Truyen3h.Co

Marjaan Permataku

Bab 14

karyaseni2u

DIAM-DIAM pada setiap kesempatan, jika bertembung di mana-mana bahagian di sekolah, mereka akan saling bertatapan sejenak dan berbalas senyuman. Kemudian semuanya berakhir seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Bagai angin lalu dan singgah sejenak, membawa salam kasih dan rindu. Dalam diam-diam juga ada mata liar yang memerhati. Mata yang mula mengesyaki wujudnya perhubungan rahsia antara mereka.

Minggu ni ana balik KL.

Beritahu Nawfal Husaini melalui WhatsApp.

Kenapa?

Nak beritahu ibu ana pasal anti.

Apa yang ustaz nak beritahu?

Ana dah jumpa bakal isteri.

Ustaz!

Apa?

Saya tak nak kahwin lagi. Kenapa cepat sangat?

Perkara yang baik bukankah harus dipercepatkan?

Ustaz, tolonglah. Sekurang-kurangnya biar hingga saya tamatkan tingkatan enam.

Ana bimbang anti disambar orang.

Kebimbangan itu mungkin tidak berasas bagi Marjaan. Tapi bagi lelaki seperti Nawfal Husaini, dia bagaikan sudah dapat meneka. Ada beberapa orang yang bagaikan sengaja mencipta sengketa dengannya. Dan yang paling jelas, Ustaz Wadie. Lelaki itu suka mencari kesalahannya dan melaga-lagakannya dengan Ustaz Hanafi.

Sejak kebelakangan ini, Ustaz Hanafi sudah kurang beramah mesra dengan Nawfal Husaini. Bicaranya serius sahaja dan sering menjurus kepada masalah-masalah di sekolah. Jika dahulu dia sering diajak mengopi selepas isyak di beranda rumahnya. Namun kini Ustaz Hanafi sering kali pulang awal sebaik sahaja selesai solat isyak. Ustaz Hanafi menjadi agak pendiam apabila berhadapan dengan Nawfal Husaini. Di samping itu, Ustaz Hanafi sibuk pada setiap hujung minggu memenuhi pelbagai undangan ceramah di seluruh negeri.

"Ana terpaksa menyediakan bahan-bahan untuk ceramah. Ana agak sibuk sikit. Hanya selepas isyak masa yang ada," kata Ustaz Hanafi.

"Kalau ustaz perlukan pertolongan ana, ana boleh tolong buatkan isi ataupun point untuk ceramah. Taklah ustaz serabut sangat berfikir bermacam-macam perkara," tawar Nawfal Husaini.

"Tak mengapa, ustaz. Ana boleh urus semuanya," balas Ustaz Hanafi dan segera meninggalkan Nawfal Husaini.

Apakah ini semua hanya perasaanku sahaja? soal Nawfal Husaini. Rasa bersalah menyelinap perlahan-lahan ke dalam hati kecilnya. Kenapa dia harus menjalin hubungan penuh rahsia ini dengan Marjaan? Jika hal itu terbongkar lalu diketahui umum, dia akan dipaliti rasa malu yang bukan sedikit. Dia seorang guru agama dan Marjaan itu muridnya. Apakah salah jika mereka saling mencintai? Bukankah cinta itu anugerah terindah kepada makhluk yang hidup di bumi Tuhan ini? Dan cinta itu perlukan restu daripada pemiliknya Yang Maha Agung.

"Umi," tegur Nawfal Husaini sebaik sahaja muncul di hadapan pintu rumah agam milik ibu bapanya.

Nawfal Husaini menyalami tangan Puan Siti Adura lalu menunduk dan mencium tangan ibunya itu. Puan Siti Adura senang dengan akhlak yang ditunjukkan oleh Nawfal Husaini. Memang sikapnya amat berbeza dengan adik-beradiknya yang lain.

"Tak beritahu nak balik. Alih-alih sudah ada di depan pintu," kata Puan Siti Adura.

Nawfal Husaini hanya tertawa kecil. Puan Siti Adura memegang kedua-dua belah pipi anaknya dengan mesra.

"Nampak berseri-seri sahaja muka tu! Ada apa-apakah?"

"Tak adalah, umi," balas Nawfal Husaini.

Seorang ibu tahu hati anaknya dengan hanya melihat wajah. Sedih atau gembira, semua dapat dibaca. Dan telahannya selalu tepat.

"Ayah mana?"

"Ayah kau ke luar negara. Urusan business. Pagi tadi dia terbang ke Dubai," ujar Puan Siti Adura sambil duduk di kusyen empuk di ruang tamu serba mewah itu.

"Berapa lama?"

"Lama juga. Katanya dua atau tiga minggu. Kenapa?"

"Umi, memang ana balik ni nak bincang sesuatu dengan umi."

"Apa dia, Nawfal?"

"Ana suka pada seorang gadis, ibu. Dia puteri kepada mudir di sekolah tempat ana mengajar."

Puan Siti Adura tersenyum lebar. Akhirnya anak lelaki bongsunya itu jatuh cinta juga. Sudah lama dia menunggu untuk mendapatkan seorang menantu perempuan. Hatinya kembang kempis kerana terlalu gembira.

"Dia juga sukakan kau?" tanya Puan Siti Adura.

Nawfal Husaini mengangguk sambil mengulum senyum.

"Baguslah. Cantikkah orangnya?"

Nawfal Husaini tersenyum lagi.

"Tak perlu diragui. Memang cantik rupanya dan akhlaknya juga baik, umi."

Puan Siti Adura mengangguk.

"Tu lah ana harap umi dan ayah dapat menghantar lamaran untuk Marjaan. Tapi ana masih belum bercakap sendiri soal ini dengan Mudir Ustaz Hanafi. Perlukah ana berbincang dengan ustaz terlebih dahulu?"

"Bincanglah dulu. Nanti akan lebih memudahkan kami datang membawa hajat," kata Puan Siti Adura.

"Tapi harus tunggu sehingga ayah kau balik dari luar negara," sambung Puan Siti Adura lagi.

Nawfal Husaini mengangguk sahaja. Sekurang-kurangnya segala yang membekam di dalam dada sudah diluahkan kepada ibunya. Kini dia harus mendepani Ustaz Hanafi dan menyatakan hasratnya secara terus terang. Namun hatinya agak bimbang. Bagaimana jika Ustaz Hanafi menolak dengan pelbagai alasan? Marjaan masih terlalu muda dan dianggap mentah. Bagaimana mungkin gadis itu boleh memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri? Mungkin itu yang akan dikatakan oleh Ustaz Hanafi.

Namun begitu dia yakin boleh membimbing Marjaan untuk menjadi seorang isteri yang solehah.

PUAN SITI ADURA tidak sabar untuk melihat Nawfal Husaini berkahwin. Malam itu dia menghubungi suaminya di Dubai. Perbezaan waktu dan jarak antara mereka tidak dihiraukannya lagi. Perkara paling penting dia ingin menyampaikan berita gembira itu kepada suaminya.

"Akhirnya Nawfal beritahu Dura dia suka pada seorang gadis. Leganya hati Dura mendengar pengakuannya itu. Dura selalu bimbang dengan sikap tidak pedulinya pada perempuan. Ingatkan ada something wrong dengan dia. Rupa-rupanya tidak, bang," kata Puan Siti Adura dengan wajah yang kegembiraan.

Suaminya, Encik Ariff menanggapi hal itu dengan tenang. "Awak yang terlalu risau, Dura," balasnya.

"Sudah tentulah Dura risau sebab umurnya sudah banyak."

"Perkara biasa kalau lelaki kahwin lambat."

"Nawfal mahu kita segera datang melamar anak gadis mudir sekolah tempat dia mengajar. Kita pergi secepat mungkin, bang."

"Saya hanya akan balik ke Malaysia tiga minggu lagi," beritahu Encik Ariff tegas.

"Saya dah tak sabar nak tengok bakal menantu. Nak jumpa bakal besan."

"Tiga minggu tak lama. Awak tunggu sahaja."

"Tapi dalam masa tiga minggu macam-macam boleh terjadi," kata Puan Siti Adura sedikit bimbang.

"Tak akan lari ke mana jika itu memang jodohnya. Lagipun takkanlah saya harus balik segera semata-mata kerana Nawfal sudah jatuh cinta dan ingin berkahwin?"

"Yalah," jawab Puan Siti Adura mengalah.

"Sementara itu awak pergilah shopping apa-apa yang perlu sebagai hadiah kepada bakal menantu."

"Sudah tentu!" balas Puan Siti Adura dengan cepat. Hatinya bukan kepalang gembira.

Nawfal Husaini hanya pulang semalaman sahaja. Dia ingin cepat-cepat pulang ke sekolah di daerah terpencil itu. Hutan dan gunung bagaikan sedang menggamitnya agar segera kembali. Angin sejuk dari gunung membuatkan dia rindu serindunya. Suasana kota yang sesak segera membuat dia rasa rimas.

"Kami akan datang ke sana selewat-lewatnya dalam masa sebulan dari sekarang. Sampaikan salam umi pada Marjaan," kata Puan Siti Adura.

Nawfal Husaini mengangguk sahaja.

MARJAAN menyanyi kecil sambil bermain air di hujung kaki. Anak sungai yang datangnya dari gunung berdekatan daerah itu, mengalirkan air yang dingin dan segar. Sudah agak lama dia merendam kaki di dalam air yang cetek dan jernih itu. Kakinya terasa sejuk. Dia menarik kaki dari dalam air lalu mengelapnya dengan tuala yang dibawa dari rumah.

Mak Busu duduk tidak jauh dari Marjaan. Ada tikar plastik yang dihamparkan ke atas pasir. Wanita itu sibuk mengupas buah mangga muda. Dia memanggil Marjaan untuk menikmati buah mangga yang sudah dikupas dan dipotong. Ada pencecah kicap, gula, belacan dan cili padi disediakan. Kecur air liur Marjaan melihat buah mangga muda itu.

"Sedapnya, Mak Busu..." kata Marjaan sambil mencecah buah mangga muda dengan kicap. Kemudian dia mengunyah dengan penuh berselera. Luar biasa benar selera makannya sekarang. Apa jua yang dimakan terasa sedap lantaran hatinya yang gembira.

"Tu lah, mengupas buah malas. Bila orang dah kupas, laju kau makan, ya?" perli Mak Busu.

"Alaaa... Masa ni lah Jaan nak bermanja dengan Mak Busu. Esok-esok kalau..." Marjaan tidak jadi hendak menyatakan segala yang ada dalam hatinya.

Ops! Mujur tak terlepas cakap.

"Kalau apa..."

"Kalau Jaan tak ada di sini lagi... Dah tak dapat nak makan mangga macam ni dengan Mak Busu."

"Alah... Engkau tu nak pergi manalah? Memerap di sini saja. Nak pulak kalau kau tak lulus periksa. Babah kau cakap dengan Mak Busu kalau kau gagal, dia akan kahwinkan kau dengan sesiapa yang dia suka!"

"Takkanlah babah cakap macam tu? Dah dikira kahwin paksa tu, Mak Busu. Zaman sekarang ni mana ada orang kena paksa kahwin." Marjaan tidak percaya.

Dia menganggap Mak Busu hanya bergurau.

"Babah kau tu masih lagi hidup dalam zaman dahulukala, Jaan. Dia nampak aje lembut tapi tegas. Percaya cakap Mak Busu."

Berubah air muka Marjaan mendengar kata-kata Mak Busu.

Hesy! Minta simpang malaikat empat puluh empat.

"Jaan ada hak untuk tentukan jodoh Jaan. Takkan harus patuh pada kehendak babah? Yang nak kahwin Jaan. Yang bahagia pun Jaan. Kalau Jaan dipaksa kahwin dengan orang yang Jaan tak suka, Jaan akan lari," kata Marjaan dengan bersungguh-sungguh.

Mak Busu hanya merenung wajah Marjaan tanpa suara. Bibirnya diketap kuat kemudian spontan dicubitnya lengan Marjaan dengan agak kuat.

"Jangan belajar jadi derhaka, Jaan." Mak Busu bagaikan memberi amaran dalam lembut.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co