Bab 9
"SELAMAT PAGI," tegur Nelly, sambil tersenyum manis.
Weh, mimpi apa malam tadi, tiba-tiba tegur aku mesra sangat ni? Berkerut dahi Khaira Wilda memandang Nelly. Manis wajah Nelly ditempek solekan. Rambut lurus panjang hingga ke pinggang, warna perang gelap menghurai cantik.
Dia nak apa pula ni? bisik hati Khaira Wilda.
Senyum Nelly dibalasnya dalam paksa. Senyum senget macam biasa. Kalau hatinya gundah, senyum itulah yang dia hadiahkan.
Nelly membelai rambut sambil mata mengawasi gerak-geri Khaira Wilda dari sebalik cermin. Dia tersenyum lagi dan berkata: "Senang tak tengah hari ni?"
Hah, kenapa tanya macam tu pula dah? Macam nak atur janji temu aje? Jangan-jangan Encik Hayden Daniel yang suruh? Atur janji temu dengan aku? Pasal malam itu dia puas hati dengan kerja-kerja aku... Manalah tahu, kan? Nak ajak aku dating ke?
Hesy! Khaira Wilda tampar pipi sendiri. Jangan beranganlah! Kenapa aku berangan yang bukan-bukan pula?
"Hurmmm, ya free. Kenapa?"
"Bagus... Bagus." Nelly tersenyum meleret.
"Kita pergi makan makanan laut kat Kampung Buntal, nak tak?"
"Kita?"
Terkejut betul Khaira Wilda. Ingatkan dia nak atur janji temu untuk bosnya Hayden Daniel dengan aku. Aku tolak aje mentah-mentah. Jangan ingat aku nak sangatlah Encik Hayden Daniel oi! Aku tak hairan pun. Eh-eh... Kenapa ke situ pula fikiran aku? Macam mengharap pula Encik Hayden Daniel ajak dating. Kau jangan, Khaira! Jangan mencampuradukkan kerja dengan perasaan. Ingat tujuan kau datang sini, monolog sang hati yang waras lagi sihat.
Mulanya Khaira Wilda dah nak menari hula-hula Hawaiian lagi, tapi terus jadi kaku dan canggung.
"Keluar makan dengan awak?" Dia ulang soalan yang sudah jelas.
"Ya, saya nak kenal awak dengan lebih rapat. Kita jadi kawan nak?"
Khaira Wilda renung wajah Nelly yang sedang tersenyum.
Hmmm... Aku tahu, mesti bos dia Si Haydan Daniel yang suruh Nelly siasat latar belakang aku. Kalau tak, takkan tiba-tiba sahaja Nelly nak berbaik-baik dengan aku. Apa motif kau, beb? Nak kawan dengan aku... Bagi mereka aku ni tukang sapu bongok. Bukan taraflah nak dibuat kawan.
"Seganlah saya. Saya ni tukang sapu aje... Awak tu setiausaha Encik Hayden. Awak tak malu berkawan dengan saya?" Sengaja Khaira Wilda menguji.
"Taklah! Nak malu apa?" jawab Nelly.
"Kita sama ajelah. Manusia biasa."
Khaira Wilda mengulum senyum.
"Saya sukalah rambut awak. Cantik!" katanya spontan mengusap rambut Khaira Wilda yang masih berdiri tidak berganjak di hadapannya.
Belum pulih lagi rasa hairan dalam hati Khaira Wilda. Nelly terlalu mesra dalam waktu yang singkat. Sebelum ini bercakap pun tak pernah. Mesti ada sesuatu ni, tak boleh percaya dia seratus peratus... Hatinya berdialog lagi.
"Saya pun suka rambut awak. Saya tak pernah berambut panjang. Sejak sekolah rendah, menengah dan..." Dia hampir-hampir menyebut perkataan universiti tetapi terhenti. Menarik nafas dalam-dalam dan menyambung. "Inilah fesyen rambut saya."
"Awak juga tak pernah pakai high heel?"
Khaira Wilda menggeleng. Sekarang sahaja dia tidak boleh pakai kasut tumit tinggi. Padahal di Kuala Lumpur, dia ada koleksi Jimmy Choo lagi. Ha... Siapa nak jawab tu?
Spontan mata Khaira Wilda memerhati kaki Nelly yang cantik, terserlah betisnya yang berbentuk bunting padi. Kasut tumit tinggi tiga inci. Kasut itu buat dia kelihatan lebih tinggi.
Cemburunya aku! bisik hatinya lagi.
Khaira Wilda memerhati kasutnya yang bertumit rendah dari jenis kain sahaja. Sangat-sangat sempoi.
"Awak comel!" kata Nelly sempat mencubit lembut pipinya sebelum keluar dari bilik air.
Hesy, apalah dia ni cubit-cubit pipi aku pula. Tidak sempat aku nak mengelak. Hmmm, takkanlah cubit pipi aku pun Hayden Daniel suruh kut!
"Jumpa nanti, pukul satu," katanya lagi sebelum benar-benar melangkah pergi.
Mereka bercerita sambil makan tengah hari. Nelly anak jati Sarawak, berasal dari Sarikei. Dia sudah bekerja di Kuching lebih kurang tiga tahun, namun baru setahun menjadi setiausaha Hayden Daniel.
"Seronok kerja di bawah dia?" tanya Khaira Wilda.
"Encik Hayden okey, baik dan bertimbang rasa. Kalau stay back sampai malam, dia akan belanja makan kat tempat special sikit macam kat coffee house."
"Ceritalah tentang diri awak pula. Asyik saya aje cerita pasal diri saya."
Sahlah ni! Mesti Hayden Daniel suruh tanya. Bukankah banyak kali dia ulang soalan? Siapa awak sebenarnya? Sengaja dia hantar Nelly untuk korek rahsia aku. Nelly pun bukalah cerita pasal diri dia terlebih dahulu. Khaira Wilda tahu taktik itu sejak tadi. Dia bukan prejudis tapi itu memang kenyataan. Kita beri maklumat untuk dapatkan maklumat. Fair and square.
"Okey... Saya dari KL."
"KL? Wow, jauh tu. Saya baru tiga kali ke KL. Sejak bila datang Kuching?"
"Dah lama juga. Sebelum ni kerja kat tempat lain." Bohong sunat, bisik hati Khaira Wilda.
"Kat mana?"
"Kat hotel. Sebab tu la saya kalau duduk hotel tak berbayar tapi saya gantikan dengan kerja-kerja membersih hotel. Kadang-kadang saya tolong apa-apa kerja di dapur hotel. Pernah juga jadi gardener." Entah macam mana dapat pula idea untuk penipuan yang lebih berkesan.
"Gardener?" Nelly terkejut.
Spontan tangannya meraba tangan Khaira Wilda yang ada di atas meja. Diramasnya dengan lembut. Khaira Wilda segera menarik tangannya daripada pegangan Nelly. Namun sempat jua Nelly merasai kelembutan telapak tangannya.
"Hmmm, lembut aje tangan awak. Tak mungkin awak buat kerja-kerja kasar macam tu." Dia menggeleng-geleng tidak percaya.
Nelly membetulkan rambutnya yang jatuh di dahi dengan lembut. Mereka sudah selesai makan tengah hari. Jus di dalam gelas masih penuh. Nelly memesan pencuci mulut.
"Saya suka rambut awak. Kemas, pendek macam lelaki." Sudah dua kali dia memberikan pujian mengenai rambut Khaira Wilda.
"Terima kasih. Awak tak mahu berambut pendek?"
Nelly ketawa.
"Kadang-kadang saya rimas juga rambut panjang, susah nak jaga. Kena pergi salon selalu untuk dandan. Kalau awak nak pergi salun, saya boleh rekomenkan salun yang paling baik di Kuching."
"Terima kasih. Rasanya tak perlu. Saya cuci sendiri." Khaira Wilda membalas dengan lembut.
"Wilda, kalau awak perlukan apa-apa, jangan segan-segan beritahu saya. Kalau awak nak ke mana-mana atau awak perlukan kawan, saya sedia ada. Call saya," kata Nelly sambil memberi nombor telefon bimbitnya.
Mereka berpisah di hadapan pintu lif sebaik sahaja tiba di Syarikat Bina Bumi Sarawak Berhad. Nelly naik ke pejabatnya di tingkat atas sementara Khaira Wilda menuju ke bahagian belakang. Baru beberapa langkah bergerak ke belakang, Tan Sri Anwar Karim El-Zahri pula menelefon.
"Wilda, naik ke bilik saya sekejap. Ada tugasan."
Tugasan? Macam penting saja. Hah, jam itu juga rasa nak menari hula-hula Hawaiian. Siap bunga tepi telinga. Khaira Wilda senyum meleret sambil terus menuju ke pintu lif.
HAYDEN DANIEL tidak keluar makan tengah hari itu. Dia leka menghadap komputer di dalam bilik kerjanya. Sejak tadi asyik melayan Pak Cik Google. Mencari maklumat di sebalik sepotong nama, namun tiada yang dapat memuaskan naluri ingin tahunya.
Aku rasa ada sesuatu dengan perempuan tu... Dia simpan satu rahsia besar. Sejak bila dia begitu baik dengan papa? Papa pun ambil berat sangat pasal dia. Kenapa? Aku hairan kenapa dia berbaik-baik dengan seorang tukang sapu seperti Khaira Wilda.
Wanita muda itu tiba-tiba sahaja muncul, bekerja di sini. Semasa dia meminta rekod daripada Abang Buncit, lelaki itu tidak dapat menyediakan sebarang dokumen.
"Tanya Tan Sri. Saya pun tak tahu sangat pasal dia. Saya ikut saja arahan Tan Sri," kata Abang Buncit.
Lemahlah nak tanya dengan papa. Nanti dia ingat aku sukakan perempuan tu pula. Sejak kebelakangan ini dia pun dah kurang tanya pasal bila aku nak kahwin. Hayden Daniel merengus sendiri.
Dia terus merenung skrin komputer. Perut terasa sedikit lapar. Nelly yang keluar makan tengah hari belum kembali ke pejabat. Kalau Nelly ada, dia akan minta gadis itu keluar membelikan makanan untuknya.
"Lambat masuk. You pergi lunch kat mana?" Dia bertanya sebaik sahaja melihat Nelly masuk ke pejabat. Gadis itu kelihatan ceria seperti baru lepas keluar dengan kekasih.
"Ala, baru lambat lima belas minit aje." Nelly merungut perlahan.
Dia memandang Hayden Daniel yang berdiri di ambang pintu bilik kerjanya.
"I pergi makan jauh sikit hari ni dari ofis. Jalan jam. Sebab tu lambat. You dah lunch?"
"Belum lagi. I nak pergi lunch ni," katanya sambil terus bergerak keluar dari ruang itu.
Dia berjalan laju menghala ke lif. Perut sudah lapar. Sebaik masuk ke dalam lif, dia terus ternampak Khaira Wilda di dalam lif tersebut. Dia tidak mengenakan uniform yang biasa dipakai, sebaliknya berbaju blouse merah darah dan seluar jean warna biru cerah.
Mereka saling memandang beberapa saat, namun tiada patah perkataan yang muncul dari bibir masing-masing. Hayden Daniel berdehem beberapa kali membersihkan kerongkong, tetapi masih enggan bersuara. Dia teringat kali terakhir mereka bertemu tengah malam semalam dan kata-kata orang gila yang menyatakan Khaira Wilda macam sumpah-sumpah tiba-tiba mencuit perasaannya.
Chameleon... Suaranya tercetus perlahan diikuti senyuman.
"Encik Hayden, kenapa awak senyum sorang-sorang?" Khaira Wilda bertanya.
"Senyum? Mana ada?" Dia berpaling dengan wajah serius.
Matanya kelihatan tajam dan bibirnya diketap.
Terus Khaira Wilda terdiam. Silap dia bertanya begitu tadi. Aduh, dia marah ke? bisik hati Khaira Wilda. Tapi sungguh aku nampak dia senyum-senyum tadi. Apa yang mencuit hati agaknya?
Tiba di aras empat, Hayden Daniel terus melompat keluar dari lif. Dia ingin segera jauh dari gadis itu. Malu. Dia tidak sangka Khaira Wilda nampak dia tersenyum seorang diri. Lain kali dia harus berhati-hati apabila berhadapan dengan wanita muda itu. Ternyata dia punya mata seperti helang. Nampak saja sesuatu yang sepatutnya disembunyikan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co