaki lelaki itu.
"Macam mana ni, Datuk?"
"Hurm... Biarkan dia. Aku nak dengar dia cakap apa lagi?" jawab Datuk Malik dengan nada tenang.
Mendengarkan bicara itu, rasanya dia kembali bersemangat. Daneen mahu bangkit, tapi ditahan. Dia merenung lelaki bengis itu dengan penuh tanda tanya.
"Cakap sini aje..." ujarnya.
"Uncle..." panggil Daneen dengan nada yang begitu rendah. Dia merayu. Terus merayu.
"Lepaskan dia. Tapi, biar dia merangkak..."
Liur ditelan. Daneen sudah tak kesah. Telah dia katakan, jika harga diri dan maruahnya boleh diniaga, dia akan jual tanpa banyak kata.
Beberapa minggu sudah, dia telah merayu anak kepada lelaki angkuh ini, tapi tubuhnya hampir dibaham dengan begitu rakus dan buas. Andai dia membiarkan tubuhnya diratah, tentu segalanya mampu diselesaikan.
Tak berkata apa, jauh sekali menolak, Daneen heret lutut. Melutut di hadapan Datuk Malik dan mendongak. Merenungnya.
"Uncle, Daneen betul-betul terdesak. Tolonglah kami. Mama Daneen tak sihat. Neena pula macam tu. Ya... Ya... Daneen tak akan minta apa-apa. Daneen tak akan minta Mufid kembali pada Neena. Daneen tak akan minta uncle bagi duit untuk mama, tapi tolong buktikan ayah Daneen tak salah, uncle. Dia kawan lama uncle. Dia percaya pada uncle. Lepas tu, Daneen akan pastikan ayah tak akan ada hak apa-apa dalam syarikat uncle. Kami tak akan tuntut walau satu sen pun. Daneen akan bawa ayah, mama dan Neena jauh-jauh. Uncle boleh anggap kami tak wujud dan kami akan hidup tanpa masyarakat tahu pun kewujudan kami. Tapi, tolonglah, uncle. Tolong ayah..." rayu Daneen dengan air mata berjejeran.
"Okey..." Datuk Malik telan liur mendengar rayuan dan permintaan Daneen. Jujurnya, langsung tak berbekas di hati. Malah, dia jadi jijik melihat wajah comot itu di depannya.
"Pertama sekali, siapa uncle kau?" herdik Datuk Malik.
Wajah Daneen terpinga-pinga buat seketika sebelum dia tunduk dan angguk berkali-kali. Mengakui salahnya.
"Ya... Ya... Maafkan saya, Datuk. Saya salah. Harap Datuk boleh berbelas kasihan pada kami sekeluarga..."
"Jadinya, sungguh kau nak bawa keluarga tak guna kau tu semua pergi jauh?"
"Ya, Datuk..." Sekali lagi Daneen mengangguk laju.
"Datuk tak akan boleh kesan lagi kami. Saya janji. Tapi, tolong lepaskan ayah saya. Tolonglah..." rayunya lagi. Kali ini tanpa tangis. Cuma ada air yang mengalir pada juring mata. Memandang tepat pada mata Datuk Malik. Mencari keikhlasan dalam harapan yang diberikan.
"Tapi, sejak bila kata-kata keturunan Ahmad Dhani ni boleh pakai? Kalau dah ayah macam tu, anak pun dah tentu putar belit juga. Jangan ingat aku mudah percaya lepas apa yang bapak kau buat!" marah Datuk Malik dengan suara yang begitu tajam dan keras. Langsung tiada nada belas seperti yang diharapkan.
Datuk Malik menarik beg duitnya. Beberapa keping not berwarna ungu dicampak di atas muka Daneen.
"Itu, dah kau cakap mama kau tak sihat, pergi bawa dia ke hospital. Jangan sampai mampus pula sebelum sempat dia tengok suami kesayangan dia dijatuhkan hukuman!" selar Datuk Malik lagi sebelum memasang langkah. Tapi, Daneen lebih pantas menyambar kakinya. Gadis itu memaut kuat dan terus merayu.
"Saya tak nak duit, Datuk. Saya cuma minta tolong Datuk bebaskan ayah. Tolonglah, Datuk. Saya akan buat apa saja. Tolonglah, Datuk..." rayu Daneen tanpa henti.
Dia bertahan biarpun jasadnya sedang menjadi mangsa sepak terajang beberapa orang lelaki bersut hitam itu. Dia langsung tak mengerang kesakitan. Hanya dahinya saja berkerut setiap kali tapak kasut hitam itu singgah pada seluruh tubuhnya.
"Eh, lepaslah!" Datuk Malik turut menyepak.
Semakin kuat dibentak, semakin gagah Daneen berpaut.
"Tolonglah, Datuk. Kali ini aje. Kami tak pernah meminta, Datuk. Tapi, saya dah tak ada pilihan. Datuk boleh buat apa saja pada saya. Saya terima..."
Dahi Datuk Malik berkerut mendengar kata-kata Daneen tapi langsung tak dihiraukan.
"Kau tarik budak kotor ni daripada aku!" jerkah Datuk Malik.
Saat ini, kaki dan tangan Daneen ditarik kasar. Sekali rentap, pegangannya pada kaki Datuk Malik terlucut juga. Dia meronta mahu dilepaskan bila tangan salah seorang lelaki itu terangkat tinggi mahu menamparnya.
Daneen memejamkan mata. Menanti tamparan itu singgah.
"Dah, jangan!" marah satu suara. Rendah dan cukup garau.
Setelah seketika, dia buka mata bila mendengar suara parau itu dekat dengan telinganya. Badannya bebas daripada segala pegangan dan amukan kasar. Bibirnya mula mengalirkan darah.
Dia dekati Datuk Malik yang masih berdiri di situ.
"Datuk..." Belum sempat dia hampiri, kakinya longlai dan dia hampir jatuh jika tidak tangan itu memaut pinggangnya.
Daneen langsung tak menoleh. Dia dah tak kesah akan semua perkara. Dia hanya mahu permintaannya ditunaikan.
"Eh, kau campak dia ni dalam lombong. Senang!" marah Datuk Malik.
"Abah, pergi dulu. Abah ada miting penting, kan? Biar Ki uruskan," ujar lelaki yang bersuara garau itu.
"Ikut suka kaulah. Kalau dah susah sangat, kau campak aje dekat lombong mana-mana. Habis cerita."
"Tolonglah..." Rayuan Daneen kali ini sudah menjadi bisikan.
Pandangannya mula berbalam. Malah, dia dapat rasa ada darah merah yang mengalir dari hujung dahi dan hidung.
"Benda terakhir yang aku boleh bantu ayah kau tu, adalah dengan bagi peguam terbaik pada dia. Terserahlah pada peguam tu nak bela dia macam mana!" marah Datuk Malik lantas masuk ke dalam perut kereta Maybach berwarna hitam pekat dan terus berlalu.
"Datuk, tolong saya!" jerit Daneen. Dia mahu mengejar, tapi pelukan lelaki itu pada pinggangnya lebih kemas.
"Kau tak dapat apa-apa pun kalau kau kejar!" jerkah lelaki itu.
Daneen pantas menoleh. Wajah lelaki ini terlalu kabur di matanya angkara air mata yang menutup segala keindahan dunia.
"Kalau macam tu, tuan tolong saya, tuan. Saya rela jadi hamba tuan. Saya jual diri saya dekat tuan. Tolonglah, tuan..." rayu Daneen dengan memegang lipatan kot lelaki itu sekuat hati.
"Saya rela buat apa saja, tuan. Tolonglah..." rayu Daneen dalam tangisan yang panjang dan dia sembamkan wajahnya ke dada lelaki itu. Bersama rayuan yang sudah menjadi bisikan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co