Bab 4
Cahya Kartika
Selalu bertemu tetapi tidak pernah ditakdirkan untuk bersama. Aku seorang saja agaknya yang rasa diri ini saling melengkapi bila bersama lelaki yang bernama Alriz. Tetapi hakikatnya tidak.
Laluan kami semakin lama semakin bersimpang.
Sejak akhir-akhir ini banyak perkara yang bermain dalam fikiran aku. Semua benda seperti menyerbu ke minda. Selepas Cover Girl Contest, tiba-tiba hidup aku berubah 360 darjah. Awalnya aku masuk untuk suka-suka. Tak sangka, begini jadi. Tamat belajar, dapat ijazah, ini laluan hidup aku sudahnya.
Abah memang tak setuju. Membantah dan menghalang sebetulnya. Mama diam aje. Aku? Macam biasa aku ikut gerak hati.
"Buang masa belajar di universiti kalau sudahnya nak masuk dalam dunia limelight ni!"
"Bagi peluang Cahya cari duit dulu."
"Banyak cara boleh cari duit. Orang meniaga pisang goreng pun boleh cari duit. Tak payah terkinja-kinja depan orang," pangkah abah.
"Cahya nak cuba dulu. Lepas tu Cahya berhenti."
"Kerja begini tak payah nak cuba-cuba. Salah langkah, nama rosak. Tak fasal-fasal ada aje fitnah dengan cerita aib orang selongkar." Keras amaran abah.
"Duduk di rumah diam-diam pun orang boleh fitnah." Cepat saja aku menjawab dan memintas. Abah merengus. Dan sejak itu hubungan aku dengan abah jadi tawar dan sejuk. Kami bagai manusia yang asing.
Abah tak pernah ambil tahu atau bertanya tentang perkembangan aku. Kalau dah begitu cara abah, aku pun tak sudi nak cerita. Emak masih macam biasa. Masih ada doa dan restu emak untuk aku.
Alhamdulillah. Tak lama kemudian, satu demi satu jenama lantik aku jadi jurucakap. Dan perlahan-lahan hidup serta jadual aku jadi semakin tidak menentu. Orang tidur aku kerja, orang kerja aku tidur.
Mujur rakan karib sejak kampus, Ney, sudi jadi pembantu peribadi aku. Segala jadual semuanya Ney yang atur dan susun. Ada waktu aku berkeluh pada Ney. Terasa berat kepala nak bangkit dari katil.
Rimas rasa, setiap kali mahu keluar rumah, aku kena ambil masa sejam untuk menghadap cermin. Kalau tak bersiap begitu, kalau aku malas tahap dewa, aku pakai cermin mata hitam, pakai jaket yang ada hood.
Kadang-kadang aku merayu pada Ney, bila tujuh hari seminggu, back to back aku bekerja. Working around the clock, dengan kasut enam inci, sebenarnya buat betis dan keting aku sengsara. Kulit muka terasa tak bernafas langsung dengan segala solekan. Balik rumah lewat pagi atau hampir subuh.
Sudah menjadi rutin, sampai rumah, aku capai besen, bubuh air panas sama garam bukit, kemudian rendam kaki. Hilangkan sikit bengkak kaki. Aku selalu terlelap dengan kaki di dalam besen. Esoknya pukul lapan pagi sudah kelam-kabut bersiap untuk shooting di mana-mana lokasi lagi.
Macam hari ini. Tidur pukul empat pagi sebab jam tiga baru sampai rumah. Terasa berpusing kepala aku. Muka dah serupa zombie. Seawal pukul enam pagi Ney kejutkan aku untuk bersiap segera. Pukul sebelas pagi mesti sudah sampai di Black Studio.
"Penatlah. Cancel boleh tak?"
"Kau gila? Dah hilang akal. Nak cancel sesuka hati aje shooting ni. Client dah bayar, okey."
"Serius dah rasa nak remuk badan ni. Senyum pun plastik sekarang." Aku mencebik.
"Take it easy, Cahya. Takkan nama tengah meletup ni kau nak back off?" Kalau aku berkeluh, Ney tukang bagi semangat.
"Bosan."
"Kau janganlah buat hal. Make-up artist Si Jijie, sebelum subuh dah mesej, ingatkan aku shooting hari ni."
Huh! Kalaulah aku boleh jerit... Aku nak beritahu semua orang. Aku dah bosan jadi model. Aku dah letih nak shooting.
Ney berkerut memandang aku.
"Kau period ke?"
Aku geleng.
"Habis tu kenapa mood swing ni?"
"Kan aku cakap tadi... Bosan. Penatlah. Nak mekap lebih sejam, nak basuh muka lepas mekap pun lebih sejam. Balik dekat nak subuh, bukan boleh terus tidur. Ni cuci muka aje boleh tersungkur muka dalam singki. Mengantuk gila." Lancar saja aku membebel. Entah, sebenarnya ada benda lain yang aku rasa berkesumat. Tapi aku tak terluah.
"Hei, orang lain dekat luar tu menggedik nak jadi macam kau."
"Orang lain tu tak rasa lagi. Dia orang tak tahu. Dia orang tengok bab-bab glamor aje!"
"Ini rezeki kau. Siapa sangka, kan..."
"Memanglah rezeki. Tapi, we spend too much time comparing ourselves to others - who are smarter, prettier, taller, shorter... Whatever. Muaklah!"
Aku membelek jadual di skrin telefon hari ini. Allah! Malas sungguh nak keluar rumah hari ni. Boleh tak satu hari ni aku nak bergolek-golek aje depan televisyen?
"Alah, lantaklah orang nak cakap apa. Dah bosan, dah penat gosip, dia orang senyaplah!"
"Tapi sampai bila ya, Ney? Sampai bila aku nak kena macam ni? Kena ikat, tak boleh ke mana. Jadi trophy girl orang yang aku sayang."
Ney seperti terjeda. Terdiam memandang aku.
"Apapun kau sayang dia, kan?"
"Memang sayang. Separuh mati aku sayang. Tapi sampai bila kena hidup macam ni? Terasa macam aku ni toys dia. Waktu sayang aku ditimang-timang. Kemudian dah pakai, simpan dalam almari kaca. Jadi display aje."
Mata aku terasa panas dan pijar. Pipi menjadi hangat tiba-tiba. Aku sebak dan terasa sangat bercelaru. Betul aku ada segala-galanya. Tapi status aku pada Alriz, memang tak pasti. Betul ke aku bakal isteri? Sungguh ke dia kekasih sehingga jannah? Aku ke tulang rusuknya yang hilang?
Kasih sayang dan duit ringgit Alriz untuk aku memang melimpah-ruah, tapi semuanya masih kabur. Setiap kali aku bertanya, jawabnya.
"Belum masanya lagi. Daddy dengan mummy belum boleh terima sayang. Sebab sayang selebriti."
Saat aku menangis di hadapan Alriz, dia memang cekap memujuk.
"I layan you lebih daripada perempuan lain yang I kenal. Semua keperluan you, I cukupkan. Kita cuma belum dirasmikan aje dengan ijab kabul. Sabarlah."
Macam biasa mulut aku terkunci mendengar alasan Alriz biarpun hati aku menjerit. Tak pernah aku kongsikan masalah ini pada sesiapa. Tapi hari ini aku terasa dada macam hendak pecah. Tak tertanggung lagi sembunyikan hal yang satu ini. Andainya Ney menjauhi aku selepas ini, aku reda.
Tapi Ney macam tak faham maksud aku.
"Sabarlah. Jodoh ni kan kita tak boleh nak jangka. Kalau tiba-tiba dah sampai jodoh, tak ada siapa boleh halang." Lembut Ney memujuk.
"Kalau aku berjodoh dengan dia. Kalau memang tak ada jodoh, makna sampai bila-bila pun aku ni perempuan simpanan dia."
Ney terdiam dan terus mencapai telefon. Jarinya laju scroll Instagram rasmi aku.
"Betul kan apa yang aku cakap ni? Dia tu siapa, aku ni siapa?"
"Beb, kau kena yakin. Kau ada semua. Kau cantik, ada peminat, kau bijak. Ada ijazah. Beauty with brain. Berebut lelaki satu Malaya ni nakkan kau!"
"Itu kata kau. Ada ke lelaki nak, kalau tahu perempuan yang dia nak kenal tu, perempuan simpanan lelaki lain? Call girl."
Aku pandang wajah Ney dengan renungan yang menagih seribu pengertian.
"Kau kata kau sayang. Dia kata dia cintakan kau separuh mati. Kalau tak sayang, takkan dia sanggup berhabis sebab kau! Itu makna cinta kau orang memang endless love. Kenapa kau nak judge diri sendiri sebagai call girl? It's all in your mind!"
"Entahlah. Endless love sampai jadi clueless. Tak tahu ke mana kesudahannya."
"Janganlah cakap macam tu. Kalau ditakdirkan sekarang ni, pintu langit terbuka, Allah s.w.t tengah angkat doa semua hamba-Nya, macam mana? Sebut yang baik-baik sudahlah. Kata-kata kita ni doa."
"Penat dah cakap fasal ni dengan Alriz. Alasan dia, beri masa. Nak pujuk hati mummy dengan daddy dulu."
"Allah dah bagi kau macam-macam, Cahya. Ini sikit aje ujian Allah untuk kau. Takkan tak boleh sabar?"
"Habis, sampai bila aku nak jadi macam ni? Nikah tak, apa pun tak, tapi sembunyi-sembunyi, macam laki bini. Kau faham, macam laki bini?"
Aku tengok Ney terkelip-kelip memandang aku. Cuba menyaring makna kata-kata aku agaknya.
"A high class prostitute."
Ney tercengang. Berlapis kerut dahinya.
"Aku ni untuk dia aje. Faham?"
Ney geleng. Haish! Aku mengeluh. Lurus bendul kawan aku yang seorang ni.
"Aku untuk dia. Aku kena layan dia aje. Faham? Layan dia aje!"
Terlopong Ney merenung aku. Macam mahu tembus matanya memandang aku.
Allah! Allah! Allah!
Aku tahu tak sepatutnya aku buka pekung. Tak seharusnya aku buka aib diri sendiri. Tapi semakin aku simpan, semakin sakit dan rasa hendak pecah dada ni.
Aku tertunduk sendiri. Aku dapat rasakan dari hujung mata Ney seperti terpinga-pinga. Perlahan-lahan aku mengangkat muka. Sambil meneguk liur yang kering, aku perlahan mengucapkannya. "Aku minta maaf Ney. Kalau aku buat kau malu nak mengaku aku ni kawan kau."
"Kau ni demam ke merepek? Kau tak main-main benda yang kau cakap ni?" Membuntang mata Ney sambil minta kepastian.
"Nak main-main apa pula? Kau ingat, Alriz tu saja-saja sedekah aku duit? Saja-saja bagi aku kereta, bagi aku rumah ni semua? Tak ada benda yang free dalam dunia ni, Ney. Cinta aje kalau setakat ucap gitu-gitu, takkan ada dia nak bank in aku duit tiap bulan. Kau fikir lelaki ni cukup kalau dia pegang tangan aku, aku pegang tangan dia, kemudian dia kiss aku dekat pipi terus dia nak bagi aku mewah macam ni? Ya, aku sayang dia. Sebab tu aku rela. Tapi aku juga tahu apa tu dosa, apa tu neraka."
Tanpa dapat ditahan, aku banjir dengan air mata. Isyarat segala yang sebu, terbuku dan terpendam selama bertahun-tahun, meledak dalam jiwa.
Penat aku simpan sendiri-sendiri. Penat aku sorok dan sembunyikan seorang diri. Aku tak mahu menanggung rasa resah gelisah sendirian. Biarlah Ney tahu. Biarlah Ney faham.
Aku lihat Ney tersandar di sofa. Dia seperti menerawang jauh sebelum kembali berpaling memandang aku.
"Cahya, listen to me. Don't complaint if he is a player. You choose to be his game anyway. Don't play for the trophy or the fame, play for the love of the game!" Tegas suara Ney.
"Cakap senanglah. Kau ingat boleh ke aku nak lari daripada dia sekarang? Tiap penjuru hidup aku ni, rasa macam ada aje mata dia perhatikan aku. Terlebih berbual dengan lelaki aje dekat mana-mana event, cepat aje dia mesej aku. Itu belum campur kalau ada lelaki yang berkawan dengan aku, kena warning dengan dia."
Muka Ney tampak terkejut-kejut memandang aku. Sesekali menggeleng.
Menangis sebenarnya apabila mengenangkan Alriz yang sentiasa cemburu itu. Kalau bertengkar, selalunya memang isu-isu remeh.
"Kau cakap aje dengan Alriz. Berterus-terang dengan dia. Don't regret if he lost the game because when someone else got the trophy, he can never win it back."
"Aku ni, ada ke lelaki yang mahu? Dalam dunia ni, bukan semua lelaki nakkan perempuan yang suci ke?"
"Kenapa? Kalau kau sendiri dah rasa diri kau kotor, macam mana orang lain nak hormat kau? Semuanya berbalik pada diri kau. Malam bergilir dengan siang, bukan? Selepas gelap, ada cahaya matahari, bukan? Apa guna nama kau sendiri tu Cahya kalau kau tak tahu nak serlahkan sifat kau sendiri."
"Cakap memanglah senang. Tapi kalau dah dia tu macam gengster besar Malaya, kau nak kata apa. Aku lari, dia cari, dia ugut. Kau ingat senang macam tu aje aku boleh buat report polis? Siapa aku orang nak percaya? Cerita dekat orang surat khabar, cerita dekat orang televisyen, kau ingat orang nak dengar? Mesti orang kata aku desperate, buat gosip sebab nak up diri. Apa pilihan yang aku ada? Mereput macam ni sampai ke tua?"
"Cahya, tak kiralah apa alasan kau... Habis tu sampai bila macam ni? Wei, duit kau dapat tu, kau buat makan ni, mendarah daging tau. Dengan aku sekali dapat saham. Kot malam ni kita ni mati, sempat ke kau mintak ampun dengan Allah? Sempat ke nak taubat? Sia-sia rentung, jadi kayu api dalam neraka."
Aku terpempan dengan kata-kata Ney. Aku tahu, dia marah. Wajahnya cukup untuk menunjukkan yang dia sebal dan kesal dengan apa yang dia dengar.
"Patutlah abah aku tak pernah restu apa yang aku buat."
"Jangan salahkan orang lain. Tak ada siapa paksa kau layan dan serah diri pada Alriz, kan?"
"Aku tak sangka jadi macam ni."
"Tak sangka macam ni macam mana?"
"Mula-mula ingat suka-suka. Berkawan aje. Lepas tu rasa terikat."
"Rasa terikat atau tak, bergantung diri sendiri, bukan?"
"Memanglah. Tapi bila kita dah banyak termakan duit orang, termakan budi. Semua jadi lain."
"Maksud kau jadi lain?"
Aku diam beberapa ketika dan cuba menghilangkan rasa sesak di dada. Ney kulihat yang gelisah semakin terpempan. Soalan Ney itu membuat diri aku terasa tercampak di dunia yang asing dan pengap. Semua terasa buta dan tuli. Aku sebenarnya tidak pernah bersedia untuk berkongsi cerita yang satu itu.
"Bila aku buat apa aje dia perhati. Hantar orang dia, intip aku. Ambil tahu jadual aku. Dengan siapa aku keluar. Bila aku baik aje dengan mana-mana lelaki, dia mula beri amaran. Rasa macam dalam penjara hidup ni. Aku tak boleh ada lelaki lain."
"Sejak bila jadi macam ni? Kau tak pernah cakap pun."
"Benda personal. Takkan aku nak cerita? Masa tu pula aku fikir, dia betul nak buat aku jadi bini dia. Siapa tak seronok dapat future husband yang boleh bagi semua benda. Kalau tak buat macam ni, kau ingat aku dapat ke tiap tahun sambung kontrak dengan produk Helena Carter? Masa calon anugerah popular tu, siapa yang berhabis duit untuk vote... Kalau bukan dari Alriz?"
Ney menepuk dahi. Kemudian dia seperti menggumam sendiri. Patutlah! Patutlah!
Aku faham maksudnya.
"Patut payah selebriti lain nak caras kau. Kau ada backup dalam diam," ujar Ney sambil mengangguk-angguk.
"Kau ingat apa selama ni?"
"Aku fikir ni memang semua kerja keras fan club kau? Semua fanatik kau punya usaha." Polos Ney mengucapkannya.
"Memanglah fans ada vote. Tapi berapa banyak aje yang orang boleh vote untuk kita? Vote tu kena modal dengan duit."
Gadis itu meletakkan telapak tangan ke dahi. Kemudian memicit-micit tepi pelipisnya.
"Beb, aku tak tahu nak komen apa. Aku rasa macam kena bom dengar cerita kau ni."
"Tak ada apa yang mustahil, Ney. Syaitan ada dekat mana-mana."
"Aku nak tanya sikit boleh?"
Aku mengangguk.
"Kau jangan marah, ya? Soalan aku ni macam bodoh kot bunyinya."
"Tanya ajelah."
"Kau buat kerja ni waktu bila? Bukan selalu kau dengan aku ke?"
Aku tersandar mendengar soalan Ney. Memang kau naif, Ney! Lurus bendul kau! Hati aku berbisik sendiri.
"Jadual kerja kau bukan ke aku yang atur?"
"Memanglah jadual kerja aku di tangan kau. Tapi kau jangan lupa... Kau pun tak ada masalah cuti, kan? Ney, kau sebut aje, kau nak cuti dua hari, tiga hari... Seminggu. No big deal, kan? Ney, senang cakap macam inilah ya... Jadual aku, jadual kau... Semua ada pada Alriz."
Terkumat-kamit mulut Ney mendengarnya. Aku tak tahu sama ada dia terkejut, beristighfar atau menyumpah-seranah.
Kemudian Ney tersandar diam. Matanya melirik ke jam. Aku tahu dia cemas sebab kami sudah lambat. Tapi aku masih belum selesai meluah rasa dan Ney sendiri mahu mendengar. Bukan hari-hari dia dapat mendengar pengakuan begini.
"Ni... Rumah dengan kereta semua ni. Kau ingat kalau pakai duit aku, aku mampu ke? Alah, kau jaga jadual aku kan... Masa awal tahun lepas, aku tak ada job dekat tiga bulan. Tapi bil semua settle. Mana aku dapat duit tu, kalau bukan dari Alriz?"
Ney diam sambil cuba menghadam kata-kata aku.
Nafasnya naik turun.
"Entahlah. Aku rasa sama ada aku back off aje. Tinggalkan semua ni, hidup biasa-biasa atau pilihan lain yang ada... Aku terus mereput jadi girl dia. Dan tak payah kahwin sampai ke tua."
"Jangan merepeklah kau. Benda ni berbalik pada hati kau. Aku selalu sebut. Kau kena kurangkan pergi club. Party all night long tu sudah-sudahlah. Bila aku jaga kau, elok aje. Tapi bila kau dengan geng-geng clubbing Si Alriz tu... Kau hanyut."
Ney nampak bersungguh-sungguh mengambil peluang memberi tazkirah. Aku terkaku cuba menghadamkan kata-katanya. Ney menyambung lagi, menambah getar hati aku.
"Bila berkawan dengan Alriz, kenapa kau kena ikut rentak dia? I don't care kalau dia kaya-raya ke, kau artis ke, tapi hidup ni sampai bila kau nak jadi fake? Penat beb nak berlakon jadi baik kalau bukan dari hati sendiri. Kau kena ingat, Alriz lelaki... Kau perempuan. Jadi selebriti bukan makna kau boleh hidup dengan fame sampai mati. Masuk kubur esok dengan kain putih aje. You don't need your fake eyelashes, your seven inch stiletto."
Rasa macam kena hempuk kepala. Aku tergagap-gagap mahu membalas kata-kata Ney. Payah untuk aku lafazkan. Air mata terasa bertakung di kelopak.
"Boleh taubat ke aku, Ney? Banyak sangat dosa aku. Rasa kalau aku dengan Alriz bila cuti, memang kami berkubang dalam dosa."
Ney kulihat sangat tergamam.
"Aku bukan Tuhan nak judge kau."
Aku mencapai tangannya, kugenggam erat.
"Ney, ni cerita aib aku. Kau janji, ya. Simpan sendiri-sendiri."
Ney angguk dengan wajah yang amat pilu.
"Doa sama-sama. Kau fokus dulu hal kerja. Mana kontrak yang dah sign, selesaikan dulu. Lepas tu mungkin kau ikut aku pergi umrah. Ajak orang tua kau sekali."
Aku mengangguk.
"Ney, kau doakan aku, ya... Aku nak hidup tenang macam dulu, Ney."
Sahabat aku itu mengangguk. Erat dan kemas tangannya kugenggam dan dia kemudian memeluk aku sebelum aku hujan dengan air mata di bahunya. Mahu kubenam segala resah dan masalah dalam pelukan Ney.
"Jangan putus berdoa. Insya-Allah, Tuhan akan tunjukkan jalan. Orang yang baik, belum tentu selama-lamanya kekal suci. Orang yang hitam sejarahnya, takkan selama-lamanya hidup dalam gelap-gelita. Hidayah tu bukan ke hak Allah?"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co