Truyen3h.Co

MAHARANI

Bab 9

karyaseni2u

Cahya Kartika

Alriz tak menyebut apa-apa pun awalnya. Dia hanya berpesan aku bawa sedikit pakaian. Konon short vacation. Aku tanya nak ke mana, dia senyum dan kata, "surprise!"

Selalu ada pak supir yang membawa dia ke sana ke mari, kali ini dia memandu sendiri. Kami menuju ke kawasan Hulu Langat. Melewati kawasan berbukit dan agak berlereng. Hijau lestari dan sangat redup. Semakin menghampiri, semakin berdebar hati aku. Rasanya aku dapat meneka.

"Kita ke rumah orang tua you, ya?"

Alriz senyum. Aku sedikit cemas.

"Betul ke ni?"

"Apa yang tak betulnya, sayang?"

"You bawa I balik rumah parents you."

"Bukan ke I dah janji? Suatu hari nanti, bila sampai masanya, I memang bawa you jumpa famili I."

"Alriz, seganlah. I tak biasa. Takut dia orang terkejut nanti."

"Jangan risaulah."

"Kenapa macam senyap aje? Tak ada orang ke?"

"Ada. Don't think too much. Itu bibik semua ada. Tiga orang bibik dekat dapur tu. Wak Anton ada dekat laman tu."

Aku diam tidak berkata apa-apa. Terasa canggung masuk di rumah agam itu.

"Parents you tak ada ke?"

"Belum balik." Alriz menjawab selamba. Aku kaget dan memandang dia dengan wajah cuak.

"Hei, apa yang tiba-tiba buat muka terkejut ni?"

"Yalah, you bawa I balik rumah ni masa parents you tak ada."

"Bukan. Bukan dia orang tak ada. Dia orang belum balik aje. Tengah bercuti di Singapore tu. Patutnya petang ni sampai. Tapi my dad telefon kata sampai lewat sikit. Biasalah, kalau bab shopping, mahu tujuh kontena my mother nak angkut bawa balik barang yang dia borong."

"Oh..."

Aku mengamati sekeliling. Sukar ditafsir perasaan ini. Memang ini yang aku desak dari Alriz. Saat inilah yang aku impikan selama ini. Aku mahu dia membawa aku bertemu orang tuanya. Aku mahu berkenal-kenalan dengan mereka dan diraikan sebagai bakal menantu. Setelah sekian lama berkencan dan berkasih sayang, aku mahu sesuatu yang rasmi daripada Alriz. Sebetulnya aku letih hidup menjadi perempuan simpanan Alriz.

"Assalamualaikum, Cik Cahya. Selamat datang."

Tiba-tiba aku disapa mesra oleh wanita separuh usia yang kemas berbaju kurung Kedah serta sempurna bertudung.

"Waalaikumussalam." Aku menyambut salam wanita itu.

"Ini Mak Cik Khotimah. Chief bibik di rumah ni. Hah, untuk pengetahuan you, dia minat gila dengan artis yang nama Cahya."

Alriz membuatkan muka aku jadi merah padam. Mak Cik Khotimah ramah menegur dan membuat aku terus rasa selesa.

"Kami di sini selalu tengok Cahya. Tapi tengok gambar sajalah. Ya Allah, untungnya kami dapat kenal Cahya. Lagi lawa bila jumpa depan-depan macam ni."

"Biasa aje, mak cik."

"Boleh ya mak cik nak ambil gambar dengan Cahya?" Permintaan yang tak aku jangka. Warga dapur rumah agam Alriz, berebut-rebut mahu bergambar dengan aku.

"Ini kalau anak-anak kami tengok ni mesti cemburu," ujar Mak Cik Som yang sama-sama kerja dengan Mak Cik Khotimah. Bergilir-gilir kami berposing di ruang dapur yang berkilau dengan marmar putih.

Riuh-rendah ruang yang besar itu apabila Wak Anton tumpang sekaki. Alriz sendiri tolong melayan dengan menjadi tukang ambil gambar.

Aku terasa amat diterima dan hangat dengan layanan pembantu-pembantu rumah keluarga Alriz. Sekejap ada yang nak bergambar depan gerbang dapur. Kemudian mahu berposing di depan kabinet kaca jernih yang penuh dengan barang-barang kristal. Aku senyum saja melayankan. Bahagia! Bahagia sangat rasanya.

Pantas mereka siapkan aku makan tengah hari. Siap ada pengat pisang campur sagu mata ikan dan kuih abuk-abuk. Aku dan Alriz memilih untuk makan di wakaf tengah halaman rumah sambil duduk bersila menghadap kolam ikan.

"Nanti kita ke Ubud, Bali, ya sayang."

"Kenapa tiba-tiba sebut fasal Bali?"

"Bila duduk macam ni, terasa mood honeymoon. Makan nasi lauk kampung, duduk bersila, pandang kolam ikan. Kalau dekat sana, kita booking vila tengah teres sawah padi."

Aku terkekeh-kekeh gelak.

"Jauhnya fikir fasal honeymoon. Kahwin pun belum."

"Batin kita kan dah lama kahwin."

Wajah aku terasa panas dan hangat. Suara lelaki ini memang selalu membuat aku meremang jiwa.

Ghairah Alriz malam itu luar biasa. Aku langsung tidak diberi ruang untuk bernafas. Tiada saat jeda untuk aku.

"Tak mahulah. Nanti mak cik-mak cik tu nampak segan aje." Aku menolak lembut apabila Alriz mula muncul di depan pintu bilik aku.

"Tak ada siapa, sayang. Bilik masing-masing jauh."

Aku menepis Alriz yang semakin merapati tetapi tidak berdaya.

"No matter how much time I spend with you, I can never ever get enough of you. Your love is forever mine and I need you everyday." Aku dapat rasakan bibirnya sudah berada di atas kening aku.

"You're my favourite place to go to when my mind searches for peace. Mmm! I want to hold you in my arms all night long..."

"Alriz, janganlah. Nanti apa kata orang dekat rumah ni." Aku mengelak dan cuba menutup wajah aku dengan bantal.

Malam itu aku tidak tahu jam berapa aku terlelap. Hujan bergerimis di luar, malam dingin itu memberikan aku dan Alriz mimpi serta kenangan yang paling manis. Aku terasa terawang-awang. Segala yang aku impikan kian hampir. Aku bakal menjadi maharani di rumah agam ini. Alriz adalah cakerawala hidup aku. Bantal empuk aku tolak ke tepi, aku tidur pulas dengan hanya berbantalkan lengan dan dada Alriz.

Sedang lena, aku tersentak dan terkejut dengan bunyi bising di luar kamar ini. Bunyi di luar itu sangat memetir dan begitu menyergah mimpi panjang aku.

"Kurang ajar! Berani perempuan tu datang sini."

"Ini beg siapa?"

"Cahya, tuan."

"Cahya? Siapa Cahya? Cahya ke api neraka perempuan tu!"

Bunyi bagasi dihumban ke bawah.

Aku sangka aku mimpi. Bunyi bising-bising dan riuh itu betul-betul menyentak lena aku.

Pintu bilik yang bercorak dari Maghribi itu digegar dan diketuk kuat. Jeritan suara yang parau cukup membuat aku tergamam.

"Alriz! Bangun! Jangan sampai ayah pecahkan muka kau sekali!"

"Wak Anton! Mana kunci bilik ni!"

Aku tidak sempat mencapai pakaian yang lebih sopan. Yang melekat pada badan hanyalah lingeries warna hitam. Renda jarang hitam sebetulnya.

Belum sempat kami berbuat apa-apa, pintu bilik sudah diredah masuk. Aku semakin terkaku.

Dalam mamai dan gamam, tangan sasa ayah Alriz singgah ke muka aku.

"Kurang ajar! Perempuan sundal! Kalau nak menjalang pun, jangan dekat rumah aku. Kau ingat ini hotel bajet? Tempat kau menjual badan?!"

"Ayah... Please, ini Cahya. Kawan Alriz."

"Diam! Jangan cakap apa-apa."

"Ayah, please..."

"Dewasa belum tentu bermakna matang. Bijak belajar, bukan makna cerdik dalam hidup. Cantik, sedap dipandang, sedap dipegang kadang-kadang busuk baunya. Perempuan ni kau nak buat bini? Perempuan hanyir, hancing ni! Hidup memeras dan mengikis duit aje kerjanya."

Aku terasa mahu rebah.

"Ayah tak masuk campur bila Alriz pilih perempuan ni untuk duta Armada. That is your decision. Tapi jangan bawa perempuan tiga B ni ke rumah. Kotor rumah kita!"

Aku semakin terpinga-pinga. Kalaulah ada cangkerang, aku sorokkan muka ini!

"Tiga B apa, ayah?" Suara Alriz seperti mahu melawan.

"Come on, Alriz... Perempuan ni, beauty, brain and bitch!"

Aku terkaku. Pegun seluruh isi alam aku rasakan. Aku tidak mampu memandang sekeliling. Tubuh sangat-sangat menggeletar. Dari ekor mata, aku dapat rasakan mata ibu Alriz menjeling tajam ke arah aku. Biarpun dia tidak berkata-kata dalam perang mulut ini, kerlingan itu cukup untuk mencincang dan melumatkan hati aku.

"Ayah, kenapa judge orang yang ayah tak kenal?"

"Ayah mungkin lebih kenal dia dari Alriz. Cuba semak berapa banyak duit Alriz habis sebab dia. Berapa kali Alriz buat keputusan berat sebelah sebab dia... Berapa banyak Alriz ikut cakap dia. Ayah tahu semua tu!"

Aku mahu menjerit tapi suara tersengkang di rengkung.

"Ayah, I want her."

"Alriz, banyak lagi perempuan elok yang lain. Banyak lagi yang senonoh. Nak juga perempuan yang dah biasa berzina jadi isteri. Hari ni dengan Alriz, esok lusa menjalang, merangkak keluar ikut pintu belakang."

Aku lihat Alriz bisu di sudut bilik.

"Kau boleh menjalang selagi kau mahu. Kau nak jadi trophy anak aku, terpulang. Jangan mimpi jadi menantu dekat rumah ni." Telunjuk ayah Alriz menujah muka aku. Sesungguhnya aku tidak mampu menjawab. Hanya hujan air mata membasahi pipi. Aku teresak-esak. Tiada perkataan untuk aku ungkap malu dan aib ini. Diri bagai dihumban dan dibenamkan di dalam lumpur.

"Berambus kau!"

Aku terpontang-panting bangkit. Aku capai pakaian. Gagahkan diri melangkah ke bilik air. Aku buka air pancuran. Aku menangis semahunya. Hancur hati apabila Alriz sendiri tidak mampu mempertahankan aku.

Tatkala itu aku hanya terbayangkan kelibat mama.

Mama! Dia saja yang aku mahu! Mama...

Aku terasa sesak nafas. Terasa diri bagai tercampak dalam lohong hitam yang menakutkan. Ya, aku tahu, semuanya sudah berakhir. Aku harus keluar dari rumah ini.

Malunya!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co