Truyen3h.Co

Magisnya Cinta

Bab 8

karyaseni2u

PAGI itu, sempat Natasha singgah membeli sarapan untuk Rose sebelum ke kedainya. Semalam Rose kompelin makanan hospital tak sedap. Demi menjamin kawan baiknya itu cepat sembuh dan sihat walafiat bagi meneruskan rancangannya mengenakan Adib Haiman tu, digagahi jugalah ke Vanggey. Rose teringin nak makan tose.

"Sweetnya..."

"Sweet tak sweetlah. Aku dah lambat. Aku ada appointment ni. Byeee... Jangan lupa makan ubat!"

Natasha cepat-cepat keluar dari wad itu dan menuju ke tempat parkir. Hari ini ada tempahan untuk spa pengantin. Pelanggan nak juga Natasha yang handle, tak mahu staf lain. Walhal, ada saja pekerjanya yang berpengalaman. Tapi nak jaga pelanggan tetap bukan senang, nak tak nak terpaksalah juga Natasha turun padang.

Sedang Natasha membuka pintu keretanya, tak perasan pula ada yang sedang memerhatinya daripada belakang.

"Tasha! Apa buat dekat sini?"

Natasha menoleh ke belakang. Dia tersentak sekejap.

"Adib?"

"Ayah dengan mama awak tak sihat ke?"

"Eh, sihat."

"Habis tu, apa awak buat dekat sini?"

"Saya... tengok kawan!"

"Kawan? Siapa? Pagi-pagi datang tengok kawan, mesti kawan yang istimewa ni."

"Are you talking about me or about yourself?" Natasha sedikit berasap. Entah kenapa, melihat wajah selamba Adib tu mengingatkan kata-kata Adib kepada ayahnya dulu. Bengang! Tu sebab, dia tak boleh nak berdepan dengan Adib selagi Adib tak betul-betul datang menyerah kepadanya.

"Eh..."

Dahi Adib berkerut.

"Awak ni dah kenapa? Tertelan harimau ke? Dahlah saya nak menghadap harimau kat dalam tu kejap lagi. Jangan awak cakap kawan awak yang awak jumpa tu, harimau yang sama pula! Rose. Awak jumpa Rose Khadeeja ke kat dalam?"

Natasha tersentak.

"Nampak macam terkejut... Awak kenal ke? Rose harimau tu, my client."

"Tak payah nak ubah topiklah. Klien ke... Ke lain? Bye, assalamualaikum."

Cepat-cepat Natasha masuk ke dalam keretanya, terus menghidupkan enjin kereta dan pergi. Tak mahu terkantoi. Dia meninggalkan Adib terpinga-pinga. Biarlah... Malas nak fikir. Biar Adib fikir apa yang telah dibuat salah sebelum ini. Itupun kalau dia terfikirlah!

ADIB menggelengkan kepalanya. Apalah minah tu? Pagi-pagi diserang emosi. Aku bergurau saja kut. Kalau tak boleh bergurau, pi duk surau. Adib mengetap bibirnya. Sejak akhir-akhir ni, tak tahu kenapa hubungan dia dengan Natasha tak macam selalu. Dulu rajin Adib melayan kerenah Natasha yang dianggap sebagai adiknya itu. Tapi sejak akhir-akhir ini... Natasha semakin menjauhkan diri. Ajak tengok wayang pun tak mahu... Apa lagi ajak melepak dekat kedai mamak. Kalau dulu, pantang call... Dah bersusun itinerari. Pelik! Datang bulan kut? Takkan datang bulan sampai berbulan-bulan?

Kereta Natasha meluru laju meninggalkannya. Adib memandang pelik. Sah... Datang bulan! Apalah kena dengan perempuan sekarang ni? Banyak telan garam! Kan dah kena darah tinggi. Asyik marah saja, asyik meroyan saja!

Adib terus berjalan masuk ke dalam hospital menuju ke bilik Rose Khadeeja. Melihat nama Rose Khadeeja besar-besar di depan bilik VIP tu, Adib menelan air liur. Harap-haraplah mood harimau tu baik pagi ni. Jangan berjangkit macam Natasha tu pula sudahlah!

Jangan kejutkan harimau yang sedang tidur... Dah kenapa Polis Evo pula ni?

Adib menguak pintu perlahan.

"Assalamualaikum... Selamat pagi."

Melihat Rose yang sedang cuba meletakkan kakinya ke bawah, cepat-cepat Adib mencampak kasut Rose itu ke tepi dan mendapatkan Rose.

Pelepap bunyi beg plastik itu membuatkan Rose sedikit tersentak!

"Ehhh... Awak nak ke mana ni?"

"Awak campak kasut saya? Itu kasut saya kan yang awak campak ke lantai tu?"

"Sekarang ni awak nak ke mana?"

"Awak campak kasut saya!"

Apa masalah kasut dengan perempuan, eh?

"Awak nak saya campak awak ke lantai ke apa? Elok boleh pakai kasut tu, langsung tak boleh pakai kut! Kaki tu jadi untut forever baru ada akal!"

Rose terdiam.

"Awak nak ke mana ni?"

"Toilet."

"Tak boleh panggil nurse ke untuk tolong awak?"

"Dekat sajalah. Bilik air tepi tu, kan?"

Adib cepat menggelengkan kepalanya. Haih, minah ni memang cari pasal betullah. Kalau jatuh nanti? Kalau jatuh waktu tu aku tak ada, tak apalah. Tak adalah rasa bersalah sangat kalau tak tolong. Atau tak adalah dipersalahkan sebab gelak dulu sebelum tolong. Takut aku kena jual nama saja dengan Rose depan Tan Sri Megat Yusuf, itu yang tak mahu tu! Nak jadi heroin pun, agak-agaklah. Tak perlu nak tunjuk hebat, tak ada orang nampak pun! Adib menggelengkan kepalanya.

"Awak nak jadi heroin pun, pi castinglah. Jangan nak tunjuk heroin bila kaki kena pakai casting macam ni. Siapa yang nak pakai kasut awak dua almari tu?"

Mata Rose membulat.

"Confirmlah dua almari nak masuk tiga, kan?"

Rose mengetap bibir. Hesy... Pandai saja meneka.

"Sebab girlfriend awak ada tiga almari nak masuk empat?"

"Kalau saya ada girlfriend macam tu, saya suruh dia kahwin dengan kasut dialah!"

"Eh, bukan sebarang kasut. It is..."

"Ya... Yaaa... Jackie Chan."

"Jimmy Choolahhh!!!"

Adib ketawa. Sengaja cari pasal. Seronok dia melihat wajah Rose merah menahan marah.

"Dah hantar kasut, kan? Terima kasih. Sekian, silalah balik."

"Kata nak pergi tandas?"

"Baliklah. Saya boleh buat sendiri. Nak basuh tangan, nak makan tose ni saja."

"Ohhh... Duduklah. Saya ambilkan air. Bukan susah pun. Satu saat pun tak sampai."

Adib mengambil cawan dan masuk ke dalam bilik air. Memang tak sampai satu saat, Adib keluar dengan secawan air. Adib siap bukakan bungkusan di atas meja tu, dekatkan meja kepada Rose dan menuang air kopi panas yang dibawa oleh Natasha tadi ke dalam cawan. Semuanya Adib buatkan untuk Rose. Rose hanya jadi pemerhati. Biarkan dia pelik tengok aku baik. Haaa... Adalah benda baik-baik yang dia akan cakap kepada Tan Sri Megat nanti.

"Selamat pagi..."

Adib dan Rose menoleh ke arah pintu. Seorang jururawat masuk ke dalam bilik itu membawa sebekas makanan.

"Oh, suami dah bawakan makanan?"

"Eh... Tak..." Rose menggelengkan kepalanya, serentak dengan Adib.

"Makanan ni nak tak? Kalau tak nak, nanti kami datang hantar ubat."

"Tak apa, saya makan yang ini saja. Terima kasih."

"Apa-apa panggil nurse, ya?"

"Baiklah."

Jururawat itu keluar. Mesra saja layanan Rose kepada jururawat itu. Kalau dengan aku, macam nak telan. Memang diskriminasi jantina betul.

"Tahu tak, makanan yang nurse bawa tadi tu kalau makan ke tak makan ke, still kena bayar tau."

"Tahu. Tak sedap, macam mana nak makan?"

"Jadi tose ni sedap sangatlah? Siapa beli tose ni?"

"Kawan."

"Ohhh, boyfriend."

"Taklah. Girlfriend."

"Wooo..." Adib rasa lain macam. Sayang betul, lawa-lawa... Ada girlfriend pula. Rugi-rugi, lelaki punyalah banyak! Patutlah dengan aku macam harimau. Dengan nurse tu, baik-baik saja. Songsang rupa-rupanya! Kasihan betul!

"Apa?"

"Tak ada apa. Tak ada apa. Saya pergi pejabat dululah. Oh, lupaaa..."

Adib mengeluarkan telefon bimbitnya dan menangkap gambar Rose dengan selamba tanpa minta izin. Rose sedikit tercengang. Belum sempat nak marah...

"Arahan Tan Sri Megat Yusuf."

"Somehow, I ada doubt about it!"

Eh, tak percaya pula minah ni. Belum sempat Adib hendak membela dirinya, tiba-tiba pintu terkuak laju. Buat Adib sedikit terkejut kerana dia berhampiran dengan pintu dan mahu melangkah keluar dari bilik. Seorang lelaki meluru masuk dan menuju ke arah katil Rose Khadeeja. Adib memandang.

"Abang terus ambil first flight lepas dapat tahu daripada papa. Kenapa Rose tak beritahu abang yang Rose jatuh? Tu sengaja tak nak susahkan abanglah tu. How can you do that? Abang risau tau!" Lelaki itu gelabah. Bukan sikit gelabahnya. Habis dibeleknya kaki Rose, nampak risau sangat-sangat.

"Rose okey. Adib yang tolong Rose."

"Adib?"

"Tu, Encik Adib."

"Ohhh... Ada, papa ada cakap. Thanks Encik Adib, for very helpful."

Megat Waiz bangun menyalam Adib. Adib ambil kesempatan untuk minta diri. Sambil berjalan ke kereta, Adib tertanya-tanya. Papa? Tan Sri Megat Yusuf tu papa dia? So, lelaki tadi tu, abang sepupu Rose? Abang sepupu pun macam tu punya concern? Pelik nampak cara concern tu...

"ABANG suap?"

"Eh, tak apa. Rose boleh suap sendirilah. Kaki yang terseliuh, tangan okey."

"Rose buat abang risaulah."

"Tak ada apalah!"

"Kalau tak ada apa, tak masuk hospital tau. Tolong jangan buat macam ni boleh tak? Tolonglah jaga diri tu sikit. Kalau tak mahu buat untuk diri sendiri, buatlah untuk abang? Singapura dengan Malaysia, bukan jauh sangat but still..."

Rose hanya senyum. Megat Waiz Yafiq memang baik, tersangat baik. Tapi Rose hanya anggap dia sebagai abang saja, tak lebih daripada itu.

Tolonglah jangan baik sangat, sebab aku takut jatuh cinta kerana terpaksa! Aku tak mahu benda itu terjadi sebab ia tak adil kalau sebabnya terpaksa! Rose mengeluh kecil.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co