Bab 4
MENDATANGI gerbang pintu Allah, pada awal dinihari adalah sesuatu yang sukar bagi sesetengah orang. Namun bagi yang ingin melucutkan pakaian batinnya dengan sehabis baik, melupakan dunia buat sementara itulah yang harus dijadikan amalan. Dan perhatian sepenuhnya hanya tertumpu pada akhirat. Dunia ini bukan tempat manusia bersenang-senang. Di sini tempat mengumpul bekalan. Manusia berasal dari syurga, kenapa harus menempah neraka?
Nawfal Husaini teringat kata-kata; tuntunlah manusia dengan ilmu dan perkataanmu, wahai orang-orang yang memberikan tuntunan. Tuntunlah manusia dengan batin yang bersih dan hati yang bertakwa.
Untuk mendapatkan hati yang bersih lagi bertakwa, cara terbaik adalah dengan mendampingi al-Quran. Alunan ayat-ayat suci memecah pada sepertiga malam yang sunyi. Waktu bagaikan terlalu cemburu hingga bergerak terlalu cepat. Nawfal Husaini tidak sedar jam sudah hampir lima pagi. Namun dia terus jua menyambung bacaan Surah Ar-Rahman. Apabila dia tiba di ayat yang bermaksud: Daripada keduanya keluar mutiara dan marjan.
Marjaan... Dia tersentak. Bacaannya terhenti. Bayangan gadis itu muncul di hadapannya. Matanya yang besar, bulat dan hitam seakan-akan tertayang di hadapannya seperti wayang gambar. Nawfal Husaini memejamkan mata, ingin melupakan bayangan wajah Marjaan.
Marjaan! Hatinya berbisik. Dia menepuk dadanya beberapa kali. Tuhan, kenapa nama itu harus menyentuh hati ini? Dia permata suci, milik maulana Ustaz Hanafi yang sangat dihormatinya. Dia tidak boleh mengingati ataupun berfikir tentang Marjaan. Sedikit pun tidak boleh! Tidak! Hatinya membentak. Namun entah mengapa peristiwa petang semalam ketika Marjaan bersimpuh begitu dekat di sisinya, dia merasakan sesuatu yang aneh. Cukup aneh...
Ya Allah... Ampunkan aku!
Nawfal Husaini meneruskan pembacaannya. Namun bacaannya sudah tidak sekhusyuk tadi lagi. Beberapa kali dia mengulangi bacaannya lantaran tajwidnya tersasar. Apabila sekali lagi dia bertemu dengan perkataan marjan di ayat yang ke-58, sekali lagi bacaannya terhenti. Aduhai... Marjaan! Apa sudah jadi dengan diriku? Aku lelaki yang memburu hanya cinta Ilahi. Kenapa aku mulai berangan-angan untuk memiliki cinta manusia?
Debar bagai gemuruh angin
di jendela
tatkala aku menerima isyarat
sanubari disunting pertanyaan
cinta bagaikan tumbuh
putiknya perlahan-lahan mekar di hati.
Ya Habibi.
Penulis – Fatinilam Sari Ahmad
Apakah ini fitrah? Fitrah manusia yang ingin memiliki cinta dan kasih sayang.
Ketika sedang menikmati kopi dan roti canai, di kedai makan kecil berdekatan dengan sekolah, Ustaz Hanafi datang lalu duduk di hadapannya. Nawfal Husaini tersentak, sedikit terkejut hingga berona merah wajahnya yang putih bersih. Dia hairan melihat Ustaz Hanafi makan pagi di situ lantaran lelaki itu lebih suka minum di rumahnya sendiri.
"Lama tak makan roti canai. Lagipun pagi ni Marjaan tak masak apa-apa. Hendak cepat ke kelas," kata Ustaz Hanafi sambil tersenyum kecil.
Nawfal Husaini mengangguk dan memaksa bibir mengukir senyum. Dia jadi cuak. Tidak boleh lagi mendengar nama Marjaan disebut, tubuhnya akan bergoncang. Jantungnya seperti hendak melompat keluar dari kulit dada.
"Kenapa anta seperti ada masalah?" tanya Ustaz Hanafi sambil merenung wajah Nawfal Husaini sejenak.
Lelaki itu membalas pandangan Ustaz Hanafi dengan wajah terkejut. Begitu ketarakah wajahnya hingga dapat dibaca oleh Ustaz Hanafi dengan mudah? Apakah wajahnya sekarang bagaikan sebuah buku yang terbentang, bersedia untuk dibaca dan ditafsir? Memang dia sedang memikirkan suatu masalah, yang berpunca daripada puteri lelaki itu sendiri. Entah mengapa perasaan aneh itu muncul lalu mengucar-ngacirkan hatinya yang dahulu begitu damai, umpama tasik yang tidak beriak.
"Tak ada masalah apa-apa. Cuma tidak cukup tidur. Ana letih sedikit."
"Ada kelas pagi ni?"
"Ya, selepas ni ada dua kelas sebelum waktu rehat tengah hari," beritahu Nawfal Husaini.
"Sudah lama ustaz tidak mengambil cuti. Ambillah cuti berehat. Balik ke Kuala Lumpur, jumpa keluarga," kata Ustaz Hanafi menyarankan.
Nawfal Husaini menggeleng.
"Budak-budak akan ambil periksa dalam dua minggu lagi. Ana tidak akan cuti. Mungkin selepas itu boleh bercuti sekejap," balasnya sambil memamah roti canai yang sudah dicarik-carik dengan garpu. Roti canai dicelupnya ke dalam kuah kari.
"Sebulan lagi cuti semester pertama," kata Ustaz Hanafi.
"Cuti nanti kalau kita buat satu program perkhemahan di Air Terjun Gunung Stong, bagus juga ya ustaz." Ustaz Hanafi mengemukakan cadangan.
"Ya, bagus," jawab Nawfal Husaini ringkas.
"Kita aturkan program itu pada minggu akhir cuti. Bermakna budak-budak balik lebih awal untuk berkhemah. Kita adakan program tazkirah secara santai sambil mandi-manda dan berkelah."
"Ni semua akan melibatkan pelajar-pelajar lelaki sahajakah?"
"Ya. Pelajar perempuan tidak begitu sesuai dengan aktiviti lasak begitu."
Nawfal Husaini mengangguk sahaja. Bersetuju.
WAKTU rehat sudah berakhir. Kebanyakan pelajar-pelajar sudah pun masuk ke kelas dan ada juga yang menghala ke dewan sederhana besar. Dewan itu sering dijadikan tempat untuk mengaji dan mengadakan ujian hafalan al-Quran.
Ketika dia masuk dewan itu hampir penuh. Ramai yang datang terlebih dahulu dan mengambil tempat di hadapan guru. Masing-masing sudah pun bersila, duduk menghadap al-Quran yang terkembang di atas rehal. Suara mereka membuat hafalan hampir serentak dengan nada perlahan, terdengar berdengung seperti sekumpulan lebah.
Marjaan mengambil tempat di sudut tepi, barisan paling belakang.
Moga-moga masa cepat beredar, jadi orang yang duduk di barisan belakang tidak akan dipanggil untuk membuat hafalan. Diam-diam dia berdoa sambil membetulkan duduk. Al-Quran dibuka secara rambang. Ketika itu juga telefon bimbit di dalam poket jubahnya bergetar. Dia segera menyeluk tangan ke dalam poket lalu mengambil telefon bimbit. Ada mesej ringkas daripada Atillya.
Weh, tak lama lagi dah nak cuti. Tak sabar nak jumpa kau. Kau balik KL nanti bagi tahu.
Okey, mestilah aku bagi tahu. Aku ada ujian ni. Bye.
Marjaan cepat-cepat menutup telefon bimbit. Namun saat itu dia terdengar namanya dipanggil dengan agak kuat.
"Marjaan! Mari ke depan!"
Marjaan mendongakkan wajahnya ke arah suara itu. Dia agak terkejut melihat tengah hari itu Nawfal Husaini yang mengambil alih tugasan Ustazah Rokiah. Lebih mengejutkan, dia ialah pelajar pertama yang dipanggil. Seram sejuk seluruh badannya. Namun dia tetap berdiri kemudian berjalan lambat menuju ke hadapan. Di satu ruang, dia duduk menghadap guru.
"Kita mula," kata Nawfal Husaini tanpa memandang wajahnya.
"Surah al-Mulk, ayat 1 hingga 12," kata Nawfal Husaini dengan jelas.
Alhamdulillah, mujur Nawfal Husaini suruh baca al-Mulk, bisik hati Marjaan. Sempat dia menjeling sebatang rotan yang diletakkan di sisi lelaki itu. Rotan digunakan bukan bertujuan untuk menyakiti sesiapa, lebih-lebih lagi mereka yang mahu belajar al-Quran. Rotan digunakan untuk menghalau iblis yang bergayutan di mata manusia, sebab itulah manusia cepat rasa mengantuk apabila membaca kitab suci Allah. Biasanya rotan akan dilibas ke telapak tangan. Itupun dilakukan bukan diiringi rasa marah ataupun dendam. Semua diniatkan kerana Allah.
Marjaan sudah menghafal al-Mulk dengan baik berserta tajwid yang betul. Surah itu selalu dibacanya selepas solat.
Perlahan tetapi jelas Marjaan mulai membaca surah al-Mulk tanpa sedikit pun menjeling ke arah al-Quran yang berada di sisinya. Bacaannya tenang dan lembut. Nawfal Husaini mendengar dengan tekun, tiada sepatah kata pun meluncur dari bibirnya. Semua bacaan Marjaan sempurna.
Dia mengangguk-angguk selepas Marjaan menamatkan bacaan.
"Bagus," katanya sepatah.
"Ana bagi anti surah yang mudah sahaja untuk pastikan anti lulus ujian," katanya dengan suara rendah.
"Untuk peperiksaan pertengahan nanti, sudah pastilah ayat yang lebih panjang dan surah yang lebih sukar."
"Terima kasih, ustaz," balas Marjaan dengan tertib. Dari sebalik niqab, dia tersenyum dan berkata; "Ustaz tambah handsome bila bersikap baik macam ni."
"Apa dia?" tanya Nawfal Husaini seolah-olah dia tidak dengar kata-kata Marjaan. Padahal dia dengar.
"Tak ada apa-apa. Abaikan saja," jawab Marjaan dengan pantas berundur sedikit ke belakang, bangun lalu kembali ke tempat duduknya semula.
Dewan sepi. Semua pelajar menunggu penuh debar, nama siapa yang akan dipanggil ke hadapan untuk diuji hafalannya. Masing-masing berdoa untuk mendapat surah yang pendek dan mudah.
Nawfal Husaini memerhati seisi dewan yang semuanya pelajar perempuan. Kemudian dia memanggil Salwa. Salwa terus ke hadapan. Kecut perut usah dicerita, bimbang mendapat surah panjang berjela-jela yang akan menguji kekuatan mindanya. Dia tersenyum ketika kembali ke sisi Marjaan. Dia juga mendapat surah yang mudah dan dia dapat membaca hafalan dengan lancar dan tepat tajwidnya.
Ujian itu berterusan hingga sejam barulah semua pelajar selesai diuji. Mereka dilepaskan pulang untuk berehat. Marjaan berjalan pulang sendiri. Rumahnya terletak di hujung kawasan penempatan itu. Sekolah terletak di tengah-tengah kawasan lapang dan pondok-pondok terletak di sepanjang anak sungai di satu bahagian lain. Namun susun atur kawasan itu begitu cantik, tak ubah seperti sebuah taman yang dinaungi pokok-pokok bunga dan pelbagai pokok lain yang hidup dengan subur. Tanah ini bagaikan tanah yang dirahmati. Indah dalam dunianya yang tersendiri, jauh daripada kemodenan di luar sana.
Di sini hampir tiada kereta. Kebanyakan orang berjalan kaki. Bapanya Ustaz Hanafi, jarang menggunakan kereta melainkan jika dia ingin keluar ke pekan. Sekolah itu juga memiliki sebuah van dan bas sekolah yang akan digunakan jika ada program di luar penempatan itu. Apabila cuti semester tiba nanti, bas sekolah itu akan penuh dengan pelajar-pelajar yang akan dihantar ke Stesen Keretapi Dabong, untuk pulang ke rumah masing-masing.
Pelajar-pelajar di sekolah itu datang dari seluruh semenanjung, malah ada yang datang dari Sabah dan Sarawak. Umur mereka yang menjadi pelajar di situ antara 13 hingga 22 tahun dan tidak lebih daripada itu. Kelas bermula dari tingkatan satu hingga enam atas. Mereka yang keciciran dalam pelajaran, gagal SPM ataupun STPM diterima untuk belajar ilmu agama. Bagi pelajar yang kurang berkemampuan mereka dikecualikan daripada sebarang yuran.
Sesi persekolahan hari itu sudah pun berakhir. Betapa lega rasa hatinya. Lebih-lebih lagi dia lulus dengan mudah ujian hafalan al-Quran. Ada banyak lagi ujian menanti sebelum cuti semester pertama bermula.
Belum sempat tiba di rumah, dia sudah melepaskan niqab. Lega rasa hatinya tatkala wajahnya yang indah, putih kemerahan bak kelopak mawar itu bermesra dengan angin. Lorong panjang berturap tar hitam dan dikepung pohon-pohon menghijau dikepung sunyi. Lorong yang dikhaskan menghala ke rumahnya itu teduh dan nyaman. Sekali-sekala angin bertiup menggoyangkan daun-daun. Marjaan mendongak ke langit yang ditutupi dengan daun-daun hijau. Ada sedikit cahaya yang mencuri-curi keluar.
Dia tersenyum sendiri. Marjaan mulai menyanyi kecil lagu yang jadi kegemarannya. Mula-mula suaranya perlahan sahaja.
"Notice me, take my hand
Why are we strangers when
Our love is strong
Why carry on without me."
Habis rangkap pertama, dia mulai rasa seronok menyanyi di ruang yang sepi itu. Makin kuat suaranya.
"And every time I try to fly, I fall
Without my wings, I feel so small
I guess I need you, baby
And everytime I see you in my dream
I see your face, it's haunting me
I guess I need you, baby..."
Tiba-tiba dia terdengar orang bertepuk tangan secara serentak tidak jauh darinya. Marjaan segera memandang ke arah datangnya bunyi tersebut. Dia nampak tiga orang pelajar lelaki, masih berjubah dan berserban berada di bawah pokok, seolah-olah menunggunya di situ. Mereka tersengih-sengih gembira setelah mendengar Marjaan berlagu dengan merdu. Tambahan pula dapat melihat wajahnya tanpa ditutupi niqab.
"Phiweettt!" Salah seorang daripada mereka bersiul.
"Sedaplah awak nyanyi, Marjaan."
"Boleh kita menyanyi berduet?"
Marjaan mencebirkan bibir. Dia segera memakai niqab semula, tidak ingin wajahnya dijamah mata pemuda-pemuda yang bukan muhrim. Usia mereka hampir sebaya ataupun mungkin lebih tua sedikit.
"Nampak ni!" Dia tunjuk tangan yang tergenggam.
Tunjuk penumbuk kononnya. Padahal penumbuknya tak adalah sebesar mana.
Ketiga-tiga pelajar itu ketawa. Langsung mereka tidak takut dengan penumbuk perempuan. Ketiga-tiga pemuda itu datang mendekati Marjaan lalu menghalang laluannya. Tetapi Marjaan tidak takut langsung.
"Tepilah, bodoh!" Dia menengking.
"Huh, garangnya anak mudir kita!"
"Itulah kau nak sangat mengurat dia. Dia ni anak singa betina."
"Blahlah!"
Rasa marah dalam hati Marjaan terasa meluap-luap. Dia pantang diganggu. Lebih-lebih lagi orang yang mengganggunya itu bukan orang yang disukai.
"Kalau kau kacau aku, aku report dengan babah. Kau orang ni nak kena buang sekolah ke?" Marjaan mengugut.
"Raikal! Dahlah. Jom kita blah," kata salah daripada tiga pemuda itu.
"Shafiq, Rahim! Kau orang tunggu kat situ. Aku nak cakap sikit dengan 'buah hati' aku ni!" kata Raikal sambil tersengih lebar.
Shafiq dan Rahman tidak jadi hendak beredar tetapi menunggu tidak jauh di pinggir jalan. Mereka memerhati sahaja Raikal yang berbadan agak besar dan tinggi berdiri menghadapi Marjaan dengan penuh gaya. Marjaan berdiri tegak, menunjukkan wajah marah.
"Marjaan, aku bukan nak gaduh dengan kau. Aku suka kat kau. Jadi girlfriend aku nak tak? Kita couple!" tanya Raikal sambil tersengih.
"Tak nak! Terima kasih," jawab Marjaan.
"Kasih kau tu aku terima," balas Raikal sambil tergelak kecil.
Spontan tangannya bergerak menyentuh niqab Marjaan. Lalu dia merentapnya dengan agak kasar. Sekali rentap sahaja, niqab Marjaan terus tersingkap.
"Kau jangan kurang ajar sangat boleh tak?" Marjaan benar-benar marah.
"Aku dengar kawan-kawan aku cakap, kau ni bukannya baik sangat pun. Kat KL sana tu kau liar. Selalu pergi disko. Enjoy, balik malam-malam buta. Tapi kat sini kau pura-pura alim. Tak payahlah acah-acah alim sangat."
"Diamlah! Sibuk hal orang."
Raikal cuba pula menyentuh dagu Marjaan. Kemarahan Marjaan sudah tiba di kemuncak.
"Sekali lagi kau buat macam tu..." kata Marjaan sambil jari telunjuknya dihala ke wajah Raikal.
"Alah! Setakat nak cuit dagu sikit pun marah. Aku bukannya nak cium kau. Tapi aku rasa kau ni mesti dah pernah... Hmmm, pernah kena cium dengan jantan, kan?"
Tanpa amaran, sebiji penumbuk terus melayang ke muka Raikal. Tidak sempat dia mengelak. Penumbuk sulung Marjaan mendarat tepat di hidungnya. Darah mengucur perlahan dari hidung Raikal. Dia menekupnya dengan tangan. Mata liar memandang Marjaan. Ada kemarahan yang amat besar tersimpan di dalam matanya. Dia terus bergerak ke arah kawan-kawannya yang menunggu. Mereka berlalu pergi.
"Padan muka! Nak sangat kacau aku. Kan dah mendapat," kata Marjaan sambil tersenyum puas.
MAIN games sudah, buat kopi dan kuih keria kesukaan babah pun sudah. Mengemas bilik, membuat latihan dan membersihkan dapur juga sudah. Apalagi yang belum aku buat? soal Marjaan sendiri sambil memerhati sekeliling ruang dapur yang bersih dan kemas.
Ya, satu lagi perkara yang aku belum buat. Kacau orang! Orang yang akan dia kacau... Entah apa yang dia buat petang ni. Spontan Marjaan teringat tiga orang pelajar lelaki yang mengganggunya tengah hari tadi. Marjaan tergelak sendiri. Mereka tidak akan berani mengusiknya lagi. Marjaan masuk ke dalam bilik lalu mengenakan hijab dan niqab. Dia ingin ke pondok Salwa. Entah apa yang Salwa sedang lakukan. Seronok kalau dapat mengacau teman sekelasnya itu.
Susah juga berkawan dengan Salwa ni. Dia tak ada handphone. Aku terpaksa pergi menuruti dia ke pondoknya, rungut Marjaan.
Keluarga Salwa agak susah. Dia masuk ke sekolah itu dengan cara percuma, malah dia diberikan biasiswa lantaran keluarganya tidak mampu, adik-beradik pula ramai. Meskipun begitu, Marjaan tidak kesah berkawan dengan Salwa. Gadis itu baik, selalu menurut sahaja kata-kata Marjaan.
Marjaan mengikut jalan di tepi sungai. Sengaja dia mengelak jalan utama di hadapan rumah yang akan membawanya melalui ke kawasan sekolah. Di sekolah setiap petang, ada sahaja kegiatan. Sama ada kelas hafalan hadis dan ulumul Quran. Mengikut jalan sungai walaupun agak jauh sedikit, tetapi dia terhibur tatkala mendengar bunyi alunan air di celah-celah longgokan batu. Akhirnya dia tiba di kawasan pondok pelajar perempuan. Di tepian anak sungai, ada beberapa orang pelajar sedang mandi. Dia mencari-cari pondok Salwa, tetapi gadis itu tiada.
"Ada nampak Salwa?" Dia bertanya pada seseorang yang ada di pondok itu.
"Dia pergi perpustakaan."
Marjaan tidak menunggu lama. Dia terus berjalan menghala ke perpustakaan. Perpustakaan sekolah terletak di satu sudut terpencil. Perpustakaan itu kecil sahaja, dibina daripada batu, dindingnya bercat warna putih. Ada pintu dari cermin yang kalis cahaya. Orang yang berada di luar tidak akan nampak siapa yang berada di dalam perpustakaan. Ruang penyambut tetamu terletak di tengah-tengah bangunan, sementara di kanannya ditempatkan rak-rak buku serta pelbagai jenis kitab. Di sebelah kiri ada bilik komputer. Hanya dua buah komputer sahaja untuk kegunaan pelajar dan guru.
Marjaan menolak pintu cermin untuk masuk. Dia terus menghala ke bilik yang menempatkan rak buku. Namun di muka pintu bilik itu, dia bertembung dengan Nawfal Husaini dan Ustaz Wadie. Marjaan memerhati wajah kedua-dua orang gurunya itu sejenak sebelum menundukkan pandangan.
"Ha, baguslah anti datang ke sini, Marjaan. Ingat kami nak ke rumah anti malam nanti, untuk berjumpa dengan ustaz dan anti," kata Ustaz Wadie.
Marjaan rasa hairan. Dia mengangkat wajah memandang Ustaz Wadie. Lelaki itu boleh dikatakan sebagai lelaki yang kacak, tall, dark and handsome, kata budak-budak sekarang. Dia bukan seperti Nawfal Husaini yang berkulit putih kemerahan seperti orang Arab.
"Ni Nawfal nak cakap sesuatu pasal anti."
"Ha? Pasal saya? Kenapa?" tanya Marjaan, matanya beralih pula ke wajah Nawfal Husaini yang diam sahaja.
"Kita duduk di sana dulu," kata Nawfal Husaini sambil menunjuk ke arah sebaris sofa berwarna hitam yang menjadi ruang rehat perpustakaan kecil itu.
Kedua-dua lelaki itu mendahului menghala ke sofa dan Marjaan mengekorinya dari belakang. Dia duduk di hadapan gurunya itu di atas sebuah kerusi kayu jati tunggal. Mereka berdua memandangnya dengan pandangan yang tajam, seolah-olah ingin menjatuhkan hukuman.
"Apa yang berlaku tengah hari tadi?"
Marjaan masih dibelenggu rasa pelik. Tiada apa-apa yang berlaku. Dia hanya mengangkat bahu.
"Kenapa awak baling batu ke muka Raikal? Mujur tak kena mata," kata Ustaz Wadie.
"Apaaa? Bila saya baling batu?" tanya Marjaan dengan dahi berkerut.
"Anti tanya ana buat apa? Bukankah anti yang buat salah?" soal Ustaz Wadie lagi.
"Marjaan," seru Nawfal Husaini dengan suara lembut. Matanya memandang tepat ke wajah Marjaan kemudian menyambung kata; "Raikal mengadu dengan ana, katanya anti mengugut dan menuduh dia macam-macam. Dia tak tahu apa salahnya, tiba-tiba anti baling batu ke arahnya."
"Apa salah dia pada anti? Anti ni nama aje perempuan, kenapa begitu kasar sekali?" kata Ustaz Wadie pula.
"Tuduhan apa ni, ustaz?" Marjaan sudah berdiri. Hatinya panas mendengar cerita yang penuh dengan kepalsuan. Berani Raikal memutar belitkan cerita.
Tanpa sedar tangannya diletakkan di pinggang.
Dia tidak suka mendengar cerita yang sudah diputarbelitkan. Tidak sangka Raikal mengadu pada Nawfal Husaini dan menipu pula. Siapa yang memulakan pergaduhan itu tengah hari tadi? Bukankah Raikal juga yang terlalu berani mengganggunya? Raikal merenggut niqab kemudian cuba menyentuh dagunya. Mujur tidak kena. Dia pantas menepis. Raikal juga mengata dia perempuan tidak baik, pernah dicium lelaki. Apa yang dia tahu tentang Marjaan? Dia tidak tahu apa-apa dan hanya mendengar cerita yang entah dari mana sumbernya.
"Duduk, Marjaan! Bertenang," pinta Nawfal Husaini.
"Kami tak mahu libatkan Ustaz Hanafi dalam hal ini. Jadi, ana nak dengar cerita dari sebelah anti pula. Ceritakan apa yang berlaku," kata Nawfal Husaini terus tenang menangani situasi itu.
Marjaan duduk semula. Dia bercerita dari awal hingga akhir bagaimana pertemuannya dengan tiga orang pelajar itu selepas sesi sekolah berakhir sekitar jam dua petang. Nawfal Husaini mengangguk.
"Tak mengapalah. Anti baliklah dulu," kata Nawfal Husaini.
"Ustaz percaya pada saya ataupun Raikal?" tanya Marjaan inginkan kepastian.
"Anti pun bersalah, Marjaan. Kenapa anti tumbuk hidungnya? Mujur tak patah hidung dia yang mancung tu. Jatuh sahamnya kalau hidung dia patah." Ustaz Wadie menyampuk sambil tersenyum kecil. Kemudian dia tertawa sambil memandang ke arah Nawfal Husaini.
Nawfal Husaini diam sahaja, tiada senyuman di bibirnya.
"Anti ni garang sangat. Nanti orang takut nak buat isteri. Bergaduh sikit kena tumbuk!" usik Ustaz Wadie lagi sambil tergelak kecil.
Nawfal Husaini menjeling Ustaz Wadie. Dia tidak suka mendengar kata-kata teman sejawatannya itu.
Balik-balik aku juga yang kena. Kenapa lelaki ni harus bersikap berat sebelah dan hanya memuji kaum sendiri? soal Marjaan dalam hati.
Marjaan diam sahaja, dia menjulingkan matanya ke atas. Kemudian dia bangun dengan kasar dari kerusi.
"Kalau ustaz nak beritahu babah saya, beritahulah. Saya tak kesah. Memang dia mula dulu. Dia yang kacau saya!" kata Marjaan dengan tegas.
"Bertenang, Marjaan. Anti ni cepat marah," komen Nawfal Husaini.
Marjaan tidak peduli, dia terus berlalu pergi.
Rusuh hatinya Tuhan sahaja yang tahu. Dia tidak menoleh lagi ke belakang. Namun dia dapat merasakan kedua-dua lelaki muda itu sedang memandang dengan mata tidak berkelip.
Namun Marjaan tidak yakin, apakah Nawfal Husaini dan Ustaz Wadie akan mengadukan hal itu kepada ayahnya?
Beberapa hari kemudian dia mendengar berita, Raikal tidak mahu bersekolah di situ lagi. Dia meninggalkan sekolah pondok itu pada suatu pagi yang dingin dan hujan. Ibu bapanya datang menjemput dengan kereta besar menjalar. Kereta Mercedes warna hitam yang basah ditimpa gerimis tersadai megah di hadapan bangunan sekolah. Marjaan nampak ibu bapa Raikal bercakap dengan Ustaz Hanafi di hadapan bilik guru. Ibu Raikal lincah menuding-nuding jari ke arah Ustaz Hanafi.
Entah apa yang mereka bualkan. Marjaan tertanya-tanya sendiri. Apa lagi fitnah yang mungkin dilemparkan? Bukankah orang Melayu ini tidak boleh meninggalkan fitnah? Lebih-lebih lagi pada akhir zaman. Pelbagai fitnah datang untuk menghancurkan umat dari yang kecil hinggalah sebesar-besarnya.
Kereta keluarga Raikal perlahan-lahan meninggalkan kawasan halaman sekolah. Dalam gerimis tipis pagi itu, Marjaan nampak bapanya melambai dari bangunan pejabat. Marjaan berjalan lambat melalui kaki lima, membelok ke kiri dan mendekati Ustaz Hanafi yang masih tercegat menunggunya.
"Apa yang berlaku? Cuba cerita dengan babah," tanya Ustaz Hanafi sambil merenung wajah puterinya yang dilindungi niqab putih. Hanya nampak sepasang matanya yang indah.
"Tak ada apa-apa, babah. Jaan tak tahu apa-apa."
"Raikal tiba-tiba berhenti. Ibu bapanya datang marah-marah pada babah, katanya babah tak pandai menjaga anak. Bagaimana hendak menjaga sebuah sekolah pondok sedangkan menjaga puteri yang seorang pun tidak mampu?"
Marjaan diam sahaja sambil menggigit bibir.
"Jaan dah pandai berbohong dengan babah!"
"Tak... babah," jawab Marjaan lalu air matanya segera berkumpul di dalam kolam mata.
"Hari ni Jaan cuti ajelah. Pergi balik rumah. Fikirkan apa yang Jaan dah buat. Perbuatan Jaan tu burukkan nama babah dan sekolah ni. Jaan sedar tak?"
Butir-butir air mata yang ditahan mulai bergolek perlahan-lahan.
Ni semua fitnah, babah! jerit Marjaan dalam hati sahaja. Dia tidak berupaya untuk membela diri. Marjaan berlari-lari anak menghala ke jalan utama. Laluan itu membawa dia menuju ke hujung jalan, menghala ke rumah. Dia tidak bertembung dengan sesiapa. Dia meredah gerimis dengan hati yang tersangat luka. Dari kejauhan dia tidak sedar ada mata yang memandang. Kesedihan Marjaan dapat dirasai lelaki itu.
Tak mengapa, Marjaan. Aku akan bela kau... Tenang sahajalah, ya habibi.
Cerita Raikal yang kononnya kena tumbuk tanpa sebab oleh Marjaan cuba diselesaikan dalam keadaan senyap. Walaupun Raikal mendakwa dia dibaling dengan batu, tetapi Nawfal Husaini lebih percaya pada cerita Marjaan. Ibu bapa Raikal datang ke sekolah dalam keadaan marah dan menarik balik sumbangan yang diberikan kepada sekolah itu untuk selama-lamanya.
Ustaz Hanafi reda. Tanpa sumbangan daripada keluarga Raikal, sekolah itu akan tetap berdiri tegak seperti biasa. Di luar sana ramai dermawan. Dia sendiri menyerahkan seluruh pendapatan dan hartanya untuk sekolah itu. Reputasi sekolah mesti dijaga. Marjaan harus dihukum.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co