Bab 3
"NI kawasan kau, terus sampai belakang sana, okey?" kata Abang Buncit.
Ruang legar Syarikat Bina Bumi Sarawak Berhad, milik Tan Sri Anwar Karim El-Zahri luas terbentang, berturap marmar putih umpama cermin. Ruang paling sibuk pada waktu puncak, antara jam lapan hingga sembilan pagi dan pukul lima petang membawa ke tujuh malam. Kemudian ruang itu akan sepi membungkam menjelang malam apabila semua pekerja sudah pulang.
Di tangannya sudah ada sebatang penyapu. Dia akan memulakan tugasnya yang baru. Tukang sapu! Alahai... Tidak pernah dia memegang penyapu selama ini. Di rumah ibu bapanya sekalipun dia amat jarang menyapu sampah.
Matanya memerhati ke arah ruang yang terbentang luas. Ruang legar itu diturap marmar putih sayup mata memandang. Di satu sudut ada meja penyambut tetamu. Sebaris sofa kulit hitam yang panjang, sebuah almari buku rendah dan terbuka di satu sudut ruang lain.
"Lepas sapu lantai dan mop, jangan lupa guna alat pengering ni. Nanti kalau lantai tak cukup kering, ada pula yang akan jatuh terpukang," kata Abang Buncit sambil menunjuk ke arah peralatan yang akan digunakan.
Banyak peralatan yang tersimpan di dalam stor bahagian belakang bangunan itu. Lebih kurang dua puluh orang pekerja Abang Buncit yang lain sudah berada di stesen masing-masing. Hanya Khaira Wilda yang masih mendengar 'taklimat' daripada Abang Buncit. Khaira Wilda terfikir sesuatu; dia tahu ke siapa aku? Atau dia memang tak tahu yang aku ni tengah buat tugas penyamaran? Janganlah suruh aku betul-betul buat kerja ni! Aduh... Letihlah aku macam ni, kena bersihkan ruang besar gedabak.
Khaira Wilda menggigit bibir. Berat betul rasa hati nak mulakan tugas. Mak! Aku nak balik!
"Tak pasal-pasal aku pula yang kena saman kalau ada yang jatuh nanti," kata Abang Buncit lagi.
"Kau ni termenung aje, faham ke tak?" Abang Buncit seperti marah apabila Khaira Wilda diam sahaja.
"Faham."
Hurm, benci aku dengan Abang Buncit ni! Kuat membebel macam mak nenek. Aku ingatkan orang lelaki tak suka membebel. Hati Khaira Wilda mendongkol.
"Memang kena sapu secara manual ke? Alat untuk sedut sampah macam kat luar negara tu tak ada ke? Kita duduk aje atas jentera tu, lepas tu drive keliling kawasan. Biar menatang tu aje yang sedut semua sampah," kata Khaira Wilda dengan wajah selamba.
Tergeleng-geleng kepala Abang Buncit mendengar kata-kata Khaira Wilda.
"Oi, cik adik! Memang kena sapu dengan tulang empat kerat kaulah. Mana ada alat tu kat sini. Kat luar negara memang dah ada. Kalau ada pun, syarikat Tan Sri takkan beli. Vakum cleaner yang biasa tu adalah, tu pun kena kongsi sebab tak cukup."
"Bodoh," rungut Abang Buncit perlahan tetapi Khaira Wilda mendengarnya.
"Apa? Awak cakap saya bodoh? Saya bukan bodohlah! Saya tanya aje. Kalau ada alat tu senang, tak penat."
"Heh, engkau ni kan. Kalau tak sanggup nak kerja, tak payah kerjalah. Yang kau pergi minta kerja jadi tukang sapu ni siapa suruh?" Abang Buncit mulai naik angin.
Melawan pula budak ni! getus Abang Buncit dalam hati. Hatinya makin panas apabila gadis itu dengan beraninya memanggil dia 'awak' sahaja.
Abang Buncit bercekak pinggang menunjuk garang.
Hesy, sentap betullah aku dengan jantan 'seekor' ni! Ikutkan hati, aku nak tumbuk rusuk dan perut tu biar hilang buncit. Sabar... Terpaksalah turutkan saja, malas nak berbalah, bisik hati Khaira Wilda.
"Yalah... Yalah! Saya buat sekarang," kata Khaira Wilda sambil terus bergerak meninggalkan Abang Buncit.
"Lepas siap semua kerja, cuci tandas pula. Kat sebelah belakang sana tu ada tandas. Cuci semua bersih-bersih. Nanti aku datang check. Kalau masih kotor, kena buat sekali lagi, faham?"
"Awak! Waktu rehat saya pukul berapa?"
"Apa awak-awak? Hormat sikit! Panggil aku Abang Buncit."
Tercebik bibir mungil Khaira Wilda. Tetapi pada pandangan Abang Buncit, Khaira Wilda begitu menawan. Sengaja dia buat garang supaya gadis itu patuh padanya. Dia tidak suka jika pekerja ingkar. Hari pertama bertugas sudah banyak kerenah.
"Yalah!"
"Aku bukan sengaja nak suruh panggil abang. Nama aku memang Abang Buncit," beritahu Abang Buncit lagi.
"Memang buncit sejak lahir, ya?" tanya Khaira Wilda sambil menyembunyikan senyum.
"Hesy... Budak ni!" Abang Buncit angkat tangan seperti hendak memukul Khaira Wilda kemudian terus menyapu kepalanya sendiri.
Khaira Wilda berdiri tegak sahaja, memerhati aksi Abang Buncit.
"Rehat pukul satu hingga dua. Kalau nak makan dan solat, buatlah time tu. Jangan saja nak berlengah-lengah. Ingat tu!" pesan Abang Buncit sebelum beredar.
Tuhan sahaja yang tahu hati dan perasaan Khaira Wilda kala itu. Hendak menyesal dan berpatah balik pun sudah tidak boleh lagi. Dia tidak mungkin mengingkari tugas yang diberi oleh Tuan Rosdi. Buat sajalah dengan reda.
Memang besar dugaan yang harus dihadapinya. Baru sepuluh minit menyapu, para pekerja syarikat mulai bergerak masuk. Kawasan lobi ramai orang yang bergegas-gegas menghala ke lif. Khaira Wilda memerhati mereka yang bergerak pantas menuju ke pejabat masing-masing. Pekerja perempuan semuanya berpakaian cantik dan berbau harum semerbak. Pekerja lelaki pula segak dengan kemeja dan tali leher serta kot.
Sebaliknya Khaira Wilda memakai sepasang uniform oren yang menjolok mata. Semua orang tahu statusnya sebagai tukang sapu syarikat tersebut.
Masa-masa glamor aku macam dah berakhir... keluh Khaira Wilda. Tapi percayalah aku akan dapat pakai balik baju lawa-lawa dan berwangi-wangian nanti. Huh, tak sabarnya tunggu masa kerjaya tukang sapu ni berakhir.
Telefon bimbit di dalam poket tiba-tiba bergetar.
Hah! Tu dia! Dia jawab dah mesej aku semalam, bisik hati Khaira Wilda. Dia terlonjak girang, sambil terbayang wajah Razif atau panggilan mesranya, Ajeep.
Wajah Khaira Wilda cemberut bila mendapati mesej tersebut daripada Abang Buncit. Bukan daripada Razif seperti tekaan awalnya tadi. Memang 'Razifah' betullah Ajeep ni. Langsung dia tak balas mesej aku, rungut Khaira Wilda dalam hati. Dia memang begitu. Kalau marah atau bengang dengan Razif, dia panggil lelaki itu Razifah.
Kerja! Jangan asyik tengok orang keliling!
Rupa-rupanya Abang Buncit mengintip setiap pergerakannya sejak tadi.
Khaira Wilda kembali mengayun penyapu. Apabila ada orang yang lalu berdekatan dengannya, dia akan membetulkan topi yang menutup kepala. Dia tidak ingin dikenali sesiapa. Kalau boleh, dia nak pakai spek hitam. Abang Buncit pasti naik angin. Mesti dia akan cakap begini:
"Kau ingat kau tengah bersiar-siar kat pantai ke? Boleh nampak ke sampah kalau pakai spek hitam tu?"
Lalu Khaira Wilda mengurungkan sahaja niatnya itu.
Dia terus membersihkan ruang hingga ke bahagian belakang. Selesai mengerjakan lantai, dia mengelap pintu dan dinding cermin pula. Saat itu, Tan Sri Anwar Karim El-Zahri sampai dengan kereta besar warna hitam di hadapan pintu utama Syarikat Bina Bumi Sarawak Berhad.
Khaira Wilda memerhati Tan Sri Anwar Karim El-Zahri dari jarak dekat. Dia keluar dari kereta sambil diiringi oleh dua lelaki berbadan tegap. Salah seorang daripada lelaki itu dikenali Khaira Wilda. Lelaki yang datang menemuinya di hotel awal pagi tadi, yang juga merangkap rakan sekerjanya di sini. Lelaki itu memandang sekilas, menghadiahkan senyum sinis Khaira Wilda.
Uwaaa! Tak adil! Tak adil! Dia bertugas di sisi Tan Sri, jadi bodyguard lelaki itu. Aku jadi tukang sapu, cetus hatinya mendongkol. Kaki macam hendak dihentak-hentak ke lantai. Dia memerhati ke kiri dan ke kanan, bimbang pula orang nampak.
Pengawal pintu segera membukakan pintu untuk tuan punya syarikat pembalakan yang gah dan terkenal itu. Tan Sri Anwar Karim El-Zahri tersenyum mesra, membalas ucapan selamat pagi yang diucapkan pengawal di tepi pintu.
Dia sempat memandang sekilas pada Khaira Wilda yang berdiri tidak jauh dari pintu, yang sedang memandang tidak berkelip padanya. Spontan Khaira Wilda senyum. Lalu dibalas Tan Sri Anwar Karim El-Zahri dengan anggukan. Pantas dia berlalu menghala ke lif bersama bodyguardnya.
ADUHAI! Berpeluh dah ketiak aku, walaupun ada penyaman udara. Khaira Wilda mengeluh sendiri sambil melepaskan lelah. Dia sudah selesai membersihkan seluruh ruang. Ruang legar itu mulai lengang. Dari arah lorong tempat dia berdiri, terdengar bunyi deringan telefon yang tidak berhenti-henti hampir setiap lima minit. Tiga orang penyambut tetamu kelihatan tidak menang tangan.
Huh, sibuknya syarikat Tan Sri ni... bisik hati Khaira Wilda. Dia terus berjalan menghala ke bahagian belakang. Bilik air dan tandas belum dicuci.
Dia terus masuk. Sesaat kemudian dia berlari semula ke luar sambil menjerit. Dia tersilap masuk ke dalam tandas lelaki. Dan seorang lelaki sedang membuang hajat di mangkuk berdekatan singki.
Pertama kali bertugas, dia terlupa. Sepatutnya dia meletakkan tanda 'kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan' di hadapan pintu. Sekarang dia yang terkejut besar. Lelaki yang sedang membuang hajat itu juga terkejut melihat dia muncul.
Khaira Wilda mengurut dada sambil bersandar pada dinding. Huh, mujur! Mujur aku tak nampak apa-apa! Aurat tu, dosa kering aje yang aku dapat. Terasa sejuk kaki tangannya.
"Hei! Awak! Kenapa awak meluru aje masuk tadi?"
"Maaf... Maaf, saya tak tahu awak... Awak ada kat dalam!" jawab Khaira Wilda sambil memandang ke arah lelaki yang baru keluar dari tandas.
Dia kelihatan marah. Wajahnya tegang. Akibat terkejut melihat kemunculan gadis itu diikuti jeritannya yang macam puntianak, dia tersalah 'tembak'. Habis basah bahagian hadapan seluarnya. Sebentar lagi dia ada meeting penting. Dia terpaksa membasuh seluar dan mengeringkannya. Namun seluar itu agak tebal dan susah hendak kering dengan cepat. Sedangkan dia hanya ada masa lima minit sahaja. Dia harus berlari masuk ke bilik meeting di tingkat dua belas.
Macam mana ni? Seluar bahagian depannya masih jelas basah. Dia pula pakai seluar warna cerah. Kalau dia pakai kot sekalipun, tidak mungkin dapat tutup bahagian itu.
"Tak tahu? Tak baca bahagian atas tu tulis apa? Ni tandas lelakilah!"
"Saya... Nak cuci..."
"Saya tahu awak tukang cuci. Lain kali pastikan dulu orang tak ada baru masuk dan cuci."
"Maaf... Maaf, encik. Saya tak sengaja tadi... Saya... saya... Baru kerja... Tak biasa..." Aduh, tergagap-gagap pula Khaira Wilda membela diri.
Kenapa aku ni jadi takut pula dengan dia? Apakah sebab dia sangat kacak? Mungkin berjawatan tinggi. Kalau tengok dari segi pakaiannya memang sahlah baju, seluar, kasut jenama mahal. Rambut pun terpacak dan kemas. Muka bersih tak ada sebutir jerawat pun. Bahagian atas dan bawah bibir rapi bercukur. Macam pernah tengok muka dia ni, bisik hati Khaira Wilda.
Ehhh... Aku kenal ke dia? Kat mana jumpa ek? Hati terus berdialog sambil mata memandang wajah lelaki di hadapannya itu.
"Awak tahu tak disebabkan awak, seluar saya dah basah? Dah bau semacam tau tak?"
"Errr... Errr, nak... Saya tolong cuci?"
"Heh!" Dia menengking dengan kuat.
"Cuci apa? Jangan ingat awak ni tukang cuci, awak boleh cuci semua benda."
Makin ganas pula jawapan lelaki itu. Dia amat geram kerana penampilannya kelihatan tidak senonoh dan memalukan.
"Encik Hayden! Dah ready ke?" Terdengar satu suara lembut dan manis dari arah belakang Khaira Wilda.
Hayden Daniel memandang ke arah gadis yang baru muncul. Di tangan gadis itu terdapat fail tebal. Ada kebimbangan terbayang di wajahnya. Spontan meluncur pertanyaan di bibirnya yang merah bercalit lipstik.
"Apa dah jadi? Seluar you..." Tidak dihabiskan kata-katanya itu, sengaja dibiarkan tergantung.
"Dah terkena eau de urine. Perempuan bodoh ni punya pasallah."
Terkejut setiausaha Hayden Daniel. Tambah kalut wajahnya tidak mengerti apa yang terjadi dan mengapa pula tukang sapu di hadapannya itu dipersalahkan. Mata setiausaha Hayden Daniel memandang hairan ke wajah Khaira Wilda. Kelu lidah Khaira Wilda seketika. Tak tahu hendak kata apa lagi.
"Tak apa, Encik Hayden. Kan ada seluar spare dalam kereta. I pergi ambil. You tukar segera lepas tu kita naik atas." Gadis itu beredar tanpa menunggu jawapan bosnya.
"Thank you, Nelly. That's why I love you." Sengaja dijeritkan sedikit perkataan I love you itu sebab Nelly sudah pun beredar agak jauh. Namun Nelly langsung tidak dengar ungkapannya itu. Dia sengaja hendak memanaskan keadaan. Dia masih geram dengan gadis tukang sapu berwajah comel dan nampak baik itu.
"Smart girl," kata Hayden Daniel sambil tersenyum ke arah Khaira Wilda yang masih memandangnya.
Mak oi, senyuman dia boleh gugur jantung aku ni! Tergamam Khaira Wilda bagaikan terpanah asmara buat pertama kali. Biarpun baru dimarahi jejaka itu, tetapi matanya tetap menatap tajam wajah yang sedang tersenyum.
"And you are so stupid," katanya dengan wajah dingin dan cemberut.
Senyumannya sudah pun hilang dalam masa satu saat.
Uwaaa! Khaira Wilda seperti ingin menjerit sekuat hati. Dia terus berlari masuk ke tandas wanita tidak jauh dari situ.
Tuan Rosdi! Aku memang tak sesuai buat kerja ni! Aku nak kerja aku balik!!! Aku dah terlepas banyak perkara sejak jadi miss cleaner ni. Aku terlepas peluang untuk mendekati jejaka sekacak Hayden Daniel. Dia pasti bencikan aku lepas ni tak kiralah aku siapa.
Tapi aku memang sedang bekerja. Bekerja untuk melindungi Syarikat Bina Bumi Sarawak Berhad dan keluarga Tan Sri Anwar Karim El-Zahri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co