Bab 8
Edan Israq
Alhamdulillah! Semuanya selesai seperti dirancang. Anak-anak yatim tahfiz dari Rumah Al-Syumul sedang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Sejak setengah jam tadi, selawat, tasbih dan zikrullah berlagu indah ke segenap ruang rumah baru kami.
Emak beberapa kali tersebak. Seperti tidak percaya agaknya aku mengotakan janji. Dahulu kami cuma mampu tinggal di flat kecil Shah Alam. Rezeki Allah s.w.t sudah tentukan. Sampai masanya, melalui kerja yang aku lakukan, aku diberi kesempatan menghadiahkan sedikit nikmat buat keluarga. Sejak abah tak ada, emak memang bertungkus lumus menyara kami. Apa kerja yang emak tak pernah buat? Selagi boleh memberi kami tiga beradik rezeki yang halal, emak akan usahakan.
Kenduri doa selamat naik rumah baru ini memang aku buat khas tanpa rakan artis. Biarlah jiran tetangga dan saudara-mara rasa nasi kenduri kali ini. Selesai semuanya aku merapati emak. Yang lain masing-masing sedang sibuk dengan kerja mengemas di dapur.
"Edan, mak nak tanya sikit boleh?"
"Tanya apa, mak?"
"Edan memang nak kerja macam ni sampai bila-bila ke?"
"Eh, taklah mak. Nanti kalau dah dapat kumpul duit, kita semua dah lega sikit... Edan berhentilah." Aku menjawab mudah. Itu saja yang terlintas dalam kepala ketika ini.
Emak kelihatan seperti menghela nafas berat. Seperti ada sesuatu yang sangat mengganggu perasaannya.
"Kenapa, mak?"
Mak diam beberapa saat, sebelum lembut membalas. "Mak nak tahu sendiri, apa rancangan kau?"
"Kalau ikut jadual, memang padat jadual Edan. Nanti payah nak dapat cuti."
"Jangan sampai tak balik rumah jumpa mak."
"Edan memang nak beritahu mak... Edan nanti dapat tawaran kerja. Rasanya macam penaja nak suruh Edan buat kerja lagi dengan Cahya."
Aku penuh perasaan menyampaikan pada emak. Wajah emak berubah mendung. Bening mata emak membuatkan aku tertunduk. Terasa segan sendiri sebab tentu ada perkara yang tak kena pada emak.
"Mak, macam tak suka aje?"
"Kau sungguh-sungguh ya nak jadi artis?" Aku langsung terkesima dengan pertanyaan emak. Lembut renungan mata emak. Hangatnya terasa ke tangkai hati. Dan aku jadi malu tidak semena-mena sebab tadi terlalu gembira dengan khabar yang aku sampaikan.
"Kita ni orang kampung, Edan. Tak pandai semua ni. Mak kalau nak pergi ke majlis-majlis yang kau ajak pun, mak segan. Macam tak kena gaya mak ni. Serba canggung mak."
"Mak, janganlah cakap macam tu. Kalau tak ada doa restu mak, takkan Allah s.w.t bukakan rezeki untuk Edan."
Aku meraih tangan emak. Aku kucup dalam-dalam. Aku mahu serap segala kasih sayangnya. Aku mahu wangi syurga emak yang terlekat pada tangan itu, mengalir ke jiwa aku. Di situlah kekuatan aku selama ini.
"Mak takut kau terbabas, Edan. Kita ni tak pandai. Kita ni orang kampung."
"Insya-Allah, mak. Memang kita orang kampung tapi kita sama aje bila kita kekal bersolat. Siapa pun kita, selagi kita Islam, kiblat kita tetap sama kan, mak. Solat kita tetap yang lima waktu tu, kan? Mak jangan risau."
Aku bersungguh-sungguh meyakinkan emak.
"Jangan risau acik, kalau Edan ni lupa diri, kita bawa balik dia, kita tambat dia!" Abang Mail tiba-tiba menyampuk.
"Acik ingatkan aje. Takut dia lupa diri."
"Kalau dia lupa diri, gegarkan aje kepala dia ke dinding jamban! Biar sedar sikit!" Sakinah tumpang sekaki mengenakan aku.
Emak tersenyum tawar mendengar usikan Abang Mail dengan Sakinah.
"Acik percaya kau orang. Tolong ya... Tengok-tengokkan Edan. Kalau mana dia buat salah, tegurkan dia. Ingat pesan acik ni."
"Pergh... Ni lesen besar ni!" Sakinah mengangkat kening menjeling ke arah aku. Perempuan sengal! Aku menggumam.
"Insya-Allah. Kami pun sebenarnya tumpang rezeki Edan. Sebab dia lurus, dia jujurlah rasanya rezeki Allah murahkan." Sejuk hati aku mendengar kata-kata Abang Mail.
"Mak jangan bimbang sangat. Edan sedar siapa Edan ni. Kita ni asal orang yang duduk rumah flat kecik aje. Artis perempuan pun memang tak pandang Edan ni." Aku cuba meyakinkan emak.
"Hati orang kita tak boleh tahu, Edan," tukas emak.
Aku mengangguk.
"Apa pun jadi, jangan sorok masalah dari mak ya, Edan? Jangan sesekali lupa asal usul."
Pesan emak membuat aku sebak sepanjang hari itu.
Aku diam bersandar sambil memerhatikan hujan yang renyai di luar rumah. Hening suasana. Ketenangan yang sudah lama aku tak kecapi. Apalagi sebentar, azan akan menyelinap antara basah, resah dengan belahan jurai palma yang berkawan di luar jendela. Sekejap reda dan langit bertukar cerah putih membiru. Wangi rumput selepas hujan sangat menyegarkan.
Aku menutup senja itu dengan bersolat maghrib secara jemaah dengan seluruh anggota keluarga dan saudara-mara yang masih ada di rumah.
Panjang dan syahdu aku merintih dalam doa waktu solat itu. Ya Allah, ampunkan aku! Ya Allah, leraikanlah perasaan ini. Ya Tuhan, pisahkanlah aku daripada rasa ini. Jiwa aku merintih semahunya. Bibir aku mengucap zikrullah. Aku mahu para malaikat menyambut doaku ini khas untuk emak. Wanita itu segala-galanya untuk aku. Jantung aku berdegup untuk kebahagiaan emak.
Ya. Aku sedar, aku Edan, lelaki yang tak punya apa-apa.
La haula wala quwwata illa billah. Tiada daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Hasbunallah wa ni'mal wakiil. Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baiknya Pelindung.
Malam semakin tua dan menghamparkan bintang-bintang yang bergemerlapan di langit. Nikmat dan manisnya ketenangan ini. Terasa aku bagai dalam pelukan dan reda doa emak sepanjang waktu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co