Bab 4
KEPALANYA jatuh. Tunduk memandang jari-jemari sendiri yang menggigil. Tubuhnya kaku. Dia seperti telah tercampak jauh ke dalam dunianya sendiri tanpa ada sesiapa menemani. Pandangan mata sangat kabur dan air jernih itu menitis perlahan di atas belakang tangan.
Saat ini, dia hanya mampu mendengar suara tangisan di sisinya. Dekat dengan cuping telinga. Sangat halus seperti belati tajam yang menoreh hati. Tanpa rasa. Sedar saja, ia sudah berdarah.
Suara lain sudah tidak mampu menembus pendengaran. Hanya tangisan dan esakan seorang wanita yang dia panggil mama. Perlahan-lahan dia menoleh. Lemah. Namun, senyuman tetap diukir. Tangan mama digenggam kemas, memberi kekuatan. Tak... Bukan memberi tapi dia sedang berkongsi apa adanya pada dirinya saat ini. Gamaknya, sisa kekuatan yang terakhir yang masih mengalir dalam hatinya.
"Apa kita nak buat ni, Daneen?" Soalan itu diajukan bersama esakan yang kedengaran sangat menyesakkan. Biarpun ini adalah sesuatu yang telah mereka tahu, tapi hatinya masih payah untuk terima.
"Neen..." Seruan itu sekali lagi masuk dan mengetuk gegendang telinga tapi jujurnya, dia sendiri sedang mencari jawapan yang sedap didengar biarpun itu adalah berbentuk penipuan.
Perlahan, Daneen menoleh. Mengoyak senyum pada mama. Tangis mama kian menjadi-jadi apatah lagi bila ayah didorong keluar daripada kandang tertuduh tanpa berkata apa melainkan riak kesal ayah saja yang sempat dia tangkap.
"Neen janji nak tolong ayah..." Janji itu diungkit lagi.
"Neen..." Bibir diketap. Dihempap rasa bersalah buat ke sekian kali. Itulah yang dia katakan. Dia telah berjanji tapi janji itu lebih pada satu pembohongan. Seperti yang Daneena katakan... dia ialah penipu.
Namun, apalah yang anak berusia sembilan belas tahun sepertinya mampu lakukan. Dia masih di bangku sekolah. Dia ada cita-cita yang hebat tapi segalanya telah dia lupakan sejak hampir dua tahun lalu. Dia berjanji untuk membantu tapi dia sebenarnya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kuasa tidak di tangannya.
"Neen minta maaf, mama. Tapi, percayalah. Semuanya akan baik-baik aje..." Bahu mama dicengkam kemas dan tubuh itu dipaut kejap.
"Neen bohong..." Tangis mama kian kuat.
Tangan itu terus menolak tubuh halus Daneen dengan nafas tercungap-cungap dan renungan mata yang terzahir jelas amarahnya.
"Neen dah cuba, mama..." Mungkin mama tak tahu. Tiada siapa tahu. Bukan sekali dia merayu malah dia telah melutut pada mereka yang telah menjadikan ayah begitu dan membuatkan keluarganya dalam keadaan yang sebegini sukar.
"Neen tipu! Neen tak cuba pun. Biar mama aje pergi cium kaki Malik." Serentak itu, Datin Lateefa terus bangkit. Meninggalkan Daneen yang nampak terpinga-pinga.
Nafasnya kian tercungap-cungap sendiri. Dia langsung tak menoleh lagi biarpun suara Daneen memanggil tak henti-henti. Belum sempat dia turun anak tangga pertama, kakinya terhenti. Melihat senyuman suami yang begitu banyak berkorban malah sangat menyayangi berada dalam keadaan begitu, perlu diakui... dia tak pernah mahu terima.
Itu adalah sesuatu yang amat menyakitkan.
Air matanya kian lebat. Nafasnya juga sudah tersekat.
"Mama..." Daneen memaut bahu Datin Lateefa.
"Daneen..." Hanya nama itu disebut oleh mulut mama sebelum tubuh itu jatuh terkulai layu.
Daneen meraung memanggil mama. Menjerit mencari bantuan dan syukurlah, dalam keadaan begini sukar, masih ada bantuan yang hadir. Tak lama, ambulans tiba. Namun belum sempat dia didorong masuk ke dalam ambulans, telefonnya menjerit nyaring. Dia laju lekapkan ke telinga bila melihat nama kakaknya muncul di atas skrin.
"Ya, Neena?" sahut Daneen bila nama kakaknya, Daneena muncul pada skrin.
"Macam mana, Neen?" Soalan itu kedengaran sangat sayu.
"Apa yang macam mana?" Daneen telan liur. Bukan tak mengerti dengan soalan mudah itu tapi dia tak tahu maksud yang tersirat.
"Kau cakap dengan aku, kau akan bawa dia jumpa aku..."
Tuhan... Daneen pejam mata. Tak menjawab buat seketika. Kenapalah dalam saat sebegini genting, Daneena masih lagi memikirkan perkara tu. Tentang jantan tak guna tu! Tahukah Daneena puncanya di mana?
Dia nak aje jerit pada Daneena tapi dia tahu, emosi Daneena sangat tak stabil. Cuma saat ini, dia juga dah sangat tertekan. Menjaga emosi mama dan Daneena hingga diabaikan segala tentang diri sendiri.
"Kau tak berani, kan?" tuduh Daneena lagi.
"Tolong aku, Neena. Kali ni aje. Jangan cakap pasal ni. Jangan tanya aku." Sesungguh hati, Daneen merayu bersama air mata yang kembali menitis lesu.
"Tapi kau dah janji..."
"Daneena!" jerkah Daneen. Suaranya bergema hinggakan banyak mata mula memandang. Malah, ada juga lensa kamera yang terhala padanya. Tapi, dia tak peduli.
"Boleh tak sekali aje, Neena. Sekali aje kau jangan pentingkan diri? Boleh tak kali ini aje kau fikirkan keadaan keluarga kita tanpa letak diri kau dulu? Tolonglah, Neena... Kesiankan ayah dan mama. Kesiankan aku..." rayu Daneen teresak-esak.
"Neen, aku..." Daneena bagai kehilangan kata. Hanya esakan yang menjadi ganti.
"Kau tahu tak, ayah dah jatuh hukum. Mama sekarang..."
"Kenapa dengan mama?" Tak sempat Daneen habis bersuara, Daneena laju menyoal. Seperti baru saja muncul di permukaan setelah jauh tenggelam di dalam perasaan sendiri.
"Mama pengsan. Sekarang aku nak hantar mama ke hospital. Kau tunggu dekat rumah. Nanti aku balik jemput kau pergi hospital..."
"Mama kenapa?" Daneena masih menyoal. Langsung tak ambil kesah dengan apa yang adiknya katakan.
"Tolonglah, Neena. Aku kena pergi. Kau tunggu aje dekat rumah." Daneen mahu panjat masuk ke dalam ambulans bila Daneena menjerit.
"Kau tak jaga mama, Daneen. Kau dah janji dengan ayah nak jaga aku dan mama. Kau janji nak bantu ayah buktikan dia tak bersalah. Kau janji tak nak buat mama sedih. Kau janji nak bawa Fid jumpa aku. Tapi, semuanya tipu, kan?"
Tuhan... Daneen raup wajah. Matanya berair memandang paramedik yang memerhatikan dia. Baru sesaat berlalu dia merayu pada Daneena. Rupanya, sekadar mencurah air ke daun keladi.
"Aku hantar mama ke hospital dulu, kau tunggu. Paling tak... aku akan tunaikan janji aku pada kau dan mama, Neena..." Serentak itu, Daneen putuskan talian.
Memanjat masuk ke ambulans melihat paramedik sedang memberi bantuan kecemasan pada mamanya yang langsung tidak sedarkan diri. Seperti mayat hidup. Wajah yang dulunya putih berseri, sekarang begitu pucat dan suram.
"Kita kena cepat. Nadi dan denyutan jantung dah tak stabil..." Wajah paramedik wanita itu cemas.
"Okey..." Lelaki berbaju putih itu menyahut.
Daneen hanya mampu diam. Memerhati tanpa berdaya. Tuduhan Daneena bergema dalam kepala. Tuduhan itu benar. Dia telah berjanji untuk menjaga seluruh ahli keluarganya, tapi lihatlah keadaan mama sekarang.
Belum sempat pintu ambulans ditutup, panggilan daripada Daneena muncul lagi. Tidak dapat tidak, dia lekapkan telefon ke telinga namun suara lain yang menyapa.
"Ini siapa, ya? Pemilik telefon ni kemalangan. Helo... boleh saya tahu, ini ahli keluarga dia ke?" Suara di hujung talian kedengaran sangat cemas.
Air mata Daneen kembali menitis. Memandang paramedik di depan mata. Rengkung serasa mahu pecah tapi kata-kata perlu dilontarkan.
"Macam mana dia?" soal Daneen bagai tidak berperasaan namun, gemuruh dalam dada, hanya Tuhan yang tahu. Detak hatinya lain macam.
"Dia berdarah banyak, cik. Ambulans dah sampai. Dah dibawa ke PPUM."
Tuhan... Berkali-kali dia sebut nama itu mencari kekuatan. Usah diuji hati yang lemah ini dengan bertimpa-timpa dugaan. Hamba tak mampu, Tuhan.
"Saya tak dapat ikut. Kakak saya kemalangan dan dihantar ke PPUM. Lepas tengok keadaan dia, saya terus ke HKL."
"Cik, tunggu..." Tak sempat nak melarang, paramedik itu hanya mampu memandang gadis malang itu merempuh pintu belakang ambulans dan berlari laju.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co