Bab 13
NAWFAL HUSAINI berjalan lambat menghala ke kelas tingkatan lima. Jubah hitam yang dipakai beralun lembut mengikut rentak langkah. Sekali-sekala dia mengenakan jubah hitam untuk menghilangkan jemu disebabkan dia selalu memakai jubah warna putih. Terkadang warna hijau menjadi pilihannya.
Setiap kali berjalan menghala ke kelas Marjaan, perasaannya akan bercampur baur. Dia teringat pada suatu dinihari tatkala Marjaan datang tanpa diduga. Dia amat terkejut dan hilang pertimbangan sejenak. Namun dia segera meminta Marjaan pulang. Amat buruk akibatnya jika sesiapa terlihat Marjaan datang ke pondoknya pada waktu-waktu yang tidak sepatutnya. Selama berhari-hari pula ditimpa rasa kesal. Apakah Marjaan tersinggung atau marah?
Rasa bersalah terus-terusan menghimpit dirinya hingga tersepit dalam seksaan jiwa. Dia merasakan bahawa dia seorang lelaki yang kejam dan tidak prihatin. Dia enggan mendengar apa yang Marjaan ingin katakan. Dia langsung tidak memberinya sebarang peluang. Dia tahu, apabila dua orang insan lelaki dan perempuan bertemu, yang ketiga antara mereka ialah syaitan. Justeru itu dia amat takut akan kemurkaan Allah. Namun begitu, dia juga takut melukai hati Marjaan.
Ya habibi... bisiknya sendiri. Maafkan aku.
Langkah Nawfal Husaini semakin hampir dengan pintu hadapan. Tiba-tiba dia tersentak apabila terasa ada seseorang di belakangnya sedang berjalan dengan laju, ingin masuk ke kelas. Bahu mereka bersenggolan di muka pintu kelas. Dia segera menoleh. Dia lihat Marjaan dengan nafas termengah-mengah baru sahaja tiba entah dari mana.
"Anti dari mana, Marjaan?"
"Errr... Saya... Saya balik sekejap ke rumah," jawab Marjaan tergagap-gagap.
"Baiklah. Masuk ke kelas dan duduk di tempat anti."
Marjaan segera masuk ke dalam kelas lalu duduk. Nafasnya termengah-mengah saat melabuhkan punggungnya di kerusi. Salwa hanya menjeling Marjaan tanpa suara.
Sepanjang pengajarannya tengah hari itu, Nawfal Husaini langsung tidak memandang ke arah Marjaan. Marjaan tertunggu-tunggu pandangan mata daripada teruna kesukaannya. Apabila Nawfal Husaini seakan-akan tidak peduli, Marjaan rasa kecewa sekali. Kekecewaan yang memancung selera makannya tengah hari itu.
"Kenapa tak nak makan? Mak Busu masak lauk sedap hari ni," soal Mak Busu sambil memerhati wajah Marjaan yang kelelahan.
"Jaan nak tidur. Jaan mengantuk sangat ni," balas Marjaan sambil terus berlalu menghala ke bilik tidurnya.
"Jangan lupa solat zohor dulu, baru tidur!" jerit Mak Busu dari arah dapur.
Marjaan mencampakkan beg sekolah ke atas katil kemudian membenamkan tubuhnya pula. Kepala diletakkan di atas bantal sambil wajah terngadah memandang siling.
"Jahat! Kau jahat!" katanya melepaskan geram.
Entah kepada siapa perkataan jahat itu dia lontarkan. Pada Qaseh yang menyebabkan tudungnya menjadi kotor ataupun pada Nawfal Husaini yang tidak peduli langsung.
"Kau ni tak ada perasaan ke?" tanya Marjaan pada dinding yang kaku dan keras.
Rasa ingin ditumbuknya dinding itu dengan penumbuk perempuannya yang tidaklah sebesar mana. Tapi jika dia melepaskan geram dan marahnya pada dinding, pasti akan ketahuan dek Mak Busu. Pelik pula orang tua itu apabila dia mengamuk tanpa sebab.
Tak apa... bisik hati Marjaan. Kau ingat kau handsome sangat? Kau ingat kau bagus sangat ke, ustaz? Tapi kau memang handsome pun... dan memang bagus! Marjaan mengongoi sendiri. Dia tidak mengerti mengapa dia harus rasa begini? Kenapa? Kenapa? soalnya bertalu-talu.
Ah! Lebih baik aku tidur. Sekurang-kurangnya dengan tidur dia dapat melupakan Nawfal Husaini buat seketika. Dia sempat berdoa wajah itu tidak akan hadir dalam mimpinya.
DIA duduk sendirian di atas bangku kayu di tepi anak sungai. Ada pokok mangga yang menjadi teduhan. Kerusi kayu sengaja diletakkan di situ bertujuan sebagai tempat berehat, sambil menikmati bunyi aliran air. Sungai di hadapannya agak naik sedikit sehingga batu-batuan yang berceratuk di situ, sebahagiannya tenggelam. Semalam hujan turun dengan lebat membuatkan kawasan itu agak becak sedikit.
Dia menggenggam telefon bimbitnya dengan erat. Kemudian dia buka aplikasi WhatsApp. Dia renung sahaja tulisan yang baru ditaip. Seketika kemudian tulisan itu dipadamkannya. Dia tutup telefon bimbit, tapi kemudian dia pegang lagi dan membuka semula aplikasi WhatsApp. Dia menaip lagi. Kali ini dia menaip dengan cepat kemudian pesanan itu segera dihantar.
Dia menunggu beberapa minit. Tiada balasan. Dia menjeling telefon bimbit yang diletakkan di atas meja kayu di sisi. Setengah jam berlalu namun telefon bimbitnya tetap menyepi. Dia merengus perlahan dengan perasaan yang bercampur baur.
Beberapa orang pelajar kelihatan turun dari pondok masing-masing dengan membawa al-Quran. Mereka akan memulakan latihan menghafal di surau hingga tiba waktu asar. Ada lebih kurang sejam lagi akan masuk waktu solat. Tiba-tiba dia terlihat Shafiq turun dari pondoknya tidak jauh dari situ. Dia memanggil Shafiq.
"Ya, ustaz."
"Ana nak minta tolong sikit," katanya sambil berfikir-fikir apa yang harus dikatakan kepada Shafiq agar anak itu tidak mengesyaki apa-apa.
"Tolong apa, ustaz?"
"Sekejap, ya!" pintanya sambil bangun lalu berjalan ke pondok.
Dia naik dan mengambil sepucuk sampul surat berwarna putih bersaiz 12 inci kali 10 inci. Di dalam sampul surat ada tulisan khat yang tertulis dengan nama Marjaan.
Sampul surat itu diserahkan pada Shafiq.
"Anta tolong bagi sampul surat ni pada Marjaan."
Shafiq diam sahaja sambil memerhati sampul surat itu. Dia tertanya-tanya apakah isinya dan mengapa sampul surat itu harus diserahkan pada Marjaan?
"Ana minta tolong sekali ini sahaja, Shafiq. Sampul surat ni perlu sampai ke tangan Marjaan. Bukan ke tangan Ustaz Hanafi. Anta faham?"
"Faham," jawab Shafiq sepatah.
"Okey, sekarang pergilah!"
"Baik, ustaz," kata Shafiq sambil beredar tapi kemudian dia berpatah balik ke belakang lalu bertanya; "Tak ada upah ke, ustaz?"
Shafiq tersengih-sengih menayang gigi.
"Hah! Nak upah pulak? KFC, hari Sabtu ni," kata Nawfal Husaini.
Shafiq terus melompat kemudian berlari-lari meninggalkan kawasan pondok. Nawfal Husaini tersengih sendiri melihat aksi Shafiq.
Shafiq memerhati sekeliling. Rumah Ustaz Hanafi kelihatan lengang sahaja. Pintu hadapan bertutup rapat. Tadi Shafiq nampak Ustaz Hanafi berada di surau, memantau pelajar-pelajar yang menghafal al-Quran. Lega hatinya, Ustaz Hanafi tiada di rumah.
Shafiq berjalan ke arah belakang, menuju ke pintu dapur. Dia sengaja ikut belakang agar kedatangannya ke situ tidak mudah dilihat orang.
"Marjaan! Marjaan!" teriak Shafiq dengan suara yang tertahan-tahan.
Tiada sahutan dari dalam rumah.
"Marjaan!!!" panggilnya dengan agak kuat.
Tiba-tiba pintu dapur terkuak dari dalam. Muncul seorang wanita berbadan rendang dan berkulit cerah. Dahinya berkerut melihat kehadiran Shafiq.
"Marjaan tidur," beritahu Mak Busu.
"Ni ada kiriman untuk Marjaan daripada ustaz..." Shafiq tidak jadi hendak menyebut nama Nawfal Husaini.
"Apa ni?" tanya Mak Busu sambil mengambil sampul surat yang terhulur ke arahnya.
Shafiq mengangkat bahu.
"Entahlah. Mungkin nota," kata Shafiq tidak acuh.
"Mak cik sampaikanlah pada Marjaan."
"Yalah," jawab Mak Busu.
Shafiq senyum lega, mengucapkan salam lantas berlalu.
Mak Busu memerhati sahaja Shafiq berlalu pergi. Dia membelek-belek sampul surat itu sambil berfikir apakah isinya? Sampul surat itu digam kemas. Rasa ingin tahunya membuak-buak. Tiba-tiba dia terdengar suara Marjaan menegur dari belakang.
"Siapa tadi tu, Mak Busu?"
"Ni, dia hantar kiriman surat ni katanya dari ustaz kau."
Marjaan sedikit terkejut. Dia mengambil sampul surat itu lalu membeleknya sejenak. Kemudian menggaru kepala. Dia masuk ke dalam kamar lalu mencampakkan sahaja sampul surat itu ke atas katil. Marjaan kembali ke dapur lantas membuka tudung saji. Dia kelaparan.
Selepas makan, barulah dia masuk ke bilik semula dan membuka sampul surat putih itu hanya dengan separuh hati.
Sebaik sahaja dia menarik isinya keluar, Marjaan terjerit. Dia benar-benar menjerit. Rasa terkejut, terharu, gembira bercampur menjadi satu. Namanya tertulis dengan cantik sekali. Dan dia tahu siapa yang menulisnya. Tidak perlu dia melihat sebarang tandatangan. Senyuman mula mengembang di bibirnya tatkala terlihat sepatah perkataan; Ya Habibi!
"Yahooo!"
Mak Busu mengetuk pintu bilik Marjaan apabila terdengar gadis itu terjerit-jerit seperti dirasuk. Apa hal pulak ni? fikir Mak Busu.
"Kau ni kenapa, Jaan?"
"Tak ada apa-apa, Mak Busu!"
"Ahhh... Terjerit-jerit. Malu sikit. Tak elok anak dara menjerit," bebel Mak Busu dari sebalik pintu. Dia tidak dapat masuk lantaran Marjaan menguncinya dari dalam.
Marjaan mencapai telefon bimbit dan terlihat WhatsApp daripada Nawfal Husaini.
Ana uhibbuki ya habibi.
Marjaan tersengih hingga pipinya jadi kembung seperti bebola pingpong. Dia amat senang mendengar ungkapan daripada Nawfal Husaini. Ungkapan yang terlalu ingin diterima daripada seseorang yang menjadi impiannya hampir setiap saat dan masa.
Marjaan segera menaip di aplikasi WhatsApp. Ucapan yang sama dibalas, khas buat Nawfal Husaini.
Ustaz, mulai hari ni kita couple.
Terima kasih. Ana tak nak couple.
Kenapa?
Ana nak kahwin terus.
Marjaan terdiam. Telefon bimbitnya terlepas dari pegangan. Dia berguling-guling di atas katil. Apa sudah jadi dengan lelaki itu? Baru beberapa minit mengucapkan kata cinta terus hendak kahwin? Gila ke apa? Aku belum ready lagi... Semua ini sangat mengejutkan, macam bidan terjun! kata hati Marjaan berulang kali.
MATAHARI mengoyak langit dengan cahaya yang keras membesit. Marjaan membuka jendela kamarnya ketika jam menunjukkan ke angka tujuh pagi. Dahinya dikerutkan menerima panahan matahari yang gilang-gemilang. Mata terasa sedikit silau. Namun dia senang dengan kehadiran cahaya matahari pagi ini.
Dia nampak semua bunga mawar hasil tanaman Mak Busu sedang mengembang indah. Mak Busu rajin menyiram dan membajai pokok-pokok bunganya. Sejak tinggal di rumah Ustaz Hanafi, jelas kelihatan rumah itu kian berseri-seri. Kehadiran pokok bunga mawar pelbagai warna serta kebun kecil di belakang rumah kelihatan sungguh meriah dan hidup.
Marjaan menyanyi kecil. Hari itu hari Sabtu. Dia bebas untuk bangun pukul berapa pun. Malah dia boleh tidur hingga ke tengah hari. Namun begitu dia berhasrat ingin ke dapur untuk menyediakan sarapan. Sudah lama dia tidak memasak sesuatu yang enak. Di ruang mata mulai terbayang-bayang Spaghetti Bolognese yang menjadi kegemaran. Dia ada membeli bekalan spageti serta sos ready-made. Senang kerjanya.
Sejak tinggal di situ, setiap pagi Mak Busu menyediakan sarapan. Hasrat Marjaan tidak tercapai kerana Mak Busu baru selesai memasak. Bau harum nasi lemak yang diletakkan daun pandan memenuhi ruang dapur. Sambal bilisnya yang wangi juga mengitari ruang dapur itu.
"Nasi lemak?" tanya Marjaan sambil terkejut melihat satu periuk besar nasi lemak serta sebesen sambal ikan bilis di atas meja.
"Kenapa banyak sangat? Macam nak kenduri, Mak Busu?"
"Mak Busu nak sedekah," jawab wanita itu sambil tersenyum mesra.
"Cepat tolong bungkus. Budak-budak tu semua dah kelaparan. Pagi ni kantin tak buka."
"Kenapa kantin tak buka?"
"Dengarnya terputus bekalan makanan."
Jadi Pak Samad ataupun digelar pak cik kantin oleh pelajar-pelajar di situ dan isterinya ke pasar awal pagi tadi untuk membeli bahan-bahan mentah.
Marjaan mengangguk sahaja.
Seperti lipas kudung mereka berdua membungkus nasi lemak yang dialas dengan daun pisang. Semua nasi lemak yang sudah siap dibungkus, disusun di dalam bakul. Ada tiga bakul semuanya.
"Siapa yang nak hantar?"
"Sekejap lagi ada yang akan datang ambil," kata Mak Busu.
Tidak perlu menunggu lama, terdengar suara orang memberi salam. Mak Busu membuka pintu dapur. Di luar ada tiga orang pelajar sudah pun datang untuk mengambil nasi lemak dan membahagikannya antara mereka.
"Alhamdulillah. Selesai," kata Mak Busu sambil mengeluh lega.
"Tapi Mak Busu... Mana nasi lemak untuk kita makan?"
"Ya Allah! Macam mana Mak Busu boleh terlupa untuk sisihkan dua bungkus untuk kita, Jaan?"
Marjaan hanya menggeleng kemudian menepuk dahinya sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co