Truyen3h.Co

MAHARANI

Bab 3

karyaseni2u

Edan Israq

Sudah tiga tahun semua ini berlaku. Makna, sudah tiga tahun juga aku bebas dari dunia kampus. Aku tak tahu nak mula dari mana ceritanya. Sumpah! Bila fikir-fikir balik rasa tak percaya. Kadang-kadang kalau fikirkan seorang diri, mencari di mana logiknya, aku jadi blur. Boleh tahap pengsan tujuh kali. Lepas pengsan, sedar, pengsan balik, kemudian bangkit, pengsan lagi. Sampailah tujuh hari tujuh malam!

Okey, aku bunyi macam exaggerate sangat. Tapi seikhlas hati, memang aku sendiri rasa 'bengong-bengong' bila kenangkan semula laluan hidup aku. Taklah hebat mana. Tapi rasa macam eh, luar biasa jugalah.

Dari budak gonjeng, jongos, selekeh dan berambut gondrong tiba-tiba acah-acah mamat hot sekarang. Padahal dulu aku ni berlengas duduk buka gerai tepi jalan jual putu piring. Sekarang ni, kalau baca di sosial media atau di akhbar, kemudian jumpa ayat macam Edan The Hottest Bachelor In Town, aku geli sendiri. Hotlah sangat! Aku rasa macam lemau aje! Semua ini Abang Mail punca segala-gala. Dan Sakinah manusia yang paling mengejek dan menganjing.

"Muka masing-masing macam muka rumah tak siap, ada hati nak jadi glamor."

"Kau diamlah. Kau tu pergi belajar pakai bedak, pakai gincu dulu!" bidas Abang Mail pada adik perempuannya itu.

"Edan, kau nak ikut Abang Mail ke? Kemain kau ya... Selama ni kudup aje. Acah-acah jadi budak bentang tikar dekat masjid. Teringin juga ya nak glamor."

Huh, memang pedih pedas dan berdesing rasa cuping telinga bila Sakinah menyindir.

"Aku teman Abang Mail ajelah!" Pantas aku menjawab waktu itu.

Asalnya Abang Mail saja acah-acah nak cuba cari duit poket. Dia memang dah kerja makan gaji. Tapi biasalah mamat tu. Berwawasan konon. Nak cari duit, nak cepat bernikah katanya. Ajak aku temankan dia buat casting untuk drama. Aku yang lurus bendul, ikut saja ajakannya dengan niat sekadar tolong teman. Waktu kami pergi, kami rahsiakan dari Sakinah. Kalau perempuan ni tahu, mahu satu kampung dia pukul canang. Tentu bising orang tua kami.

"Jomlah, ikut abang."

"Pergi mana?"

"Cari kerja part time."

"Menarik tu!"

Tanpa banyak soal, aku ikutkan saja. Maklum, aku sendiri baru dua bulan merasa kerja tetap. Itupun setakat pembantu akaun di syarikat kecil. Bolehlah setakat aku nak cari pengalaman.

Kami ke Ritz Carlton, Kuala Lumpur. Sudah sampai di situ baru aku teringat untuk bertanya.

"Casting tu apa?" Masa tu sumpah aku tak tahu apa benda casting tu.

"Alah, uji bakatlah!"

"Uji bakat berlakon?" Aku menyoal balik dan Abang Mail mengangguk.

Ternganga aku dengar jawapan Abang Mail masa itu.

"Mengarut aje Abang Mail!"

"Apa pula?!"

"Banyak kerja lain, kan?"

"Ni pun kerjalah juga."

"Merepeklah!"

"Mana tahu, ada rezeki, hidup pun boleh berubah!"

"Muka macam Abang Mail nak jadi pelakon? Kalau dapat, saya hantar anggur seedless dekat surau!" Aku berbisik lagi.

Abang Mail mencebik.

Oh, semua yang ada dekat sini nak cuba jadi pelakonlah! bisik hati aku sambil mengamati sekeliling.

Aku mengekori Abang Mail ke meja pendaftaran.

"Untuk casting atau krew?" Gadis yang bertugas bertanya sambil menghulurkan borang.

"Casting," jawab Abang Mail.

"Encik?" Gadis manis itu tiba-tiba bertanya aku.

Aku cuma tersengih-sengih dan menggeleng. Abang Mail masih lagi mengisi borang. Lama betul dia menulis. Entah apa yang ditulis, aku pun tak tahu. Gayanya panjang berjela.

"Tak mahu cuba? Tinggi dah ada. Muka pun komersil." Budak penyambut tetamu ini bersungguh berkempen.

Bertambah lebar aku senyum. Hah, awek ni buat kelakarlah pula!

"Penat aje datang tapi tak cuba."

"Jadi krew tu boleh buat part time ke?" Aku lebih berminat kerja di belakang tabir.

"Boleh. Tapi kena komitedlah masa ada shooting. Kalau ada kerja tetap payah juga."

Aku mengangguk. Kemudian kami kembali ke tempat duduk, menunggu giliran.

Punyalah lama menunggu giliran Abang Mail, aku sampai terlelap di atas kerusi.

Waktu aku terlena tu, aku memang terdengar juga nama Abang Mail dipanggil. Tak kuasa aku nak sama sibuk. Lebih baik aku sambung tidur. Biarlah Abang Mail selesaikan urusannya, lepas tu kami akan terus balik. Aku pun tak sedar bila Abang Mail keluar dari bilik uji bakatnya. Tak juga aku bertanya, dia okey atau tidak.

Tiba-tiba aku terdengar nama aku dipanggil. Ingatkan silap dengar.

"Edan Israq."

"Edan Israq."

"Woi, nama kaulah!"

Abang Mail menepuk paha aku. Aku yang separuh mamai terpinga-pinga. Eh, apa kes nama aku pula ni?

"Dah sudah? Boleh balik, ya?" Aku terpisat-pisat. Aku ajak Abang Mail balik.

"Tu orang panggil nama kau!"

Astaghfirullah! Rupanya Abang Mail pandai-pandai tolong isikan borang untuk aku. Sudah! Apa kes aku nak casting sama?

"Kau apa hal, bro?" Aku bertanya pada Abang Mail.

"Alah, pergi aje."

"Hish, nak buat apa?"

"Ikut ajelah apa dia orang suruh!"

Aku yang terpinga-pinga kemudiannya melangkah masuk ke bilik yang sudah ditetapkan. Rasa macam orang bodoh masa itu. Pandang sekeliling rasa macam nampak putih aje!

Mula-mula aku diberi skrip. Rupa-rupanya di dalam bilik itu ada beberapa orang yang lain. Sebagai permulaan kami diberi masa untuk memahami skrip tersebut.

"Nak buat apa ni?" Kan aku dah kata. Aku terasa macam bebal sungguh bila kena game dengan Abang Mail. Dia nak glamor cuba nasib jadi pelakon, aku pun diheret sama.

"Ni kena hafal. You duduk dulu, cuba hafal kemudian ambil mood, ambil feel, ucapkan dialog ni dalam karakter yang you dapat."

Berpinar kepala aku sekejap. Rasa segala cakerawala ada di atas kepala aku.

Debaran tak usah cakaplah. Dup dap, dup dap. Apa ke jadah aku kena game dengan Abang Mail ni? Dia dah selesai lama. Patut dia tak kejutkan aku tadi. Rupa-rupanya tunggu giliran aku pula.

Seumur hidup, benda begini tak pernah terlintas dalam fikiran aku. Memang menggigil gila walaupun kami casting taklah lama mana. Bukan sampai sejam pun!

Fuh! Rasa macam semua memandang aurat aku tak fasal-fasal. Tapi bila mula melakukan tugasan tu, suruh aku lakonkan watak orang pekak dan bisu serta kakinya tepok, aku belasah buat aje. Tak fikir apa-apa masa tu.

Aku nampak kerusi-kerusi yang disusun. Aku apalagi, guna kerusi tersebut sebagai prop. Mula-mula buat-buat buta, kemudian tak boleh cakap fasal bisu. Lepas tu dengan kaki terjengket-jengket, aku seret, aku langgar semua kerusi yang kat situ. Pergi dekat meja mereka jatuhkan apa yang ada atas meja.

Gila kan aku?

Tugasan kedua aku kena baca satu dialog monolog. Bab itu, aku buat ikut suka aku aje. Terkejut bila panel kata aku buat penuh ekspresi.

Tugasan ketiga selesai. Tugasan keempat pun alah tak susah mana. Aku diminta buat satu lakonan spontan.

Baru aje aku berdehem tiga kali, nak ubah intonasi suara, nak in character, alih-alih ada seorang gadis manis masuk ke bilik itu. Dia tersenyum dan melambai ke arah bos besar produksi.

"Hai!"

"Hai Cahya!"

Peserta casting yang lain aku tengok ternganga saling berbisik sesama sendiri. "Cahya Kartika!"

Mereka terpegun dan spontan menyebut antara dengar dan tidak.

"Lawanya dia!"

Aku? Buat-buat tak nampak, buat-buat tak kenal. Buat muka blur. "Kau siapa?"

"Cahyalah!" Rakan yang berdekatan memberitahu aku.

Aku angkat kening. Angkat bahu.

"Tak kenal."

Tak kuasa aku nak beria-ia. Macamlah aku 'hard-up' dengan artis.

"Helo!"

Eh, dia kenal aku? Aku ingatkan dia tegur orang lain. Aku toleh ke kiri dan ke kanan.

"Yes, awaklah!" Dia tunjuk ke arah aku. Muka dia tersenyum. Aku tetap dengan muka batu bersuhu beku.

"Awak buat apa dekat sini?"

Apa hal dia nak ramah tamah dengan aku? Dia silap orang. Patut pergi menyembang dengan Abang Mail di luar sana.

"Temankan kawan."

"Casting?"

Aku mengangguk. Malas nak cakap banyak. Sekeliling aku semua sudah memanjangkan leher, acah-acah paparazi.

"Nak jadi pelakon juga?"

Terus aku mendongak memandang dia. Aku geleng.

"Tak mahu, buat apa datang sini?" Dia tergelak. Senyum dia, gigi dia yang cantik rata tersusun. Tak tahu kenapa, aku selalu terpegun sebetulnya bila tengok luar biasanya ciptaan Allah yang satu ini. Semua. Semua kalau fasal Cahya memang aku hafal dalam diam.

"Dah habis belajar, kerja mana?"

"Syarikat biasa aje." Aku sebetulnya rimas dia berbual dengan aku. Ramai tukang sibuk sekeliling kami. Cuping telinga masing-masing sudah mencapang aku rasa. Mahu sebesar kuali dodol emak aku.

"Tak berniaga putu piring lagi?"

"Errr... Tak sempat."

"Putu piring awak sedap. Lain kali juallah. Nanti DM saya dekat Insta. Saya nak beli..."

Aku macam tenggelam dalam pusaran air tsunami. Hilang nafas. Wahai, perempuan. Tak payahlah memuji!

"Mak awak sihat?"

Aku macam kena lempang. Terbeliak aku memandang dia. Eh, dia ingat lagi mak aku yang pernah cuci rumah dia?

Aku mengangguk dan jawab sepatah. "Sihat."

"Good luck, ya? Eh, apa nama awak?"

"Edan."

"Assalamualaikum, Edan." Dia kemudian berlalu pergi sambil melambai. Masuk ke bilik khas. Mungkin ada job yang hendak dibincangkan dengan penerbit.

Allah, she struck me the same way! Ya, aku ingat sangat muka dia yang jernih, mata dia yang cantik. Macam bintang kartika. Dia memang bintang pada sesiapa yang memandang, sesuai nama dia.

Aku terus membatu. Badan jadi kejang. Pipi terasa kebas. Semua peserta casting yang ada di situ tampak sangat teruja dan mereka pantas mencuit aku.

"Wah! Cahya kenal awak, ya? Pelakon hebat kenal awak!" Aku sekadar angguk dengan bibir yang diketap rapat. Bukan sombong. Tapi entah. Aku tak selesa. Selesai semuanya, Abang Mail mendengar cerita aku dengan wajah terherot.

"Yoyo ooo la kau! Temberanglah kau!" Abang Mail fikir aku berbohong. Biarlah. Aku tak perlu paksa dia percaya cerita aku fasal Cahya.

Tak sampai sebulan aku dapat panggilan telefon. Aku berjaya dalam casting itu. Dan Abang Mail yang paling mengharap, gagal.

Allahu! Aku tepuk dahi, badan terasa demam. Abang Mail meroyan seminggu dengan aku. Sakinah yang akhirnya tahu khabar ini terjuih-juih bibirnya mengejek Abang Mail. Satu rumahnya jadi kecoh. Mak aku pun tak fasal-fasal jadi tahu. Asal terpandang aje muka aku, masing-masing angkat kening dan mengajuk. "Retis! Retis! Nak tandatangan boleh?"

Puas aku sabarkan diri. Buat-buat pekak telinga.

Biarpun rasa sebal dan kelat di dada, Abang Mail juga yang memujuk aku untuk mencuba sesuatu yang baru. Dan kemudian the rest is history.

Kalau wartawan kejar aku untuk interview, aku dah rasa tak larat nak ulang cerita. Cemuih aku rasa. Tolong jangan kecam. Bukan niat aku nak kekwat, okey!

Tapi bayangkan kalau ada lima surat khabar, empat majalah, kemudian orang televisyen lagi, nak minta personal interview, lenguh rahang aku nak bercerita benda sama. Rasa macam aku nak rekodkan aje suara aku bercakap seorang diri. Kemudian kalau ada yang nak interview, hah nak aje aku kata... Ambil soft copy ni, dengar sendiri. Hah, aku tahu... Itu maknanya memang mintak dikecam, kan?

Apa aku rasa sekarang? Here I am!

Biar aku berterus-terang. Saat aku tak boleh melangkah keluar dari dunia glamor ini, aku bertekad. Biarlah aku dikatakan sombong. Niat aku hanya satu. Aku mahu cari rezeki untuk emak dan abah. Aku tak mahu lagi emak penat bekerja sehingga sembap kaki di 7-Eleven.

Aku nak kumpul duit. Biarlah aku bantu abah untuk sediakan rumah keluarga kami. Lama sangat rasanya kami adik-beradik membesar berhimpit-himpit di flat dua bilik di Keramat itu.

Dunia yang aku diami ini penuh lampu lip lap ni. Hidup dalam dunia artis ni aku rasa macam dalam globe yang berputar laju. Tercungap-cungap kalau tak pandai nak sesuaikan diri. Kemudian sekelilingnya bernyala lampu pokok Krismas! Nampak aje cantik, tapi kalau kau pakai lampu macam tu untuk membaca, cukup masa, memang rabun kroniklah mata kau. Kau silau dengan warna kehidupan di hadapan kau. Kadang-kadang lampu tu bahangnya perit, sampai terpanggang merah diri kau. Faham tak maksud aku? Ada syurga, ada nerakanya.

Nantilah... Aku cerita kemudian nanti.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co