Truyen3h.Co

MAHARANI

Bab 5

karyaseni2u

Dida Sandra

Gosip bertiup kencang. Berita yang menyebut Cahya bakal dapat satu projek besar dengan Armada Holdings sampai ke pengetahuan aku. Selalunya di Malaysia ni, kalau yang orang katakan gosip, yang itu yang betul! Takkan jadi gosip, kalau bendanya tak berlaku. Dengar cerita Cahya bakal jadi wajah Armada Holding.

Phewww... Can't imagine kalau aku masuk aje shopping complex tu, merata-rata ada iklan muka dia. Kalau benda itu betul jadi, memang aku tak jejak tempat itu seumur hidup!

Serius aku jadi resah. Kenapa ya, semua job yang bagus dapat pada dia? Macam senang sangat dia sign jadi jurucakap itu, jadi duta ini. Beratur orang nak dia buat endorsement produk.

"Ni kenapa muka ketat aje dua tiga hari ni?" Mama menegur aku waktu dia temankan aku jumpa Dr. Koh untuk suntik vitamin C. Hari itu memang aku lapangkan masa untuk ke Aesthetic Clinic.

"Mana ada. Biasa aje."

"Fikir apa ni? Jangan nak soroklah dengan mama."

"Alah, biasa. Fasal kerja."

"Ada isu apa?"

"Kenapa ya, ada orang senang aje dapat job?" Aku terasa macam bodoh bebal lagi dungu soalan aku pada mama.

"Kenalah kerah Lisa tu proaktif sikit. Jaga artis macam mana kalau tak reti nak sambar peluang? Dida tu kenalah pandai jaga fans. Kalau branding tak kuat, macam mana nak pergi jauh?"

Aku terus tercebik. Sempat dalam beberapa saat itu mama melahar.

"Itu biasalah, mama. Semua kami buat, semua kami jaga. Tapi hairanlah kenapa Cahya aje yang dapat semua attention, ya? Semua job masuk poket dia. Dia tu kalau apa aje dia buat, orang lain terus macam kena kuis... Semua kena ke tepi bagi laluan pada dia. Bosanlah!" Spontan aku meluahkan segala rasa terbuku pada mama.

"Kalau dah usaha cara tu tak jalan, cuba cara lain."

Aku menoleh ke arah mama. Cuba cara lain?

Errr... Lain macam betul nada mama.

"Tak boleh main kasar, kita main halus." Mama berdekah-dekah ketawa sehingga menyebabkan beberapa pelanggan Dr. Koh menoleh ke arah kami.

"Mama, biar betul ni? Tak beranilah Dida."

"Apa yang tak betulnya? Tak cuba mana nak tahu. Yang penting Dida dah cuba. Taklah terkilan sangat."

Aku hanya mampu berdesit. Ah, mama memang lagi daring, lagi berani berbanding aku.

"Dari kecik dulu, emak Si Cahya tu memang suka busybody hal mama. Ni anak masing-masing dah anak dara, tetap nak jadi rival."

"Anak kawan mamalah ni. Menyusahkan Dida aje!"

"Mama tak pernah pun mengaku dia kawan baik mama," bidas mama sambil terangkat kening sebelah kanannya. Aku diam sebab memang mama pernah cerita. Sejak dari mama muda, ibu Cahya selalu ambil kesempatan mahu himpit mama. Mahu menggoda daddy kata mama.

"Nanti mama ajarkan. Kita buat cara halus. Tapi Dida jangan berkelahi pula. Buat biasa-biasa aje. Tenang-tenang aje."

Senyum sinis mama dengan nasihat yang diberi memang cukup sinonim di mata aku. Berkerut aku dengar cadangan mama. Nampaknya mama bersungguh-sungguh ni!

"Dah pakai minyak yang mama bagi tu cukuplah." Aku sengaja mengelak sebab malas mahu keluar ke mana-mana. Selalu kalau Lisa bercuti, aku pun ambil peluang bercuti.

"Takat pakai minyak bunga kenanga dekat atas kening tu tak ke mana. Tu orang pandang kau, orang suka aje."

"Nanti jadi isulah, mama. Alih-alih kantoi, sia-sia aje!"

"Selama ni bukan memang dah ada isu? Memang open secret kan, Dida dengan Cahya tu tak boleh jumpa?"

"Memanglah Dida ni boleh aje satu stage atau satu lokasi shooting dengan dia. Tapi kalau heboh satu Malaya cerita kita ni jumpa 'Mak Esah', mana nak letak muka?"

"Pandai-pandailah simpan."

"Alang-alang orang dah tahu, peduli apa kita? Yang penting, senyum manis! Kalau kena provoke, maintain senyum aje."

Mama memang tak jemu bagi tip. Aku angguk. Selama ini kalau ada masalah, memang aku selalu tutup mulut. Orang kalau nak bergosip, paling-paling sebulan. Lepas itu senyaplah semua cerita. Melayu mudah lupa! Memang aku setuju sangat!

"Lisa bila balik cuti?"

"Esok dia adalah."

"Senang sikit nak rancang, nak sembang kalau dia tak ada. Kalau dia ada, banyak sangat pantang larangnya. Mama rimaslah!"

Aku senyum-senyum sendiri sambil membelek WhatsApp di telefon. Memang kalau ikut jadual Lisa, sampai esok petang dia bercuti di Maldives.

"Nanti malam ni ikut mama."

Aku terlopong mendengar. "Ikut ke mana?"

"Nak senang dapat projek dengan Alriz tak?"

Laju aku mengangguk. Siapa tak mahu cuba pancing paus jerung tu! Kalau dapat tambat jiwa raga Si Alriz, tujuh keturunan makan hartanya tak habis!

"Tapi memang tak mengharaplah. Alriz tu sign mati dengan Si Cahya."

"Bukan laki dia pun! Orang kahwin pun boleh bercerai. Kalau nak kena usahalah sikit." Pantas mama pangkah ayat aku.

Aku muncungkan bibir.

"Tak payah susah-susah rampas. Tak payah nak berkelahi. Buat sampai hati Si Alriz tu sendiri pandang pun tak kuasa pada Si Cahya tu."

Sambil menadah telinga mendengar perancangan mama, aku pantas mencari Cahya di laman Instagram. Biasalah kan... Hati ini ada satu penyakit. Rasa benci, tak suka, meluat tu memang tahap tujuh petala langit, tapi dalam masa yang sama tetap nak stalk! Semakin aku renung gambar perempuan tu, memang berdenyut-denyut hati ini sakit.

"Suka hati mamalah!" Memang selalunya mama lebih banyak mengatur di belakang tabir segala urusan aku. Kalah Lisa yang uruskan jadual aku.

"Ikut mama malam ni. Daddy outstation. Senang sikit mama nak bergerak ke mana-mana."

Malas mahu cakap banyak dengan mama. Selama ini kalau ada masalah yang aku tak boleh selesai, memang mama tempat aku rujuk.

Mama memang macam kitab Tajul Muluk. Tanyalah apa petua, apa rahsia orang tua-tua. Semua dalam tangan dia. Mahu buat rawatan kecantikan, tak tahu doktor mana, ha semua ada dalam direktori mama. Dia macam Google!

Kalau dah cuba semua benda tapi tak jalan juga, mama selalu panjang akalnya. Ada aje cara lain yang mama akan buat. Aku sendiri naik takut kadang-kadang. Tapi mama selamba aje. No pain, no gain. Itu yang mama selalu sebut.

Malam itu aku resah sebetulnya. Mama memandu sendiri ke tempat yang dituju. Selalunya kalau mahu ke mana-mana, mama jadi mem besar. Driver daddy yang pandu. Entah berapa banyak ladang kelapa sawit kami lalui, aku pun tak ingat. Kemudian kami masuk ke kawasan kampung-kampung yang laluannya masih bertanah merah. Tiang elektrik pun tak ada di jalan luarnya. Beberapa kali dada aku tersentak mendengar jeritan dari hutan. Macam bunyi lolongan dan raungan.

Pantas aku memaut tangan mama. "Bunyi apa tu, ma?"

"Bunyi lotong."

"Mama, Dida takutlah."

Aku meletakkan telapak tangan pada paha mama. Dia kemudian berdesit menoleh ke arah aku.

"Alah, mati esok lusa, dalam kubur seorang diri juga. Lebih gelap dari ni."

Kata-kata mama yang sarkastik itu buat aku terdiam beberapa saat. Namun semakin menghampiri rumah yang dituju, semakin kencang jantung aku berdebar. Seluruh tubuh terasa menggelepar.

"Mama, serius rasa takut."

"Takut apa?"

"Tak dosa ke buat macam ni?" Spontan saja ayat polos itu keluar dari mulut. Aku tahu, aku sendiri banyak dosa... Bertimbun dosa aku. Tapi yang ini buat aku betul-betul seriau.

"Kita bukan nak buat orang mati. Ni nak bagi Dida senang bila kerja. Jangan nak cakap fasal dosa pahala, eh selama ni ingat mama tak tahu apa yang Dida buat?"

Terkena batang hidung sendiri, bila mama menyindir aku. Mama terus kemas memegang stereng. Aku diam dan melayan perasaan sendiri. Tak berani mahu memandang keluar. Macam dunia gelap serba asing menanti di sana. Aku capai telefon. Huh, signal pun tak ada di sini. Macam hulu banat sungguh tempat ni.

Sesekali ada bunyi nyaring dan berdesit dari arah semak. Aku memang gementar tidak terkata. Ikutkan rasa takut aku memang melompat masuk ke kereta dan ajak mama pulang. Penghujung jalan ada sungai. Dalam gelap dan kelam, biasan air sungai yang kulihat dari cermin kereta, cukup menggerunkan. Kami sudah sampai ketika itu. Dan mama kata kena jalan kaki sedikit sebelum sampai ke rumah orang yang dituju.

"Kalau nak tanya apa-apa, nanti tanyalah Suchart."

"Dia siapa, mama?"

"Jangan banyak soallah."

Sampai saja ke rumah Suchart yang mama katakan itu, aku tergamam. Lelaki itu nampaknya sudah menanti mama. Tua orangnya. Matanya dalam cahaya yang kekuning-kuningan cukup membuat aku gerun. Bau colok berbaur dengan asap kemenyan.

"Apa hajat?" Suara garau Suchart memecah kesunyian malam.

Mama agak terkejut namun dikuatkan semangatnya.

"Macam ni, Suchart, ni anak saya. Dia ni kerja yang selalu jumpa orang ramai. Tapi ada masalah sikit bila ada satu budak perempuan ni, selalu potong jalan dia. Macam apa aje anak saya nak buat, semua tak menjadi. Mesti ada aje budak perempuan ni."

"Nama dia apa?"

"Cahya Kartika."

"Ada bawa gambar?"

Aku tak sempat menjawab. Namun sangat terkejut apabila mama keluarkan sesuatu dari tas tangannya. Gosh! Mama memang pantas dari aku!

"Ni dia Suchart."

Lelaki tua itu merenung lama gambar Cahya dan kemudian memejamkan mata sambil menahan nafas.

"Kau nak suruh aku buat apa?" Suchart bertanya dan mama pantas mencuit paha aku. Sejak tadi aku yang seram sejuk tergamam seketika. Nak suruh buat apa? Aku tak tahu apa benda pun. Ini semua rancangan mama.

"Ikut cadangan Suchartlah... Saya ikut aje."

Aku terasa makin laju jantung aku. Memang aku meluat dengan Cahya, tapi benda macam ni tak terjangkau dek akal aku.

Suchart mengangguk dan memandang mama.

Matanya yang agak terperosok dan tulang pipinya yang tinggi itu cukup mengerikan. Sempat aku memandang sekeliling. Aku tak pasti ini rumah atau bangsal tempat dia berurusan dengan orang yang berhajat dengannya.

"Kau kenal dia sejak dulu, ya?" Lelaki tua yang tangannya penuh cincin batu akik itu bertanya. Aku mengiakan saja.

"Budak tu banyak tuah. Tapi hidup dia tak bahagia mana."

Errr... Tuah? Tak gunalah minah Cahya ni! Tiba-tiba saja aku terasa mahu mencarut.

"Sekarang, apa aje yang dia buat, semua orang jadi suka, jadi sayang sebab dia ni ada satu lelaki tolong sama dia, kan?"

Kembang cuping telinga aku mendengarnya. Memang aku tak dapat sorok wajah terkejut aku mendengar kata-kata Suchart.

Mama di sisi menyiku aku sambil bertanya. "Betul ke?"

"Ahaaa... Si Alriz yang payung dia semua benda." Dalam gelap aku nampak mama mencebik. Di luar hujan tiba-tiba menderu menambah rasa cuak aku. Angin sejuk yang menyelinap masuk dari celah-celah papan membuatkan aku menjadi semakin tidak tenteram. Entah mengapa, sekeliling aku ketika itu, sama ada di hujung tingkap, di balik pintu, di atas bumbung, terasa-rasa ada mata liar yang melahar merahnya, rapat memerhatikan kami.

Beberapa ketika Suchart diam sambil menguis-nguis pisau kecilnya ke dalam mangkuk air.

"Ada bawa barang?"

Sekali lagi aku tergamam. Barang? Barang apa? Aku berkerut dalam kelam malam sambil memandang mama.

"Ada. Ni Suchart."

Mama menghulurkan bungkusan kecil pada Suchart. Mata aku lekat pada bungkusan yang ada di depan Suchart.

Tiba-tiba Suhart mengerling ke arah aku dengan senyum sinis.

"Kau kalau nak buat ni kena yakin. Kalau hati tu separuh-separuh, buang masa aku."

Gulp! Berderau darah aku. Panas kedua-dua belah pipi. Cesss, orang tua ni boleh baca apa dalam hati orang ke!

Aku sengih-sengih angguk. Padahal sudah menggelabah tahap gaban. Di luar, angin terus menderu. Bunyi geselan ranting-ranting pokok cukup menggerunkan. Entah kenapa dalam gelap itu aku terasa-rasa ada sepasang mata yang tidak ketahuan mengamati kami dari sudut rahsia.

"Dia memang kepala batu. Kuat melawan. Nampak aje lembut orangnya." Suchart mengomel sambil tangannya pantas memotong limau. Tiga biji limau purut yang dibelah, sambil bibirnya terkumat-kamit membaca sesuatu, dicampakkan ke dalam mangkuk. Lilin di sebelahnya tiba-tiba terpadam. Kus semangat, memang aku terkejut bukan kepalang.

Aku merapati mama dan tangan aku mencapai tangan mama. Gila kalau kata tak takut! Bau kemenyan dan colok menyebabkan aku rimas waktu itu.

Aku pandang semua itu dengan penuh cuak. Mata aku ikut rapat jari-jemari kasar Suchart. Lelaki renta ini terserlah wajah bengisnya apabila mulutnya mula membaca manteranya.

Gambar Cahya itu dikelar-kelar. Jarum peniti sudah dicucuk-cucuk.

Rasalah engkau, Cahya! Sengsaralah engkau seumur hidup. Itu saja yang terlintas dalam kepala aku waktu itu.

Dia menggulung gambar Cahya. Digulungnya sekecil mungkin sehingga jadi seperti rokok daun. Kemudian diikat dengan benang hitam. Siap dikira sehingga dua puluh satu ikatan.

"Kau gunting benang ni." Suchart mengarah aku dan dalam keadaan tersentak, aku capai gunting kecil di tepinya. Apalah sangat setakat gunting benang, tapi aku menggeletar tak fasal-fasal.

Suchart menyalakan lilin. Sebiji lagi limau purut diperasapkan pada lilin dan dia menghembus keras pada gambar yang sudah digulung dan diikat. Dengus nafasnya cukup membuat aku meremang bulu roma.

"Limau yang berjarum sama gambar ni, kau lepaskan pada sungai. Nanti nak balik, kau lalu sungai depan rumah aku, campakkan."

Aku melongo.

"Faham tak?" Suchart menyergah aku.

"Faham."

"Sambil baling, bayangkan muka budak ni."

Aku terkelip-kelip. Resah bukan kepalang. Takut, ngeri semuanya berbaur menjadi satu.

"Kita bukan nak bagi dia mati! Kita nak bagi dia kongsi-kongsi sikit apa yang dia dapat dengan kau." Suchart seperti menyindir aku.

Aku senyum malu-malu mengangguk.

Mama mencuit aku sambil mengingatkan. "Pesan Suchart tu jangan lupa!"

"Ingat."

"Suchart, boleh tolong benda lain?"

"Tolong apa?"

"Untuk dia dapat jodoh. Sekarang ni semua yang ada tak lekat."

Termuncung bibir aku menoleh ke arah mama. Huh, nak lekat macam mana, kalau aku sendiri yang reject!

Suchart diam menarik nafas seperti membiar fikirannya menerawang jauh.

"Dia ni ramai jantan. Ramai betul. Tapi dia sendiri ada masalah tak mahu setia. Semua dia layan."

Mendengar kata-kata Suchart itu membuat aku terasa mahu melompat menyorok di balik pintu. Malu!

Lelaki itu bangkit dari tempat duduknya. Menuju ke gerobok kecil di sudut rumah. Dia mencapai botol kecil. Dia buka penutupnya sebelum mendekatkan muncung botol itu pada lilin di hadapannya. Selepas membaca sesuatu dan menghembusnya ke arah botol itu, ditutupnya semula.

"Untuk diri sendiri pun boleh pakai. Biar orang pandang kita, dia tak membantah. Biar sesiapa pun pandang kau macam terpesona aje. Macam gila bayang pada kau. Calit di dahi, kedua-dua pipi, dagu dan diurut di hulu hati serta ditiup ke bawah sebelum disimpan dalam baju atau poket." Panjang lebar Suchart berpesan dan tiba-tiba saja aku berasa segar mata memandang Suchart. Ini lebih menarik dari yang lain!

Malam itu, dalam gelita yang berlapis-lapis, aku mencampak gambar Cahya bersama limau bercucuk jarum ke sungai yang berarus deras. Bunyi cengkerik dan lolongan anjing liar sangat membakar resah. Embun pagi sudah lama terpercik ke serata alam. Dinginnya kawasan terpencil itu sangat luar biasa. Kabus sesekali bagai membentuk figura yang amat menakutkan.

Puas hati aku dapat membaling gambar Cahya dan limau purut berjampi itu. Terasa bagai aku menghumbankan tubuh badan Cahya sendiri. Sebagaimana hanyutnya dua benda itu dalam pusaran air, begitulah aku berharap masa depan Cahya. Biar jahanam ke dasar dan lubuk sungai. Biar hilang dari dunia saingan aku.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co