Bab 1
Prolog
ROSE tersenyum memandang Natasha. Terima kasih Tuhan kerana bukakan hati dia untuk terima magisnya cinta. Akhirnya ada cinta juga untuk Natasha. Rose sangat-sangat bersyukur.
"Senyum-senyum kenapa?"
"Magis cinta..."
"Hmmm..."
"Suka boleh jadi gila. Benci boleh tinggal seinci. Hilang boleh kita cari. Hati boleh cari ganti."
"Suka boleh jadi gila... Tu Natasha. Hilang boleh kita cari, itu Zen. Hati boleh cari ganti... Hmmm... Abang Waiz dan Cinta. Benci boleh tinggal seinci tu... Siapa, yang?"
"Entahhh... Abang agak siapa?"
"Tak tahulah. Abang tak boleh nak fikirlah..."
"Itulahhh. Rose pun tak tahu. Rose main sebut aje tu."
Adib ketawa.
Bab 1
CINTA itu seperti magis. Kalau terkena tempias pun boleh terpukau, apa lagi kalau terkena direct. Macam nila, kalau tumpah setitik pun boleh rosak susu sebelanga. Macam ibu ayam, bertelur sebiji pun, riuh sekampung. Macam seekor kerbau yang membawa lumpur, habis semuanya terpalit. Kiranya, bendanya hanya kecil tapi besar impaknya. Betapa hebatnya kuasa yang ada pada cinta, yang hanya bermula daripada rasa.
Love is not about how to spell it but how to feel it!
"Mulanya tak suka, lepas tu, merebak menjadi sayang, macam virus demam. Seorang anak demam, lagi tiga anak tunggu giliran. Aku tak nak kau macam kena virus macam ni, bro. Susah nak baik."
"Apa masalah kau ni? Tiba-tiba ceramah pasal nila, ayam, kerbau, magis, demam!"
"Kau tu. Masalah kau dengan CRK tu der, dah jadi masalah aku dah ni. Pening arrr! Dia dah buat kompelin kat Tan Sri Megat Yusuf yang kau tu cari pasal dengan dia dekat site."
"Masalah aku dengan CRK tu bukan masalah cinta. Itu masalah kerja. Yang kau berceramah pasal cinta tu, apa hal? Salah ceramah kau ni. Lagipun, yang kau nak ceramah aku apa hal? Yang tak faham bahasa tu Si CRK. Bukan aku."
"Kau faham tak piagam pelanggan tu apa? Customer is always right, tau dak? Walaupun dia tak betul, kita ya kan saja."
"Biarpun dia nak rumah atas pokok getah dan ada bilik air?"
"Hah? Mana boleh!"
"Itulaaa sebab aku argue dengan dia tu, bro. Dia suruh aku pakai konsep bilik air atas kapal terbang. Dia cakap aku ni arkitek ke apa? Tak pakai otak ke? Dia juga yang nak kena fikir ke? Boleh memanglah boleh, tapi atas pokok getah? Agak-agaklah! Haih, mujurlah tahap kesabaran aku ni tinggi sikit daripada burung. Kalau tidak, aku patuk-patuk, aku berak atas kepala dia."
Bengang!
Mana tak bengang, kalau dapat pelanggan yang tak mahu dengar kata macam Cik Rose Khadeeja tu. Berpulas Adib bagi pendapat dan cadangan, tak mahu juga perempuan itu mendengar. Nak juga bilik air di atas pokok tu. Kalau pokok tu macam pokok jati, tak apalah. Lagipun, rumah atas pokok itu hanyalah rumah persinggahan di resort itu saja. Tak perlu sampai nak ada bilik air pula. Bilik melepak sudahlah! Itu pun belum tentu kukuh. Sekarang ni kan cuaca Malaysia bukan menentu.
Betul-betul menyusahkan.
"Tapi Adib, kalau dia nak, kau design sajalah, Dib. Kau jangan cakap tak boleh terus sebelum mencuba. Sekurang-kurangnya, kau juga yang dapat nama. Pereka pertama yang mereka rumah pokok ada bilik air atas pokok getah lagi. Lagipun, dia dah bising kat Tan Sri Megat Yusuf. CRK tu kan anak saudara dia, bagilah muka sikit. Projek ni pun dia tak akan bagi kat kau kalau dia tak percaya dekat kau. Dia personally minta kau handle ni." Bersungguh-sungguh Ridzwan mempertahankan pelanggan tak betul tu.
Adib mengeluh. Geram. Sakit jiwa. Tapi, apabila Ridzwan pakai ayat Tan Sri Megat Yusuf yang personally minta tu, Adib jadi sejuk hati.
"Yalahhh..."
"Yalah kau tu, pleaselah tolong noktahkan. Jangan tak ada titik!"
Adib bingkas bangun dan membuka pintu, mahu keluar dari bilik Ridzwan. Sakit hati duduk lama-lama. Ingatkan kalau mengadu, dapatlah simpati. Kena ceramah lagi ada. Ceramah pun, ceramah tak ada kena-mengena. Ada ke ceramah pasal cinta itu magis? Cis! Memang tak ada kaitan langsung! Motif? Motif minta lempang!
"Aku buat sebab kau dan sebab Tan Sri Megat Yusuf saja tau."
"Haaa... Elok sangatlah tu kalau kau dah niat macam tu. Sebab ada satu lagi yang kau kena buat untuk aku..."
Dahi Adib berkerut.
"Apa dia?"
"Tolong minta maaf dekat CRK. Minta maaf depan staf dia yang kau herdik dia semalam, secara terbuka."
"What?!!!"
"Tolong arrr... Kalau tak, melingkuplah business kita ni. Kata buat sebab aku dan sebab Tan Sri Megat Yusuf. Sekalilah... Apa salahnya? Kau minta maaf, lepas tu kau settle kerja kau. Lepas tu kau dengan dia, putus kasih. Confirm, aku tak suruh kau buat apa-apa dah untuk dia. Lagipun, jangan benci sangat. Orang tua-tua kata, benci boleh jadi sayang. Haaa... Itu sebab aku mulakan ceramah betapa magisnya cinta tu, benci boleh tinggal seinci!"
Adib mencebik. Merepek!
"Tolong, eh?"
"Janji ni?"
Adib memandang Ridzwan. Ridzwan mengangguk-angguk.
"Jangan nak angguk macam burung belatuk tapi satu apa tak terpatuk!"
"Hesyyy... Aku ni Ridzwan. Berpegang pada janji dan semangat setia kawan."
Adib mencebik bibirnya. Yalah tu. Setia kawanlah sangat. Saja nak suruh dia harung sorang-sorang. Bukan Ridzwan tak tahu CRK tu macam mana orangnya. Memang tak makan dek ajar. Sombong, bongkak... Siakap, jenahak... bebel Adib dalam hati.
Adib merengus tak puas hati. Rasa hatinya mahu dicekik-cekik minah tak sedar diuntung tu. Ada ke nak tandas dekat rumah atas pokok? Tarzan pun tak buat tandas atas pokok tau! Tak pasal gara-gara semalam Adib mengherdik minah tu, dia kena marah dengan Ridzwan pagi-pagi ni. Buat hancur mood sehari! Dahlah kena pergi minta maaf pula!
Ikut hati...
Nak saja tebang pokok yang dia nak buat rumah pokok tu! Kalaulah... Pokok tu kena panah petir dan tumbang, kan bagus. Tak adalah kerja gila nak membina tandas di atas pokok tu pula, detik hati Adib.
Seketika, interkom bilik Adib berbunyi. Suara Julia, setiausahanya memecah hening biliknya.
"Bos..."
"Ya, Julia."
"Line one. From the resort."
"Cakap I ada meetinglah, Jul. Malas I nak cakap dengan CRK tu. I belum ready lagi."
"Urgent, bos. In bukan CRK, tapi, Encik Fattah, PA dia."
"Ohhh... Sambungkan kepada saya."
Mendengar suara Encik Fattah di hujung talian, buat Adib sedikit lega. Mujurlah bukan CRK. Kalau CRK, malas Adib nak cakap. Mesti CRK suruh Fattah yang buat panggilan. Agaknya, malulah nak cakap, sebab semalam dah kena maki kaw-kaw dengan rancangan dan cadangan yang tak munasabah tu.
"Encik Adib, saya ni, Fattah."
"Ya, Encik Fattah. Apa boleh saya bantu?"
"CRK dah mengamuk ni, Encik Adib."
"Kenapa pula?"
"Pokok yang dia nak buat rumah pokok yang ada toilet tu... Dah tumbang!"
"Hah? Tumbang?"
"Kena petir. Semalam kan hujan lebat!"
Serta-merta Adib ketawa. Tengok... Tuhan pun bersetuju dengan aku. Padanlah muka dia. Sekarang, pokok dia dah tumbang. Dia nak buat apa lagi? Nak suruh aku buat pokok pula? Adib membebel dalam hati. Benda tu nampak mustahil, tapi tak mustahil bagi Cik Rose Khadeeja tu.
"So, CRK suruh Encik Adib datang ke site. Suruh tengok dan kirakan kos..."
"Kos?"
"Kos bina pokok dan sekaligus buat rumah pokok dan toilet tu sekali."
Serta-merta tawa Adib terhenti.
Perempuan tu memang gilalah! Ini bukan bak kata Ridzwan, magisnya cinta buat benci tinggal seinci. Ini namanya gila tak ada ubat, masuk Tanjung Rambutanlah!!! Nak bina pokok macam mana pula? Dia ingat aku ni Tuhan ke? Aku arkitek saja kut!
Hesy!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co