Bab 11
"SENYUM... Senyum. Pandang kamera!"
Klik!
"Tengok gambar tadi..."
"Ni..."
Lily menunjukkan telefon bimbitnya kepada Rose. Gambar terakhir sebelum keluar hospital hari ni.
"Okey, adik nak pergi kerja, dah lambat."
Lily menarik tangan Rose dan bersalam. Apabila Lily nak pergi, Rose memegang tangan adiknya erat. Macam biskut. Cicah dalam susu lepas tu telan.
"Kenapa lately ni macam touch and go ni? Jumpa kakak, ambil gambar, lepas tu pergi. Apa kes? Petang pun tak datang. Abang Waiz kata, adik selalu balik lambat. Lily kena buli ya dengan Adib Haiman?"
"Hesy, tak adalah. Balik lambat sebab kerja banyak dan ambil gambar kakak sebab kalau rindu bolehlah tengok."
Jawapan Lily ada ragu. Macam pelik.
"Kakak nak keluar hospital hari ni."
"Oh, senanglah."
"Senang?"
"Yalah, tak payah nak berulang-alik ke hospital. Kakak duduk di rumah, lagilah senang kerja Lily. Okey, byeee... Jumpa kat rumah. Siapa ambil kakak? Oh, lupa... Abang Waiz kan ada."
"Hari ni dia ada mesyuarat, urgent untuk annual dinner syarikat papa tu. So, Kak Natasha yang datang ambil kakak nanti."
"Oh, okey.."
"Adik..."
"Yep."
"Kalau kena buli, adik cakap dengan kakak."
"Cakap dengan papa teruslah, kalau cakap dengan kakak, kakak boleh buat apa pun? Okey, bye... Assalamualaikum."
Lily cepat-cepat pergi meninggalkannya. Pandai betul nak mengelak. Tak boleh Rose nak mengorek rahsia sikit pun. Mesti ada apa-apa ni. Lily tak pandai nak menipu. Kalau dia tipu, wajahnya cepat merah. Rose tahulah Lily tu satu-satunya adik dia. Apa eh... Adib buat kepada Lily? Buli, ya?
"Biasalah. Budak praktikal, kan? Memang banyak kerja. Selagi boleh, selagi itulah bagi. Tak adalah dia nak buli Lily tu. Lily kan anak saudara Tan Sri Megat Yusuf. Takut kenapa?"
Rose mencebik. Kata-kata Natasha cepat buangkan ragu dalam hatinya. Fikir yang baik-baik sajalah. Kalau buli, mesti Lily beritahu. Tak beritahu aku, beritahu papa, lebih baguslah. Biar kena Adib Haiman tu cukup-cukup. Tapi kalau macam tu, macam mana nak buat Adib jatuh cinta dengan aku kalau kena marah dengan papa? Rose menggumam sendiri. Susah taktik tu...
"Adib datang?"
"Tak pun."
"Lepas bagi kasut tu, langsung tak datang?"
Rose menggelengkan kepalanya.
"Kenapa dia tak datang?"
"Manalah aku tahu."
"Mungkin sebab tak ada sebab untuk dia datang, itu pasal dia tak datang. Kalau dia tak datang, kalau dia tak jumpa kau, macam mana nak buat dia jatuh hati ni, Rose? So, kau kena cipta alasan untuk dia datang!"
Rose terdiam. Apa sebabnya? Apa sebab nak suruh Adib datang menjenguk aku? Sedangkan aku dah suruh dia proceed drawing dia tu. Apa lagi yang aku mahu? Aihhh...
"Cinta ni, daripada mata turun ke hati. Kalau tak tengok hari-hari, kalau tak ada debar dalam hati, kalau tak jantung berdegup kencang... Macam mana nak jatuh cinta, Rose!"
Natasha dah memekak. Manalah dia tahu cinta tu involve semua organ! Buah pinggang tak nak masuk sekali?
"Nanti aku suruh Lily sampaikan salam dekat Adib."
"Salam? Kau ingat apa... Ucapan masa kau kat London dulu, ucapan kirim salam selamat hari raya tu?"
"Habis tu, kau nak suruh aku buat apa, Tasha? Kau suruh aku gunakan Lily, aku gunakan salah pulaaa..."
"Hesyyy... Kata banyak idea sangat. Inventorlah, creatorlah... Aviationlah!"
"Bab cinta ni, tak ngamlah dengan jiwa aku. Aku sendiri pun tak pernah bercinta."
"Patutlah Abang Waiz tu gilakan kau pun, kau tak nampak, kau lagi nak buat pekak!"
Rose mencebik bibir. Bukan buat pekak, bukan buat tak nampak... Tapi susahlah nak cakap, kalau perasaan sayang dia tu dah begitu mendalam. Takkan nak tolak macam tu saja? Kalau nak tolak pun, kenalah ada dasarnya. Tapi kalau tak cakap sekarang, buatnya lurah tu semakin dalam, aku akan jadi mangsa yang terjun dalam lurah tu? Rose mengeluh. Selagi Megat Waiz tak cakap apa-apa, Rose pun tak nak cakap apa-apalah. So, Rose ambil pendekatan... Let it be! Kan senang...
Tapi Adib Haiman ni...
Apa caranya untuk buat dia jatuh cinta, ya?
Tiba-tiba WhatsApp masuk...
"Kejap... Aku balas mesej papa..."
Natasha merengus.
Rose okey? - Papa
Okey, papa... Rose dah boleh berlari dah pun! - Rose
Eloklah... Bolehlah Rose join annual dinner syarikat papa tu nanti. - Papa
Insya-Allah, pa. Papa jangan risau. - Rose
Papa tak risau. Hari-hari papa dapat update daripada Adib. In caselah Rose tipu papa, nak keluar hospital cepat. Hari ini punya gambar, nampak Rose lebih baik. Dah tak berbungkus nampaknya kaki tu. - Papa
Dahi Rose berkerut. Gambar? Adib hantar?
Adib kata, Rose nak keluar hospital hari ni? Eloklah, papa pun nak balik esok. - Papa
Errr... Gambar apa, pa? - Rose
Kejap... Papa reforward... - Papa
Rose menekan gambar itu.
Loading...
Loadddinggg...
Line hospital memang macam siput sedut!
Dan akhirnya...
"Siot mamat ni..."
"Kau cakap papa siot?"
"Takkk... Adib Haiman."
"Apa? Apa dia buat?"
"Gambar ni... Gambar Lily ambil tadi pagi."
"So?"
"Patutlah dia tak datang. Dia suruh Lily buat kerja-kerja update kepada papa!"
Natasha tersengih.
"So, sekarang... Kau dah ada pelan."
Rose juga turut tersengih. Siap kau... Kau buli adik aku dua tiga hari ni, eh. Meh, aku buli kau pulaaa... Rose mencari nama Adib dan WhatsApp. Siap attached perbualan dia dengan Tan Sri Megat Yusuf itu.
Bila masa awak datang jumpa saya? Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga! - Rose
"Kau ni... Nak cari gaduh ke, nak jatuh cinta?"
"Benci lama-lama jadi sayang... Kau sendiri yang kata, tentang magisnya cinta. Kan?"
"Terbaik. Tengok, ajar sekali pun dah cekap!"
Harap-harapnya... Tupai tu jatuhlah. Jatuh terkelepet! Biar dia tahu langit tu tinggi ke rendah! Pandai ehhh membuli Lily. Apa dia ingat dia tu supervisor, dia boleh buat sesuka hati? Biar duduk tak rasa duduk, berdiri tak rasa berdiri. Biar gelabahhh!!!
ADIB mengusap matanya. Berkali-kali mesej daripada Rose itu dibacanya. Mampus. Aku dah kantoi. Ini bukan salah Lily... Ini salah Tan Sri Megat Yusuf. Eh, takkan nak kata salah Tan Sri Megat Yusuf pula?
Alaaa...
Alahaiii...
Kalau Ridzwan tahu aku mempergunakan Lily untuk update dengan Tan Sri Megat Yusuf, habislah aku. Bukan aku habis, kepala kena penggal, badan pun kena kerat 18 ni. Adib mengetap bibir. Memang mati.
Baik mengaku cepat! Awak suruh Lily jadi balaci awak, kan? - Rose
Apa aku nak jawab ni? Aku dah tak boleh menipu sebab aku dah kantoi. Kalau menyerah diri, pasti akan ada dendanya. Takkanlah sesenang itu harimau nak bagi mangsanya lepas, kalau mangsa tu dah ada dalam sangkar?
Okey baik, saya mengaku suruh Lily ambilkan gambar awak. Tapi, awak pun tak suka saya datang sana dan ambil gambar awak, kan? Apa masalahnya? - Adib
Masalahnya, awak tipu papa saya. Kalau dia tahu sebenarnya awak tak ambil berat pun pasal anak dia... Habislah awak dan syarikat awak tu! - Rose
Kan aku dah kata...
Mesti ada benda yang dia mahu ni...
So, apa awak nak? Diskaun drawing untuk resort awak tu ke? - Adib
Tak. Saya nak awak jadi plus one saya untuk annual dinner syarikat papa... - Rose
Hah?
Anehnya!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co