Bab 5
LELAH dia berlari. Namun, kenapa langkahnya menjadi berat? Malah, tempat yang mahu dituju itu menjadi semakin jauh. Air mata jatuh tak henti-henti sejak tadi. Sebaik saja dia masuk ke pintu kecemasan PPUM, kakinya kaku. Dia nampak wajah Daneena dan darah merah yang menodai jasad kurus itu.
Daneen terduduk. Mencangkung di balik pintu. Menekup wajah ke lutut dengan telinga terus menerima suara kalut doktor dan jururawat. Dia tahu itu kakaknya kerana tiada lagi orang lain di situ. Entah berapa lama dia hilang dalam dunia sendiri mencari penawar pada sakit hatinya.
"Kau kakak aku. Kaulah kena jaga aku." Dia ingat lagi saat dia berseloroh dengan Daneena satu waktu dulu. Bukan sekali Daneena menjadi mangsa buli dan yang menjadi pelindung ialah dia.
Sikap dia dan Daneena berbeza. Daneena seorang yang sangat lembut. Manja dan mudah menangis. Tidak sepertinya yang sedikit keras dan sukar didekati. Mesra? Tidak sesekali. Boleh jadi kerana itu, kawan yang dia ada hanyalah Daneena, mama dan ayah. Kini, siapa lagi yang tinggal untuknya? Usah kata kawan, keluarganya juga sudah tiada.
"Neen la yang kena jaga Neena. Neena ni jangan kata nak lawan balik orang buli dia, nak lindung diri sendiri pun tak boleh haa..." Ayah pula menokok.
Daneena tarik muncung. Memeluk lengan mama. Menagih simpati. Tapi, mama hanya senyum. Seraya mengusap rambut panjang Neena. Daneen tahu, sejak Neena kecil, kedua-dua ayah ibunya sentiasa memanjakan Neena dan dia juga bahagia melihat mereka yang dia sayang bahagia.
"Neena sebagai kakak, memang patutlah jaga Neen. Dia kan adik..."
"Mama ni..." Bibir Neena mencebek. Dia angkat kepala daripada terus berlabuh di atas bahu mama. Merajuk!
Daneen dan Datuk Dhani lepaskan tawa besar. Seronok dapat mengusik Neena.
"Haa, kau tengok tu, Neena. Mama pun setuju dengan aku. Ini tak... Sejak dulu, kalau orang buli aku, kau menangis dulu. Orang buli kau apatah lagi..." cerita Daneen seraya menggeleng kepala.
"Yalah-yalah. Lepas ni, aku jaga kau, aku jaga keluarga kita..."
Daneen bertukar senyuman dengan mama dan ayah. Dia hanya bergurau. Kerana dia tahu, Neena terlalu lembut untuk dijadikan perisai. Sekali luka, Neena pasti akan lebur. Sedangkan dia, tak ubah seperti urat besi dan bertulang dawai.
"Hei... Urusan jaga keluarga kita, kau serah dekat aku. Tugas kau hanya perlu bahagia sebab, aku bahagia bila keluarga kita macam ni..." Daneen paut tubuh kakaknya dan dipeluk erat.
Saat ini, barulah senyuman Neena koyak lebar. Dia balas pelukan Daneen. Kemas. Sambil kenyit mata pada ayah.
"Aku tahu, kau akan jaga aku, mama dan ayah. Aku sayang kau, Neen..."
"Aku sayang kita semua..." balas Daneen.
Kala ini, dia dapat rasa pelukan ayah dan mama juga bertaut sama. Dia bahagia biarpun ada cecair jernih yang jatuh pada hujung mata. Dia tahu, Neena telah dimiliki dan bakal menjadi milik seorang lelaki bergelar suami tak lama lagi.
"Daneen akan jaga kita semua. Daneen janji," bisiknya lagi.
Saat ini, dia dapat rasa tiga kucupan singgah di tengah kepalanya. Kucupan hangat daripada ayah, mama dan kakaknya.
Tuhan... Semoga bahagia kami tidak terpanah dek pandangan mata jahat manusia. Biarlah hilang segala harta dunia tapi tidak tiga ahli keluarganya.
MATA yang sejak tadi terpejam, dibuka perlahan bila dia nampak sepasang kaki sedang berdiri di depannya. Saat ini, barulah dia kembali ke alam nyata setelah hilang jauh ke belakang dalam memori yang sangat indah. Yang dia harap dapat diulang lagi. Tapi, itu semua mustahil. Yang manis, hanya kenangan. Kenyataan... adalah begitu pahit.
"Cik ni waris mangsa, kan?"
Daneen angkat wajah dan mengangguk. Dia bangkit dan berdiri sedikit goyah bahana bertinggung terlalu lama.
"Cik tahu tak... Mangsa mengandung?" Wajah jururawat itu nampak keruh dan mendung. Seperti melindungi perasaan serba salah saat mengungkapkan kata-kata itu.
Daneen tekup mulut dan menggeleng. Padanlah kalau Daneena hampir gila bila ditinggalkan oleh Mufid. Tapi, sejak bila? Rasanya dah lama Mufid tinggalkan Daneena. Dah hampir dua tahun. Sejak ayah ditangkap.
Dan, macam mana...
Daneen menggeleng penuh kesal. Kenapa Daneena begitu kejam pada mereka sekeluarga? Sehingga meninggalkan beban yang terlalu berat untuk dia galas sendirian.
Dia pandang wajah lemah yang masih menerima bantuan oksigen. Perasaannya benar-benar bercelaru. Rasa marah pada Mufid membakar tapi sikap Neena membuatkan dia terus menjadi abu. Lantas, dihembus angin yang sangat garang. Bertebaran di udara lalu hilang begitu saja.
"Tapi, maaf, cik. Kandungan dia tak dapat nak diselamatkan. Dia hilang banyak darah. Doktor dah cuba masukkan darah tapi tubuh dia tak nak terima. Kami dah cuba sedaya-upaya. Keadaan dia masih tak stabil dan kami akan tolak dia ke bilik operation kejap lagi. Ini..." Surat keizinan waris dihulur bersama satu fail warna biru dan juga sebatang pen.
Dengan rasa menggigil, Daneen turunkan tandatangan. Tanpa berkata apa. Dalam kepalanya sekarang, hanya terfikir keselamatan Neena. Dia akan menanti Neena kembali sihat dan dia akan buat perhitungan lain. Dia... telah ditolak rapat ke dinding. Tiada pilihan lagi.
"Tolong selamatkan dia. Apa pun jadi..." Daneen serasa mahu meraung. Baru kejap tadi dia berjanji dan dia mahu tunaikan janji, tapi Daneena tak izinkan segalanya itu terjadi.
Daneen menapak keluar bila telefonnya menjerit. Dia tekap ke telinga tanpa melihat pada skrin.
"Cik Daneen? Anak pada pesakit bernama Lateefa, kan?"
"Ya, saya..." Perasaannya benar-benar kosong hingga dia hampir lupakan mamanya yang dibawa ke HKL.
"Macam mana mama saya?"
"Maaf, cik. Boleh cik datang segera ke HKL. Mama cik dah tak ada..."
"Hah?" Daneen termangu lama. Dia jauhkan telefon daripada telinganya buat seketika sebelum mendengar sekali lagi suara itu.
"Pesakit Lateefa dah tak ada. Dia diserang sakit jantung masa kami cuba selamatkan dia..."
Telefon Daneen lepas daripada tangan. Skrinnya retak seribu. Tak sempat duduk di atas bangku, dia melorot jatuh di atas lantai. Tanpa menghiraukan yang melihat.
Di sini, Daneena sedang bertarung nyawa, malah dia telah kehilangan satu nyawa suci daripada rahim Daneena dan di sana juga, satu nyawa lain telah tiada.
Adakah ini makna pandangan sayu mama padanya semalam?
Ujian apa kau datangkan ini, Tuhan?
Berkali-kali dia menyoal hinggakan dia menumbuk dada sendiri sekuat hati tanpa mampu dia zahirkan tangisnya yang mengaum tanpa henti. Biarpun ada yang memujuk dan melemparkan pandangan aneh, dia tak peduli. Kerana tiada siapa yang mengerti betapa sakitnya hati. Betapa ranapnya jiwa.
KALI ini aje, Daneen. Kali ini aje. Itulah yang hati Daneen bisikkan bila dia berada di depan pagar rumah besar itu. Memujuk hati dan merendahkan air mukanya buat kali yang terakhir demi kakaknya. Betapa dia memujuk pun, Daneena begitu berkeras untuk dia bawa Mufid. Biarpun dia katakan yang Mufid telah membuang kakaknya itu, malah Neena sendiri tahu. Tak cukup dengan itu, keluarga Mufid telah berlaku kejam pada mereka tanpa mereka tahu apa salah yang telah dilakukan.
Namun, Daneena langsung tak nak terima semua itu. Di bibirnya hanya meniti nama Mufid setelah Daneena lelah tangisi kepergian mama dan bayi sendiri. Hati Daneen sakit seperti tak tertanggung lagi.
"Jangan paksa aku lagi, Neena. Aku baru selesaikan jenazah mama. Ini... ayah tak tahu lagi. Kau jangan fikir sangat pasal benda lain, Neena. Kau kena pulih macam biasa dan masa tu, aku akan buat apa aje untuk bawa dia jumpa kau..."
Air mata Neena mengalir lesu. Bibirnya bergerak tapi kata-kata seperti sangat sukar untuk lepas daripada celah ulas bibir yang kering itu. Tersekat. Dia tahu, dia telah menjadi begitu pentingkan diri dan yang menjadi mangsa ialah Daneen. Malah, dia tahu, dia tak akan hidup lama. Kerana itu, dia cuba meminta buat kali terakhir.
"Aku tahu, aku dah banyak susahkan kau sejak dulu, Neen. Betul kata kau. Kau adik dan aku patut jaga kau. Bukan kau jaga aku. Sejak dulu, kau banyak jaga aku. Tapi, anggap ajelah aku minta untuk kali terakhir, Neen. Kali ini aje..." pinta Neena perlahan dan tersekat-sekat.
Tuhan... Daneen menggeleng sendiri dengan kata-kata Neena. Andai mampu, dia mahu luahkan kebencian yang tak terhingga akan sikap Neena waktu ini.
"Aku kena jumpa Mufid, Neen. Dalam keadaan apa sekalipun, aku kena jumpa dia sekali. Kau kena bawa dia jumpa aku biarpun dalam keadaan paksa..." tambah Neena bila Daneen terus diam.
"Tolonglah, Neena!" Suara Daneen kedengaran mengeruh.
Apa maksud Daneena secara paksa? Tubuh halusnya tak mungkin dapat kawal jasad Mufid. Dia tak kenal sesiapa untuk meminta bantuan. Jauh sekali punya kuasa dan duit yang banyak untuk mengupah orang.
"Kau kakak aku. Aku sayang kau. Kau tahu tu. Aku akan buat apa saja untuk kau. Sejak dulu. Tapi, boleh tak sekali aje kau fikirkan perasaan aku? Boleh tak sekali kau tanya macam mana seksanya aku setahun ni? Usah kata kau, Neena, jangan kata mama dan ayah, aku sendiri sangat menderita, Neena. Tak boleh ke kau nampak?" soal Daneen lemah dengan suara yang tertahan-tahan menahan sendu.
Selama ini dia begitu kuat tapi kali ini, dia sudah tidak malu menunjukkan segala kelemahannya.
Biarpun doktor telah berpesan untuk tidak mengacau emosi pesakit, tapi dia sudah tidak mampu terima permintaan karut Daneena sekarang. Tangis Daneen kian menjadi-jadi bila dia rasakan Daneena menggenggam jari-jemarinya biarpun genggaman itu cukup lemah.
Kala mata mereka bertentangan, Daneena koyak senyum tipis. Daneen sepertinya lega tapi tak lama bila Daneena bersuara.
"Aku minta maaf sebab kau perlu terseksa sendiri, Neen. Mama selalu cakap dekat aku, yang kami dah begitu banyak susahkan kau. Tapi, kali ini aje. Untuk kali terakhir, Daneen..." Ayat itu diluahkan perlahan.
"... aku akan menyusahkan kau," tambah Daneena dengan susah payah.
Daneen tak dapat berkata apa lagi. Hanya menggenggam tangan Daneena yang lemah. Menyembamkan wajahnya di tangan itu dan menangis tersedu-sedu. Sejak dulu, mereka saling menjaga diri masing-masing. Tapi kali ini, dia sudah tidak dapat menjaga Daneena. Begitu juga sebaliknya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co