Bab 2
TUBUHNYA panas membahang. Daneen hanya relakan diri bila lelaki itu mendorongnya masuk ke perut kereta. Dia ikutkan saja ke mana nasib membawanya. Setelah sekian lama akalnya tidak dapat bekerja dengan baik, kali ini nampaknya seperti sudah terlalu tepu untuk berfikir.
"Tuan boleh tolong saya?" soalnya memecahkan hening. Langsung tak menoleh pada lelaki itu. Ada rasa takut yang bukan sedikit di dalam hatinya.
"Aku tak akan tolong orang yang jelas salah..."
"Tapi, ayah saya tak salah, tuan..." Tubuh Daneen menoleh. Dia jatuhkan lulutnya di atas lantai kereta yang agak lapang. Tangannya naik menyentuh lutut lelaki di depannya.
"Tapi, kalau tuan rasa ayah saya salah... saya tetap tak segan nak minta tuan tolong saya lepaskan dia. Lepas tu saya akan bawa keluarga saya jauh dari sini, tuan. Tuan sekeluarga tak akan tengok muka kami lagi..."
Jauh? Kening lelaki itu berkerut lebat. Tak... Biarpun jauh Daneen membawa keluarganya, lelaki yang dia panggil abah itu tak akan bebaskan keluarga ini dengan mudah.
"Kau terlalu naif untuk hidup dunia ni..." bisik Maliki sambil menolak tangan Daneen yang ada di lututnya.
"Kalau macam tu, saya juga sanggup mati, tuan. Tuan boleh minta apa saja. Saya sanggup jual segala milik saya termasuk nyawa saya, tuan..."
Jika mendengarkan Daneen mahu pergi jauh pun, boleh buat hatinya membekam dengan rasa marah, inikan pula Daneen berbicara tentang mati.
"Berbaloi ke kau mati untuk ayah yang macam tu?"
"Tak, tuan... jika pada tuan ayah tuan adalah terbaik, saya tahu ayah saya juga sama. Dia ayah terbaik untuk saya. Saya sanggup mati untuk dia, tuan. Tuan boleh cabut nyawa saya asalkan tuan janji untuk selamatkan dia..."
"Masalahnya, aku tak ada kuasa. Kau sendiri dah merayu abah aku dan tengok macam mana layanan dia. Tak ke kau rasa abah aku dah cukup berbelas untuk bagi peguam paling hebat dalam negara ni untuk bela ayah kau biarpun dia tahu ayah kau dah buat silap besar..."
"Ya, tuan... saya tahu." Bahu Daneen mula terhinggut. Tangisannya kembali menggila. Dia tunduk.
Entah bagaimana dia mahu yakinkan lelaki ini. Malah, untuk yakinkan semua orang. Pada mata dunia sekarang, ayahnya ialah pesalah. Seluruh keluarganya tak sudah diherdik dan dimaki. Jiwa mama terganggu. Emosi kakaknya, Daneena... juga sama. Dia pula, hanya mampu menabur benih janji yang palsu.
"Kalau gitu, tuan... saya tak akan minta lagi. Saya akan usahakan sendiri..." Daneen kembali duduk merapat ke pintu. Belakang tangan terus mengesat air mata yang bercampur dengan darah kering.
"Encik boleh berhentikan kat depan. Saya nak turun," pinta Daneen lembut. Dia senyum tipis bila bola matanya dan pemandu itu berlaga di dalam cermin pandang belakang.
Lelaki itu nampak ragu-ragu.
"Tolong, encik..." Sekali lagi Daneen merayu tapi pedal minyak terus ditekan dan kereta terus meluncur laju tanpa ada tanda hendak berhenti.
Maliki menyepi. Daneen juga diam bila tak mampu lagi berkata apa. Bila akhirnya kereta singgah di sebuah klinik, dia terus diminta keluar.
"Ikut aku," arah Maliki perlahan.
Daneen melangkah lemah demi menahan sakit yang bukan sikit memanah seluruh tubuhnya. Usah dikata wajah, seluruh pakaiannya juga kotor dan carik. Tak ubah seperti pengemis. Ya. Inilah hakikat dirinya. Dia adalah pengemis. Mengemis belas demi ayahnya. Demi keluarga yang begitu berharap padanya.
"Hoi..." Doktor muda itu muncul dengan wajah terkejut.
"Mana kau tahu aku ada kat klinik ni hari ni?"
Maliki tak menjawab soalan kawan lamanya itu. Dia kerling ke belakang. Lelaki berbaju kot putih dan memegang stetoskop di tangan itu juga turut sama memandang. Dahinya berkerut menghantar tanda tanya.
"Kau rawat dia sikit, Ray..."
"Oh, okey..." Boleh jadi kerana prinsip kedoktoran, Ray lebih pantas bekerja. Gadis malang itu dibawa ke dalam bilik rawatan dengan dibantu oleh dua orang jururawat.
Saat dia menyelak baju putih itu, Ray mengeluh tipis. Kesan lebam pada rusuk, belakang dan pipi. Malah dia tahu, tempat lain juga sama.
"Nurse, cucikan luka dulu. Saya keluar sekejap..." Ray menutup pintu bilik rawatan. Mendapatkan Maliki.
"Itu bukan anak Datuk Dhani ke, Ki?" Biarpun wajah indah itu telah berubah, nampak begitu sakit dan kotor... dia masih cam gadis itu.
"Kau keluar ni, dah siap ke rawat pesakit kau?" marah Maliki.
"Relaks dulu, kawan." Ray ketap bibir. Lemah betul bila Maliki mula memandangnya dengan renungan dingin macam tu.
"Aku nak cakap, tubuh dia teruk. Biru sana sini. Aku risau ada retak kat mana-mana tengok pada keadaan dia jalan tu. Nak pusing tubuh pun susah. Aku tahu, dia sedang sakit sangat..."
"Sakit sangat?" tanya Maliki dengan pandangan sinis.
"Aku tak dengar pun dia jerit?" sindirnya.
"Aku cakap tadi, dia sedang tahan sakit. Memang dia tak jerit, tapi air mata dia keluar tak henti-henti..."
"Kau selak baju dia?"
"Ya..." sahut Ray bila dia dengar soalan Maliki seperti punya aura lain.
"Hei, aku ni doktor. Aku dah tengok seluruh body manusia. Aku kenalah selak nak tengok bila dah teruk sangat. Kau ni..." Ray menggeleng.
Jujurnya, Maliki ni sangat possessive. Tapi, apa yang dia nak possessive kan sangat entah. Perempuan tu dah jadi musuh seumur hidup.
"Dia kena pukul ke, Ki?"
Maliki diam. Tak menjawab. Hanya memandang ke depan. Tiada titik yang tepat. Dia juga terkejut bila keluar dari bangunan itu tadi, melihat Daneen disepak terajang. Dia berlari laju demi melihat tangan kasar itu terangkat tinggi untuk menampar Daneen. Tak dapat dia bayang, jika dia terlambat tadi. Mujurlah dia sempat menyambar tangan itu dan menolak lelaki itu jauh.
"Kena bawa pergi hospital, Ki. Sini tak boleh buat CT scan..." Wajah Ray jelas risau.
"Kau bagi dia ubat tahan sakit ke apa dulu. Cuci luka dia..." arah Maliki. Dia berat hati untuk hantar ke hospital. Tak mahu jadi kes polis dan mengaitkan nama keluarganya.
"Kalau gitu, aku pergi rawat dia kejap..."
"Doktor?"
Ray tak sempat lagi bangun bila jururawatnya muncul dengan wajah cuak.
"Kenapa?"
"Pasien tadi, lari..."
"Hah? Macam mana boleh lari?" Maliki lebih dulu menyoal.
"Dia minta pergi bilik air. Dia keluar ikut pintu belakang kut..."
"Alahai... awak ni..." Ray tak tahu nak berkata apa. Dia hanya melihat pada Maliki yang mula resah.
Tak berkata apa, Maliki terus angkat tubuh dan berlalu keluar. Dia berlari diikuti oleh pembantu setianya, Alif. Menuju ke bahagian belakang bangunan dan nyata, Daneen sedang berjalan menyeret kaki dengan susah-payah. Sesekali memegang rusuk dengan wajah yang menahan sakit.
"Daneen?" Lengan itu dilelar kasar.
Daneen mengaduh bersama kerutan. Maliki pantas melepaskan tangan itu. Daneen senyum tipis. Nampak sukar bila pada mulut itu masih ada luka yang masih segar.
"Kenapa kau lari?"
"Saya tak apa-apa, tuan. Nurse tu dah bagi saya ubat. Saya kena balik rumah," ujarnya lembut. Tunduk. Rasa tak layak untuk memandang lelaki sehebat ini.
"Kau jangan nak tipu aku..."
"Tak, tuan. Saya betul-betul dah baik," cantas Daneen.
"Tuan tengok ni..." Dia tegakkan tubuh dan menggerakkan tangannya dengan aktif. Langsung tidak berdesir. Hanya senyum.
Namun, seperti kata Ray... Maliki boleh nampak air mata yang mengalir. Maliki mendengus.
"Bagi doktor rawat kau dulu. Kalau kau risau pasal bayaran, jangan risau. Aku bayar..."
"Itu yang saya tak nak, tuan. Saya okey. Terima kasih bawa saya ke klinik. Satu hari nanti, saya akan balas jasa baik tuan..." ucap Daneen.
Dia berpaling dan terus berlalu.
"Bos, nak saya ikut dia?" soal Alif.
Maliki diam. Lama dia hanya memerhati Daneen yang berjalan lemah tanpa mampu berbuat apa-apa. Padanya, dia telah cuba berbuat baik, tapi jika ditolak, dia juga tak akan terus memaksa.
"Biarkan dia. Satu hari nanti, dia akan datang pada aku," ucap Maliki dan dia juga terus menoleh dan berlalu dari situ. Jika dulu, gadis bernama Daneen sukar didekati, sekarang juga sama.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co