Truyen3h.Co

Magisnya Cinta

Bab 6

karyaseni2u

NATASHA menguak pintu bilik, terkejut melihat kaki Rose yang sudah berbalut. Segera dia mendapatkan kawan baiknya itu.

"Ya Allahhh... Apa dah jadi?"

"Aku jatuh kat site."

"Sampai bengkak kaki kau, dah macam kaki gajah ni."

"Dah masuk angin!"

"Ini kena tunggu berapa tahun baru nak surut?"

Rose mencebik, geram dan tunjuk protes kepada Natasha.

"Bukan datang nak simpati, cakap kaki aku macam kaki gajah pula. Tak guna punya kawan. Lagipun, apa yang terjadi, ini semua kau punya pasal tau!"

Dahi Natasha berkerut.

"Aku? Kenapa pula?"

"Yalahhh, sebab nak tolong kaulah, aku tersadung tadi. Aku cakap pasal mungkir janji... Lepas tu, aku kata dia mungkir janji."

"Mungkir janji?"

"Mungkir janji dengan kaulah. Adib kata nak kahwin dengan kau, tapi dia pilih orang lain."

Natasha tersentak.

"Habis tu, kau sempat cakap ke?"

"Belum sempat, aku dah jatuh!"

"Kenapa kau nak cakap pula? Kau nak kenakan aku, ya?"

"Taklah. Aku tak ada niat pun. Tapi dia mendesak aku. Nasib baiklah aku tak tercakap... Kalau tidak..."

"Habislah pelan kita."

"Tapi, dia akan menuntut jawapan daripada aku, sebaik saja aku baik. Dia tu suka mendesak betul."

"Kalau dia di pihak yang benar, dia akan tuntut sampai mati. Kau jangan main-mainlah dengan Adib tu. Kau jangan salah cakap lagi, Rose. Bahaya kut. Kau boleh dedahkan aku, kau boleh buka pekung kita."

"Sorry... Sorry. Aku tak buat dah. Aku janji."

"Janji jangan di mulut saja."

"Yalah, aku buatlah!"

Akhirnya dapat juga Natasha buat Rose berjanji. Tak adalah pecah rahsia aku. Natasha senyum. Selalunya Rose akan berpegang pada janjinya. Natasha dan Rose telah berkawan sejak di sekolah lagi, sejak itu Natasha dan Rose sudah jadi kawan baik. Sehinggalah Rose sambung belajar di London dan kebetulan pula, Adib habis belajar dan berjumpa semula dengan Natasha, hubungan yang terpisah kembali terjalin dan mula rapat. Tak sangka, Natasha salah faham tentang hubungan dia dengan Adib.

Salah faham ke... Salah aku ke... Aku tak peduli. Yang aku tahu, aku suka Adib dan aku mahu dia. Macam mana pun caranya, aku nak Adib kembali kepada aku. Kalau tak kerana rela, aku akan paksa. Tak kesahlah kalau gunakan Rose pun! Kalau tak nak tolong kawan, baik tak payah berkawan, kan? Natasha hanya senyum dalam hati. Dia tekad.

"Aku ingat lagi..."

"Apa?"

"Masa aku kat London, kau selalu cerita dengan aku yang Adib tu caring dengan kau. Walaupun kau pening sikit pun, treatment dia dengan kau, macam kau sakit kanser otak."

Dahi Natasha berkerut.

"Kenapa tiba-tiba kau cerita benda ni?"

"Kau tahu takkk..."

"Apa?"

"Dia tu tak seperti yang kau gambarkan."

"Kenapa? Apa yang beza?"

"Dahlah angkat aku kasar. Cakap aku berat pula lagi. Aku suruh turunkan, dia tak nak. Dia nak turunkan aku dekat semak. Lepas tu, sengaja dia langgar lopak, bagi kaki aku terhentak. Hesy... Tak caring langsung pun!"

"Dia angkat kau? Gendong kau?"

"Yalah. Aku tak boleh jalan, kan? Site tu jauh ke dalam."

"Rapat?"

"Maksud kau?"

"Rapat macam mana? Muka dengan muka, dada dengan dada?"

"Eh, kau ni... Takkan gendong pun tak tahu macam mana?"

Hati Natasha sedikit terkesan. Dia sedikit cemburu. Teruk betul perasaan cinta ni. Dengan kawan pun rasa nak cemburu. Kawan tengah sakit pun rasa nak cemburu. Haih!

"Cemburu sangat ni."

"Nama pun kekasih. Kalau tak cemburu, bukan namanya kekasih."

"Bahaya kau ni, Tasha. Aku nak kenakan pun, aku rasa takut. Cemburu ni, bukan kenal erti kawan ke tidak. Macam mana pelan kita nak menjadi kalau kau ada prasangka macam ni dekat aku? Nanti apa semua tindakan aku buat... Kau tak setuju. Macam mana? Macam mana nak buat Adib jatuh cinta dengan aku, kalau kau cemburu. Bukannya kau tak tahu, apabila dia jatuh cinta, aku akan tinggalkan dia dan biar dia rasa apa yang kau rasa!"

"Sorry... Sorry! Tindakan refleks, kan!"

"Lagipun, takkan nak cemburu kut! Aku sakit kut! Takkan kau nak biarkan ular ngap aku kut!"

"Sorryyy... Sorrylahhh!"

"Kalau kau tak nak aku teruskan rancangan ni, aku boleh aje tak nak teruskan."

"Ehhh, janganlah."

Kalau Rose tak mahu teruskan pelan tu, macam mana? Nanti, tak kembalilah Adib kepada aku. Rancangan Rose nak buat Adib jatuh cinta dan tinggalkan tu, dah cukup bagus. Bagi Rose, rancangan itu, setakat itu saja. Tapi bagi aku, ada sambungannya.

Kalau Rose buat Adib jatuh cinta dan meninggalkan dia, pasti Adib akan kembali kepada aku semula dan masa itulah Adib baru rasa, yang dia perlukan aku. Kalau Rose tak mahu buat, dengan siapa lagi untuk aku minta tolong realisasikan pelan aku ni? Hanya Rose saja yang layak. Minah tu, bukan ada perasaan pun! Dia saja yang boleh!

So, tak boleh. Aku tak boleh cemburu! Natasha cepat menidakkan perasaan itu... Perasaan cemburu tak boleh menguasai dirinya kalau dia mahukan pelan itu benar-benar berjaya. Natasha fikir-fikir sendiri.

"Lelaki macam tu, patutnya tak payah nak ingat. Dahlah kasar, menyakitkan hati. Lepas tu, mendesak. Kaki buli. Kau patutnya get over him. Bukannya mengingat lagi. Bukannya cemburu lagi. Kata nak suruh kenakan... tapi, cemburu pula. Apalah kau ni? Mana satu kau mahu ni, Tasha? Kau nak aku kenakan dia ke tidak?"

"Naklahhh... Sorry! Aku masih cintalah... Adatlah tu! Magisnya cinta, lagi kau benci, lagi kau sayang. Apalah kau tahu, kau tak pernah bercinta, kau boleh cakaplah. Tengok dia bercakap dengan mak cik cleaner pun, aku rasa cemburu. Apa lagi kalau dia gendong kau!"

"Apalah kau nak dengan lelaki macam tu?"

Natasha diam. Adib Haiman, ada segala-galanya yang dia mahukan. Dialah lelaki perfect 10 bagi dirinya, tak ada orang lain yang layak.

"Okeylahhh, okey... Aku tak nak lelaki macam tu."

"Poyo aje..."

"Betullah!" Natasha cover!

"Mesti ada syaratlah tu."

"Since kaki kau macam gajah tu, kau sedekahkan sajalah stiletto kau satu almari tu dekat aku. Biar tinggal satu almari saja, eh..."

Rose tersentak, dia menepuk dahi.

"Kasut kat Adib! Jimmy Choo pula tu..."

"Haaa cantiklah tu. Ada alasan untuk kau jumpa dia lagi!"

Natasha senyum walaupun sebenarnya hatinya... sedikit cemburu. Kena dukung dengan Adib? Huh!

ROSE sedikit mengeluh. Kenapalah semua benda akhirnya akan berakhir kepada dia juga? Tak boleh ke, kepada orang lain? Tak boleh ke, hah? Sekali pun, bagilah aku peluang untuk menang, Tuhan! Asyik-asyik... Adib Haiman. Dah jadi badi dah nama ni dengan aku. Tak tahulah nak teruskan mengenakan mamat ni ke tidak... Tapi kasihan pula Natasha!

Rose berbaring. Pandangannya menghala ke siling.

Natasha pun satu hal. Apalah ada dengan cinta tu? Taksub sangat! Sudahlah lelaki tu tinggalkan dia demi perempuan lain. Lagi nak sayang? Magisnya cinta konon! Adib Haiman tu, buat kawan aku tak sedar diri betul. Tak berpijak pada paksi bumi. Apalah ada pada lelaki itu yang menyebabkan Natasha ni tertarik sangat? Pada aku, tak ada pun satu kualiti yang baik tentang Adib Haiman. Menyakitkan hati lagi ada! bebel Rose dalam hati.

Tapi...

Lawak betul peristiwa kena dukung tu. Padanlah muka, dia kena angkat aku yang berat ni! Eh, berat pula! Cis!

"Terseliuh?"

"Ya..."

"Dah masuk angin. Tengok, dah sampai bengkak. Lain kali, kalau kena macam ni, kena cepat-cepat balutkan. Tak adalah bengkak..."

"Macam untut!" sambung Adib.

Rose menjeling. Sibuk betul nak jadi doktor juga.

"Saya akan masukkan awak dalam wad. Esok kita tengok kondisi awak macam mana. Husband?"

"Tak. Saya kawan dia."

"Ohhh, bukan kawan. Dia staf saya."

Perasan, kawan pula...

"Senang sangatlah, kalau satu pejabat. Tolong tengok-tengokkan pemakanan dia. Kena selalu minum susu... Tulang tak cepat rapuh. Jaga pemakanan, jangan sampai jadi berat. Bila berat, nak letak kaki pun susah!"

Pecah gelak Adib Haiman. Bengang saja Rose waktu tu. Memang menyakitkan hati.

"Doktor yang tak dukung awak pun kata awak berat. Saya ni yang mendukung awak, sampai nak kena asma tau. Awak masih tak percaya yang awak tu berat. Berat dosa kut!"

Haih... Tak sabar betul nak kenakan Adib Haiman. Semangat terus berapi-api! Tak apalah, mengalah demi kawan. Ini masa Natasha, mana tahu nanti bila saat aku, Natasha akan tolong aku pula? Rose terus mengambil telefon dan mencari nombor Adib.

Bismillahirrahmanirrahimmm...


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co