Truyen3h.Co

Magisnya Cinta

Bab 2

karyaseni2u

NATASHA ketawa mengekek. Seronok betul dia mendengar cerita Rose Khadeeja yang mengenakan Adib. Padan muka Adib, betul-betul kena dengan Rose. Baru dia ada akal! Barulah dia tahu langit tinggi ke rendah!

"Padan muka Adib tu. Nak design rumah atas pokok sedia ada, memanglah boleh. Tapi, nak bina pokok tu macam mana? Bertapuk-tapuklah dia kena maki dengan engineer dia, drawing entah apa-apa. Nasiblah dia, padan muka dia. Tapi, aku nak puji idea kau tu... Memang terbaik! Sempoi! Macam mana kau terfikir nak kenakan dia macam tu?"

Rose tersengih.

"Hari tu dia maki aku macam-macam depan Fattah. Malu aku. Semalam pokok tu tumbang pula. Ambillah ubat. Kau tahulah, aku kan banyak idea merapu. Lagipun, siapa suruh dia buat macam tu dekat kau? Apa dia ingat hati perempuan boleh dimain-mainkan? Walaupun bukan hati aku, hati kau... Kira hati aku jugalah. Kau kan kawan baik aku. Cubit paha kiri, paha kanan aku pun terasa juga. So, dapat peluang untuk aku main-mainkan dia, aku main-mainkanlah cukup-cukup. Padanlah muka dia! Kalau aku tak buat macam tu, macam mana aku bagi dia jatuh cinta dekat aku, Tasha?"

"Ini method kau, Rose?"

"Selalunya benci akan tukar jadi sayang. Aku bagi dia tak suka aku dulu. Lepas tu, aku akan buat dia rindu dan sayang aku. Next, aku dump dia, macam dia buat kau."

Natasha tersenyum simpul, puas hati. Memang pucuk dicita, ulam mendatanglah. Tak sangka akhirnya berbalas juga dendam dia kepada Adib Haiman walaupun melalui Rose. Tak kesahlah. Asalkan dapat main-mainkan Si Adib. Kalau Natasha yang main-mainkan, nampak sangatlah pelakunya siapa. Biarlah Rose jadi perantara. Tak adalah Adib syak apa-apa. Lagipun, Adib tak kenal siapa Rose.

"Memang padan muka dia!"

"Aku cukup pantang kalau lelaki yang suka main-mainkan hati dan perasaan perempuan. Macam kes kau ni. Ada ke patut dia tolak kau dan pilih perempuan lain. Kau dengan dia bercinta bagai nak rak kut! Tolak macam tu, memang tak patut!"

"Betul. Memang tak patut!"

"Itu yang aku geram tu!"

Seronok Natasha apabila Rose beria-ia backup Natasha, walhal dia sebenarnya tidak menceritakan keseluruhan cerita pun kepada Rose. Apa yang Rose tahu hanyalah cerita-cerita cinta tak wujud dia dengan Adib Haiman. Natasha sendiri ingatkan Adib cintakan dia, tapi rupa-rupanya, semuanya hanyalah harapan palsu semata-mata. Waktu itulah Natasha dapat tahu yang Adib tiada langsung perasaan kepadanya.

"Lagi aku geram bila teringat kau menangis sewaktu ambil aku kat airport dulu. Haih... Memang bengang!"

Kebetulan pula kejadian itu berlaku sewaktu Rose balik dari London. Natasha sengaja ambil kesempatan ke atas kebaikan Rose. Natasha tahu Rose memang pantang kalau lelaki suka main-mainkan perempuan. Lagilah perempuan itu kawan baiknya sendiri. Memang mendapatlah!

Lagipun, ayah saudara Rose yang dipanggil papa itu menyuruh Rose mengusahakan sebidang tanah yang ditinggalkan oleh arwah ibu bapanya. Oleh sebab tanah itu mempunyai lokasi yang cantik dan berdekatan dengan air sungai, Rose bercadang mahu membuka sebuah resort. Sudah lama Rose mengidamkan sebuah resort seperti yang pernah digambarkan oleh kedua-dua arwah ibu bapanya dulu. Itu yang Natasha tahulah. Oleh sebab itu, Rose memang memerlukan seorang arkitek untuk materialkan cadangannya.

Elok sangatlah Adib Haiman memang arkitek yang terkenal yang turut dikenali ayah saudara Rose, Tan Sri Megat Yusuf. Memang semua kebetulan yang manis dan tepat pada waktunya. Laluan balas dendam Natasha memang nampak mudah.

Tapi, betul ke ia hanya setakat balas dendam?

"Tak boleh blah muka mamat tu bila aku suruh dia buat rumah pokok di pokok getah tu siap ada toilet. Aku rasa sikit lagi dia nak cakap aku tak ada otak ke... Pokok getah mana boleh buat rumah pokok. Apa lagi rumah pokok ada toilet. Tarzan pun tak berani nak buat! Lainlah pokok jati, cengal ke atau pokok oak macam dekat hutan Amazon tu."

Rose teringat-ingat. Memang lawak betul apabila Rose suruh Adib guna pakai konsep bilik air di dalam kapal terbang.

"Boleh pula kau terfikir konsep itu."

"Bergerak juga otak aku rupa-rupanya."

Rose tersengih. Natasha gelak besar. Memang terbayang wajah blur dan marah Adib Haiman. Tapi, sebenarnya wajah itulah yang mencuri perhatian dia seterusnya mencuri hati dia.

Sudah lama Natasha memendam perasaan, tak berani untuk berterus-terang kepada Adib. Natasha ingatkan layanan Adib yang baik terhadapnya itu membawa makna apa-apa. Oleh sebab itu, Natasha memaksa ayahnya untuk menanyakan kepada Adib. Nak tanya sendiri malu!

Tak sangka jawapan Adib kepada ayah Natasha ialah dia menganggap Natasha, kawan baik sahaja. Adib berani menolak dirinya mentah-mentah, langsung tak fikirkan perasaannya.

"Nasib baiklah ayah tanya Adib. Kalau ayah tanya terus kepada ayah Adib? Lagi malu ayah kepada Haji Haikal. Tahu tak Haji Haikal tu siapa? Memanglah dia kawan ayah, tapi dia tu tok imam masjid negeri tau. Tasha main-main betullah. Kahwin ni bukan benda main-main tau."

"Sorry, ayah. Tasha ingatkan Adib memang suk..."

Malu Natasha nak sebut. Malu gila dia dengan ayahnya. Manalah Natasha nak sangka, Adib bukan suka kepadanya tahap suka melampau. Rupa-rupanya, dia yang perasan. Argh... Memang lelaki dan perempuan tidak boleh berkawan rapat. Sikit pun, mesti terperasan. Lebih-lebihlah perempuan. Sahlah, Adib ada perempuan lain, agak Natasha. Siapa agaknya?

Selepas Natasha tahu...

"Tahu tak..."

"Apa?"

"Ayah awak datang jumpa saya tadi..."

"Tak tahu. Tak nak ambil tahu."

"Dia tanya soalan pelik."

"Apa yang pelik dengan soalan tu?"

"Dia tanya, saya suka awak tak..."

"Awak jawab?"

"Saya gelaklah... Gaya macam nak meminang saya pula. Kita kan kawan sebab ayah saya dan ayah awak tu berkawan. Saya anggap awak macam adiklah. Saya kan tak ada adik."

Bengang dengan jawapan selamba Adib, Natasha terus memutuskan untuk tidak lagi berkawan dengan Adib.

"Saya bukan adik awak, Adib dan tak mahu jadi adik awak. Senang cerita, tak nak berkawan dengan awak lagi dan menyesal jadi kawan awak! Jangan cari saya lagi, bye!"

No more Adib.

Yang tinggal... Kesedihan yang tak boleh dilupakan. Dengan Rose Khadeejalah tempat Natasha meluahkan rasa. Roselah kawan baiknya yang selalu mendengar keluhannya. Cuma, Rose tak tahu apa sebenarnya hubungan dia dengan Adib. Tak sangka, Rose ada pelan baikkk punya!

Biarlah Rose tak tahu sebenarnya aku yang bertepuk sebelah tangan, gumam Natasha dalam hati. Kalau Rose tahu, tak jadilah Rose nak main-mainkan Adib.

"So, esok kau nak jumpa dialah?"

"Yes. Ada dua benda dia hutang dengan aku. Satu, dia kena bagi aku costing untuk bina pokok tu dan yang kedua, dia kena minta maaf kepada aku secara terbuka sebab semalam dia marah aku di depan staf aku."

"Huh... Syok betul."

"Aku akan rakam. Letak dekat YouTube, biar viral!"

Natasha ketawa lagi. Haih... Tak sabar nak tunggu apa yang akan jadi lagi. Biarkan Rose main-mainkan Adib Haiman tu, sampai lunyai, sampai akhirnya dia datang balik kepada aku dan mengadu. Ya, sekarang mungkin Adib tak sedar lagi yang dia kehilangan aku. Esok-esok dia tahulah, dia memang diperlukan aku dalam hidupnya, bukan sebagai adik, tapi lebih daripada itu, harap Natasha dalam hati.

"Tapi kan..."

Dahi Natasha berkerut.

"Tapi apa?"

"Nak buat teruk sangat pun tak boleh juga. Anak tok imam besar tu kut. Termakbul pula apa-apa doa dia karang... Mati aku."

"Yang imam tu ayah dia, bukannya dia. Tak payah takutlah. Lagipun, pokok kau tumbang tu sebab petir tu. Bukan pasal dia doakan kau. Masa kau jumpa dia tu, ada ke dia doakan pokok kau tu tumbang?"

Rose menggelengkan kepala.

"Manalah tahu... Kutlah mulut lelaki tu masin!"

Natasha hanya senyum. Taklah!

"Kau akan tolong aku sampai selasaikan, Rose? Sampai Adib jatuh, kan?"

"Yes! Of course!"

Natasha senyum lagi.



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co