Bab 5
"BABAH! Jangan rotan Jaan. Jaan tak salah. Ini semua fitnah," rayu Marjaan dalam tangisan yang semakin panjang. Hatinya amat sakit kerana difitnah dengan sesuatu yang tidak dilakukannya.
"Jaan minta ampun, babah."
"Hulurkan tangan kau, Marjaan!" Tegas suara Ustaz Hanafi. Kepalanya tepu dimomokkan dengan kata-kata ibu Raikal yang menuduh dia gagal menjaga puterinya yang seorang itu. Namun Ustaz Hanafi terus melibas rotan ke permukaan tangan Marjaan yang terngadah.
"Sakit, babah. Sakit!" rayu Marjaan dalam tangisan yang semakin panjang.
Namun dia masih menadah tangannya ke udara, menanti libasan demi libasan dari rotan di tangan Ustaz Hanafi. Rasa amarah yang cuba dibendung akhirnya meledak juga. Ustaz Hanafi tidak percaya langsung pada cerita Marjaan. Baginya Marjaan berbohong untuk membela diri dan meletakkan kesalahan pada Raikal.
Ustaz Hanafi mengangkat rotannya lagi untuk membuat libasan terakhir tetapi terhenti apabila dia mendengar orang memberi salam. Dia memandang Marjaan yang tertunduk, dengan telapak yang masih terngadah. Telapak tangan putih dan gebu puterinya itu kelihatan birat dan merah. Bagaikan ada lelehan darah dari kulitnya yang tipis.
Ustaz Hanafi menjawab salam. Dia beredar menghala ke pintu yang bertutup rapat. Sebelum membuka pintu dia berpesan. "Kau duduk kat situ, jangan ke mana-mana. Babah belum selesai lagi."
Pintu dibuka. Di luar Nawfal Husaini tercegat dengan lampu picit di tangannya.
"Ustaz balik awal dari surau tadi," kata Nawfal Husaini.
"Ada hal di rumah," jawab Ustaz Hanafi ringkas.
"Ana nak bercakap sikit dengan ustaz, tentang Marjaan," kata Nawfal Husaini.
Wajah Ustaz Hanafi tegang sekali. Dia teringat Marjaan yang duduk di tengah-tengah rumah sedang menunggu libasan terakhir dari rotannya.
"Marjaan tak bersalah," kata Nawfal Husaini.
"Shafiq dan Rahim mengesahkan dengan ana lepas isyak tadi. Memang Raikal yang mengganggu Marjaan. Dia merentap niqab Marjaan, cuba menyentuh dagunya. Itu yang buat Marjaan marah lalu melepaskan penumbuk. Ana desak mereka berdua cerita hal yang sebenar. Mulanya mereka takut hendak masuk campur. Raikal pula merasuah mereka dengan sedikit duit poket."
Ustaz Hanafi menelan air liur pahit. Dia diam. Rotan yang disembunyikan di belakang terlepas dari pegangan. Nawfal Husaini nampak rotan itu tergeletak di tepi kaki. Dia segera mengerti. Matanya sempat melihat melalui pintu yang terbuka luas, Marjaan duduk diam di tengah rumah dengan kepala tertunduk.
Ya habibi, kasihannya kau. Aku terlewat datang menjernihkan keadaan, bisik Nawfal Husaini hanya dalam hatinya sahaja.
"Baik, ustaz. Syukran. Ustaz baliklah dulu," pinta Ustaz Hanafi.
Dadanya terasa sebak. Dia terlalu ikutkan perasaan. Hilang kepercayaan pada puteri yang sangat disayangi. Dia menyesali perbuatannya terlalu cepat menjatuhkan hukuman. Suara ibu Raikal yang mengata dan menghina masih melekat di ruang pendengaran. Malah ibu Raikal turut mengungkit segala sumbangan yang pernah suaminya berikan sejak sekolah itu didirikan.
Ustaz Hanafi kembali menghadapi Marjaan yang duduk kaku di tengah-tengah rumah. Semua perbualan antara bapanya dengan Nawfal Husaini didengari Marjaan.
"Pergilah masuk bilik." Ustaz Hanafi bersuara perlahan, bagaikan tidak termuntah keluar suaranya kerana terlalu kesal.
Marjaan masuk ke dalam bilik tanpa sepatah kata.
Malam itu dia tidak boleh tidur. Rasa sakit di telapak tangannya berdenyut-denyut. Telapak tangannya sedikit bengkak. Jalur-jalur rotan membekas jelas bersimpang-siur. Telapak tangan kecilnya itu bagaikan hancur dilibas rotan Ustaz Hanafi. Marjaan tidak tertangiskan dirinya lagi. Dia hanya diam, berbaring mengiring mengadap ke dinding.
Dia dengar telapak kaki Ustaz Hanafi bergerak menghala ke bilik tidurnya. Ustaz Hanafi menolak daun pintu yang sengaja dibiarkan tidak berkunci.
"Jaan?" panggil Ustaz Hanafi lembut.
Seribu kekesalan bermain di dalam tempurung kepalanya.
"Jaan dah tidur?"
Marjaan tidak menjawab. Dia berbaring kaku dengan mata sengaja dipejamkan. Tangannya yang sakit bekas libasan rotan terletak di atas tilam. Ustaz Hanafi duduk di tepi katil sambil membelek telapak tangannya yang berbirat. Merah dan bengkak telapak tangan itu. Semasa kecil telapak tangan Marjaan selalu dikucupnya dengan penuh kasih sayang.
Kenapa kerana fitnah yang dilemparkan mereka, sanggup dia memukul puterinya itu? Mengapa dia lebih mempercayai orang lain dan bukan anaknya sendiri? Dia cuba mencari kesempurnaan dalam kehidupan ini. Namun ternyata kesempurnaan seakan-akan tidak wujud.
"Jaan..." serunya lagi tetapi Marjaan tetap diam dan berpura-pura tidur.
Dia mengambil tangan Marjaan lalu mencium telapak tangan yang berbekas dengan pukulan rotan. Beberapa titis air hangat menimpa telapak tangan puterinya itu. Kemudian dia mengambil minyak gamat, diusapnya perlahan-lahan sehingga seluruh telapak tangan itu dipaliti minyak. Dia membalutnya dengan kain kasa putih.
"Maafkan babah, Jaan," serunya perlahan.
Namun Marjaan tetap tidak menjawab. Ustaz Hanafi keluar dari kamar tidur Marjaan. Pintu ditutupnya perlahan. Dari kelopak mata yang dirapatkan, beberapa titis air jernih mula jatuh membasahi bantal. Marjaan kembali teresak-esak perlahan. Dia tidak ingin tangisannya didengari Ustaz Hanafi yang berada di kamar sebelah. Inilah kali pertama setelah dia besar dan remaja, Ustaz Hanafi menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa.
Namun Marjaan diam-diam memaafkan bapanya.
USTAZ Hanafi tidak membenarkan Marjaan ke sekolah selama seminggu. Namun Marjaan tetap pergi ke sekolah selepas hari ketiga dia berehat. Dia kebosanan duduk sendirian tanpa berbuat apa-apa.
"Biar keadaan reda dulu. Sekarang orang masih memperkatakan peristiwa kau dan Raikal." Itulah alasannya.
Suatu hari yang cerah, Marjaan datang juga ke sekolah. Salwa menyambutnya di muka pintu kelas bersama senyuman lebar. Mereka beriringan menuju ke meja masing-masing yang terletak bersebelahan.
"Tangan kau dah okey ke?" tanya Salwa sambil memerhati tangan Marjaan yang berbalut.
"Okey dahlah. Tak berapa sakit dah. Cuma masih ada kesan merah-merah."
"Mujur kena tangan kiri, ya. Kalau tangan kanan, tak dapat nak sarung cincin."
"Cincin? Cincin apa pulak? Merepek saja kau ni!"
"Cincin tunanglah," jawab Salwa sambil tersengih lebar.
"Kau ni ada-ada sajalah." Marjaan malas hendak melayani Salwa yang suka cakap perkara melalut.
Ketika dia hendak ke kantin tengah hari itu dengan Salwa, di pertengahan jalan seseorang menahannya. Gadis itu dari kelas tingkatan lima. Tapi semua pelajar di sekolah itu tahu siapa dia. Gadis yang bernama Qaseh Salsabella agak terkenal di sekolah kerana kecantikannya. Qaseh berusia tujuh belas tahun, dua tahun lebih muda daripada Marjaan.
"Aku nak cakap sikit dengan kau!"
"Okey, apa dia?" tanya Marjaan sambil berdiri tegak di hadapan Qaseh.
Ketinggian mereka sama sahaja. Qaseh mempunyai sepasang mata yang galak, dengan bulu mata lentik bagaikan dipalit maskara. Walaupun hidung mancung dan bibir mungilnya dilindungi niqab, namun kecantikannya tidak perlu disangkal. Ditambah dengan pakej sebagai pelajar yang cerdik dan aktif dalam aktiviti nasyid dan berzanji. Dia punya suara yang merdu, mampu memukau orang yang mendengarnya. Dia juga ketua pertubuhan nasyid di sekolah itu sejak tingkatan satu. Namun dia punya lidah yang tajam. Ramai dalam kalangan pelajar-pelajar takut kepadanya.
Namun Marjaan tidak cemburu dengan pakej yang dimiliki Qaseh. Kecantikan akhlak dan budi melebihi segala-galanya jika dibandingkan dengan keindahan wajah dan fizikal seseorang.
"Aku tak kiralah kau ni anak mudir ke... Anak ustaz ke... Aku tetap nak bagi tahu kau. Kau jangan mengada-ada sangat nak mengurat Ustaz Nawfal Husaini. Ustaz Nawfal Husaini aku punya!" kata Qaseh perlahan tetapi tegas. Kata-kata itu diungkapkannya di tepi telinga Marjaan.
Marjaan menjauhkan sedikit kepalanya kemudian tergelak kecil. Dia menggeleng-geleng sambil berkata; "Kat dahi kau ni ada tulis ke nama Ustaz Nawfal Husaini tu kau punya? Aku tak nampak. Aku tak tahu pun!" Sinis jawapan Marjaan.
Qaseh begitu marah mendengar jawapan Marjaan.
"Jadi, kau pun ada hati dengan dia? Betullah gosip yang aku dengar?" tanya Qaseh dengan agak kuat.
Dia tidak peduli lagi pada pelajar-pelajar yang lalu-lalang di ruang kaki lima itu. Ada beberapa orang pelajar mulai berhenti berdekatan untuk mencuri dengar apa yang mereka bualkan.
Nampaknya bunga-bunga pertengkaran akan meletus. Salwa mula gelisah lalu menarik Marjaan pergi ke kantin. Namun Marjaan masih berdiri di hadapan Qaseh.
"Aku memang ada hati, tapi aku tak pernah bagi lagi kat orang," jawab Marjaan.
"Kau nak sangat dengan Ustaz Nawfal Husaini tu, ambik! Ambiklah! Ada aku kesah?" Marjaan bersuara agak kuat.
Salwa menarik tangan Marjaan supaya beredar dari situ. Dia nampak Nawfal Husaini sedang berjalan ke arah mereka. Tidak sempat dia memberi amaran pada Marjaan, Nawfal Husaini sudah berada di belakang gadis itu. Dia terdengar Marjaan menyebut namanya.
"Kenapa ni? Ana dengar ada orang sebut-sebut nama ana!"
Marjaan terkejut. Dia terus berpaling. Tanpa sepatah kata dia mengheret tangan Salwa berlalu dari situ. Mereka berdua berjalan laju menghala ke kantin sekolah.
"Kenapa kau tak cakap Ustaz Nawfal ada kat belakang aku?"
"Aku nak beritahu, tapi tak sempat. Dia tu datang macam roket... Zuppp!"
"Kau rasa dia dengar apa yang aku cakap?"
"Dengarlah! Kau sebut nama dia kuat tau!"
Marjaan menggigit bibir. Kesal. Mengapa dia harus berkata begitu? Sepatutnya dia tak perlu layan kebodohan Qaseh. Memang tolol betul berebut lelaki, bisik hati Marjaan.
Mereka beratur untuk mengambil makanan. Marjaan mengambil sepiring bihun goreng kicap dan segelas teh O suam. Selera makannya terbantut sudah. Dia tidak berjaya menghabiskan makanan di atas piring. Loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah pun tamat. Dia dan Salwa bergegas memasuki kelas.
Dalam minggu ini banyak ujian yang harus mereka hadapi. Setiap orang pelajar di dalam kelas tidak lagi duduk berbual kosong sekiranya guru tiada. Mereka galak menghafal hadis dan takrif fiqah. Ujian lisan diadakan setiap kali ustazah ataupun ustaz masuk ke kelas.
Dua minggu kemudian keputusan ujian keluar. Masing-masing keluar dari bilik guru dengan wajah yang pelbagai rupa. Ada yang tersenyum gembira dan ada yang menangis sambil memegang buku laporan ujian. Marjaan membuka buku ujiannya itu dengan dada berdebar. Dia yakin, banyak markah berwarna merah yang tercatat di situ. Tiga hari dia tidak hadir ke sekolah pada minggu lepas, ketika ujian berlangsung.
Namun dia takjub kerana semua keputusan ujiannya berwarna biru. Dia lulus semua mata pelajaran walaupun tidak dikategorikan sebagai cemerlang. Namun lulus dengan baik pun dia sudah bersyukur. Namun dia masih pelik ketika melihat ujian hafalan al-Qurannya. Markahnya tinggi sekali diberikan Nawfal Husaini.
Syukran, ustaz... bisik Marjaan dalam hati.
Sambil berjalan, dia terus membelek-belek markah di dalam buku ujiannya itu. Rasa tidak percaya langsung. Bila masa aku ambil ujian Tauhid dan Tafsir ni? Bukankah masa itu aku cuti?
"Bagaimana keputusan ujian anti, Marjaan?" tegur Nawfal Husaini.
Marjaan tidak sedar, Nawfal Husaini ada di hadapannya. Dia berhenti melangkah. Jika Nawfal Husaini tidak menegur, sudah pasti dia akan terlanggar tubuh lelaki itu.
"Eh, ustaz!" balas Marjaan terkejut.
"Tu lah, berjalan tak pandang kiri kanan."
"Saya asyik tengok saya punya ujian ni," kata Marjaan.
"Tak puas hati?" tanya Nawfal Husaini.
Marjaan menggeleng. Bukan tidak puas hati. Cuma rasa pelik. Siapakah yang memberikan markah percuma untuknya?
"Esok dah mula cuti. Ana akan balik ke Kuala Lumpur. Anti akan pulang ke KL juga?"
"Belum bincang lagi dengan babah. Kalau babah benarkan, saya akan balik ke rumah mama," jawab Marjaan.
Ibu bapanya sudah lama berpisah. Namun perhubungan mereka masih kekal baik demi anak. Marjaan mempunyai seorang abang yang tinggal dan bekerja di Morocco. Marjaan belum pernah mengunjungi abang dan kakak iparnya di sana.
"Baik," jawab Nawfal Husaini sambil berlalu.
"Selamat bercuti, ustaz," ucap Marjaan dengan suara tulus.
"Ya, selamat bercuti juga, Marjaan."
Marjaan memerhati sahaja gurunya itu beredar. Dia bergerak memasuki bilik guru tidak jauh dari situ. Marjaan menyambung langkah pulang ke rumah.
Petang itu suasana di sekolah sunyi sepi. Semua pelajar sudah pun pulang bercuti. Marjaan berjalan-jalan sendirian. Dia bosan yang teramat sangat. Tiada teman bicara. Salwa pulang ke pangkuan keluarganya sebaik habis waktu sekolah. Bas sekolah kelihatan penuh sesak dengan pelajar-pelajar. Mereka dihantar ke Stesen Keretapi Dabong. Dari sana mereka akan membawa haluan masing-masing.
Sudah pasti Nawfal Husaini juga berangkat pulang, fikir Marjaan. Dia memiliki kereta sendiri. Kereta yang jarang digerakkan ke mana-mana sejak mengajar di situ. Marjaan berjalan di kaki lima melintasi dari satu kelas ke satu kelas. Kelas semuanya kosong, hanya terdengar suara angin bersiul di kejauhan.
Marjaan melintasi pejabat dan bilik guru. Pintu bertutup rapat. Namun ada suara perbualan yang bergema. Marjaan berhenti di tepi pintu untuk mendengar apa yang mereka bualkan.
"Dah confirm berapa pelajar yang akan turut serta?" tanya Ustaz Hanafi.
"Dah, ustaz."
Marjaan dengar suara Nawfal Husaini.
Eh, Ustaz Nawfal Husaini belum balik lagi? Ingatkan dia dah balik? Marjaan nampak kereta Nawfal Husaini bergerak meninggalkan kawasan sekolah sekitar pukul tiga petang tadi. Mungkin dia keluar sebentar ke bandar kemudian kembali ke pondok semula.
"Ada sekitar empat puluh orang. Ni senarai nama dan juga bajet untuk program perkhemahan dan mendaki Gunung Stong tu," kata Nawfal Husaini lagi.
Apa? Ada program perkhemahan dan pendakian Gunung Stong? Tapi kenapa tak diumumkan langsung? Senyap-senyap sahaja... Siapa yang boleh ikut? soal Marjaan sendiri.
"Nanti ustaz serahkan sahaja senarai tu pada kerani sekolah," kata Ustaz Hanafi.
"Baik, ustaz."
"Bila tarikh program tu?"
"Lima hari sebelum sekolah dibuka semula. Empat hari akan dihabiskan untuk program itu. Satu hari untuk pelajar-pelajar berehat sebelum sekolah dibuka keesokan harinya."
Ustaz Hanafi mengangguk sahaja.
"Errr... Bila ustaz nak balik ke KL?"
"Insya-Allah, pagi esok ustaz. Ana nak kemas dan bersihkan pondok ana dulu sebelum balik. Berselerak sikit, sebab ada buat tulis khat untuk peraduan," kata Nawfal Husaini.
"Wah, semoga berjaya dalam peraduan tu nanti, ustaz!"
"Insya-Allah."
"Pukul berapa agaknya ustaz nak balik?"
"Lebih kurang pukul sembilan pagi."
"Ana pun akan menghantar Marjaan awal pagi esok ke Kuala Lumpur," beritahu Ustaz Hanafi.
"Ana tak percaya nak lepaskan Marjaan balik sendiri dengan kereta api. Marjaan ni perangai dia tak boleh dijangka. Ana bimbang dia pergi jumpa dengan kawan-kawannya... Ke lain langkahnya tu nanti. Lebih baik ana yang menghantarnya sendiri."
Marjaan terkejut mendengar kata-kata bapanya. Jelas Ustaz Hanafi dapat menghidu semua rancangannya. Macam pakai ilmu sakti aje babah ni! rungut Marjaan dalam hati. Marjaan menggenggam tangannya.
Marjaan segera beredar. Dia tidak mahu Ustaz Hanafi dan Nawfal Husaini tahu dia sedang mendengar perbualan mereka. Lagipun rancangannya dengan Atillya sudah pun berantakan. Memang dia berjanji untuk bertemu dengan Atillya di Kota Bharu. Marjaan merancang untuk menaiki kereta api dari Dabong ke Kota Bharu awal pagi esok. Mereka akan menghabiskan masa di Kota Bharu selama dua hari, kemudian barulah pulang ke Kuala Lumpur. Dia juga sudah berangan untuk membuka hijab dan niqab. Seluar jean sudah lama terperuk tidak disarungkan ke tubuh. Entah muat entahkan tidak. Sayangnya pagi esok dia terpaksa berhijab dan berniqab di sepanjang perjalanan ke ibu kota.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co