Truyen3h.Co

MISS CLEANER UNDERCOVER

Bab 10

karyaseni2u

SUNYI alam sekeliling bagaikan semua sudah mati. Hanya angin halus bertiup menampar pipi. Khaira Wilda berjalan menghala ke pintu belakang. Kunci dikeluarkan dari poket seluar, lalu pintu belakang Syarikat Bina Bumi Sarawak Berhad dibuka perlahan.

Dia sudah memerhati suasana sekeliling sejak datang tadi. Pengawal baru sahaja bergerak meninggalkan kawasan belakang syarikat. Dia hanya akan meronda lagi sekitar satu jam dari sekarang.

Pintu dibuka dengan mudah. Kunci diperolehi daripada tuan punya syarikat. Apa susah? Dia yang suruh masuk untuk siasat! Khaira Wilda senyum sendiri.

Ni barulah real. Tugas sebenar seorang perisik adalah mencari maklumat dan menyiasat. Bukannya tukang sapu. Tapi sebenarnya ada kaitan juga antara penyiasat dan tukang sapu. Apabila menjalankan siasatan, bukankah harus sapu bersih semuanya, jangan sampai ada tertinggal bukti? Orang yang sedang disiasat tidak harus tahu dirinya sedang diintip.

Lantaran lif ditutup pada waktu malam, terpaksalah menapak naik tangga. Turun nanti boleh guna tali saja. Lebih cepat dan mudah.

Tiba di tingkat 6, nafas sudah mengah. Namun langkah terus diatur juga. Sebaik tiba di tingkat lapan, dia terdengar bunyi derap kasut seseorang. Hmmm, takkan pukul dua belas tengah malam pun masih ada yang belum balik? Pelik!

Khaira Wilda mengintai dari celah pintu. Ruang itu kosong dan sunyi. Tapi sebentar tadi dia mendengar dengan jelas bunyi tapak kasut berlaga dengan lantai. Dia terus menjenguk, berjalan menghendap lalu terus bersembunyi di sebalik dinding. Suasana senyap, hingga angin pun tidak ada.

Bahang panas mulai terasa.

Dia bergerak lambat menghala ke bilik kerja Encik Lubis. Namun terhenti. Ada seberkas cahaya datang daripada bilik lelaki itu. Ada orang?

Kenapa Encik Lubis datang ke pejabat di tengah malam-malam buta begini? Apa yang dia buat? Dengan siapa dia berbual? Dia terpaksa menunggu di dalam gelap. Dia tidak akan berbuat apa-apa hingga menyebabkan Encik Lubis sedar kehadirannya di situ.

Sejam kemudian, Encik Lubis berlalu bersama rakannya. Mereka bawa sebuah beg dari dalam bilik kerjanya. Apakah isi beg tersebut dan mengapa dia harus berbincang di situ? Khaira Wilda masuk ke bilik Encik Lubis menggunakan kunci yang ada. Dia mendapat segugus kunci yang membolehkan dia membuka semua pintu di syarikat Tan Sri Anwar Karim El-Zahri.

Termasuk kunci pintu ke bilik kerja Hayden Daniel. Cuma kunci pintu ke hati lelaki itu sahaja yang dia tak ada. Adoi! Kenapalah terfikirkan mamat tu pula saat-saat begini?! keluh Khaira Wilda sambil menjengah masuk ke bilik Encik Lubis.

Mentol lampu meja masih terasa panas kala Khaira Wilda menekan suis.

Hmmm... Lama juga dia duduk di situ, hingga lampu ni terasa panas sekali. Apa yang mereka buat tadi dan apakah barang yang dibawa keluar dari bilik ini? Khaira Wilda mulai menarik laci mencari-cari sesuatu. Maklumat... Maklumat. Aku lapar maklumat ni!

Akhirnya dia terhenti. Matanya tertuju ke arah organiser yang ada di atas meja dan terselit pen di dalamnya. Dia segera buka organiser tersebut. Terdapat catatan nama dan alamat. Segera diambil gambar menggunakan kamera telefon bimbit.

Dari kejauhan terdekat bunyi tapak kasut. Kedengaran cepat sekali langkah yang dibawa kakinya. Cepat-cepat Khaira Wilda bersembunyi di bawah meja. Hanya itu sahaja tempat yang ada. Dia terlupa menutup lampu.

Terdengar pintu ditolak di luar.

"Rupanya aku terlupa tutup lampu dan kunci pintu tadi. Tapi rasa macam dah tutup dan kunci pintu." Kedengaran suara Encik Lubis bercakap dengan temannya.

"Tak hairan la, kau tu dah tua," balas temannya sambil gelak-gelak kecil.

"Patut rasa hati macam tak sedap. Organiser ni macam nyawa. Kalau tinggal, matilah," katanya lagi sambil mencapai organiser, lalu dimasukkan terus ke dalam briefcase.

"Kau pasti tak ada apa-apa lagi yang tertinggal? Bahaya tu."

"Tak adalah, aku bukan macam kau. Dah nyanyuk," jawab kawannya.

Encik Lubis menutup lampu dan mengunci pintu. Mereka berdua bergerak pergi.

Khaira Wilda mengurut dada. Lega. Sekurang-kurangnya dia sudah dapat satu petunjuk. Ada nama dan alamat seseorang yang tercatat dalam organiser Encik Lubis. Kalau dapat 'curi' dan baca seluruh isi organiser tu lagi baik. Mungkin terbongkar semuanya sekali. Tapi Encik Lubis jaga organiser macam jaga nyawanya.

"DAPAT apa-apa?" tanya Tan Sri Anwar Karm El-Zahri keesokan harinya.

"Tengah malam tadi, memang Encik Lubis dengan kawannya ada di sini. Lebih kurang pukul 12.30 mereka balik. Mereka bawa sesuatu dalam beg, tapi tak tahu apa dia. Saya dapat satu nama dan alamat. Malam ni saya akan pergi cari orang tu berdasarkan alamat ni!"

"Aku temankan kau malam ni," sampuk Hakimi.

"Ehhh... Tak apa, aku boleh buat sorang-sorang."

"Tapi kau tak tahu tempat ni kat mana. Ni tempat aku... Aku tahu!"

"Ya, betul juga. Biar Hakimi temankan awak, Wilda." Tan Sri Anwar Karim El-Zahri membuat keputusan.

Hakimi senyum meleret. Khaira Wilda kekal berwajah serius dan ketat bibirnya dari senyuman. Dia geram dengan Hakimi sejak kejadian lelaki itu menumbuk orang gila. Entah kenapa lelaki itu baran semacam.

"Kawan Encik Lubis tu, awak nampak orangnya macam mana?"

"Saya hanya nampak sosok tubuh dari jauh. Tegap orangnya walaupun sudah agak berumur, Tan Sri."

"Okey, hari ni Encik Lubis tak masuk kerja. Tadi setiausahanya cakap bilik dia berkunci. Awak pergi bilik dia, tolong check peti besi. Dalam tu ada duit tunai ratus ribu juga jumlahnya. Dia baru tunaikan cek untuk bayar gaji dan overtime pekerja. Dua tiga hari lepas dia request sendiri cek pada saya," kata Tan Sri Anwar Karim El-Zahri.

"Okey, Tan Sri. Saya pergi sekarang."

"Ehhh... Aku ikut kaulah!" Hakimi tidak ingin ketinggalan.

Terselit sedikit rasa cemburu kerana Khaira Wilda semakin mendapat kepercayaan Tan Sri Anwar Karim El-Zahri.

"Encik Hakimi, kita akan keluar sekejap lagi. Saya ada meeting. Biar Cik Wilda pergi seorang diri. Jangan lupa tukar uniformnya, Cik Wilda. Awak ada kunci, kan?"

Khaira Wilda mengangguk. Dia sedar dia masih memakai baju biasa semasa dia keluar dengan Nelly tadi. Dia bergegas turun, menukar uniform kerja semula. Kemudian naik ke bilik Encik Lubis. Semalam dia masuk melalui pintu belakang, namun dengan uniform tukang cuci itu dia bebas masuk tanpa disyaki sesiapa.

Setiausaha Encik Lubis memerhati sahaja dari arah meja. Dia sibuk dengan kerjanya dan langsung tidak curiga.

Khaira Wilda pura-pura membersihkan setiap ruang. Namun matanya mengawasi sekeliling. Dia membuka pintu almari kabinet yang melekap di dinding, berdekatan meja. Dia ternampak peti besi yang sedikit terlindung di sebalik pintu kabinet. Tanpa perlu menyentuhnya pun dia sudah tahu pintu peti tidak berkunci. Renggang. Pantas tangannya menarik daun pintu peti besi.

Dahinya berkerut. Dia mendapati peti besi itu kosong. Isinya sudah diambil orang? Dia teringat malam tadi Encik Lubis datang dengan membawa sebuah beg besar yang berat.

Apakah malam tadi dia datang untuk mencuri wang dalam peti besi? Menurut Tan Sri Anwar Karim El-Zahri dalam peti besi itu memang mengandungi wang. Habis, mengapa peti besi kosong?

Dia masih berdiri tercegat di hadapan peti besi yang ternganga. Dia hanya menoleh apabila terdengar suara Hayden Daniel.

"Apa awak buat dalam bilik Encik Lubis?"

Khaira Wilda terpegun sejenak. Dia ikut aku ke? Bukan ke tadi dia pergi kafe?

"Awak tahu ni jabatan kewangan. Bukan sembarangan orang boleh masuk bilik pengurus kewangan syarikat ni," tegas suara Hayden Daniel.

Dia tambah terperanjat melihat pintu peti besi yang ternganga luas dan isinya kosong. Wajahnya merah padam.

"Apa dah berlaku ni?"

Suaranya yang agak kuat menarik perhatian beberapa pekerja di bahagian itu. Mereka datang mendekati.

"Kenapa Encik Hayden?"

"Peti besi ni diceroboh orang. Isinya dah hilang. Dalam tu ada banyak duit."

Dia datang ke bilik Encik Lubis selepas selesai makan tadi dengan tujuan untuk mendapatkan wang tunai. Dua hari lepas Encik Lubis memberitahu cek sudah clear dan penyata pekerja sudah pun diuruskannya. Sesetengah pekerja mendapat gaji tunai manakala sebahagian lagi gaji dibayar melalui akaun bank.

Biasanya pekerja am dibayar secara tunai.

"Telefon polis! Pencurinya ada kat sini!" Mata Hayden Daniel memandang tajam ke arah Khaira Wilda.

"Tak! Tak... Saya bukan pencuri, Encik Hayden."

"Di balai nantilah kau bagi tahu pihak berkuasa. Kalau kau ada duit, kau carilah peguam," kata Hayden Daniel dengan tegas.

"Nanti dulu. Tolong call Tan Sri. Tan Sri masih ada kat atas. Dia yang suruh saya masuk ke sini."

"Okey," kata Hayden Daniel sepatah lalu terus mencapai gagang telefon.

Tidak lama kemudian, Tan Sri Anwar Karim El-Zahri datang ke situ dengan ditemani Hakimi. Dia hanya menggelengkan kepala melihat peti besi yang sudah kosong melopong itu. Kemudian dia menyuruh Khaira Wilda kembali ke tingkat bawah, meneruskan kerja seperti biasa.

"Papa! Kita patut laporkan dia pada pihak berkuasa, papa."

"Tak perlu sebab papa tahu siapa yang curi. Bukan Cik Wilda."

"Habis siapa?"

"Encik Lubis sendiri yang dah larikan diri. Sayangnya kita terlewat tahu, dia dah lari. Dia takkan balik bekerja di sini lagi. Tu memang papa pasti."

Dahi Hayden Daniel berkerut. Lama dia termenung panjang.

"Hayden, kita dah memilih orang yang salah untuk menjadi pengurus kewangan syarikat kita. Papa yakin dah lama dia buat kerja tu cuma kita tak tahu. Akhirnya segala rasa syak wasangka papa jadi nyata."

"Papa... Saya perlu minta maaf pada Cik Wilda. Tadi saya tuduh dia curi duit tu."

"Ya, memang patut kau pergi minta maaf pada dia."

Tan Sri Anwar Karim El-Zahri senyum sambil menepuk bahu anak lelakinya itu. Senyumannya hanya sejenak. Dia nampak agak sugul dan letih. Bukan sedikit wang yang hilang dan digelapkan oleh Encik Lubis. Tiada siapa tahu di mana lelaki itu berada. Mungkin dia sudah lari ke luar negara.

Atau mungkin dia ada bersembunyi di mana-mana ceruk di bumi Kenyalang ini. Di sini masih terdapat banyak hutan belantara yang mampu menyembunyikan pelbagai rahsia. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co