Bab 12
KAKI Adib bergoyang-goyang di atas katil. Tangannya dilipatkan, diletakkan di belakang kepala. Mata memandang siling, tak berkedip. Nak tidur tapi tak boleh lelap. Mengantuk tapi tak boleh nak pejam. Apalah yang bermain di dalam kepalanya, Adib tak tahu. Tapi macam tak percaya pula Rose Khadeeja ajak jadi penemannya sewaktu di majlis makan tahunan syarikat Tan Sri Megat Yusuf.
Kenapa tak ajak girlfriend dia? Atau... Kenapa tak ajak 'abang concern' dia tu? Kenapa ajak aku, eh? Haih, rasa macam ada udang di sebalik batulah. Apa motif dia agaknya? Rose ni nak kenakan aku kut, Adib tertanya-tanya.
Majlis makan tahunan tu lagi dua minggu. Adib sendiri sudah pun mendapat jemputan daripada Tan Sri Megat Yusuf. Tapi kad jawapan jemputan itu belum dihantar. Kali ini, majlis makan tahunan syarikat itu tampak meriah. Buat di Pulau Pangkor, siap disediakan bilik. Annual dinner dan family day sekali. Siap dijemput juga wakil daripada syarikat-syarikat yang sering bekerjasama dengan syarikat Tan Sri Megat Yusuf termasuklah syarikat Asasenireka Architect, syarikat milik Ridzwan.
"Datang, ya..."
"Insya-Allah, Tan Sri."
"Bawalah keluarga bercuti sekali. Bilik besar tu. Apartmen dua bilik."
"Oh, ya? Insya-Allah."
"Tapi jangan bawa girlfriend pula... Kalau pencegah maksiat datang, saya bagi kahwin saja."
"Nauzubillahiminzalik... Lagipun, saya tak ada girlfriend, Tan Sri."
"Tak ada?"
"Tak ada!"
"Mencari ke?"
"Bukan masanya."
"Bila masanya? Kamu dah semakin tua. Bukan semakin muda. Nanti anak baru darjah enam, kamu jalan bertongkat."
"Kalau ada jodoh, esok lusa saya kahwin. Doa-doakan saya ya, Tan Sri..."
"Amin..."
"Amin apa?"
"Esok lusa jumpa jodoh."
Pandai Tan Sri Megat Yusuf berseloroh. Memang esok lusa selepas dia mengajak Adib, Tan Sri Megat Yusuf pun bagi projek anak saudaranya itu kepada Adib. Jodoh? Jodohlah sangat!
Masalah sekarang, Adib belum sempat bertanyakan ayah dan ibunya nak ikut pergi ke tidak. Ridzwan pun bawa keluarganya, takkan aku nak pergi sendirian? Tapi, ibu ayah... Nak ikut ke? Ibu tu, kalau ayah tak pergi, dia memang tak akan pergilah. Ayah tu, takkan nak tinggalkan masjid. Kalau dia pergi pun, bukannya boleh buat apa. Ayah bukan suka pergi tempat-tempat macam tu. Kalau ayah dan ibu tak mahu pergi... Aku lagilah malas nak pergi.
Tapi...
Kalau dah kena paksa macam ni...
Haih, Adib mengeluh. Dia mengambil telefon bimbitnya, kemudian melihat mesej terakhir Rose. Rose mahukan jawapan dalam tempoh 24 jam. Kalau tidak, dia nak bongkarkan penipuan yang dia update Tan Sri Megat Yusuf guna orang tengah, iaitu Lily. Mati tegak Adib!
Pintu biliknya tiba-tiba diketuk.
"Masuklah ibu, Adib tak tidur lagi."
Daun pintu dikuak Hajah Abidah.
"Ibu tahu. Lampu kalau menyala, tandanya kamu tak tidur lagi. Ingatkan buat kerja. Rupa-rupanya dah terbaring. Kenapa tak tutup lampu? Kenapa tak tidur-tidur?"
"Nak lelap, tapi tak boleh lelap."
"Kalau tak boleh lelap, itu tandanya kepala ada memikirkan sesuatu." Hajah Abidah duduk di birai katil anaknya. Dibetul-betulkan selimut. Selalunya setiap malam Hajah Abidah akan menyinggah bilik anak tunggalnya itu terlebih dahulu sebelum masuk tidur.
"Tak ada fikir apalah, ibu. Cuma..."
"Cuma apa?"
"Nak tak pergi Pangkor minggu lagi satu? Tan Sri Megat Yusuf ada buat majlis makan tahunan syarikat dia. Dia jemput Adib, siap ada bilik lagi dia bagi. Sayang pula kalau Adib pergi seorang sebab dia bagi apartmen dua bilik."
"Ayah baru bersungut nak pergi bercuti. Lama tak pergi bercuti. Sekejap saja Allah dah makbulkan doa dia."
Adib menelan air liur. Tak sangka.
"Errr... Ibu dan ayah nak pergilah ni?"
"Pergilah. Kalau kamu dah mengajak, kenapa nak menolak?"
"Tak payah nak cakap dengan ayah dulu?"
"Tak payah. Ayah tu memang nak sangat bercuti."
Adib seronok. Sekurang-kurangnya kalau ibu dan ayah ikut, tak adalah Adib risau sangat. Kalau Rose nak kenakan dia apa-apa malam tu, sure akan terbantut niat minah tu! Bawa tok imam negeri lagi pergi... Jangan main-main!
"Jadi..."
"Apa, bu?"
"CRK tu pergilah ya malam tu?"
"Pergilah, ibu. Dia kan anak saudaranya Tan Sri tu."
"Elok sangatlah tu."
Dahi Adib berkerut.
"Apa yang elok sangat tu, ibu?"
"Ibu teringin nak jumpa dia. Asyik duk dengar dari mulut anak ibu saja, asyik terpandang gambar dia saja, orangnya tak pernah jumpa."
Adib menoleh ke arah papan dart itu. Ehhh... Masih tergantung gambarnya dekat situ. Lupa pula Adib nak buangkan gambar tu. Kan ibu dah buat bahan. Sudahlah doa ibu tu, lebih high ranking daripada tok imam negeri tu.
"Tak payah nak teringin sangatlah ibu, dia tu songsang!"
"Songsang?"
"Lesbian. Dia ada girlfriend."
"Astaghfirullahalazim." Hajah Abidah menekup mulutnya.
"Ya... Dia sendiri beritahu Adib."
"Sayangnya, orangnya dah lawa..."
"Kentut pun busuk juga, ibu."
"Haih, kempunanlah ibu nak bermenantukan CRK tu."
Adib ketawa.
"Ramai lagi perempuan lainlah, ibu..."
"Tak ramai yang disebut-sebut dek anak ibu. Nama Natasha pun, Adib jarang sebut. Selalunya, kalau selalu sebut, selalu dekat dalam hati."
"Selalunya yang dibenci dan menyakitkan hati."
"Haaa... Itulah orang selalu silap. Allah sudah bersabda, dalam surah al-Baqarah ayat 216 bermaksud, boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."
Hajah Abidah bingkas bangun.
"Tapi ibu..."
"Itu ayat Allah..."
"Ya.. Yaaa... Tapi..."
"Jangan benci-benci sangat sayang, mana tahu, yang benci itulah yang baik. Ibu tutupkan lampu, ya? Pergilah tidur. Assalamualaikum."
Adib mengeluh. Nak marah, ibu. Nak marah, ayat Allah. Astaghfirullahalazim. Kalau aku boleh tukarkan apa yang aku rasa. Tak mahu benci... Dan tak mahu juga suka. Aku nak biasa-biasa saja. Tapi, macam mana nak menolak perasaan benci menjadi perasaan tak benci, sedangkan minah tu... Harimau!!! Okey... Okey. Bawa bersabar, Adib. Benda kalau nak ubah, memang syaitan banyak menghalang. Itu kan biasa... Orang beriman memang selalu diuji begitu.
Sabar.
Ya, marah itu mudah, sabar itu indah.
Bismillahirrahmanirrahim...
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Kenapa telefon malam-malam ni?"
Tengok, aku bagi salam, bukannya tak bagi salam. Dia punya peluru, sampai berlubang hati aku! Adib mengetap bibirnya.
Sabar.
Bukan senang nak jumpa harimau yang boleh bercakap. Zaman Nabi Sulaiman saja yang wujud. Itupun Nabi Sulaiman saja yang boleh bercakap dengan binatang yang boleh bercakap pun. Kira kau bertuahlah, boleh bercakap dengan harimau. Cuma tak bertuah sebab harimau ni tak faham apa kau cakap. Kira hari-hari mau marah...
Sabar, Adib. Sabar!
"Saya nak beritahu awak, yang saya setuju jadi plus one awak untuk dinner malam nanti."
"Mesej pun boleh."
"Yang angkat kenapa?"
"Yang telefon kenapa?"
"Duit saya, saya telefonlah."
"Telefon saya, saya angkatlah."
Diam.
"Kenapa tak letak?"
"Awak tak cakap bye, macam mana nak letak?"
"Kalau telefon kena cakap bye, baru letak ke?"
"Yalah. Itukan tatacara bertelefon. Kalau tak tahu, pergilah belajar etiket."
"Dalam subjek tu, ada tak cakap... kalau angkat telefon, jangan marah-marah. Ada tak? Kalau ada, saya nak suruh mereka masukkan dalam sllyabus. Lagipun, kenapa awak nak marah-marah saya? Tak ada sebab awak nak marah saya. Bukannya saya ada buat salah. Ohhh..."
"Ohhh apa?"
"Awak marah sebab saya suruh Lily ambilkan gambar awak. Awak nak saya sendiri yang ambil gambar awak, eh..."
"Hei, mana ada..."
"Mana satu awak nak makan ni, Cik Rose? Saya awak mahu... Girlfriend awak pun awak mahu. Astaghfirullahalazim awak ni. Bertaubatlah. Saya rasa saya tahu sebab awak suruh saya jadi plus one awak... Sebab awak tak mahu orang tahu rahsia awak, kan?"
"Apa yang awak merepek ni, Encik Adib? Rahsia apa? Rahsia apaaa?"
"Rahsia awak songsang!"
"Hahhh?!"
"Awak suka marah-marah saya sebab awak tak suka lelaki, kan? Awak suka perempuan. Tu sebab awak ada girlfriend. Awak saja nak kaburi mata Tan Sri, buat saya jadi plus one awak... Jangan risau, saya akan tetap jadi plus one awak tu, tak payah nak ugut-ugut."
"What? Bye!"
Klik!
Eh... Matikan telefon? Tahu pun takut rahsia dah terbongkar. Buat-buat terkejut pula. Haih, bau-bau kemenangan ni...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co