Bab 13
KALAU hati ni duduk di luar badan, boleh tengok betapa bengkaknya ia. Tuhan saja yang tahu betapa sakitnya hati Rose. Rasa nak masuk dalam telefon tu, ketuk-ketuk kepala Si Adib Haiman. Apa ke bangang sangat dia ni, girlfriend tu maksudnya kawan perempuanlah! Apa hal lesbian pula?
Mentang-mentang aku garang dengan dia, aku selalu marah dengan dia, dia anggap aku songsang pula... Hesy! Aku marah tu sebab aku nak timbulkan rasa benci untuk dia timbul sayang kepada aku. Ini dah terbalik dah... Patutlah liat sangat dia nak jatuh hati. Haih... Mamat tu tak betullah. Apalah yang Natasha nampak dekat dia tu? Rose menggumam sendiri.
Rose berjalan perlahan di tepi kolam renang itu. Kakinya sudah boleh digerakkan, diayunkan cuma nak sepak belum lagi. Kalau tidak, lama dah dia sepak terajang Adib Haiman.
Cuba berfikir.
Tak boleh jadi, aku kena beritahu siapa girlfriend aku tu. Kalau aku beritahu orang lain, mungkin dia tak percaya yang aku bukannya songsang. So, aku kenalah beritahu, ex-girlfriend dia tu, Si Natasha Erynna ialah kawan aku. Barulah dia percaya. Itu saja caranya untuk buat dia hilangkan prasangka dia kepada aku. Bolehlah aku meneruskan pelan aku buat dia jatuh cinta tu.
"Alaaahhh..."
"Tak bolehlah, Rose!"
"Dia tahu kita kawan saja. Tapi dia tak tahu rancangan kita. Kita buat kau dan aku terserempak saja. Apa salahnya? Kau tahukan, kalau aku tak beritahu dia siapa kawan perempuan aku tu, nanti dia akan anggap aku lesbian sampai bila-bila. Bila masa dia nak jatuh cinta dekat aku? Nanti apa aku buat, nampak sia-sialah, Tasha!"
Natasha merengus. Tak puas hati.
"Pelannya senang... Kau buat dia jatuh cinta lepas tu tinggalkan dia. Kenapa tiba-tiba banyak halangan ni?"
"Itulah... Aku dah kata."
"Kata apa?"
"Daulat tau buat anak tok imam masjid negeri."
"Dah anak tok imam serupa anak tok jembalang, macam mana? Kau kena ingat, dia tu buat hati kawan kau tak baik-baik sekarang ni, Rose. Sakit tau kena tinggal macam tu. Sakit tau bila harapan tak kesampaian. Aku tahulah kau tak faham semua benda ni sebab kau tak pernah jatuh cinta dan ditinggalkan..."
Sayu saja suara Natasha buat hati Rose berbelah bahagi. Kasihanlah pula... Habis apa penyelesaiannya? Apa yang perlu dia buat supaya Adib hilangkan tanggapan yang dia tu straight?
"Kau bagilah solution!"
"Gunakanlah Lily wehhh... Kau ada senjata dekat dalam rumah tu, pakailah. Kau dah membuang masa dekat seminggu dah ni, lagi dua minggu Lily nak habis praktikal."
Huh...
Kalau boleh, Rose tak mahulah menggunakan Lily dalam rancangannya. Sebolehnya tak mahu. Biarlah cari cara yang lain. Hailahhh... Kenapalah Si Natasha tu takut sangat untuk aku beritahu siapa Natasha tu dengan aku? Kalau kawan pun, bukannya rahsia dia akan terbongkar. Pelik betullah.
"Kak..."
Terkejut Rose. Nasib baik tak tercampak telefon tu masuk ke dalam kolam renang.
"Telefon siapa?"
"Tasha."
"Haih... Ingatkan bergaduh dengan siapa."
"Tak ada gaduhlah. Bersembang. Kenapa tak tidur lagi? Tengok lampu bilik dah gelap. Kakak ingat Lily dah tidur."
"Belum. Tengah siapkan drawing. Lily turun nak minum air. Tengok kakak kat pool ni, tengah memekak... Apa hal pula? Nak kata bergaduh dengan boyfriend, kakak mana ada boyfriend."
"Melukis dalam gelap?"
"Encik Adib kata, kalau nak dapat ilham, kena duduk dalam suasana yang kita suka. Kalau suka dalam gelap, buatlah dalam gelap. Kalau suka bilik bersepah, buatlah dalam bilik bersepah. Barulah mood sampai kalau suasana tu mengena."
Encik Adib...
Encik Adiblahhh... Tak habis-habis.
Sejak seminggu Lily masuk praktikal, bekerja bawah Adib Haiman, nama lelaki itu sajalah disebut-sebut. Peliknya, tak ada satu pun nampak seperti Adib membuli dia. Lily seperti sangat suka praktikal dekat situ. Aku yang melebih-lebih risau... Yalah, aku kan dah mengenakan Adib banyak kali dengan akal aku. Kali ini pula macam susah jadinya semua rancangan aku. Rose mengeluh sedikit.
"Apa, kak..."
"Apa yang apa?"
"Mengeluh malam-malam ni."
"Tak ada apalah."
"Tak ada apalah sangat. Mustahil. Kakak ingat, kakak duk lama dekat London tu, Lily tak kenal kakak ke? I am still your sister tau... Bau kentut pun boleh tahu, kakak sihat ke, ada masalah ke... Tak berak berapa hari ke..."
"Hesy, pengotorlah dia ni!"
Lily ketawa.
"Apa kes? Abang Waiz buat apa dekat kakak?"
"Apa pula cakap pasal Abang Waiz ni? Nasib baik dia tak ada tau..."
"Tahu cuak."
"Bukan cuaklah."
"Kalau sebut nama orang tu saja, muka kakak berubah. Mula menggelabah. Tahu tak apa maknanya tu?"
"Apa?"
"C.I.N.T.A tau."
"Pandailah awak tu."
"Betul apa?"
"Taklah. Boleh jadi itu tanda respect adik kepada abang."
"OMG!!!"
"Apa OMG?"
"Jangan cakap kakak anggap Abang Waiz hanya seorang abang."
Dahi Rose berkerut.
"Kenapa?"
"Sebab dia anggap kakak lain... Lebih daripada itu."
"Hah? Mana adik tahu ni?"
"Abang Waiz minta Lily tanyakan dekat kakak, apa perasaan kakak kepada dia."
Rose terkejut.
"Bila?"
"Dalam dua tiga hari lepas."
"Ohhh... Itu sebab Lily asyik tanya kakak saja apa perasaan kakak kepada Abang Waiz."
Lily mengangguk.
Mampus!
"Jangan cakap dekat dia apa-apa..."
"Memang pun, gila ke nak cakap? Abang Waiz mesti tak boleh terima. Dia cintakan kakak gila-gila tu. Adik tak tahulah macam mana dia nak handle perasaan dia kalau kakak menolak. Tapi kak, apa salahnya cintai orang yang mencintai kita? Kan itu lebih baik."
Rose terdiam. Rose sudah mengagak perasaan Megat Waiz kepada dia. Dia pun tahu bezanya layanan Megat Waiz pada dirinya dan Lily. Memanglah Lily sedikit manja, nama pun bongsu. Tapi mata Megat Waiz kepada Rose... Perhatiannya... Memang lain macam. Rose bukan bodoh. Dia tahu apa rasa Megat Waiz itu ialah rasa cinta kepada seorang yang dicintai. Masalahnya, Rose hanya anggap Megat Waiz sebagai abang.
Kalau tak beritahu... Lagilah lelaki itu terus berharap. Tapi kalau beritahu... Mahu lari Megat Waiz dari rumah ni. Papa pasti akan marah aku! Sudahlah papa yang menjaga aku sejak mummy dan daddy meninggal dunia. Takkan aku nak buat papa kecewa macam tu pula? Rose mengeluh. Semakin berat masalah hati ni...
"Tak nak fikir benda ni... Tak nak cakap pasal ni boleh tak?"
"Kakak ni..."
"Hati dan perasaan... Kita tak boleh paksa. Ada adik tanya kakak ke, kenapa kakak tak boleh nak terima Abang Waiz?"
"Haaa... Soalan yang bagus tu. Okey, kenapa kakak tak boleh terima Abang Waiz dalam hidup kakak?"
Rose ketawa. Lily... Lily!
"Bak kata Encik Adib, kita kenalah kreatif mencari peluang. Peluang bukan datang banyak kali. Peluang kedua tu magis, kata Encik Adib. Tak semua orang boleh dapat."
Tak habis-habis dengan Encik Adib dia tu...
Tak tahulah betul ke tidak pelan yang timbul di dalam kepala otak aku ni, tapi kalau Lily tak tolong, memang aku tak boleh nak tolong Natasha. Harap sajalah Lily tak kecewa dengan tindakan aku ni.
"Kakak suka orang lain."
"Suka orang lain? Siapa?"
"Arkitek kakak."
"Errr... Bos? Bos Lily? Encik Adib Haiman tu?"
"Yeppp..."
"Laaa patutlah kakak garang dengan dia. Kakak sengaja garang dan buat songsang, sebab kakak nak tolak perasaan kakak yang kakak suka dekat dia, eh..."
"Haaa... Macam itulah. Sekarang dah tersepit."
Pandai Lily mencarikan alasan untuk aku... Rose tersengih.
"Alaaa... Comelnya kakak adik ni."
Lily mencubit pipi Rose. Biarlah... Buatlah apa pun, fikirlah macam mana pun. Asalkan Lily boleh tolong aku, aku dapat tolong Natasha. Lily dapat pahala berkali-ganda tu.
"So, adik boleh tolong kakak ke? Tolong betulkan keadaan?"
Lily tersengih.
"Mestilah boleh. Lily kan Anna kakak..."
Yes!
"Lagipun bukan senang Allah nak kurniakan rasa cinta tu kepada diri kita. Allah dah kurniakan kepada kakak, kakak kenalah bersyukur. Jangan risau, nanti Lily betulkan semua tanggapan Encik Adib kepada kakak tapi kakak kenalah betulkan tanggapan Abang Waiz kepada kakak tu. Kasihan dia..."
Huh!
"Tapi kak..."
"Apa?"
"Kakak kena tahu... Risiko mencintai orang yang tak mencintai kita tu, lebih tinggi daripada risiko mencintai orang yang mencintai kita."
"Tak apa. Cinta itu kan macam pelaburan, high risk, high return!"
"Harapnya pilihan kakak berbaloi sebab kakak pilih kata hati, kakak pilih Adib Haiman instead of Megat Waiz Yafiq."
Entahlah, aku pun tak tahu is it worth it itu kalau pilihan itu sebenarnya bukan pilihan, tapi mainan perasaan? Tapi yang aku tahu, berbaloilah persahabatan aku dengan Natasha, itu sudah pasti worth it.
Hanya Natasha yang aku ada dan dia selalu ada untuk aku. Kalau kita tolong orang dan mengharapkan orang tu tolong kita balik, itu adalah tak wajar. Baik tak payah tolong. Kalau niat aku betul, pasti pilihan aku tu diberkati. Pastinya berbaloi.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co